Saya suka dengan tulisan Meor Shariman di NST pada Sabtu lalu yang menceritakan situasi filem Adnan Sempit yang berjaya mencatatkan jualan tiket hampir RM6 juta.

Beliau percaya faktor penarikan penonton datang ke pawagam untuk menonton filem itu adalah kesan daripada "mulut ke mulut" (mouth to mouth marketing). Tanpa mengeluarkan banyak duit untuk promosi sebagaimana filem Jin Notti mahupun My Spy, Adnan Sempit membuktikan strategi pemasaran secara konvensional (dengan pelaburan tinggi) perlu dikaji semula.

Adnan Sempit adalah filem hiburan semata-mata yang menggelikan hati. Saya dan isteri akan menonton apa-apa sahaja filem terkini di pawagam termasuklah filem itu - walaupun berpeluh dingin (malu) juga beratur untuk membeli tiket. Ya ternyata menghiburkan.


Promosi "mulut ke mulut" tidaklah terbukti berkesan 100 peratus. Sabtu lalu semasa saya dan isteri di Pulau Pinang menghadiri majlis pertunangan kawan baik isteri, Faznur, saya sempat berborak dengan sepupunya yang bekerja sebagai jurujual Perodua. Katanya, sejak pengeluaran pertama Perodua Myvi pada tahun 2005, sehingga kini Myvi mencatatkan rekod penjualan kereta pertama tertinggi di Malaysia. Katanya, Myvi tidak akan dihasilkan lagi pada tahun hadapan, Perodua menghasilkan model baharu sebagai ganti Myvi.

Ironinya, bacalah di mana-mana blog, laman web, ataupun daripada mulut-mulut orang, terlalu banyak ulasan dan kritikan teruk berkenaan Myvi. Kini melambak jugalah orang mengkritik di blog ataupun mulut yang mengkritik Perodua Alza. Realitinya, jualan Alza kini sudah mengalahkan Proton Exora.

Itu kisah "mulut ke mulut" berkenaan filem Malaysia yang dihasilkan kurang 50 filem dalam masa setahun, begitu juga dengan kereta yang dihasilkan Perodua dan Proton yang tidak melebihi tiga pengeluaran baharu pun dalam masa setahun. Bagaimana pula dengan industri buku yang kini mencecah 10,000 judul baharu setahun? Adakah "mulut ke mulut" mampu menjadikan satu buku bertuah daripada 10,000 itu sebagai bestseller?

Sebelum itu, perlu dimaklumi bahawa industri penerbitan adalah bisnes yang bersifat spekulasi. Industri ini diibaratkan seperti permainan yang mengharapkan tuah dan peluang. Bak kata Nicholas Clee, Editor The Bookseller, "Orang selalu bertanya kepada saya berkenaan fenomena mulut ke mulut (melariskan buku), tetapi sukar untuk menerangkannya secara sosiologi kerana situasi itu lebih kepada secara kebetulan dan serendipiti."

Serendipiti dalam bisnes dimengertikan sebagai keuntungan atau manfaat yang datang bergolek tanpa diduga hasil daripada kesan sinergi positif. Sebab itulah kita boleh melihat buku La Tahzan, Ayat-ayat Cinta, A Brief History of Time, dan Sophies World sehingga kini masih lagi menjadi bestseller, walaupun ada orang menyatakan semua buku itu tidaklah sehebat mana.

Yang penting, lebih banyak orang menceritakan kebagusan semua buku itu daripada yang me"negatif"kannya. Namun saya tetap percaya, sama ada filem, kereta mahupun buku, orang akan beria-ia menceritakan/mempromosikan yang bagus-bagus sekiranya ada KUALITI!

Ok secara jujurnya saya sedang menanti ketibaan kereta baharu. Hendak dijadikan cerita, kereta wira dahulu (isteri menamakannya "Bubu" kerana warnanya kelabu) diberikan kepada Abah. Kereta itu dimiliki selepas tiga bulan saya bertugas di PTS Publications. Asalnya, saya mengambil alih kereta itu daripada Abang, kerana dia membeli kereta baharu.


