Cuti pada hari ini kerana tidak mahu komitmen tugas terjejas kerana kurang cergas.

Selepas waktu Maghrib, menonton filem National Treasure: Book of Secrets. Tidak mengecewakan lagi kerana ada plot cerita yang tidak perlu dipertikaikan seperti filem Anak Halal. Saya masih tercari-cari naskhah fiksyen sains yang seperti National Treasure untuk diterbitkan di dalam Dewan Kosmik. Menggunakan sejarah, tulisan kuno, imaginasi dan strategi bagi membongkar rahsia simpanan kota emas.

Kemudian saya membeli DVD cetak rompak filem The Great Debaters. Saya membeli cetak rompak bukan kerana menyokong industri ini. Tetapi filem ini tidak ditayangkan di mana-mana pawagam di Malaysia. Hendak memuat turun dari internet sudah tentu memakan masa yang lama.

Filem yang berdasarkan pada kisah sebenar arahan dan lakonan Denzel Washington ini sebenarnya bertujuan mengangkat martabat bangsa Negro di Amerika Syarikat. Tidak ada rasanya filem Melayu mengangkat orang Melayu sendiri. Kebanyakannya bertujuan mahu mempromosikan politik Melayu.

Berlatarbelakangkan tahun 1930-an, Denzel Washington adalah pensyarah di Kolej Wiley, kolej Amerika-Afrika yang mahu meletakkan orang kulit hitam setaraf dengan orang kulit putih melalui pertandingan debat. Beliau beria-ia melatih empat orang penuntut kolej supaya menjadi pendebat terhebat. Bermula dengan pertandingan debat antara kolej-kolej biasa, pendebat Kolej Wiley mula membuka mata orang luar kerana kerap menjuarai pertandingan debat. Akhirnya mereka mendapat jemputan pertandingan debat daripada Universiti Harvard. Sebuah universiti tersohor bertanding kehebatan debat dengan sebuah kolej kerdil. Walau bagaimanapun, Kolej Wiley berjaya menjuarai pertandingan itu. Kesannya, orang kulit hitam mula diterima masuk ke universiti-universiti yang sebelumnya dipelopori orang kulit putih.

Denzel Washington selaku orang kulit hitam berjaya memartabatkan bangsanya melalui filem. Pada masa dahulu, orang kulit hitam dipandang kelas kedua berbanding dengan orang kulit putih. Mungkin di Malaysia, orang India perlu menghasilkan filem yang ala-ala sebegini. Di sini, banyak peguam yang bijak adalah terdiri daripada orang India. Tetapi perbezaan orang India di Malaysia dengan orang kulit hitam di Amerika Syarikat, mereka tidak disisihkan apatah lagi "dibersihkan".

Tahniah untuk HINDRAF kerana berjaya memaksa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam.

Semalam, saya bersama Busu bergegas ke Hotel Legend bagi menuntut jenazah Pak Ngah (Mohamad Yunus Bin Mohd Zain) bagi membolehkannya dibawa pulang ke Melaka. Pak Ngah adalah abang kedua dalam hierarki adik beradik abah. Beliau dilaporkan meninggal dunia disebabkan serangan jantung. Beliau berada di hotel itu kerana makan angin bersama keluarga isterinya.

Baru dua minggu lepas, 13 Januari 2007, isterinya kembali ke rahmatullah. Puncanya ialah masalah respiratori, iaitu semput. Jenazah mereka dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam, Lorong Kenangan Abadi, Sungai Udang, Melaka. Mereka bukan pasangan "Sehati Berdansa" yang menghiburkan dan meraih keuntungan atas nama kebajikan. Tetapi mereka adalah pasangan yang bertemu dan bercinta kerana Allah, dan bersama-sama berpisah untuk berjumpa Allah. Sebelum itu, anak kedua mereka "pergi" terlebih dahulu pada awal 2007. Dalam tahun ini sahaja, tiga orang ahli keluarganya menyahut panggilan Ilahi.

Emak dan abad sempat menemui keluarga mereka sebelum menunaikan ibadah haji. Tujuannya bagi mendapatkan keizinan menunaikan haji untuk anak kedua dan ketiga mereka yang belum sempat menunaikan fardu haji. Tetapi Allah lebih mengetahui. Emah dan abah sempat juga menunaikan ibadah umrah untuk Pak Ngah dan Mak Ngah. Semoga roh Pak Ngah dan Mak Ngah dirahmati Allah. Al-Fatihah.

