Semasa abang saya belajar di Sekolah Alam Shah, dia diberikan pilihan untuk mempelajari bahasa ketiga selain subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bahasa ketiga yang ditawarkan adalah Bahasa Arab, Bahasa Perancis, dan Bahasa Jepun.

Abang memilih untuk belajar Bahasa Arab. Emak kata, "Dengan belajar subjek Bahasa Arab, sekurang-kurangnya dapat memahami al-Quran semasa membacanya."

Saya tidak berpeluang menyambung pelajaran menengah ke sekolah berasrama penuh. Berdasarkan zon rumah, saya diberikan pilihan untuk belajar di SMK Dato' Jaafar (SDJ). Pada masa itu, SDJ agak teruk dari segi rekod disiplin pelajar. Maka emak abah memilih untuk menghantar saya ke Sekolah Menengah Arab Bugisiah Tampok (SMABT), berdasarkan keputusan peperiksaan pendidikan agama saya di Sekolah Agama Bandar senantiasa cemerlang. Alhamdulillah. - Di Johor ada pendidikan agama yang sistematik.

Secara jujur, saya berasa sedih sangat dihantar ke sekolah yang agak daif serba-serbi. Bayangkan daripada belajar pendidikan rendah di Sekolah Saint Joseph yang berada di tengah-tengah Bandar raya Johor Bahru, tiba-tiba menerima pendidikan menengah di SMABT, yang perlu menaiki tiga bas untuk tiba di situ.

Akhirnya kini saya sedar, benarlah restu ibu bapa itu penting dalam segala hal kehidupan kita sebagai anak. Berkat menuntut di SMABT itu, tidak pernah disangka-sangka dapat juga saya menyambung pengajian ijazah sarjana muda di UIAM, walaupun dahulu pernah terlintas di hati, "Entah apa nak jadi dengan diriku pada masa hadapan?"


Sekurang-kurangnya kini saya mampu memahami isi kandungan al-Quran (walaupun tidak semuanya), berupaya bertutur dengan orang Arab semasa menunaikan umrah, dan dapat berkongsi sedikit ilmu agama dengan rakan-rakan.

Saya pernah terfikir sebelum ini, "Bagaimanalah dengan kawan-kawan yang membaca Quran, tetapi tidak memahami bahasa Arab?"

Di sinilah baru saya menyedari betapa murninya tugas sukarela yang dilaksanakan oleh penterjemah. Sekiranya tidak ada inisiatif langsung penterjemah berbangsa Melayu yang berkorban masa, tenaga, dan wang untuk menterjemahkan Quran ke bahasa Melayu, saya percaya hampir 90 peratus umat Melayu-Islam tidak dapat memahami serta menghayati isi kandungan Kalam Allah ini.

Malah sekiranya tidak wujud langsung penterjemahan Quran ke bahasa Melayu, Umat Melayu-Islam yang tidak memahami maksud Quran dikhuatiri hanya mendirikan solat dan membaca Quran sekadar sebagai ritual harian atau adat, bukannya sebagai ibadat.

2 komen:

fusarium solani berkata...

Salam,

Anuar,

Ibu dan bapa selalu memcuba menyedia yang terbaik untuk anak-anak mereka berdasar pengalaman hidup yang mereka lalui.

Saya sedang mencari(membuat) masa untuk mempelajari bahasa ketiga dan keempat.....

Ticer Syah berkata...

tanpa terjemahan kita tak paham apa yang cuba disampaikan..
pernah ditegur orang arab..dia kata.. mcm mana nak hayati Al-Quran, kalau tidak faham.. me--speechless..

tak berpeluang nak belajar B.Arab.. nasib baik sekarang dah ada dalam silibus kat sekolah rendah :)