Disebabkan kedudukan rumah berdekatan dengan Jusco Cheras Selatan, selalulah bersama-sama Isteri "lepak" di situ. Ada satu kedai menjual teh Cina di situ. Sekiranya ada pelanggan, mesti ada pelayan duduk bersama-sama menjamu pelanggan itu minum. Siap dituangkan teh.

Yang menarik perhatian saya, biasanya pelayan itu akan menuang air panas di sekeliling cawan sebelum menuangkan air teh ke dalam cawan. Cara ini adalah tradisi yang biasa diamalkan oleh penggemar teh supaya cawan itu kekal dalam keadaan panas bagi memastikan rendaman teh sebati dengan air.

Saya agak meragui ritual ini. Bagi saya, sekiranya mahu mengekalkan kepanasan cawan untuk merendamkan teh, lebih baik direndamkan di dalam termos yang dapat mengekalkan haba air.

Saya mengesyaki ritual itu dilakukan untuk membuang kotoran-kotoran yang melekat pada cawan. Mungkin ada serbuk teh yang masih belum tanggal lagi pada cawan itu. Entahlah.

Bulan ini, genap 10 tahun Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berada di orbit angkasa. ISS adalah salah satu inovasi manusia yang paling hebat pernah dihasilkan. Walaupun sudah berusia 10 tahun, ISS masih kekal relevan dan masih lagi dalam proses pembinaan sepenuhnya sehingga 2011.
Maklumat berkenaan ISS. Sila klik Wikipedia.

Untuk gambar-gambar menarik di ISS, sila klik Boston. Teruja pula melihat gambar-gambar itu. Pernahlah melihat semua keadaan itu di Petrosains, tetapi manalah sama.









Berwarna hijau, majalah Dewan Kosmik keluaran November 2008. Manakala berwarna biru, majalah Fortune keluaran 3 November 2008.

Adakah keadaan ini berlaku secara kebetulan ataupun idea pereka bentuk Dewan Kosmik sudah setaraf dengan pereka bentuk antarabangsa?

Ada pakar bedah saraf British menjalankan penyelidikan berkenaan bahaya telefon bimbit Beliau menyatakan telefon bimbit lebih banyak membunuh manusia berbanding dengan tabiat menghisap rokok. Kedua-dua keadaan ini mengakibatkan kanser.

Itu semua orang tahu.

Pakar itu telah menjalankan 100 uji kaji berkenaan keadaan ini. Beliau mengesahkan penggunaan telefon bimbit yang lebih 10 tahun berisiko dua kali ganda untuk menghidap barah otak.

Ini ada orang tahu.

Ditambah lagi dengan statistik menyatakan hampir tiga bilion penduduk dunia menggunakan telefon bimbit, yang melebihi tiga kali ganda jumlah perokok di seluruh dunia.

Ini tidak banyak orang tahu.

Semua ini disebabkan radiasi.

Adakah kita tidak tahu?

Saya ada dua telefon bimbit.

Semasa makan tengah hari tadi, terpandang rokok 20 batang berharga RM7.

Semalam, Isteri cuti sakit kecemasan kerana menjalani "pembedahan" gigi disebabkan selalu mengadu sakit gigi. Bagi saya, sakit gigi tidak boleh dipandang remeh. Rasanya semua orang pernah mengalami keadaan rasanya ngeri sakit gigi.

Ada kajian pula menyatakan pelbagai penyakit kronik seperti penyakit mata, strok, jantung, diabetes, dan kelahiran pramatang kepada ibu hamil berpunca daripada sakit gigi.

Sebaik sahaja mesyuarat ditangguhkan, saya terus menghubungi Isteri. Katanya dengan nada yang tidak jelas, "Muka saya bengkak dan tidak ada selera makan kerana sakit sangat." Terus saya mengisi borang cuti walaupun sudah berada di pejabat sehingga pukul 11 pagi.

Banyak penyakit sebenarnya berasal dari mulut dan gigi. Menjaga kesihatan mulut/gigi bermaksud menjaga kesihatan seluruh badan. Ini kerana dari situlah pintu segala benda asing masuk ke dalam tubuh badan. Namun sakit gigi isteri kerana ada tumbuh gigi yang bertindan dengan gigi yang sedia ada.