Minat pada muzik gamelan timbul semasa Niswan (rakan sebilik di Mahallat Bilal, UIAM) mengajak bagi menyertai Grup Gamelan UIAM. Komitmen pada Kelab Karisma, Kelab Intelektual Muda (IYC) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mula kendur semasa menyertai grup gamelan. Antara kenangan manis adalah lawatan ke Indonesia dan Konsert Gema Gangsa yang saya kendalikan bersama rakan-rakan Intervarsity Islamic Performing Art Competition (IIPAC) 2005. Kini semasa bertugas di DBP pun masih lagi aktif bersama Kumpulan Gamelan DBP. Koleksi rakaman saya semasa aktif gamelan di UIA, sila klik.


Agak keterlaluan ulasan filem yang ditulis oleh Faisal Tehrani di blognya berkenaan filem arahan Osman Ali, Anak Halal. Tetapi sesudah saya menonton sendiri filem itu di Summit USJ petang tadi, memang filem itu hiburan yang kurang mendidik jiwa. Singkatannya, hedonisme! Dipersilakan untuk menontonnya yang hanya sekadar hiburan semata-mata.

Laman Goodreads.com disenaraikan sebagai antara 10 laman sesawang terbaik oleh majalah Time 24 Disember 2007. Menelusuri laman ini, tidak banyak bezanya dengan Shelfari.com. Kedua-duanya memaparkan buku yang sedang kita baca dan mencadangkan kepada kawan-kawan buku-buku yang menarik untuk dibaca.

Ada perancangan mahu mewujudkan laman sebegini untuk buku-buku berbahasa Melayu.

Malu untuk mengaku. Saya belum pernah tahu dan membaca semua buku terbaik yang disenaraikan oleh majalah Time 24 Disember 2007 ini. Nampak sangat saya semakin kurang membaca buku terbaharu di pasaran. Walau bagaimanapun, saya tidak tahu kriteria yang digunakan Time untuk memberikan gred bagi setiap buku yang dipilih. Yang pasti, bukan jumlah jualan yang menjadi faktor buku-buku ini dinobatkan sebagai buku bukan fiksyen terbaik 2007.

Rasa-rasanya, buku-buku ini pasti laku selepas Time memaparkannya dalam keluaran akhir tahun 2007 ini. Antara medium media lain yang menjadi tumpuan penggemar buku ialah ruangan buku New York Times dan bicarawara The Oprah Winfrey Show. Buku-buku yang dipaparkan dalam dua media ini pasti laku. Sebab itulah banyak buku-buku dari luar beria-ia menyelitkan "#New York Times Bestseller" di kulit buku.

Semoga selepas ini, buku-buku terbaik yang diumumkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia atau Majlis Buku Kebangsaan Malaysia menjadi sangat laku di pasaran.









Berikut adalah 10 buku fiksyen terbaik 2007 menurut majalah Time 24 Disember 2007. Daripada 10 buku-buku ini, hanya Harry Potter and the Deathly Hallows oleh J.K. Rowling yang mencatat jualan tertinggi, iaitu 11 juta naskhah dalam masa 24 jam. Buku ini mencatat rekod dunia sebagai jualan buku tertinggi dalam masa 24 jam mengatasi siri Harry Potter sebelumnya, iaitu Half-Blood Prince sebanyak sembilan juta naskhah .

Buku The Brief Wondrous Life karya Junot Diaz mendapat tempat pertama dalam senarai ini.










  • Satu prhmpunan akn diadakan pd 20 dismber ini.. Dihrp smua org mlyu islm BERSEDIA!.. Anda dihrskn mmbwa snjata sprt parang,badik,pisau dn lain2 yg tjm.. PERHIMPUNAN BERDARAH ini brtmpt dimsjid dkt rmh anda.. SELAMAT HARI RAYA KORBAN..
  • 3x Allahu Akbar! Berita penting,harap sebarkan! Jgn PANIK! Kpd org Melayu & Islam,siap sedia, asah parang dan pisau dr skrg hngga 19hb ni.Kita akan bperang habis2an dan sembelih mereka pd 20hb ni!........ kite sembelih lembu, unta, kambing, kerbau dan mcm2 menatang halal lain lg lah sempena hari raya haji ni. Jgn mare aa.. Xleh gurau, g dok surau sorg2. SELAMAT HARIRAYA AIDILADHA, RAYA HAJI N RAYA QURBAN..
Dua contoh sms asal ini diberikan oleh sahabat. Tidak ada sebarang perubahan ejaan. Memang diakui, bahasa sms banyak carca merba. Alasannya, hendak jimat ruang dan mudah menekan telefon bimbit.

