Fokus: Eutanasia: Membunuh atau Ihsan? (Sila klik untuk membaca isi kandungannya)

Mungkin banyak yang tidak tahu maksud istilah eutanasia. Istilah ini tidak dikenali langsung di Malaysia kecuali rakan-rakan yang belajar jurusan perubatan dan undang-undang.

Walau bagaimanapun, Malaysia sudah menerbitkan filem yang menceritakan khusus berkenaan eutanasia, iaitu Seri Dewi Malam yang dilakonkan oleh Maya Karin, Jeslina Hashim, Danny X-Factor dan lain-lain. Cuma filem ini tidak langsung memperkenalkan atau menjelaskan maksud eutanasia. Antara dialognya, "Bantuan hayat perlu dicabut bagi memudahkan dia pergi."

Maksud eutanasia: Perbuatan mematikan seseorang yang menanggung azab penyakit yang tidak dapat disembuhkan lagi atas dasar perikemanusiaan supaya pesakit tersebut tidak berpanjangan mengalami azab.

Fahamkah?


Adakah eutanasia dibenarkan dalam Islam? Yusof Qardawi ada jawapannya di dalam Dewan Kosmik. Negara manakah yang membenarkan pelaksanaan eutanasia? Mohd Khairulanuar Manshor menulis berkenaannya di dalam Dewan Kosmik. Berapakah kes yang sudah berlaku dengan menggunakan eutanasia? Sabri Mohamad Sharif memberikan penjelasan terperinci di dalam Dewan Kosmik.

Sebenarnya Suharto meninggal dunia dengan dilakukan menggunakan eutanasia.

Saya suka lagu DBP ini. Lagunya dicipta oleh Saiful Bahri hasil nukilan lirik oleh Sasterawan Negara Usman Awang. Kedua-duanya pernah bertugas di DBP.

Dewan Bahasa tenaga jiwa bangsa
Nama dari suatu sejarah
Api dari suatu zaman
Kesaktian lidah rakyat

Dewan Bahasa kau obor kebangsaan
Restu dari jiwa pahlawan
Nyala membakar semangat rakyat
Kau abadi dan keramat

Dipayungi langit tanah air
Diusap angin pantai permai
Dilindungi pohon nan menghijau
Dijunjung tanah tempat berpijak

Dewan Bahasa tenaga jiwa bangsa
Nama dari suatu sejarah
Api dari suatu zaman
Obor semangat nan abadi

Apa ada dengan lagu ini?

Apabila saya menyanyikan lagu ini di sebarang acara, pasti bulu roma meremang. Semangat! Dalam masa yang sama, perasaan hati sangat sedih apabila mengenangkan nasib bahasa Melayu yang semakin layu; layu semakin kurang penuturnya (walaupun bahasa keempat utama di dunia), layu diinjak oleh ahli politik, layu dihina oleh banyak orang.

Malah ada juga orang Melayu yang berasa bodoh apabila bercakap atau menulis dalam bahasa Melayu. Alasannya, tidak terluah segala yang tersirat di dalam hati sekiranya menggunakan bahasa Melayu.

Ini sebenarnya isu lapuk.

Semoga tiada orang berkata, "Come on la Anuar. Orang lain dah sibuk naik ke bulan, sibuk buat robot, sibuk cari duit, buat apa kau sibuk dengan BM? Tidak ke mana-manalah kau. Duduklah kau lama-lama di bangunan rehal itu!"

Saya demam apabila tiba di Kota Bharu sesudah memandu selama sembilan jam! Pade doh! Saya tidak akan memandu sendiri lagi ke sana.

Masuk sahaja Kota Bharu, demam pilihan raya amat dirasai. Poster, sepanduk, bunting dan bendera parti-parti yang bertanding sudah "bersepah" di sepanjang jalan raya. Berbeza keadaannya dengan situasi di Kuala Lumpur. "Sejuk" sahaja.

"Cuba lepas zohor around 2pm, nanti tel semula." SMS daripada seorang calon parlimen. Saya pergi ke bilik gerakan bahagian, "Dia tidak pernah datang sini," jawab petugas wanita yang comel. Haha. Sehingga ke rumahnya saya terjah, pun tiada. Huhu. Dasar orang politik rasanya kot.

"Boleh tuan haji berikan nombor telefon?" tanya saya. "Oh tidak bolehlah," jawab seorang calon DUN. "016-*******," jawab seorang calon parlimen yang terkenal. -Dua perbezaan orang politik.

Saya tiba awal di satu kawasan bagi penamaan calon. Kawasan berhimpun parti A sudah penuh berkumpul di bawah khemah, solat hajat. Kawasan berhimpun parti B, biasa sahaja. Parti A berarak dengan laungan doa wihdah dan takbir, parti B dengan pekikan lolongan. Parti A masuk tepat pada masanya, 9 pagi, manakala parti B tiba pada pukul 9.30 pagi. Yang mana satukah pilihan anda?

