Judul mesti hebat bagi menarik perhatian pembaca! Itu kunci utama bagi mencipta judul buku.

Bukan saya merujuk kepada mana-mana penulis yang bersifat keanjingan atau kehaiwanan mahupun kebinatangan, cuma ada juga persatuan di luar sana menghimpunkan penulis-penulis yang menulis tentang anjing.

Menarik tentang persatuan sebegini... mereka menulis apa-apa sahaja tentang anjing merangkumi kesihatan, sifat, keunikan, persembahan anjing dan lain-lain.

Bagusnya, persatuan ini di Amerika Syarikat mendapat liputan khusus daripada media utama di sana. Tambahan pula, penulis anjing ini bijak menggunakan peluang yang ada; dihasilkan rencana sendiri, menulis buku & novel, mencatat perkembangan anjing di blog, tampil di program TV dan sebagainya.

Namun di Malaysia, penulis tentang "lembu" kini tiba-tiba banyak pula muncul. Persatuan yang menghimpunkan penulis tentang haiwan rasanya belum ada di Malaysia. Kalau ada pun, saya tidak pasti kalau GAPENA setuju menjadikan persatuan itu bernaung di bawahnya. Cuma rasanya sudah perlu diwujudkan persatuan yang bersungguh-sungguh menulis dan mendidik masyarakat bagi mencegah lebih banyak kelahiran "anjing"!

"Saya tak boleh pergi lagi kerana terlalu sedih ia dipindahkan ke tingkat bawah, yang lebih kecil," jelas Datin Rashidah Mohd. Dahan, isteri Pak Samad, semasa bersama-sama bos saya, Encik Mohd Khair Ngadiron, menemui mereka di Kinokuniya pada 27 Februari 2012.

"Mengapa ia dipindahkan di tempat yang lebih kecil ini? Saya hidup membesar bersama-sama kedai buku yang besar, di atas itu!" keluh seorang pemuda berbangsa Cina (dalam bahasa Inggeris) kepada pegawai yang sedang bertugas di situ. Kebetulan saya berada tidak jauh dari situ dan memasang telinga perbualan mereka.

Memang wajar Datin Rashidah dan pemuda Cina itu berasa kecewa dan sedih melihat kedai buku yang boleh dikatakan terbesar di Malaysia - yang sudah lama tersergam di gedung Mid Valley "transformasi" kepada yang lebih kecil.

Kenangan... Semasa buku Menakhoda Zaman menjadi windows display di pintu masuk MPH Mid Valley.

Dulunya, saya tidak ambil endah sangat apabila kedai buku MPH di Plaza Angsana dan Times di City Square (kedua-duanya di Johor Bahru) tutup. Saya beranggapan mungkin orang Johor lebih gemar membeli buku di Badan Cemerlang (di Plaza Angsana) atau di Johor Central Store (di Plaza Kotaraya). Mungkin juga orang Johor suka menyeberangi tambak untuk membeli buku di Singapura.

Namun apabila Times dua kali tutup di KLCC, Borders semakin mengecil di Berjaya Times Square, dan kini MPH di Mid Valley pun dikecilkan, rasanya kata Encik Khair yang baru pulang dari Amerika Syarikat, "Tidak ada lagi kedai buku di San Francisco, di Washington pula kedai buku banyak yang ditutup," sudah melanda kesannya di Malaysia.

Di sana, mungkin e-buku menjadi faktor penutupan banyak kedai buku. Di sini, saya berbesar hati jika perkara itu juga menjadi penyebabnya. Cumanya saya belum nampak fenomena membaca e-buku berkembang baik di sini.