Kereta baharu saya? Oh itu biarlah rahsia. Cuma saya tertarik mahu menceritakan detik-detik semasa mahu menempah kereta itu. Kebetulan pula saya kini sedang membaca buku yang dibeli di Kinokuniya minggu lalu, 100 Great Sales Ideas sebelum menonton filem Adnan Sempit. Haha agak berpeluhlah semasa bercakap, "Dua tiket Adnan Sempit," di kaunter tiket TGV KLCC. Ya filem itu sekadar hiburan semata-mata. Bak kata kawan-kawan, "Sudah ada anak nanti, tak dapatlah kau selalu tengok wayang!"

Berbalik kepada semasa mahu membeli kereta... Pada mulanya ada seorang jurujual perempuan menghampiri saya mahu mempromosikan kereta itu. Langsung saya tidak tertarik dengan gaya menjualnya kerana dia beria-ia "mahu menjual!"

Kemudian ada seorang lelaki Cina menghampiri saya. Dia langsung tidak "menjual", tetapi lebih kepada bercerita tentang ragam orang semasa mahu membeli kereta. Namun saya tidak pun membeli kereta tersebut pada masa itu.

Bijaknya lelaki Cina itu, dia memberikan kad nama sebelum saya beredar. Secara spontan juga, dia meminta kad nama saya dan menyatakan, "Kalau Encik Anuar tidak sibuk esok, boleh datang bertemu saya."

Memang saya tertarik dengan dia dan saya datang kembali keesokan harinya selepas waktu bekerja. Maksudnya lelaki Cina itu melayan pelanggan ini pada waktu malam. Malah menyarankan saya untuk solat Maghrib dahulu sebelum membuat keputusan.

Persamaannya, semua ciri jurujual Cina itu terkandung di dalam buku yang saya nyatakan di atas. Dia "getting people to give you time". Ya saya tidak dipaksa untuk membeli kereta dengan terburu-buru. Dia pun "be available" mengikut kehendak masa saya. Malah sebelum itu dia "a good first impression" kerana berbual santai terlebih dahulu semasa awal perkenalan.

Yang paling penting, dia "enhancing customers' recall of you" kerana memberikan kad namanya sebelum saya beredar. Dia juga sanggup "lose your ego" berurus niaga dengan orang muda ini, walaupun dia sudah agak berumur. Sehingga kini dia tetap memanggil "Encik Anuar".

Semasa abang saya belajar di Sekolah Alam Shah, dia diberikan pilihan untuk mempelajari bahasa ketiga selain subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bahasa ketiga yang ditawarkan adalah Bahasa Arab, Bahasa Perancis, dan Bahasa Jepun.

Abang memilih untuk belajar Bahasa Arab. Emak kata, "Dengan belajar subjek Bahasa Arab, sekurang-kurangnya dapat memahami al-Quran semasa membacanya."

Saya tidak berpeluang menyambung pelajaran menengah ke sekolah berasrama penuh. Berdasarkan zon rumah, saya diberikan pilihan untuk belajar di SMK Dato' Jaafar (SDJ). Pada masa itu, SDJ agak teruk dari segi rekod disiplin pelajar. Maka emak abah memilih untuk menghantar saya ke Sekolah Menengah Arab Bugisiah Tampok (SMABT), berdasarkan keputusan peperiksaan pendidikan agama saya di Sekolah Agama Bandar senantiasa cemerlang. Alhamdulillah. - Di Johor ada pendidikan agama yang sistematik.

Secara jujur, saya berasa sedih sangat dihantar ke sekolah yang agak daif serba-serbi. Bayangkan daripada belajar pendidikan rendah di Sekolah Saint Joseph yang berada di tengah-tengah Bandar raya Johor Bahru, tiba-tiba menerima pendidikan menengah di SMABT, yang perlu menaiki tiga bas untuk tiba di situ.

Akhirnya kini saya sedar, benarlah restu ibu bapa itu penting dalam segala hal kehidupan kita sebagai anak. Berkat menuntut di SMABT itu, tidak pernah disangka-sangka dapat juga saya menyambung pengajian ijazah sarjana muda di UIAM, walaupun dahulu pernah terlintas di hati, "Entah apa nak jadi dengan diriku pada masa hadapan?"


