Terdengar di radio petang semalam, "Hari raya ini paling suram kerana ibu ayah bergaduh pada pagi raya." Rupa-rupanya bergaduh hanya kerana lontong. Tidak sesuai!

Terbaca akhbar pula ada penulis yang menyatakan kesedihan kerana diceraikan suami pada pagi hari raya melalui telefon.

Saya sangat optimis semasa beraya di rumah saudara mara dengan perbualan yang positif. Ya seingat saya semua perbualan adalah positif. Yang jelik hanya apabila orang bertanya, "Bila dapat anak?" Tetapi saya dan isteri tidak sesekali pesimistik mahupun berasa pesimis dengan basa-basi yang menjelikkan itu.

Cuma sangat menjelikkan apabila orang beraya di rumah mentua saya (Subang Jaya), yang tidak lain tidak bukan berkisar tentang penyakit yang sedang dihadapi pak mentua saya. Yang menjelikkan apabila bercerita tentang akibat penyakit jantung, sehingga terbawa-bawa ke bab kematian.

Memanglah kita perlu senantiasa mengingati kematian, tetapi apakah perlu berborak tentang hal itu dengan pak mentua yang sedang menanti giliran menjalani pembedahan pintasan jantung? Bukankah lebih baik berbicara hal-hal yang mempositifkan minda.

Sekiranya perbualan semasa beraya itu baik, saya akan membincangkan isi perbualan tersebut bersama isteri semasa dalam perjalanan pulang.

Seronok mendengar apabila emak abah merancang mahu menunaikan umrah tahun hadapan, Acik Olah ditawarkan untuk naik pangkat walaupun dia menolaknya, Abang Fadil yang akan ditukarkan ke Putrajaya meminta nasihat isteri untuk menyaman pemaju yang gagal menyiapkan rumahnya di Sepang, kawan yang merancang melaksanakan projek itu dan ini, bos yang mengirimkan SMS ayat indah-indah sebelum mengingatkan untuk buka e-mel (agaknya bos beraya 1 Syawal sahaja), melihat Umi gembira dikunjungi "bakal suaminya", selain mendengar anak-anak buah yang kecil-kecil bercerita tentang duit raya.

Segalanya boleh menjadi lebih indah sekiranya kita sihat sejahtera mental dan fizikal. Cara pemakanan saya dan isteri sudah berubah bermula raya ini. Jika dulu memasak menggunakan minyak Cap Buruh, malam tadi kami beli minyak Sunflower. Kalau dulu beli apa-apa sahaja jenis beras, tetapi kini nasi yang dimakan daripada Herba Ponni (bukan beras perang yang mahal).

Insaf mendengar nasihat doktor semasa bercakap dengan pak mentua saya, "Sebenarnya semua penyakit ini bermula daripada pemakanan dan gaya hidup kita 20-30 tahun lalu."

* Tertarik dengan iklan kempen terkini jangan merokok, "Don't break my heart!"

Sebelum berkahwin dahulu, saya akan beraya bersama-sama keluarga di rumah nenek di Kota Tinggi.

Biasanya sehari sebelum 1 Syawal, saya akan menolong emak, abah, makcik, dan pakcik di rumah nenek memasak segala juadah itu dan ini.

Namun sesudah berkahwin, maka perlu dibahagikan secara adil giliran rumah untuk berhari raya. Cara giliran kami agak berlainan sedikit, iaitu malam dan pagi raya pertama akan diraikan di rumah isteri, di Subang Jaya. Manakala dalam waktu Zuhur kami akan bertolak ke rumah saya di Kota Tinggi sehinggalah raya keempat.

Agak adil juga kerana kami tinggal di KL. Selepas empat atau lima hari di Kota Tinggi, tiada masalah kalau beraya lama-lama di KL.

Di KL, sehari sebelum raya tidaklah sama keadaannya seperti di kampung. Sebagaimana tahun lalu, saya berada di Jalan TAR pada sehari sebelum raya. Cerita menarik selanjutnya di blog Isteri.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon keampunan sekiranya ada mengkritik secara tidak langsung kepada mana-mana pihak melalui laman ini.

Kalau mengikut perancangan sejak 18 Mac 2009 (Matta Fair di PWTC), pak mentua dan mak mentua saya akan berangkat ke London esok, 19 September 2009 untuk mengambil adik ipar yang tamat pengajian sarjana - sambil melancong seluruh Eropah.