Sempena Hari Raya Aidiladha ini, sms yang dikirimkan banyak yang berbaur seperti rusuhan akan berlaku. Mentang-mentang heboh sekarang berkenaan rusuhan kaum dan HINDRAF. Memang kreatif orang Melayu sekarang!

Semoga emak dan abah dapat menunaikan rukun haji dengan sempurna dan mudah.

Undian di NUKE InterNETWORK mendapati 52 peratus pengguna internet telah mengurangkan menonton televisyen bagi menghabiskan masa menggunakan internet. Manakala 12 peratus pengguna pula telah mengurangkan masa bersama teman-teman kerana mahu melayari internet.

Memang ada benarnya fakta ini. Saya pernah melihat orang yang mengalami sindrom ini. Malah saya sendiri rasanya menjadi salah seorang yang "ketagih internet". Ada kalanya apabila internet ada masalah, kehidupan harian seolah-olah tidak ada makna. Saya tidak lagi menonton televisyen apabila berada di rumah. Pulang sahaja ke rumah, duduk terperap di dalam bilik melayari internet sehingga tidur. Esoknya, keluar rumah untuk pergi ke pejabat. Rasanya rakan serumah sudah memahami perangai "buruk" saya.

Pernah juga hampir seluruh rakyat Malaysia kebingungan semasa kejadian gempa bumi pada Disember 2006 yang menyebabkan talian internet terjejas disebabkan jaluran internet terputus di dasar laut selatan Taiwan.

Adakah semua ini menjadikan manusia bersifat mementingkan diri semata-mata? Teringat pada kata-kata Jaafar Abdul Rahim yang menjelaskan sifat orang yang suka membaca buku di mana-mana sahaja, "Lebih baik membaca buku dan tidak menegur orang yang duduk di sebelah daripada bermain komputer di kafe siber tetapi tidak menegur orang sebelah."

Saya mula bercuti pada hari ini sehingga 27 Disember 2007 kerana mahu menghabiskan baki cuti yang ada. Itupun masih ada baki tiga hari lagi. Tetapi sebenarnya tidak ada istilah cuti sekiranya bekerja seperti menerbitkan majalah. Tarikh akhir siap majalah perlu ditepati. Sekiranya tidak, majalah tidak dapat diterbitkan.

Saya hadir ke pejabat bagi menyudahkan kulit majalah Dewan Kosmik keluaran Januari 2008. Fokusnya, "Sains Menyelongkar Alam Mistik". Isu fokus ditulis oleh Saudara Saharil Hasrin Sanin. Saya memberikan tanggungjawab menulis isu fokus kepadanya kerana gaya penulisannya yang santai dan banyak kes studi. Tambahan pula, beliau tidak pernah "lari" daripada tarikh akhir. Saya pula menulis berkenaan "Aplikasi Teknologi dalam Membongkar Alam Mistik" hasil temu ramah dengan Uncle Seekers.

Konsep kulit hasil kreativiti Saudara Fauzi (DAWAMA) ini memang mengagumkan saya. Fotografi pula dilakukan oleh Saudara Mat Yaman yang tidak pernah menghampakan saya. Beliau sebenarnya bukan jurugambar. Tetapi kerana minatnya pada bidang fotografi menyebabkan beliau bersetuju turun padang mengambil gambar.

Kemungkinan besar Dewan Kosmik dan lapan majalah DBP lain akan berubah wajah dari segi persembahan dan isi kandungan pada keluaran Februari 2008. Semua ini bagi memastikan memartabatkan majalah DBP sebagai majalah ilmiah terbaik di Malaysia.

Empat hari berbengkel di Port Dickson memang memenatkan. Walau bagaimanapun, banyak perkara baharu sudah dirancang dan akan dilaksanakan.