Sekurang-kurangnya kini saya mampu memahami isi kandungan al-Quran (walaupun tidak semuanya), berupaya bertutur dengan orang Arab semasa menunaikan umrah, dan dapat berkongsi sedikit ilmu agama dengan rakan-rakan.

Saya pernah terfikir sebelum ini, "Bagaimanalah dengan kawan-kawan yang membaca Quran, tetapi tidak memahami bahasa Arab?"

Di sinilah baru saya menyedari betapa murninya tugas sukarela yang dilaksanakan oleh penterjemah. Sekiranya tidak ada inisiatif langsung penterjemah berbangsa Melayu yang berkorban masa, tenaga, dan wang untuk menterjemahkan Quran ke bahasa Melayu, saya percaya hampir 90 peratus umat Melayu-Islam tidak dapat memahami serta menghayati isi kandungan Kalam Allah ini.

Malah sekiranya tidak wujud langsung penterjemahan Quran ke bahasa Melayu, Umat Melayu-Islam yang tidak memahami maksud Quran dikhuatiri hanya mendirikan solat dan membaca Quran sekadar sebagai ritual harian atau adat, bukannya sebagai ibadat.

Ya malam tadi saya menonton Anugerah Juara Lagu (AJL). Cuma sekadar di hadapan kaca televisyen sahaja. Terus terang, saya memang meminati Faizal Tahir. Meminatinya kerana kekuatan vokal dan lagu yang memang cocok dengannya. Malah saya dan isteri pun sudah merancang untuk ke Istana Budaya pada Februari nanti untuk menonton persembahan Faizal Tahir dan Aizat anjuran SNP Productions (milik Siti Nurhaliza).

Sememangnya saya meminati muzik sejak dahulu lagi. Di UIA saya merehatkan diri daripada aktif PKPIM kerana mahu sepenuh masa dalam kumpulan gamelan. Cuma minat saya tidaklah kronik sehinggakan dikategorikan terjerumus dalam hedonisme. Sebelum mula AJL malam tadi pun, saya dan isteri bersolat isyak terlebih dahulu bagi memastikan hiburan itu tidak melalaikan.

Sambil menonton, sambil layan Facebook. Wah Abang Jamizal yang dahulunya acap kali berbicara dan menulis tentang falsafah, Plato, Aristotle dan lain-lain pun menulis di statusnya, "Menyokong hafiz af untuk juara lagu." Dahulu dia pernah menulis di blognya semasa musim Akademi Fantasi (AF), "Apa yang isteri lakukan, kita perlu sama-sama melakukannya." Maksudnya, isterinya suka menonton AF, maka dia pun bersama-sama menonton program realiti itu. Asalkan bahagia.

Berbalik kepada AJL malam tadi... Memang saya agak terkejut dengan keputusan yang memihak kepada Aizat. Saya skeptikal dengan keputusan yang mungkin dipengaruhi faktor Allahyarham Yasmin Ahmad dan kempen 1Malaysia.


Satu Malaysia mengetahui Datuk Farid Ridzuan dan Siti Nurhaliza (juri AJL) ada hubungan baik dengan Allayarham Yasmin. Mungkin ini faktor untuk memenangkan lagu "Pergi" yang merupakan lagu runut filem Talentime arahan Yasmin. Malah Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim pula hadir malam tadi. Sudah tentu lagu itu yang memuatkan unsur 1Malaysia menjadi pilihannya.

Itu sekadar telahan saya yang mungkin tidak logik. Cuma yang saya tertarik adalah pada bebelan panjang Faizal Ismail dan Cheryl Samad sebelum giliran Aizat menyanyikan lagu Pergi. Rupa-rupanya untuk menyusun lilin yang menjadi latar persembahan Aizat. Namun bebelan panjang itu ada fakta yang menarik perhatian saya. Rupa-rupanya asal lagu tersebut diterjemahkan daripada lagu I Go.

Cheryl memuji melambung kekreatifan Amran Omar berjaya menterjemahkan lagu dan lirik asal ciptaan Pete Teo itu. Hasilnya sangat menjadi kerana lagu tersebut dinobatkan sebagai lagu terbaik AJL ke-24.