Tiba di rumah, memang muka Isteri kelihatan sedikit lebam. Kebetulan tiba di rumah dalam masa makan tengah hari. Isteri ada membeli McD (rumah berhadapan McD), tetapi dia tiada selera makan pula. Semasa saya menghabiskan makanan yang tidak dimakannya itu, teringat satu trivia...

Satu-satunya negara di dunia yang tidak menjual daging lembu di restoran McDonalds ialah India. Sebabnya semua orang tahu, kerana lembu bagi penganut Hindu diibaratkan sebagai binatang suci/dewa. Jadi McD di India hanya menjual daging ayam, kambing dan ikan.

Arak di negara Islam? Bukan sahaja gigi rosak, otak pun rosak teruk.

Minggu lepas, saya jenuh menyelongkar bilik mencari buku Abdullah Ahmad, Pandangan dari Tudor City, New York untuk refresh semula skil penulisan. Saya suka penulisan Abdullah Ahmad kerana banyak fakta, maklumat, kupasan yang kritis dan cadangan idea yang bernas. Mungkin ketajaman penulisannya itulah menyebabkan beliau "dipecat".

Saya belum siap lagi mengemas bilik ketiga itu. Baru sahaja siap mengecat dengan warna jingga (oren). Kata Dr. Fadzilah Kamsah, warna jingga di bilik belajar terbukti menyebabkan anaknya tekun belajar lama-lama di dalam bilik. Patutlah saya dan Tunang (kini Isteri) seronok sangat berkursus nikah di Masjid Shah Alam kerana bilik kuliah itupun berwarna jingga.

Cadangnya mahu menjadikan bilik ketiga itu sebagai bilik bacaan/tempat menulis. Yang sudah tersedia ada cuma meja menulis dan rak buku kecil. Rak buku lama sudah reput, maka disimpan sahaja di dalam stor. Cadangnya mahu membeli rak buku Ikea pada akhir bulan ini, semasa gaji masuk ataupun dapat bonus. Ahaks! Disebabkan itulah buku-buku disusun bertingkat-tingkat.

Masuk ke bilik itu memang ada zouk (bukan kelab di sebelah KLCC, tetapi ia perkataan bahasa Arab yang bermaksud perasaan seronok). Kalau saya di dalam bilik itu, memang Isteri tidak akan mengganggu. Paling menyeronokkan ialah suasana aroma bau buku!

Kajian membuktikan 43 peratus pelajar universiti menggemari sesebuah buku disebabkan bau yang ada pada buku itu. Sekiranya benar fakta ini, bagaimana sekiranya suatu hari nanti semua buku sudah berubah menjadi bentuk e-buku (e-book)?

Mungkin terpengaruh dengan statistik ini, CaféScribe yang merupakan salah sebuah laman yang menawarkan perkhidmatan e-buku mencipta e-buku yang mempunyai bau buku. Caranya, setiap e-buku yang dimuat turun, pelanggan itu akan dikirimkan pelekat untuk dilekatkan di laptop yang mengandungi bau 'buku lama". Mungkin kaedah ini dapat mempengaruhi psikologi pembaca buku.

Kalau saya datang Borders Times Square, asyik terbau kopi pula.

Dipetik dari www.saharil.com

Maaflah sekiranya agak SX. Maklumat untuk dikongsi. Baguslah sekiranya menjadi ilmu.

Saya tidak tahu apa-apa yang orang lain alami, tetapi saya sendiri banyak mendapat e-mel "sampah" atau spam (biasanya melalui akaun Yahoo!). Bukan itu sahaja. Dalam majalah, akhbar, dan pelekat yang mengotorkan dinding pun banyak mengiklankan berkenaan pemanjangan zakar!

Namun saya tahu itu semua gimik untuk memperoleh wang dalam masa yang singkat. Bayangkanlah dengan tagline, "PANJANGKAN ZAKAR ANDA!" mata siapalah tidak tertancap dengan iklan itu. Caj yang dikenakan biasanya RM100 ke atas.

Mudahnya mendapat wang! Sekiranya rawatan atau pil pemanjangan zakar tidak berkesan, sudah tentu tidak ada lelaki yang berani tampil membuat aduan tribunal ataupun polis. Untung si penjual ubat zakar!
saharil.com punya lagi.

Banyak orang menyatakan sekiranya zakar suami panjang, ia boleh membahagiakan isteri seterusnya membahagiakan kehidupan rumah tangga. Agaknyalah, tetapi ini bukan fakta. Banyak lagi faktor yang boleh membahagiakan rumah tangga.

