"Dunia akan dikuasai jika berjaya menguasai media!"

Itu yang berjaya dilakukan oleh Rupert Murdoch. News of the World ditutup pun beliau masih lagi mampu senyum-senyum sahaja. Kerana beliau masih lagi menguasai Fox TV, New York Post, London Times dan lain-lain.

Begitu jugalah dengan Mark Zuckerberg yang menguasai dunia dengan media Facebook.

Media juga menjadi satu hal tuntutan Bersih 2.0 kerana Pakatan Rakyat tidak diberikan ruang sebagaimana yang diperoleh Barisan Nasional. Perkara yang sama, kerana Pakatan Rakyat tidak menguasai media yang mainstream.

Hal media menjadi KPI saya di ITNM. Dalam setahun ini, unit saya perlu mencapai RM.... juta bagi tahun 2011. Namun alhamdulillah kerana KPI itu sudah berjaya dicapai kerana banyak dibantu oleh pelbagai acara besar seperti pementasan LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal dan penyertaan ITNM dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Rakan-rakan wartawan pun banyak membantu menulis/mengkritik ITNM dalam akhbar, TV dan radio.

Namun bagaimana pula KPI media pada tahun 2012 nanti? Itu menjadi cabaran kami!

Ada orang bertanya, kalau return on investment (ROI) tinggi pun, adakah ia membantu jualan buku dan perkhidmatan ITNM? Pengiraan ROI ada caranya. Saya pun mengetahuinya selepas diajar oleh mantan bos saya, Puan Zini yang kini menjadi bos PR di Kementerian Dalam Negeri.

Untuk menjawab soalan orang yang bertanya itu tadi, jawapannya lihat sahaja bagaimana George W. Bush boleh menang dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi penggal kedua. Banyak orang menjangkakan anak Presiden Bush yang juga bernama Bush ini akan kalah ekoran kegagalan beliau dalam Perang Iraq.

Walaupun orang kata Bush ini bodoh orangnya, tetapi orang di sekelilingnya sebenarnya bijak belaka. Mereka bijak memanipulasikan media sehingga menjadikan Perang Iraq itu merupakan usaha keselamatan rakyat AS dan janjinya kepada kemakmuran ekonomi. Semuanya dimanipulasikan dengan media. Semua penulisan tentang Bush pada ketika itu akan dihantar kepada pasukan pilihanraya Bush untuk pengesahan, dan disiarkan di beberapa media utama di AS. Akhirnya John Kerry kalah kerana beliau kurang efektif menggunakan media.

Cuma tidak semua orang yang bijak berkaitan media ini boleh kekal lama. Saya ambil contoh Helen Thomas yang telah bertugas sebagai petugas media di White House sejak tahun 1960 pun akhirnya dipecat oleh Presiden Obama. Walaupun rekodnya cemerlang kerana pernah bertugas dengan 10 Presiden AS, hanya kerana kritikan pedasnya terhadap Israel, Obama pun menjadi "kecut" dengan pelobi Israel yang menaikkan namanya.

Harimau Malaya telah memenangi Piala Suzuki AFF; Tahniah Kementerian Belia & Sukan.

Pasukan Bola Sepak Olimpik Malaysia berjaya ke pusingan seterusnya dalam Kelayakan Sukan Olimpik; Tahniah FAM.



Harimau Malaya mara lagi ke pusingan kelayakan Piala Dunia; Tahniah MSN.

Termasuklah pasukan kebangsaan memberikan tentangan hebat kepada Arsenal, Liverpool dan Chelsea; Tahniah!!!

Namun sangat sedikit ucapan tahniah ini diajukan kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), salah satu produk Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang telah melatih dan mengkader 11 orang daripada keseluruhan pemain yang memenangi Piala Suzuki AFF yang lalu.

Safee Sali, Khairul Fahmi Che Mat, Nur Shahrul Idlan Talaha...

Bukan salah media, dan sangat tidak wajarlah KBS, FAM dan MSN pula dipersalahkan. KPM pun setentunya tidak sangat mengharapkan kredit tahniah menjulang diberikan kepada mereka.