Masyarakat Malaysia kurang mengetahui tentang aspek penterjemahan lirik lagu kerana ia merupakan bidang baru dalam pengajian penterjemahan, malah rujukan dalam bidang inipun sangat kurang. Dalam buku Song and Significance. Virtues and Vices of Vocal Translation, penulisnya pun agak kesal dengan pengabaian penterjemahan lagu popular dan persembahan berteraskan muzik walaupun ia adalah bidang yang menarik.

Buku tersebut diterbitkan pada tahun 2005.

  • Pada tahun 2007, filem High School Musical 2 keluaran Disney mencetuskan fenomena baharu dalam bidang ini. Lagu runut filem tersebut, iaitu You Are The Music In Me sangat popular sehinggakan diterjemahkan kepada 24 bahasa dunia. Dalam bahasa Melayu (BM), ia diterjemahkan sebagai Kau Muzik di Hatiku nyanyian Vince dan Jaclyn Victor.

  • Lagu runut filem animasi Tarzan berjudul You'll Be In My Heart nyanyian Phil Collin pun sangat popular dan dinyanyikan semula oleh Zainal Abidin dalam BM dengan judul Kau di Hatiku.

  • Lagu Siapa Aku nyanyian Suki pun merupakan lagu terjemahan popular daripada lagu This Is Me nyanyian Demi Lovato untuk filem Camp Rock.

  • Yang terbaharu dan mungkin terkini, lagu Pergi yang diterjemahkan daripada lagu I Go nyanyian sendiri Pete Teo.



Lirik lagu boleh dikategorikan sebagai karya kreatif yang memerlukan penterjemah mahir yang mempunyai bakat semula jadi. Penterjemah lirik lagu yang mapan akan mampu menghasilkan terjemahan yang bermutu dan terkandung nilai estetika yang tinggi.

Berbeza dengan penterjemahan teks, penterjemahan lagu perlu mempunyai unsur perasaan dan menggunakan bahasa yang lebih literal, santai dan mudah difahami.

Di ITNM, Khalil boleh dianggap abang kerana dia lebih berusia daripada saya, tetapi dia lebih selesa dipanggil namanya, Khalil daripada memanggil "abang".

Dua perkara menarik tentang beliau, iaitu suka mengajak solat berjemaah dan kerap bertanya tentang hal agama. Sehinggakan ada kalanya saya tidak mampu untuk menjawab pelbagai kemusykilannya terutamanya tentang isu ibadat.

Antara soalannya yang menyebabkan saya perlu merujuk kepada kawan yang lebih arif tentang agama seperti, "Aku mahu bermusafir, tetapi sudah masuk waktu solat. Adakah aku dibolehkan jamak qasar ataupun aku perlu solat secara sempurna?"

Namun yang paling menarik tentang beliau adalah keinginan mahu mengajak orang untuk solat berjemaah. Dia akan datang ke stesen kerja (workstation) saya untuk pergi solat berjemaah di surau. Paling tidak pun, dia akan menelefon dengan permulaan ayat, "Haiya haiya 'alas solah".

Biasanya ajakan ini adalah pada waktu asar. Kerana pada waktu zohor kami akan secara automatik ke surau bersama-sama selepas menikmati makan tengah hari.

Di pejabat, sangat perlu konsep bermesyuarat bersama-sama dan melaksanakan kerja bersama-sama. Lanjutan daripada itu akan terbawa-bawa kepada makan bersama-sama. Semuanya berkonsepkan bersama-sama. Jarang melihat ada rakan pejabat yang makan keseorangan, kecualilah kalau dia membawa bekal makanan daripada rumah.

Cuma apabila pulang dari makan tengah hari, kita seolah-olah terpecah kepada dua kumpulan; satu ke surau, satu lagi ke stesen kerja. Mengapa tidak diaplikasikan konsep bersama-sama ini dalam ibadat solat berjemaah?

Perkara inilah yang saya maklumkan kepada isteri. Kata saya kepadanya, "Kita makan bersama, jalan-jalan bersama, tidur bersama, dan segala aktiviti kita lakukan bersama-sama. Sangat rugi kalau kita tidak solat bersama."