Sebenarnya banyak lelaki yang tidak memahami saiz normal zakar. Pertama yang perlu difahami, saiz zakar semasa tidak tegang jauh berbeza dengan semasa tegang. Ada lelaki yang mempunyai zakar kecil semasa tidak tegang yang boleh mengembang besar semasa tegang. Namun ada juga yang tidak sebesar mana semasa tegang. Saiz normal zakar biasa semasa tegang antara 4-6 inci sahaja.
Saharil ini penulis ruangan Sains dan Kehidupan dalam Dewan Kosmik.

Penerangan secara mudah... Zakar yang diwujudkan untuk lelaki direka bentuk secara genetik. Maksudnya, ia terbentuk melalui DNA yang kita dapat daripada ibu bapa. Keadaan ini samalah penerangan sekiranya mata anak sama dengan ibu ataupun hidung bapa sama dengan anak.

Sekiranya zakar sama keadaan dengan hidung, maka mustahillah sekiranya mahu mengubah panjang zakar dengan pil, krim ataupun mesin vakum. Hidung boleh diubah dengan melalui pembedahan yang sudah tentu haram hukumnya. Namun sekiranya mahu dibedah zakar yang elastik itu, saya tidak fikir itu idea yang bijak.

Daripada menghabiskan duit semata-mata mahu mencari "kebahagian" yang tidak pasti itu, lebih baik mengamalkan cara Nabi membahagiakan isteri-isterinya. Mudah sahaja.
Saharil orang Johor!

Waktu kerja saya bermula pukul 8.00 pagi, tetapi setiap hari saya akan tiba di pejabat dalam lingkungan pukul 7.30 pagi. Saya melakukan sedemikian kerana mahu bersarapan pagi dengan Azli, Rafiq, Zaidel, Abang Mohyidin, dan Abang Shahrul yang akan pergi bersarapan pada waktu itu. Nasi lemak menjadi hidangan tetap. Itu semangat saya datang kerja awal! haha.

Semasa makan, adalah beberapa adat atau tata cara makan menurut Islam yang kami lakukan, iaitu makan dalam keadaan duduk, menggunakan tangan kanan, dan membaca doa sebelum makan (walaupun membaca sendiri-sendiri).
Emak dan Abah

Rasanya semua umat Melayu juga melakukan semua itu walaupun banyak juga yang makan berdiri.

Cuma teringat pula budaya makan semasa di PKPIM UIA dahulu. Kami akan bersama-sama makan bersila dengan satu talam (dulang), makan dengan menggunakan tangan, menjilat jari, dan membaca doa selepas makan.
Nur dan saudara mara.

Semua amalan ini menjadi sunah cara makan Nabi. Banyak hikmahnya dari sudut agama dan sains:
  • Makan dalam keadaan duduk bersila: Bahagian bawah perut akan mengecut dan perkembangannya terhad. Dengan sedikit makanan, sudah terasa kenyang. Sekiranya makan berdiri ataupun duduk di atas kerusi, perut boleh menerima makanan tanpa kawalan yang diibaratkan seperti belon yang tiada cengkaman, boleh diisi angin sehingga meletup akhirnya.
  • Membaca doa sebelum makan: Maksud doa yang selalu kita baca, "Ya Allah berkatilah kami dengan apa-apa jua yang Engkau kurniakan dan selamatkanlah kami daripada seksaan neraka." Semua mengetahui bahawa makanan adalah punca segala penyakit. Sebagai insan yang lemah yang tidak mampu mengawal segala kemudaratan, mudah-mudahan dengan berdoa, Allah akan melindungi kita daripada segala penyakit. Dengan bacaan bismilah juga dapat mengingatkan kita kepada Allah.
  • Makan secara berjemaah: Makan dengan cara ini mewujudkan perhubungan yang baik. Saya paling suka berborak semasa makan (bukan semasa makanan di dalam mulut).
  • Mulakan makan dengan manisan sekiranya perut kosong: Ini kerana perut yang kosong akan menghasilkan sejenis asid yang membahayakan perut. Hanya makanan manis yang berupaya menghilangkan asid itu. Itulah sebabnya Nabi menggalakkan umat-Nya makan buah kurma semasa berbuka puasa.
  • Makan dengan menggunakan tangan: Ini sunah Nabi yang jarang kita lakukan. Sedangkan tangan adalah alat terbaik untuk mengambil dan menyuap makanan ke dalam mulut. Sekiranya ada makanan yang membahayakan seperti duri, tulang, atau panas, tanganlah yang dapat mengesannya dahulu.
  • Menjilat jari: Slogan KFC, "Finger Lickin' good" atau orang Cina dengan adat, "eat your finger off" sudah nampak kelebihan menjilat jari. Padahal Nabi sudah lama menganjurkan kaedah ini. Ini kerana saintis mendapati enzim banyak terkandung di celah-celah jari, iaitu 10 kali ganda daripada yang terdapat dalam air liur. Enzim ialah pencerna makanan. Tanpa enzim, makanan tidak boleh hadam. Itulah berkatnya.
  • Membaca doa selepas makan: Maksud doa itu, "Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam." Segala kebaikan dan keburukan daripada Allah. Tiada sesiapa yang mampu menghalangnya. Semoga dengan membaca doa ini, Allah berkati rezeki kita.
Banyak orang tidak tahu pengertian BERKAT.
  • Berkat rezeki: Rezeki semakin banyak.
  • Berkat kehidupan: Memperoleh kesihatan yang baik dan kehidupan yang tenang.