Lazimnya sejak tahun lalu, saya dan isteri akan meraikan Aidilfitri di rumahnya, Subang Jaya, terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah saya, Kota Tinggi, sesudah menjamah juadah dan bermaaf-maafan dengan keluarga mentua. Niat "jahat" hati saya, kalau mentua saya ke luar negara, maka dapatlah saya beraya lama-lama di rumah mak abah! :)

Allah Maha Kuasa... Pak mentua saya mengalami serangan jantung pada 1 Ramadan 1430H. Sah beberapa arteri jantungnya mengalami blockage (tersumbat). Seminggu lamanya sejak puasa hari pertama kami sekeluarga iftar di PPUM. Kini alhamdulillah pak mentua dibenarkan keluar wad selepas doktor mengesahkan beliau dalam keadaan stabil.

Wad Coronary Care Unit (CCU), PPUM.

1 Oktober 2009 ini beliau akan dimasukkan ke wad semula untuk pemerhatian rapi sebelum menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass) pada 8 Oktober 2009.

Pada masa kini, beliau terpaksa bergantung pada ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor. Makanannya pula semuanya "kosong"; tanpa garam, tanpa gula, tanpa lemak, dan nasinya daripada beras coklat.

Disebabkan itulah, mentua saya membatalkan hasrat untuk ke London. Cadangnya kalau orang tanya, "Balik kampung mana pada tahun ini?" Jawapan gurauan mentua, "Balik London!" Malah disebabkan keadaan ini jugalah adik ipar saya segera pulang sejurus tamat peperiksaan di University of Liverpool.

Maka giliran raya pada tahun ini kembali seperti yang dipersetujui antara saya dan isteri semasa sebelum bernikah, iaitu malam sebelum raya dan pagi raya di rumahnya, petang raya sehingga raya keempat atau kelima di rumah saya, Kota Tinggi.

Raya tahun ini ada bermacam cerita:
  • Saya sudah ada anak buah, Adam. Mungkin tahun hadapan saya sudah mempunyai anak sendiri. Mohon doa sahabat sekalian.
  • Hari raya di rumah mentua disambut dengan cara sederhana; bagi menghormati dan mengurangkan tekanan kepada pak mentua.
  • Saya tidak ada baju raya. Sekadar memakai baju nikah dan baju bersanding kahwin tahun lalu. Untuk berjimat, tetapi hakikatnya tidak mahu membazir kerana kini saya jarang sangat memakai baju Melayu.
  • Paling menyeronokkan, adik ipar saya membelikan kasut Clarks yang bernilai 29 paun (RM150) di London. Di Malaysia, harganya lebih RM350. Namun tidak bermakna saya mengabaikan hadiah hari jadi kasut Polo daripada isteri.
Syukran Umi:)

  • Cuma dapat membeli satu jenis kuih raya. Ada kuih raya yang ditempah, tetapi tidak disiapkan daripada rakan sepejabat sebelum raya.
  • Di rumah sudah tersedia ada sofa dan segala isi kelengkapan. Ingat lagi seorang senior UIA datang beraya tahun lalu, "Eh tak ada sofakah?" Huh!

Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh (Pengerusi ITNM) dan Encik Mohd Khair Ngadiron (Pengarah Urusan ITNM) bermurah hati memberikan duit raya dan dodol kepada semua staf ITNM.

Duit raya ini tidaklah sebanyak RM350 yang diberikan oleh kerajaan kepada semua peneroka Felda hasil daripada kerja keras mengait sawit dan menoreh getah.

Walau bagaimanapun, alhamdulillah berkat kerja keras dan sinergi baik dengan semua pihak, hasil daripada perkhidmatan terjemahan dokumen, penjualan buku terjemahan, khidmat kejurubahasaan dan penjualan hak cipta yang diusahakan oleh staf ITNM telah membolehkan pihak pengurusan ITNM memutuskan untuk memberikan bonus dua bulan kepada semua staf. Tambahan satu bulan bonus kepada staf yang cemerlang.

Keadaan positif ini membuktikan bahawa bidang penterjemahan dan penerbitan buku tetap "kalis gawat" walaupun ekonomi dunia masih lagi belum pulih seperti sediakala.

Seminggu lagi umat Islam akan merayakan Aidilfitri.

Sejak tiga minggu lalu, banyak pengusaha barangan sudah bertungkus lumus menyiapkan segala barangan untuk dijual sempena raya.

Si tukang kayu akan merealisasikan segala rekaan terbaharu sofa dan meja makan. Si tukang jahit baju atau langsir sudah mula menyasarkan untuk menyiapkan sekurang-kurang tempahan tiga pasang baju dalam masa sehari. Si pembuat kuih sudah pun mengisi semua kuih yang telah dibakar ke dalam balang untuk dijual di merata tempat.