1. “Jangan dah nak terberak baru nak korek lubang”, pepatah Melayu yang bermaksud persediaan saat akhir. Walaupun pepatah ini kurang enak didengar, tetapi penggunaan perkataan majaz “berak” sangat tepat kerana menunjukkan deria rasa sakit perut yang secara semula jadi tidak boleh “ditahan-tahan” oleh badan manusia.

2. Perkataan ganti yang kini sudah difahami umum bagi perbuatan ini adalah “buang air besar”, sungguhpun pada asalnya ia tidak merujuk tepat kepada perbuatan berak. Dalam bidang perubatan, istilah “peninjaan” digunakan bagi merujuk kepada perbuatan berak.

3. Hasil kajian kromatografi gas pada tahun 1984 mendapati sebatian yang mengandungi sulfur seperti methanethiol, hidrogen sulfida, dan dimetil sulfida merupakan punca bau busuk kentut. Kentut boleh juga dikeluarkan tanpa menghasilkan sebarang bau dan bunyi.

4. Kita selalu mendengar serangan jantung banyak berlaku di dalam bilik air. Sebenarnya semasa berak, otot dada, diafragma, otot dinding abdomen, dan diafragma pelvis akan menekan atau meneran keluar saluran cerna. Pernafasan turut terhenti seketika semasa paru-paru menekan dada ke bawah untuk memberi tekanan. Pada masa yang sama, tekanan darah meningkat selain jantung mengepam darah masuk dengan pantas.

5. Di Malaysia kini banyak kelihatan adalah tandas duduk. Kaedah berak sebegini sebenarnya dipromosikan oleh dunia Barat yang bertujuan untuk mengurangkan rasa sakit di paha, betis, pergelangan kaki dan punggung bawah. Cara begini menyempitkan sudut anorektum sehingga menyukarkan proses “mengosongkan” perut. Akibatnya, besar kemungkinan seseorang itu mengalami olah gerak Valsalva dan membebankan sistem kardiovaskular. Berak dengan menggunakan jamban duduk juga memerlukan lebih masa berbanding dengan jamban mencangkung.


Artikel saya di dalam Dewan Kosmik keluaran Januari 2010.

Tahun pertama di ITNM.

Saya banyak belajar benda baharu berkenaan hal komunikasi korporat atau biasa orang sebut PR. Sebelum ini, saya bukanlah minat 100 peratus dalam bidang ini. Dahulu di UIA diberikan pilihan subjek minor, saya lebih cenderung memilih jurusan sains politik. Kononnya mahu menjadi ahli politik, tapi sekarang tidak minat pula menyertai politik.

Introduction to Communication pun belajar main-main kerana pensyarahnya asyik sibuk dengan seminar atau penyelidikan sahaja, sehinggakan kelasnya dikendalikan oleh pelajar PhD yang diseliakannya. Nama pensyarah itupun saya sudah lupa.

Orang lain akan nampak cara kerja PR ini menyeronokkan sahaja. Kalau di DBP dahulu, orang PR akan ke sana sini menjalankan aktiviti DBP. Pendek kata, ke mana sahaja Ketua Pengarah DBP pergi, di situ ada orang PR. Ataupun di mana sahaja ada program DBP, adalah orang PR. Nampak macam seronok berjalan.

Hakikatnya, PR di ITNM tidaklah terlalu indah sebagaimana yang dibayangkan. Kalau saya atau Shida menghadiri mesyuarat PR di Kementerian Pelajaran Malaysia, selalu sangat mendengar keluhan mereka yang banyak kerja. Kalaulah mereka buat PR di ITNM, baru tahu rasanya.

Satu perkara yang JANGAN dilakukan oleh PR di ITNM ini, "Jangan kata tak tahu kalau orang tanya apa-apa." Shida yang pesan semasa bulan pertama di ITNM ini. Tapi biasalah... Banyak benda yang saya tidak tahu, tetapi perlu juga menjawab tahu. Kalau jawab tidak tahu, siaplah kena cop tidak peka dengan keadaan sekeliling.

Walau apa-apapun, saya seronok bekerja dalam bidang penerbitan ini. Senang kata, inilah punca rezeki saya. Sama ada suka ataupun sebaliknya, saya sangat bersyukur masih lagi diterima bekerja dan terasa kewujudan di dalam ITNM.