Baru tadi membentangkan perancangan Dewan Kosmik (DK) untuk keluaran 2009. Alhamdulillah daripada 12 cadangan yang diberikan, sembilan diterima tanpa sebarang perubahan, satu ditolak, dan dua diubah konsep.

DK 2009 lebih menyentuh kepada isu-isu polemik dan mendekati masyarakat. Agak ralatlah juga apabila isu yang saya rasakan boleh punch terpaksa ditolak, iaitu isu "Apabila Sains Menjadi Agama". Tidak kisahlah dihebahkan isu yang tidak jadi ini. Kalau ada mana-mana pihak penerbit majalah lain berminat dengan isu ini, amatlah dipersilakan.

"Sains menjadi agama" dikenal sebagai Scientology. Saya memperoleh idea ini semasa mengetahui pegangan agama Tom Cruise. Secara ringkas, scientology merupakan agama yang bona fide. Namun ada juga yang menyatakan scientology adalah agama pseudo atau ajaran sesat.
Lambang Scientology

Scientology mungkin tidak jauh bezanya dengan agama "Maradona Hand of God" ataupun Jedi yang terkenal dalam Star Wars.

Walau bagaimanapun, isu ini digantikan dengan isu yang lebih hebat juga. Nantikan isu terbaharu ini nanti. Semasa bos dan Azli mencadangkan isu ini, saya terus sahut, "Saya suka isu ini!"

Terima kasih kepada Tuan Faizal, Puan Mamida, Dato' Adil, Cik Siti, Nik Khartina dan rakan-rakan sepejabat kerana memberikan idea untuk pembaikan DK tahun hadapan.

Jumaat lalu, terbacalah berita berkenaan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar menerima RM 1.2 juta hasil daripada ceramah dan syarahan beliau. Malam itu, semasa Majlis Anugerah Citra Wangsa (saya main gamelan), saya pelik kerana Aznil yang sepatutnya menerima hadiah Galakan Keterampilan Berbahasa (Televisyen), tidak pula hadir.

Patutlah... Pada masa yang sama beliau turut menerima hadiah di Anugerah Skrin TV3. Eh! Dr. SMS pun menyampaikan hadiah juga pada Anugerah Skrin itu.

Seminggu sebelum hangat isu Dr. SMS menerima bayaran sebanyak itu, di Berita Harian terpapar judul "Ucapan 90 minit Blair RM1.09j".

Pendapatan Blair selepas meninggalkan Downing Street mencecah RM84 juta, sebahagiannya daripada jemputan berceramah. Kata pegawai perhubungan awamnya (PA), “Beliau antara bintang terkemuka di dunia. Siapa lagi yang ada?”

Samalah dengan Dr. SMS, "Siapa lagi angkasawan negara yang ada selain beliau?" Ironinya, kalau menjemput artis untuk menyanyikan sekadar sebuah lagu yang sudah berpuluh kali nyanyi pun paling kurang RM1000 (ada lagikah?).

Jadi apa masalahnya?

Hasil penulisan pertama dalam hidup ini.