Namun apalah gunanya inovasi dicipta, tetapi tidak dipromosikan?

SSBJ atau SSBP adalah sebuah sekolah yang merupakan inovasi terbaik pernah dicipta KPM. Sewajarnya ia dipromosikan supaya impaknya lebih memberikan kesan kepada negara.

Tidak salah pun kalau guru pun berfikir sebagai pegawai pemasaran. Orang putih, Brent Davies dan Linda Ellison pun menyarankan guru bertindak sebagai pegawai pemasaran.

Lama sudah tidak mengemaskinikan blog ini. Bukan salah Facebook sehingga menyebabkan kemalasan untuk kemas kini blog, tetapi lebih kepada kesuntukan masa saya sendiri untuk melakukannya. Tidaklah sibuk sangat...

Tiba-tiba sahaja Anuar Manshor mengemas kini blog, sudah tentu ada cerita yang mahu dikongsikan.

Baru kini saya percaya kuasa tinta/pena/penulisan khususnya yang tersiar melalui blog. Sama ada mahu percaya ataupun tidak, alhamdulillah saya berjaya menjalankan transaksi bernilai RM170,000 melalui laman ini.


Hujung minggu lalu, secara rasminya saya dan isteri telah menyerahkan kunci rumah yang diduduki sejak saya bujang sehinggalah masuk tahun ketiga perkahwinan.

Sebelum dihebahkan penjualan rumah di blog ini, laman iProperty, Mudah.my dan Facebook turut juga dilakukan. Namun syukur kerana Puan Saira Azura dan suaminya memperoleh maklumat tentang penjualan rumah D' Puncak Suasana melalui blog ini. Terima kasih kerana bersetuju untuk menjadikan rumah ini sebagai kediaman kalian bertiga. Kami sayangkan rumah ini, dan kami redha ia menjadi milik kalian.

Dan kini... kami menyewa di Puri Aiyu, Shah Alam sementara menantikan rumah di SS23, Shah Alam siap dibina...

Seharian Sabtu saya duduk-duduk sahaja di rumah. Tidak terasa mahu keluar ke mana-mana walaupun awalnya sudah berjanji mahu membawa isteri ke Jalan TAR pada malamnya - mahu melihat "kehebatan" lampu-lampu di Bangunan Sultan Abdul Samad. Mujur hujan. Sebenarnya, saya mahu menonton 24 yang semakin menarik ceritanya. Namun tewas juga kepada pilihan isteri yang mahukan TV3 - menonton Sheila Rusly berlakon menjaga perempuan yang dinoda.

Sekarang bolehlah duduk berehat-rehat sahaja. Mungkin suatu hari nanti manalah tahu apabila sudah jadi "orang besar" (insya-Allah...Amin...), barulah saya akan pinjam kata-kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (MB Selangor) dalam Berita Harian hari ini, "Ketika saya berkhidmat sebagai CEO, saya dilatih bekerja 24 jam!"

Ahadnya, saya ke KLPac di Sentul untuk melihat latihan penuh babak 1 (babak sebelum interval) teater LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM).

Babak Awie (Lat) dan Atilia (Faizah, isteri Lat) sedang bercinta.

Walaupun ITNM dan Tall Order Production menjadi penerbit bersama untuk teater ini, saya tidak berat sebelah menyatakan semua orang wajib tonton teater ini!

Bukan sebab kerana ia dibarisi pelakon hebat, tetapi jalan ceritanya memang menarik selain didukung dialog yang menggeletek - malah ada yang menghibakan. Nak cerita lebih-lebih memanglah tidak boleh - masih lagi sulit! :)

Babak Jalil Hamid (bapak Lat) memukul Lat (semasa kecil).

Itu baru dalam latihan. Saya dapat bayangkan ia pasti lebih menarik di pentas yang sebenar. Dulu saya suka menonton teater "Anak Kerbau Mati Emak" lakonan Adlin Aman Ramli (masa baru nak naik) dengan Atie AF yang baru keluar Akademi Fantasia. Kemudian saya pun suka "Dejavu" yang menampilkan Ogy Ahmad Daud.