Dato' Baharuddin Zainal selaku Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan, Lembaga Pengelola DBP banyak memberikan maklumat baharu berkenaan isi kandungan yang sepatutnya ada dalam majalah. Teguran beliau berkenaan kekurangan setiap majalah DBP akan diambil perhatian oleh setiap editor. Manakala slot pengalaman sebulan Editor Dewan Masyarakat, Saudara Mohd Shukri Mohd Ariff di Majalah Gatra, Indonesia memberikan semangat baharu kepada editor-editor majalah dan staf DAWAMA. Kata Shukri, "Pak Putut (Ketua Redaktur Gatra) terkejut DBP menerbitkan sembilan majalah. Apabila beliau bertanya jumlah orang yang mengendalikan sembilan majalah itu. Saya menjawab, 'Bapak datang sahaja melihat di Kuala Lumpur'." Ini kerana Gatra yang merupakan majalah terbaik di Indonesia diterbitkan dengan kakitangan sebanyak 200 orang. Respon Dato' Dr. Firdaus Abdullah (KP DBP), "Hasrat hati saya mahu melihat Bahagian Majalah DBP dapat menerbitkan semula majalah yang berbentuk seperti Gatra yang terbit dua minggu sekali. Tetapi saya malu menyatakan kepada sesiapa kerana saya gagal mempertahankan Massa semasa di UKSB. Tetapi saya yakin kemampuan Bahagian Majalah DBP dan berani meluahkan isi hati saya ini pada hari ini."

Perancangan fokus Dewan Kosmik yang saya bentangkan tidak ada apa-apa bantahan daripada sesiapa. Respon Prof. Emeritus Dato' Dr. Isahak Haron, "Kalau dapat kita terbitkan satu lagi majalah sains. Kerana rasanya tidak mencukupi satu majalah sains yang semakin berkembang bidangnya." Beliaulah orang yang mempertahankan Dewan Kosmik dan Dewan Ekonomi daripada ditutup semasa pengambilalihan daripada Ultimate Print.

KP DBP nampaknya gembira dengan segala perancangan penerbitan majalah DBP dan komitmen kakitangan Bahagian Majalah DBP dan Unit Majalah DAWAMA. Beliau yakin majalah majalah-majalah DBP yang popular seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Kosmik dan Dewan Ekonomi serta majalah-majalah klasik seperti Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa berjaya menyebarluaskan bahasa Melayu di mana-mana sahaja. Kita tunggu dan lihat perubahan majalah-majalah DBP.

Saya masih lagi di pejabat semasa blog ini ditaip kerana menyiapkan perancangan semua majalah terbitan DBP. Bangga melihat masih ada sahabat yang sanggup bersama-sama berkorban demi keberkatan tanggungjawab.

Esok, 13 sehingga 16 Disember 2007, 44 kakitangan Bahagian Majalah DBP bersama-sama 31 kakitangan DAWAMA Sdn. Bhd. berada di The Legend Water Chalets, Port Dickson bagi berbincang penerbitan sembilan majalah DBP. Perkara yang dibincangkan meliputi perancangan kandungan majalah, isu fokus majalah, reka bentuk, strategi pemasaran, periklanan dan percetakan.

Selain itu, Dato' Baharuddin Zainal akan menyampaikan ceramah berkenaan kandungan berkualiti majalah. "Orang Besar" turut sudi hadir bagi memartabatkan kembali majalah DBP. Antaranya, Dato' Johan Jaafar, Dato' Dr. Firdaus Abdullah, Prof. Emeritus Dato' Isahak Haron, Dato' Baharuddin Zainal dan "orang kuat" DAWAMA.

Tujuannya hanya satu, MEMARTABATKAN MAJALAH DBP. Dengan harapan supaya bengkel ini berkesan dan dapat memberikan impak maksima kepada masyarakat. Insya-Allah, tidak ada orang lagi yang memperlekehkan penerbitan DBP.

DBP hendak berubah. Doakan kami dapat memartabatkan ilmu dan bahasa Melayu.

Saya mohon semua pihak terutamanya ahli politik, ahli ekonomi, pakar bahasa, warga DBP, para penulis blog, mahasiswa, pencinta bahasa membaca tulisan Noor Azam ini.

Sudah tiga hari demam saya belum menunjukkan sebarang tanda sembuh. Tetapi tetap digagahkan diri untuk hadir ke pejabat. Soal tanggungjawab perlu diutamakan. Selain itu Dewan Kosmik keluaran Januari belum siap lagi. Kali ini memang agak terlajak daripada jadual biasa. Tambahan pula bermula 13 sehingga 16 Disember ini akan diadakan bengkel penerbitan majalah di Port Dickson.

Sebenarnya pada hari ini saya cuti kecemasan kerana badan tidak larat untuk bekerja. Tetapi memikirkan tiada siapa dapat menggantikan tempat untuk menerangkan perancangan Dewan Kosmik 2008 pada pra bengkel pada pukul 3 petang, saya tetap datang pada pukul 12 tengah hari.