Saya mula menulis artikel ilmiah semasa tahun pertama di UIA. Itupun selepas digesa oleh Jaafar Abdul Rahim, yang saya rasakan beliau antara pencandu buku paling tegar di Malaysia. Memang sejak bergaul dengannya (yang lebih gemar menggelarkan dirinya "Abang Jaafar"), saya terasa seperti seorang "intelektual". Banyak ilmu baharu yang diperoleh, buku-buku baharu memang selalu menjadi sebutan di bibir, cara berfikir pun ada kelainan. Orang lain yang berkata sedemikian.

Artikel pertama saya diterbitkan oleh majalah Minda (sudah berkubur oleh Karangkraf). Sebelum itu pesan Abang Jaafar, "Jangan kau kecewa kalau artikel tidak diterbitkan pada percubaan kali pertama." Namun alhamdulillah artikel pertama yang saya tulis selama tiga hari berjaya diterbitkan. Ingat lagi kata wartawan Minda melalui telefon pada masa itu, Izranuddin Jelani, "Wah! Baru tahun pertama sudah pandai menulis."
Kulit Minda yang menerbitkan artikel pertama saya pada Disember 2002.

Bermula saat itu, Abang Izra menawarkan saya menulis setiap bulan untuk Minda. Mula-mula satu artikel untuk satu keluaran, sebelum dua artikel pada setiap bulan. Dapatlah RM300 bagi dua artikel. Kemudian beliau jugalah yang mencadangkan artikel saya diterbitkan dalam Dewan Masyarakat. Dalam kesibukan dengan belajar, main gamelan dan datang usrah PKPIM, sempatlah juga artikel diterbitkan dalam Utusan Malaysia, Dewan Budaya, Tunas Cipta dan beberapa majalah lain. Ralat sungguh tidak sempat mengirimkan artikel ke Massa.
Artikel yang disiarkan di Dewan Masyarakat, "Mengapakah Perlu Menjejakinya?"

Minat mendalam dalam bidang penulisan/ilmiah/buku menyebabkan saya memohon kerja dalam bidang penerbitan juga. Tawaran KPLI J-Qaf di Johor terpaksa ditolak. Minta maaf emak abah kerana tidak dapat menunaikan impian emak abah untuk menjadi ustaz.

Sempatlah sebulan menganggur selepas tamat pengajian, itupun sebab sebulan musim raya. Kemudian bekerja seminggu di Saba Islamic Media sebagai penjual buku sebelum Abang Nazrul (PTS Publications) menawarkan jawatan editor perolehan buku bisnes dan pengurusan di syarikat penerbitan swasta Melayu paling progresif itu.

Setahun di PTS, saya berhijrah ke DBP atas sebab pengaruh kewangan. Ditawarkan pula sebagai Pegawai Perancang Bahasa dengan skop tugas editor majalah Dewan Kosmik. Bidang sains pula.

Namun saya tidak pernah menulis karya kreatif sama ada cerpen ataupun puisi. Minat membaca genre itu ada, tetapi tidak pernah cuba untuk menulis bidang itu. Entah apa pula sebabnya nama saya "naik" untuk menyertai Bengkel Penulisan Karyawan DBP pada minggu hadapan yang bertujuan untuk membina kemahiran dan keterampilan karyawan DBP dalam penulisan kreatif. Mungkin ada hikmahnya.

Dalam surat yang dikirimkan, ada dinyatakan supaya peserta membawa hasil karya (puisi atau cerpen) masing-masing untuk dibincangkan bersama-sama penceramah semasa sesi bedah karya. Erk! Dalam "kepala" ada rancangan untuk tidak datang kerana kesuntukan masa untuk menyiapkan perancangan majalah 2009.

Bangun sahaja pagi, Isteri terus mengeluh, "Kepala saya peninglah!" Secara automatiklah saya terus mengemas cadar katil. Saya memahami punca keadaannya sedemikian.

Sebelum tidur dia kata dengan nada risau, "Esok saya ada mesyuarat dari pagi sehingga ke petang, mesyuarat dengan bos-bos."

Sebelum itu, saya pun berkata sedemikian pada malam Ahad, "Saya tertekanlah mesyuarat tiga hari berturut-turut."

Blog ini jarang dikemas kini kerana saya ada banyak tugasan. Mesyuarat tiga hari, kemudian berkursus tiga hari.