Kemudian barulah tampil PGL. Saya suka dengan pementasannya yang sangat "gempak"! Cuma ia memang sangat komersial sehinggakan orang yang datang menonton pun bukan semuanya dari penggemar teater. Khalid Salleh pun kata "lekeh". Cuma dari satu segi, baguslah orang "biasa-biasa" pun sudah mula menonton teater sambil berfikir.

Babak Sandra Sodhy (Mrs. Hiew) menyanyi di dalam kelas bahasa Inggeris.

Abang Jo (bos Istana Budaya) yakin LKBSM akan menjadi penanda aras baru bidang teater di Malaysia selepas PGL. Kalau "orang dalam" pun yakin berkata sedemikian, saya pun merasakan ia bukanlah suatu yang mustahil. Pendek kata, kita lihat sendiri di Istana Budaya bermula 16 Mac hingga 3 April 2011! Tiada tiket percuma ya. Paling murah RM40.

Kredit foto: H+A Studio.

Sebelum masuknya waktu solat maghrib tadi, sempatlah menonton Sinchan. Saya suka menonton Sinchan walaupun emak kata, "Dah besar pun tengok kartun lagi!"

Cuma sekarang ini tidak dapat menonton Doraemon lagi kerana ia ditayangkan bermula jam 7.30 malam. Solat maghrib sudah masuk pada waktu itu. Kalau ditonton juga, manalah tahu tiba-tiba TV saya dipetir kilat pula.

Dahulu saya memang suka membaca buku komik Doraemon. Semasa bertuisyen di Pusat Tuisyen SAL di Johor Bahru, selalu saya membeli komik Doraemon di kedai mamak bawah tempat tuisyen itu.

Emak abah tidak cakap apa-apa; tidak galak, tidak pula melarang. Kalau tidak silap, dahulu harga senaskhah Doraemon berharga RM4.50. Itulah duit yang disimpan hasil daripada pemberian abah setiap kali ke SRK St. Joseph Johor Bahru.

Saya membaca Doraemon dan menonton Sinchan tidak lain dan tidak bukan hanyalah sekadar hiburan semata-mata. Seronon membaca dan menontonnya kerana jalan ceritanya menarik selain kata dialog yang banyak kelakar.

Namun sejak hidup berdasarkan wang saku sendiri dan boleh berfikir matang sikit, barulah saya tahu ada maksud lain yang diselitkan dalam kedua-dua kartun Jepun itu.

Paling ketara, saya dapati kedua-duanya menceritakan situasi keadaan sebenar negara Jepun. Tidak langsung memburuk-burukkan negara itu, malah sedaya upaya cuba mempromosikan dengan menceritakan yang baik-baik sahaja tentang negara atau rakyat Jepun.

Satu adegan yang kerap diulang-ulang adalah situasi menggunakan pengangkutan awam (baca: LRT). Tidak pernah saya baca bapa Sinchan, iaitu Encik Nohara Hiroshi akan menaiki kereta untuk ke pejabat. Begitu juga dengan bapa Nobita, iaitu Encik Nobisuke Nobi. Mereka akan berulang alik ke pejabat dengan LRT.

Malah ada kalanya Sinchan dan Nobita akan pergi berlarike stesyen LRT dengan membawa payung jika waktu hujan - untuk memayungi bapa mereka pulang ke rumah.

Jelas menggambarkan di Jepun, rakyatnya menggunakan sepenuhnya perkhidmatan awam. Saya tidak pernah ke Jepun. Namun daripada Sinchan dan Doraemon, saya membayangkan lokasi LRT dengan rumah kediaman di Jepun sangat hampir, hinggakan LRT menjadi pilihan utama.