Saya pernah dengar kisah sahabat yang menangis kerana tidak sakit dalam masa sebulan. Sebabnya mungkin Allah tidak menyayanginya. Kerana dengan sakit sahaja dapat menyucikan dosa.

Memang semasa sakit saya kurang aktiviti yang lagha.



Bagi segmen udara, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2007, ia diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Mat Sirat. Manakala bagi segmen maritim, ia diadakan di Awana Porto Malai.

Saya puas "merayau" di segmen udara kerana banyak pameran yang menarik diadakan termasuklah melihat secara dekat pesawat Sukhoi dan persembahan Red Arrows. Saya cuma sekali sahaja "merayau" di segmen maritim. Mungkin kerana tidak dapat melihat pameran di laut. Walau bagaimanapun, banyak maklumat yang diperoleh yang akan ditulis untuk Dewan Kosmik dan Dewan Siswa.

Dua minggu lepas, saya demam sesudah pulang dari Kuching. Kini dijangkiti demam lagi sesudah puas berjalan-jalan di Langkawi.

Buku yang sudah tiada di pasaran ini perlu dibaca untuk mereka yang menjadikan Dr. Mahathir sebagai pemimpin sanjungan. Banyak maklumat yang diperincikan bermula saat-saat cemerlang sebelum beliau menceburi bidang politik, individu yang membantu kerjayanya, dan resam dunia politik. Yang menarik, penulis menceritakan cara, reaksi dan falsafah Dr. Mahathir dalam menghadapi pelbagai belenggu masalah. Yang paling penting, membaca buku ini menjadikan kita belajar dan memahami corak pemikiran Che Det.

Ditulis oleh J. Victor Morais dan diterjemahkan oleh Abdul Razak Abdul Rahman. Terima kasih kepada Saudara Azli kerana meminjamkan buku ini.

Petang ini saya akan berangkat ke Langkawi bagi membuat liputan berkenaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2007. Saya pergi seorang diri dan berada di sana sehingga 8 Disember 2007.

Tujuan utama saya ke sana adalah bagi memperoleh maklumat berkenaan pembuatan teknologi pertahanan sama ada udara ataupun laut. Saya cuba dapatkan relevannya pembelian kapal selam dan Sukhoi sehingga Malaysia sanggup melaburkan jutaan ringgit. Mungkinkah pelaburan itu berbaloi? Ini untuk Dewan Kosmik.

Tetapi adalah tidak berbaloi sekiranya saya ke sana semata-mata untuk Dewan Kosmik. Saya cuba mendapatkan maklumat yang sesuai untuk dimuatkan di dalam Dewan Masyarakat, Dewan Siswa ataupun Dewan Budaya.

Dahulu abah ke LIMA bagi menyertai pameran. Kini saya datang bagi membuat liputan berkenaan LIMA.

"Teater yang sebegini aku mahukan!" Kata sahabat yang pernah duduk sebilik di UIA, Niswan.

Saya bersama Niswan baru sahaja menonton Teater Rakyat yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Sastera di hadapan Stor Teater DBP. Pada malam ini dipersembahkan Teromba dan Mek Mulung. Persembahan ini diadakan dalam bentuk yang santai. Hanya ada pentas untuk persembahan, manakala kerusi bertingkat untuk penonton yang hanya beratapkan bumbung serta berhawakan udara semula jadi.

Teromba yang berasal dari Negeri Sembilan dipersembahkan oleh Dato' Dr. Rosli Saludin dari Jabatan Kesusateraan Melayu, UPSI bersama anaknya. Teromba adalah ungkapan berirama yang biasanya berkenaan adat sebagai panduan atau amalan adat sesuatu masyarakat. Ia adalah sejenis puisi bebas yang mempunyai bentuk lain seperti pantun, syair, rubai dan talibun.

Manakala Mek Mulung yang dipersembahkan oleh Kumpulan Seni Mek Mulung dari Kedah ini adalah adunan kesenian yang menggabungkan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik. Saya pernah menonton Mek Mulung di Dewan Filharmonik Petronas. Tetapi persembahan malam ini tidak kurang hebatnya.

Esok malam pula giliran Randai dan Bongai bagi mengisi slot Teater Rakyat malam kedua. Terasa rugi tidak dapat hadir kerana saya ke Langkawi pada esok hari. Program ini akan diadakan pada setiap bulan bagi memartabatkan seni budaya Melayu. Bentuk teater yang santai ini diharapkan dapat mengimarahkan lagi dunia teater daripada dimonopoli oleh teater asing.

Siapa kata DBP mandul idea?