Begitu jugalah kilang cat yang awal-awal lagi telah menguar-uarkan cat keluaran terkini di TV (menaja ramalan kaji cuaca) mahupun di akhbar. Si Bangla penjual permaidani pun tidak kurang hebatnya melabur beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan slot iklan di TV. Jual karpet pun boleh iklan di TV. Hebat sungguh!

Rasanya hasil pendapatan peniaga sempena musim raya boleh menjadikan mereka "berehat" lima bulan lamanya. Kalau ditanya peniaga di Tanah Suci, hasil jualan semasa musim haji sahaja boleh menyebabkan mereka "hidup" untuk setahun lamanya.

Begitu jugalah dengan penerbit buku (industri buku?). Pada setiap tahun hanya ada satu musim sahaja yang akan ditunggu-tunggu oleh penerbit buku, iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Biasanya berlangsung pada April pada setiap tahun. Pada 2010, ia akan diadakan pada 19-28 Mac 2010. 19 Mac hari lahir saya:)

Biasanya dua atau tiga bulan sebelum pesta itu, semua penerbit telah menghantar semua buku terbitan terkini ke kilang cetak untuk diterbitkan sebelum PBAKL. Bukan satu dua penerbit sahaja, tetapi semua penerbit tidak kira penerbit buku politik, bahan picisan, yang akademik mahupun yang berbentuk popular sangat sibuk pada tempoh itu.

Memang pada masa itu semua penerbit meraih untung yang berlipat kali ganda sehinggakan ada yang memberikan bonus dan kenaikan gaji kepada staf. Keuntungan ini bukan sahaja kepada penerbit, tetapi turut melibatkan semua yang terlibat; kilang cetak, syarikat pengiklanan, penjual makanan, dan lain-lain.

PWTC dan jalan sekitarnya sibuk sesak selama 10 hari. Saya pun pernah menaiki LRT untuk ke sana kerana tidak sanggup menempuh kesesakan lalu lintas.

Inilah musim raya bagi penerbit buku Malaysia.

Namun lain pula dengan musim raya bagi penerbit dunia. Pesta Buku Frankfurt (PBF) dianggap sebagai medan dagangan buku yang memberikan keuntungan sepanjang tahun. Tahun ini diadakan pada 14-18 Oktober 2009, menyaksikan China sebagai Guest of Honour. Khabarnya Melaka akan menjadi Guest of Honour di PBAKL.

PBF menjana keuntungan sepanjang tahun kepada penerbit kerana setiap hak cipta atau hak penerbitan yang dijual sebenarnya memberikan pulangan yang panjang hayatnya. Contohnya, sekiranya karya The Prau With the Silent Soul (Faisal Tehrani) dijual kepada penerbit Itali, berkemungkinan besar ia akan menarik perhatian penerbit Sepanyol pula, kemudian Jepun, Korea, dan lain-lain.

Itulah bezanya antara raya di PBAKL dan PBF.

Ada orang mempertikaikan mengapa perlu digunakan perkataan "solat" bagi menggantikan penggunaan perkataan "sembahyang"? Malah ada juga yang menyatakan tidak ada bezanya antara perkataan "Tuhan" atau "God" dengan perkataan "Allah". Alasannya, tuhan atau god itu sekiranya disebutkan oleh umat Islam tetap merujuk kepada Allah. Betulkah?

Begitu jugalah bebelan orang, "Mengapa perlu menggunakan bahasa Arab seperti madrasah, ustaz, syariah, ulama, kitab dan lain-lain? Sedangkan bahasa Melayu sudah ada terjemahannya yang tepat."

Memang betul. Namun setiap bahasa yang berkaitan dengan Islam perlu dalam bahasa Arab. Sama ada mahu ataupun tidak, sekiranya kita membicarakan tentang Islam, dari segi ibadat mahupun tauhid, maka rujukan utamanya adalah Quran yang berbahasa Arab.

Solat: merujuk kepada ibadat yang dimulakan dengan niat dan takbiratul ihram, dan diakhiri dengan salam.

Sembahyang: Semua penganut agama bersembahyang, tetapi hanya umat Islam yang bersolat. Malah ada pendapat yang menyatakan perkataan sembahyang diambil daripada bahasa Sankrit. "Sembah": perbuatan menghormati atau memuja. "Yang": dewa. Maka sembahyang: menghormati/memuja dewa.

Maka rasanya tidak perlu lagi diperdebatkan mengapa perlu menggunakan bahasa Arab sekiranya merujuk kepada Islam.

MPH menerbitkan majalah MPH Quill keluaran khas ini sempena Ubud Writers & Readers Festival 2009 di Bali, Indonesia.

Festival ini dianjurkan sebagai reaksi kepada pengeboman Bali pada 2002. Apa kaitannya antara peristiwa berdarah itu dengan festival penulisan dan pembaca?