Esok saya rancang mahu ke Mid Valley untuk melihat pameran MRT Lembah Kelang Jajaran Sungai Buloh-Kajang. Pertama; kerana ia meliputi tempat tinggal saya kini, Bandar Tun Hussein Onn. Kedua; saya mahu melihat sejauh mana efektifnya perancangan itu.

Saya kurang gemarlah apabila minyak dinaikkan harga dengan alasan untuk meningkatkan taraf pengangkutan awam - sedangkan yang saya perasan kini jalan raya (khususnya Kuala Lumpur) semakin sesak! Ke sana sini banyak tol!

1. Teg meja dari pandangan hadapan.

2. Teg meja dari pandangan belakang.

Kedudukan Bahasa Melayu = tempat ketiga!

Di mana? Di Malaysia.

"Barang-barangan". Mungkin orang Indonesia yang terjemahkan ayat itu. Macam bunyi barongan pula. Yang betulnya-->Barang-barang.

Minggu sudah syarikat (Nyla) yang menerbitkan majalah komik Upin & Ipin datang ke ITNM untuk berbincang sebarang kerjasama yang boleh dilakukan.

Apabila ditanya berapa jumlah cetakan bagi setiap keluaran majalah itu, jawapannya 75,000 naskhah! Jumlah itu sangat tinggi dalam situasi penjualan majalah mutakhir kini. Majalah terbitan DBP (saya percaya kecuali Dewan Siswa & Dewan Pelajar) pun kini sukar untuk mencecah 15,000 naskhah sebulan.

Sebelum berakhir mesyuarat, pihak syarikat itu memberikan majalah Upin & Ipin daripada keluaran pertama sehingga 12 sebagai cenderahati. Namun saya anggap mereka mahu kami meneliti kualiti majalah itu.

Saya sempat membelek-belek majalah itu, dan bagi saya memang sesuai untuk bacaan kanak-kanak. Cuma mata saya tidak cocok melihat ada beberapa grafik yang disalin (copy paste?) daripada siri animasi sebenar Upin & Ipin sehingga cetakannya menjadi gelap.

Kebetulan pula 23 Januari 2011 adalah hari lahir anak buah saya, Adam. Maka selain diberikan hadiah permainan, saya & isteri memasukkan sekali semua majalah Upin & Ipin ke dalam beg hadiah itu. Kak Maz kata, Adam yang berusia dua tahun itu asyik menatap dan bermonolog sambil menyelak satu persatu halaman majalah itu. Dengan pelat, disebutnya "Upin & Ipin".

Kalau Adam yang dua tahun itu boleh minat membaca komik Upin & Ipin (selain setiap hari menonton Upin & Ipin), maksudnya tentulah ia ada keistimewaannya tersendiri. Banyak orang sudah kata kekuatan Upin & Ipin. Taip sahajalah "keistimewaan upin & ipin" atau "kekuatan upin & ipin" di enjin carian Internet, kita dapat tahu di mana hebatnya Upin & Ipin.

Sejak keluar daripada mengendalikan penerbitan majalah, tiada lagi perkataan "PDF" menghantui otak pada setiap bulan. PDF adalah perkataan yang mencemaskan bagi editor yang belum menyiapkan majalahnya mengikut deadline, tetapi tidak bagi editor yang awal-awal sudah siap kerjanya! Saya dulu pernahlah juga beberapa kali tersenyum berbuntang mata kalau orang tanya, "Majalah kau sudah PDF?"

Kini, editor majalah pula bertanya, "Bila nak siapkan artikel?" Bukannya sebab artikel saya menarik sangat sehinggakan editor mahu sangat tulisan saya, tetapi saya yang mahu menulis. Kalau sudah berjanji, maka sangat wajarlah mereka telefon/sms meminta segera dihantarkan artikel.

Sekarang ini memanglah tidak dapat menulis artikel semasa waktu pejabat. Haram! :) Malam pun tidak larat. Yang sempat hanyalah pada hujung minggu. Maka si isteri saya pun terpaksalah menunggu di hadapan TV untuk keluar rumah sehinggalah saya siap menulis.