Keluarlah mengundi. Bagi yang belum mendaftar, daftarlah selepas pilihan raya nanti ya!

Esok, 22 Februari, saya ke Kelantan bagi membuat liputan sempena penamaan calon pilihanraya umum ke-12.

Saya ditugaskan bagi memantau segala aktiviti calon dan bakal pengundi di Kelantan, khususnya Parlimen Ketereh kerana mahu mengetahui situasi dan potensi Barisan Nasional (BN) di Kelantan. Manakala Suria Janib, Penolong Editor Dewan Masyarakat akan melihat situasi parti PAS di sana. Saya berminat juga bertemu dengan Dr. Asyraf Wajdi Dato' Dusuki, pensyarah UIAM yang dicalonkan di Parlimen Tumpat. Dahulu, beliau merupakan mantan Presiden PKPIM dan pernah mengetuai Gerakan Mansuhkan ISA dan berapi-api menentang dasar kerajaan semasa kes Anwar Ibrahim, tetapi kini beliau antara calon muda yang bertanding atas tiket BN.

Saya di sana sehingga Isnin, 25 Februari. Manakala akan ke sana lagi pada 5 Mac untuk liputan pilihan raya pula.

Semuanya untuk keluaran khas Dewan Masyarakat sempena pilihan raya umum ke-12.

Rasanya hampir setiap minggu ada sahaja surat berangkai yang diterima. Saya ingat lagi semasa di sekolah, surat berangkai masih lagi menggunakan kertas biasa yang difotostat. Biasanya diedarkan di masjid atau surau. Kini surat berangkai sudah lebih maju, iaitu dengan menggunakan e-mel. Kadangkala yang mengirimkan surat ini adalah rakan sendiri. Huh!

Sebenarnya wujudnya surat berangkai pada 1920-an adalah bertujuan untuk bergurau. Antara bentuk mesej surat berangkai, "Buat salinan mesej ini dalam masa 24 jam dan kirimkan kepada sembilan orang. Jangan putuskan mesej ini atau anda akan ditimpa nasib malang selepas sembilan hari." Walaupun asalnya bertujuan sebagai hiburan, surat ini sudah menjadi ancaman yang menyebabkan banyak orang khuatir lalu terpengaruh. Masakan tidak terpengaruh, ada yang menggunakan nama seperti "Penjaga Kaabah", "Imam Masjid Haram", pemimpin politik dunia dan lain-lain.

Di Friendster pula, banyak rakan yang mengirimkan mesej supaya menyebarkan ayat-ayat persahabatan bagi menunjukkan kesetiaan. Sekiranya mesej itu kembali kepada pengirim itu semula, ia menunjukkan kita menghargai persahabatan dengannya. Demikian juga sebaliknya. Ada juga surat berangkai yang menawarkan pelbagai habuan. Kadangkala kita menerima surat yang ada senarai nama yang perlu dikirimkan wang atau apa-apa sahaja barang. Bayangkan:
  • Peringkat 1: Orang yang terbabit: 1
  • Peringkat 2: Orang yang terbabit: 10
  • Peringkat 3: Orang yang terbabit: 100
  • Peringkat 4: Orang yang terbabit: 1000
Sekiranya kita menghantar RM10 kepada orang pertama, lama kelamaan orang itu akan menerima RM 100, RM 1000, RM 10 000... RM 10 bilion. Mustahilkah?

Situasi ini pernah berlaku di Denver, Colorado pada tahun 1935. Setiap orang diminta mengirimkan 10 sen, bayaran terakhir yang diterima berjumlah RM 1562.50. Pejabat pos pada masa itu terpaksa mengharamkan surat berangkai kerana kelam kabut menguruskan lebih 285 000 pucuk surat.

Surat berangkai adalah contoh "Skim piramid" klasik, sudah tentu ia salah satu bentuk perjudian. Kepada sahabat-sahabat, usahlah mengirimkan mesej berangkai di Friendster.

Sesungguhnya kita berada dalam kerugian kerana diperbodohkan oleh gurauan orang lain.

Jumlah masa tidur binatang:
  • Kelawar: 20 jam
  • Armadilo: 18 jam
  • Tupai: 16 jam
  • Kucing: 13 jam
  • Anjing: 12 jam
  • Ikan gupi: 6 jam
  • Kuda: 3 jam
  • Kura-kura: kurang 1 jam
Menurut Yayasan Tidur Kebangsaan, sebaik-baiknya manusia tidur selama lapan sehingga sembilan jam bagi mengekalkan keupayaan berfikir dan kebaikan kesihatan. Namun menurut Dr. Ray Meddis, tidur yang terbaik adalah tiga sehingga empat jam sahaja.

