Judul sebagaimana Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom & Dublin yang akan diterbitkan semasa PBAKL 2012. Rahimidin kata, "Jalan-jalan kita ini patut diberikan judul Kembara Seni."
Ainunl Muaiyanah menyatakan Cikgu Shahnon Ahmad ada manuskrip yang belum diterbitkan. Sebaik sahaja dimaklumkan kepada bos ITBM, maka diarahkan saya melakukan kunjungan terhadap Sasterawan Negara tersebut di Pulau Pinang untuk memperoleh manuskrip tersebut. Lantas saya memohon, "Boleh saya pergi dengan Rahimidin Zahari?" Balas Encik Khair Ngadiron, "Boleh sahaja." - Syukran!
14 April 2012: Ambil Rahimidin di Rumah PENA jam 10.30 pagi - makan tengah hari di R&R Sungai Perak - sampai di Hotel Bayview, Pulau Pinang, jam 3.30 petang. Lima jam perjalanan penuh dengan borak-borak sahaja.
Jam 4.00 petang sudah berada di Pasar Chowrasta. Kedai buku di Chowrasta tidak seperti saya datang dua tiga tahun lalu. Kini lebih banyak judul buku baharu. Maaf Puan Ainon ... buku PTS banyak dijual di situ. Saya tanya pekedai buku tentang hal ini, jawabnya, "Buku baharu yang kita jual murah sedikit daripada yang Popular atau kedai buku lain." Tujuan kami ke sini mencari buku-buku lama...
Jeruk di Chowrasta tetap dibeli.
|
Kata Rahimidin, "Kita tidak tiru buku ini untuk buat kulit Pak Samad Di Mata Kami." |
Jam 7.00 malam sudah berada di Komtar untuk menghadiri Sambutan Kelahiran Ulang Tahun Ke-70 Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh. Sampai awal. Mujur ada pameran tentang Prof. Muhammad di ruang legar Komtar yang disediakan oleh DBP.
|
Pameran 1. |
|
Pameran 2. |
|
Pameran 3. Mesin taip yang pernah digunakan Prof. Muhammad. |
Masuk kedai buku Popular, beli buku Catatan Latiff Mohidin. Rahimidin buat catatan di title page buku itu, "Di Tanjung Penaga kita menjadi Melayu yang lebih Melayu daripada sekalian Melayu yang ada."
Majlis untuk Prof. Muhammad dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dan juga sasterawan terkenal dari Indonesia, Goenawan Mohamad. Cumanya tidak banyak penulis yang kita kenal hadir majlis tersebut. Anjuran Penang Institute ... rasanya banyak orang Kerajaan yang datang.
Sempena ulang tahun kelahiran Prof. Muhammad, buku Sehelai Surat Saujana terbitan Gerak Budaya yang menghimpunkan beberapa puisi SN itu dilancarkan. Semasa majlis Ulang Tahun Kelahiran Ke-77 A. Samad Said, ITBM melancarkan tiga buku. Kata Rahimidin, "Semasa majlis yang lebih kurang sama untuk Goenawan Mohamad, 12 buku tentang beliau dilancarkan sekali gus."
|
Lim Guan Eng sedang berucap. |
Kami makan sedikit sahaja kerana awal-awal sudah pesan kepada Rahimidin, "Kita makan di Kapitan ya!"
|
Saya suka datang Pulau Pinang kerana ini! |
15 April 2012: Janji dengan Cikgu Shahnon jam 9.00 pagi. Kami tiba awal 15 minit. Tunggu di hadapan rumahnya untuk 10 minit sahaja. Kemudian baru menghubunginya dan pagar automatik pun terbuka.
"Cikgu tidak boleh bercakap lama kerana kurang sihat," kata Cikgu Shahnon membuka bicara. Sebaik sahaja dinyatakan tujuan dan hasrat kedatangan bagi mendapatkan manuskrip untuk diterbitkan melalui ITBM, semangatnya tiba-tiba berlainan pula. Dia bangun sendiri mengambil manuskrip itu. Kami kata, "Khabarnya Cikgu ada dua manuskrip yang belum terbit." Dia keluarkan tiga manuskrip belum terbit.
|
Nampak Cikgu keuzuran, tetapi terus bersemangat apabila bercakap tentang buku. |
Kemudian diberikan satu buku autobiografi yang diterbitkannya sendiri, "Yang ini kalau hangpa rasa sesuai terbit, terbitkanlah ya. Cuma Cikgu sedang kemas kini dan tulis balik. Kalau boleh, mahu dimasukkan gambar-gambar juga." Ditunjukkan semua gambar lama beliau.
"Cikgu sudah tarik balik buku daripada XXXXX, hangpa tengoklah kalau boleh terbit," sambil dikeluarkan semua buku itu daripada rak. Sambil bercakap, beliau menggunakan mesin bantuan pernafasan kerana penyakit lelah.
|
Sasterawan Negara dengan bakal Sasterawan Negara. Amin.... Siapa yang tahu... |
Hasilnya...
|
Insya-Allah Cikgu... akan kami terbitkan manuskrip ini. Kecuali Shit itulah. |
Sekejap sahaja kami menermui Cikgu Shahnon kerana memahami kesihatannya. Kemudian terus sahaja ke Balik Pulau menemui kawan-kawan Rahimidin. Ingatkan kawan-kawan biasa, rupanya yang seorang ini pensyarah seni - jumpa pula pelukis, Syafarel, di warung Mami Mamu.
Pergi ke rumah Syafarel, Rahimidin diberikan lukisan. "Kalau dijual, boleh mencecah ribuan harganya lukisannya ini," kata Rahimidin.
Dalam perjalanan pulang, di R&R Gunung Semanggol, Cikgu Shahnon menghubungi saya, "Anuar, Cikgu rasa manuskrip XxxXxx tak perlu terbitlah. Nanti jadi kontroversi pula." Erk....