Gambar di atas adalah artikel yang tersiar di majalah Dewan Siswa keluaran Februari 2011. Terperanjat jugalah apabila editornya, Abd. Ghani Abu menge-melkan PDF artikel itu. Maka perlulah dipromosikan majalah yang menjadi pesaing majalah E@Siswa (Karangkraf).

Artikel itu berkaitan dengan inovasi. Saya percaya setiap hari orang berfikir mahu melakukan itu dan ini. Akhirnya apa yang setiap orang fikirkan itu akan dinilai; sama ada menjana keuntungan ataupun kepuasan. Ada orang mahu melakukan "itu" kerana mahu kesenangan material/duit. Ada juga yang melakukan "ini" kerana mahu kepuasan hidup.

Terus terang, saya masih lagi fasa melakukan "itu" kerana mahukan yang "A". Harap jugalah dalam hidup ini mahu mendapatkan yang "B" itu. Setakat ini, saya mampu memperoleh "B" itu apabila dapat menulis, menyunting buku - dan bahan itu tersiar atau diterbitkan. Rasa puas sungguh!

Apa-apapun, saya bersyukur masih lagi berupaya melakukan itu dan ini sehinggakan dikurniakan apa yang dimiliki kini. Saya percaya dengan ayat tujuh (7) Surah Ibrahim, "Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih."

Saya sedang menghabiskan membaca himpunan artikel di dalam buku Malaysia-Lah terbitan Gerak Budaya. Saya suka membaca tulisan artikel orang muda (seperti saya? 29 tahun!) yang berbentuk santai, tetapi bercorak new journalism. Alangkah bagusnya kalau artikel sebegitu disiarkan di dalam akhbar tempatan. Barulah jualan akhbar Melayu boleh meningkat! Ada pula salahkan orang Melayu malas membaca hanya sebab jualan akhbar merudum. Sangat tidak logik!

Lagi satu buku yang menarik perhatian saya adalah buku Rojak Fakta Malaysia terbitan ZI Publications. Separuh saya habiskan membaca buku ini semasa melepak di Kinokuniya pada petang Jumaat selepas keluar opis. Mahu sahaja membeli, tetapi biasalah... akhir bulan. Padahal bukanlah mahal sangat, RM30 sahaja. Bajet/belanjawan! :)

LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal

Rasanya kini semua orang sudah tahu, atau sudah mahu mengetahui apa itu ITNM. Core business ITNM adalah terjemahan. Namun apa kaitannya untuk mementaskan teater di Istana Budaya? Kalau DBP itu ada juga rasionalnya mementaskan teater perdana pada setiap tahun, kerana fungsinya untuk memartabatkan bahasa dan sastera Malaysia.

LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal boleh dikatakan diadaptasi daripada novel grafik karya Datuk Lat, Kampung Boy. ITNM pula telah menterjemahkan buku itu kepada dua bahasa (Arab dan Jerman), selain 11 bahasa lain oleh penerbit tempatan dan antarabangsa.

Pendek kata, tidak keterlaluan jika dikatakan Kampung Boy telah berperanan besar mempromosikan Malaysia di sekeliling dunia. Disebabkan itulah, bos-bos di tempat saya bekerja merasakan betapa perlunya karya ini diangkat lagi ke tempat sewajarnya supaya ia kekal "hijau" (evergreen) - malar.

Kalau orang putih boleh mengekalkan hayat Shakespeare dengan kerap mementaskan/memfilemkan Hamlet, Romeo and Juliet, dan Pride and Prejudice - kalau Harry Potter lebih terkenal selepas ia difilemkan - mengapa tidak Kampung Boy diubah ke bentuk lain, supaya buku itu dipanjangkan hayatnya lagi.

LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal akan dipentaskan pada 16 Mac hingga 3 April 2011. Maka sekarang ini, kami-kami di ITNM tiada sehari pun yang berlalu tanpa melakukan gerak kerja pelaksanaan untuk pementasan itu. Kalau Zaiti sibuk melakukan itu ini dan berhubung dengan orang Hans Isaac (Tall Order Productions), saya pula menyiapkan itu dan ini. Afiq pun bingung itu ini selain sibuk mereka bentuk Buletin ITNM untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Itu belum masuk bos-bos (En. Khair & Pn. Zini) yang tak kering-kering berfikir melakukan itu dan ini.