Sebagai Muslim, baki masa tidur itu sebaik-baiknya dihabiskan dengan tahajud. Tahajud sebenarnya menjadikan hormon melatonin berada dalam keadaan stabil. Hormon ini membentuk sistem kekebalan dalam tubuh dan mengawal pergerakan hormon estrogen.

Banyak betul peristiwa melucukan apabila melihat rakan seagama (kadangkala diri sendiri) tidur semasa mendengar khutbah Jumaat.

Kepada rakan-rakan yang suka membaca atau pencandu buku, sila klik Berita Harian untuk membaca rencana menarik berkenaan budaya membaca tulisan Datuk Johan Jaafar. Ataupun sila baca di ruangan komen.

Antara petikan menarik daripada rencana itu, "Generasi muda bukan tidak membaca tetapi mereka 'membaca' di layar komputer. Teknologi baru mengubah cara manusia berkomunikasi, berinteraksi malah berkerajaan. Dunia ilmu tidak terkecuali. Hari ini ada penerbit yang memanfaatkan teknologi terbaru untuk memberikan alternatif pada dunia buku. Novel SMS misalnya popular di Jepun masa ini."

"Sejak ada internet di rumah, aku banyak menghabiskan masa di depan komputer sahaja." Balas Mat Jan, "Sekurang-kurangnya apa-apa yang kau baca di internet seolah-olah sudah menyamai kau membaca buku."

Novel SMS kini sedang diusahakan oleh PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. Mungkin ini projek novel SMS pertama yang diusahakan oleh penerbit di Malaysia.

Sila baca Utusan terlebih dahulu. Ada juga orang Thailand yang membantah Hari Valentine ini. Bagaimana pula dengan kita?

Sebenarnya fakta yang menyatakan valentine (love) berbentuk hati boleh dipertikaikan. Bentuk itu memang sama seperti hati tetapi tidak betul-betul sama.

Desmond Morris, pakar antropologi menyatakan bentuk itu mirip punggung yang diolah dalam gaya yang ada hubungan romantik. Sesetengah pendapat pula menyatakan bahagian atas love itu kelihatan seperti buah dada wanita. Manakala bahagian kecil dibawah seperti pinggang wanita.

Warna merah valentine pula ada kena mengena dengan warna darah yang dipam melalui hati. Ada juga yang mendakwa warna merah itu ada kaitan dengan warna bibir wanita.

Sekiranya bentuk love itu adalah gambaran punggung dan payudara, sudah tentu ia perlu diklasifikasikan sebagai 18SX.

Lihat di luar tingkap, banyak kereta yang berwarna hitam, merah, biru dan kelabu bukan? Kereta saya berwarna kelabu, Fadhilah; merah, Hisham; hijau, Rozita; hitam, Wanzu; kelabu (sekadar beberapa nama).

Semasa Henry Ford mula-mula mereka Model T pada 1908, dia memaklumkan pembeli boleh mendapatkan kereta itu dalam apa-apa warna, asalkan ada yang berwarna hitam. Kini masa beredar pantas, banyak pilihan warna boleh didapati pada masa kini. Cuma kebelakangan ini kereta berwarna hitam amat diminati berbanding dengan putih kerana ia kelihatan bersih, sederhana dan mudah dicuci (di tempat bercuaca panas, putih tidak menyerap haba). Ini alasan saya semasa Abang Shahrul mahu membeli kereta baharu.

Putih masih tetap menjadi pilihan untuk van dan trak. Warna alam semula jadi seperti sawo matang (pilihan pengguna Gen2), hijau muda (pilihan pengguna MyVi) juga semakin popular. Manakala warna akuarium, perak dan ungu (pilihan pengguna Persona) turut semakin disukai. Orang menyukai perubahan. Warna pula mempunyai kitaran dan populariti.

Faktanya, 60 peratus lelaki, manakala 51 peratus wanita berumur antara 18 sehingga 34 tahun menyatakan warna menjadi faktor penting dalam membuat keputusan membeli kereta.

Kereta ibarat isteri. Pembiayaannya terlalu tinggi...

Benar bukan? Kita memang mudah mengingat lirik lagu walaupun sudah lama tidak mendengarnya. Apabila kita mendengar sahaja intro lagu itu, sudah tahu judul lagu dan lirik seterusnya.

Semasa konsert Gema Gangsa, petikan gitar Shafiq sebagai intro lagu Suci Dalam Debu sudah membuatkan satu Dewan CAC, UIA bersorak.