Natijahnya, selepas festival ini diadakan pada 2004, ia berjaya membantu meningkatkan ekonomi Bali. Yang paling penting, festival ini menjadi perhimpunan kesusasteraan yang paling besar dan berprestij di Asia Tenggara, malah di dunia pun.

Naskhah MPH Quill keluaran khas ini diterbitkan dengan kerjasama ITNM. Ia boleh secara percuma di kedai buku MPH terpilih (Mid Valley, 1 Utama, Subang Parade, KLIA) dan sudah tentu di festival tersebut pada 7-11 Oktober 2009.

Semakin cantik pula kulit hadapan Dewan Kosmik ini. Ada bentuk ala-ala seperti majalah Time pula. Ini merupakan perubahan baik bagi mengenyahkan persepsi orang yang menyatakan majalah DBP "membosankan".

Cuma dari segi mutu cetakan, jualan, dan pemasaran masih lagi belum berubah. Sangat susah mahu mendapatkan majalah DBP di kedai majalah. Majalah Seni Bela Diri pun melambak dijual di kedai mamak.

Dalam keluaran ini, saya cuma sempat menulis ulasan buku. Mengulas buku Wacana Sejarah dan Falsafah Sains yang diselenggarakan oleh Prof. Yusof Othman. Saya mengesyorkan bagi mereka yang terlibat dalam bidang sains dan amat berminat mendalami ilmu Islam untuk membaca buku ini kerana ia diibaratkan seperti rujukan utama untuk bidang sains Islam.

Artikel blog ini merupakan yang ke-401 sejak berblog pada tahun 2007.

Semasa membelek majalah Solusi di Jusco Cheras Selatan semalam, rata-rata penulis majalah itu adalah pemblog (blogger). Antaranya Ustaz Zaharuddin, Irfan Khairi, Ustaz Hasrizal, dan Fazli Yusof. Mereka diberikan kolum dalam majalah atas lentokan hebat menaip kekunci komputer.

Namun saya tidaklah sampai ke tahap sedemikian. Malah apa yang saya tulis tidaklah hebat seperti blog sahabat saya, Azli yang kerap keluar dalam Utusan Malaysia dan Sinar Harian. Malah kerana "kehebatan" blognya itulah dia dibuang kerja. Percaya tak? Haha.

Tapi saya tidak mahu dibuang kerja oleh kerana blog. Maka saya terpaksalah tidak mengkritik atau mencadangkan yang bukan-bukan berkenaan tempat kerja di dalam blog ini. Walaupun hakikatnya dalam buku Shaharom TM Sulaiman, Buku Kekasih menyatakan menulis merupakan terapi yang boleh merawat pelbagai penyakit, seperti semput.

Namun yang saya tidak mengerti sekiranya ada orang mengata kita selalu berblog, sama ada membaca blog orang lain, ataupun mengemas kini blog sendiri. Malah menggunakan Facebook pun ada pihak yang tidak dapat menerimanya. Mujurlah pejabat saya ini belum lagi "mengharamkan" penggunaan semua aplikasi "berjiwa muda" ini walaupun kerajaan sudah mengeluarkan arahan untuk tidak menyalahgunakan harta kerajaan untuk urusan peribadi.

Sangatlah cemburu dengan situasi dan kondisi bekerja Google. Lihatlah cara bekerja mereka di sini yang sangat kondusif untuk menjana idea baharu untuk pembangunan kelangsungan syarikat. Saya pernah menulis hal ini dalam Dewan Ekonomi yang menceritakan cara korporat muda bekerja sehingga boleh menyaingi korporat yang sudah mapan.

Saya pernah bertanya kepada bos PTS, Arief, tentang perancangannya menghadapi masa hadapan di mana semua staf sudah berusia. Beliau juga gusar dengan kenyataan itu. Yang boleh dilakukannya adalah dengan tidak melarang sebarang perubahan yang kini dilakukan oleh staf PTS, walaupun ada antaranya memberikan impak negatif kepada syarikatnya.

Saya ingat lagi semasa minggu pertama di PTS dahulu, beliau bertanya, "Apa blog kau? Kalau tak ada pergi buat blog sendiri."

Saya terkejut! Serius sangat gembira!

Saya pernah bercerita di artikel ini dan ini tentang Google Translate yang tidak menawarkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang boleh diterjemahkan.

Namun kini tidak lagi, kerana Google sudah menawarkan Malay (bahasa Melayu) untuk diterjemahkan.
Maka kini bolehlah dimanfaatkan sepenuhnya penterjemahan dengan Google Translate dan Google Translator Kit.