Maka dipersilakanlah menonton nanti ya. Kami tidaklah mahu memberikan bilangan bulan dan bintang untuk teater ini, tetapi kami yakin teater ini akan berada pada kelas yang tersendiri. Lawak Harith Iskander berada di kelas tersendiri, lawak Awie pun ada kelasnya yang lain, lawak Hans Isaac pun sangat "kelas" dalam Cuci dan mana-mana filem.

p/s Tiada yang percuma di dunia ini termasuklah tiket ini ya! Sila-silakan klik Ticket2U.biz untuk membeli tiket.

Jelas ketara wartawan akhbar kini sudah agak kritikal, ala-ala penulis blog. Penulis akhbar kini lebih berbentuk new journalism, walaupun teknik ini sudah diperkenalkan pada 1960-an. Antara wartawan tempatan yang kini ketara menggunakan teknik yang terdahulu dipopularkan oleh penulis majalah Tempo dan Gatra adalah Zin Mahmud, Ku Seman, dan yang terkini wartawan Utusan di Indonesia, Shaharudin Mustaffa.

Namun kebanyakan wartawan hiburan kini memang benar-benar menggunakan teknik new journalism - yang lebih santai, tidak menggunakan perkataan yang bombastik, lebih intensif dan menimbulkan rasa dramatik dalam susunan ayat.

Yang jelas, wartawan hiburan tidak mudah "dibeli"! Setiap laporan yang ditulisnya kebanyakannya benar dan jujur dari rasa hatinya. Walaupun kita baik dengan wartawan itu, tidak mungkin tulisannya menyokong kita 100 peratus.

Kejujuran itulah yang saya rasa menjadikan filem Ngangkung mengaut RM8 juta, dan 2 Alam kurang RM500 ribu walaupun promosi filem Dr. Rozmey ini sangatlah dahsyat. Saya pernah berborak dengan staf Utusan yang menjaga urusan pembelian iklan. Katanya, "Dr. Rozmey antara pembeli iklan Kosmo yang tertinggi!"

Walau sehebat manapun iklan promosi yang dilaksanakan, penonton filem tetap membaca ulasan (ada perkataan "reviu"?) daripada mana-mana bahan. Paling mudah adalah ulasan filem di akhbar. Kalau rasa ulasan filem itu semacam berat sebelah, banyak lagi tulisan ulasan sesebuah filem yang boleh dikaji - setentunya blog.

Filem Ngangkung mendapat ulasan yang baik sebagaimana filem Adnan Sempit. Namun promosi yang paling banyak membantu filem ini adalah "mulut ke mulut". Dari seorang kawan yang pergi menonton hanya sekadar untuk berhibur merehatkan diri, diceritakan pula kepada kawannya jika filem itu bagus dan tidak rugi ditonton.

Promosi mulut ke mulut ini sebenarnya agak sukar, tetapi sangat berbaloi! Asalkan filem atau teater yang dipersembahkan itu menarik, ia sekali gus menjadikan promosi sebegini menjadi lebih mudah.

Teater Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal akan dipersembahkan pada 13 Mac hingga 3 April 2011 di Istana Budaya terbitan ITNM dan Tall Order Productions, dengan kerjasama kementerian pimpinan Datuk Seri Rais Yatim. Sudah tentu promosi untuk teater ini akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya untuk menarik penonton memenuhi Panggung Sari Istana Budaya itu.

Namun semua orang percaya, pementasan teater yang baik akan dihargai penonton sehingga tidak segan silu mewara-warakan/menguar-uarkan kepada orang lain untuk datang, "Rugi kau tak pergi tengok teater Lat itu!" - Promosi mulut ke mulut.

Itulah yang cuba dilakukan dan diperoleh. Insya-Allah.