Dua sebab menyebabkan lagu mudah diingati. Pertama, sebab lagu itu sendiri. Lagu biasanya disusun dengan banyak irama. Irama yang syahdu diadun dengan perkataan (lirik) yang puitis pasti didengar berulang-ulang oleh pendengarnya. Sudah tentu kita mudah mengingat lagu itu dengan teknik pengulangan.

Kedua, muzik adalah elemen yang berkaitan dengan emosi manusia. Kita sudah tentu menggemari elemen yang menyenangkan kita berbanding dengan elemen yang traumatik atau menyusahkan kita. Kuncinya, kita lebih mengingati muzik kerana menyenangkan emosi kita.

Emosi yang positif, ditambah dengan kiu lagu serta strukturnya yang indah menyebabkan lagu itu mudah kita mengingati liriknya, walaupun sudah bertahun tidak mendengarnya.

Mungkin dengan cara melagukan apa-apa fakta, keupayaan mengingat saya akan meningkat.

Teringat pada nenek (sebelah emak) di Muar. Sudah tua. Tandanya, ada bongkok tiga, tetapi tidak pula asyik berjaga siang dan malam.

Nenek (sebelah abah) di Kota Tinggi pula mencecah usia 80, tetapi masih kuat, tidak memakai kaca mata. Cuma keupayaan mendengar agak kurang.

Atuk (sebelah emak) sudah dua tahun meninggal dunia. Semasa hayatnya, atuk memiliki badan yang agak besar. Kasihan melihat keadaan atuk semasa meninggal dunia. Badannya susut. Mungkin disebabkan faktor usia yang sudah lanjut menyebabkannya hilang berat badan.

Sebenarnya memang fakta orang tua kehilangan ketinggian, otot dan lemak sehingga menyebabkan mereka (baca: kelak kita) menjadi kecil. Tulang belakang mereka pula merosot dan menjadi mampat sehingga menjadikan tulang itu pendek. Faktor ini disebabkan tarikan graviti. Kita semua kelak nanti akan menjadi semakin pendek kerana air diperah keluar dari cakera tulang belakang. Berbanding dengan orang muda seperti kita (pada masa kini), mereka mempunyai lebih air yang dapat mengembalikan ketinggian asal pada waktu malam.

Osteoporosis pula menyebabkan tulang vertebra orang tua remuk. Penyakit ini menyebabkan tulang pesakit kurang padat bagi memangku berat badan lalu menyebabkan orang tua tidak dapat berdiri tegak. Rupa-rupanya bongkok nenek berpunca daripada faktor ini.

Biasanya lelaki akan menyusut sebanyak tiga sentimeter, manakala perempuan lima sentimeter dalam lingkungan umur 30 sehingga 70 tahun.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada penyakit alzheimer atau nyanyuk yang lebih mengaibkan apabila tua nanti.

Sekiranya pergi menonton wayang di Kompleks Summit, USJ, saya akan singgah salah sebuah kedai menjual DVD (cetak rompak) kerana banyak filem yang tidak ditayangkan di panggung wayang dijual di situ.

Sementara menunggu waktu tayangan CJ7, saya sempat membeli DVD filem Charlie Wilson's War. Filem ini diterbitkan pada 2007, tetapi tidak ditayangkan di Malaysia. Oleh sebab itulah saya membeli DVD walaupun cetak rompak. Yang tulen pasti tidak dijual di pasaran.
Filem yang berdasarkan pada kisah sebenar ini sebenarnya diadaptasikan daripada buku Charlie Wilson's War tulisan George Crill. Charlie Wilson ialah bekas Pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang pernah menjadi wakil Demokrat di Kongres AS mewakili daerah Texas. Beliau terkenal kerana usahanya melobi supaya memberikan dana terbesar kepada CIA bagi membantu mujahidin Afghanistan semasa Perang Soviet (1979-1989).
Filem ini dilakonkan oleh Tom Hanks, Julia Roberts dan Philip Seymour Hoffman. Dalam filem ini ada babak penglibatan Israel dalam usaha membantu Mujahidin Afghanistan.

Menariknya, kebanyakan mujahidin yang dahulunya dibekalkan senjata oleh CIA kini menjadi pejuang Taliban yang melindungi Osama bin Laden. Kini mereka pula yang diburu oleh AS. AS memang bijak...

Seharian berjalan meninjau dan mencari pakaian pengantin yang sesuai dan menarik. Pagi-pagi lagi sudah ke Kajang... Sehingga malam masih lagi di Shah Alam.

Koleksi pakaian Man Kajang memang amat menarik, tetapi harga sewaan yang ditawarkan agak tinggi pula. Berpatutan dengan jenama "Man Kajang" yang sudah terkenal dalam kalangan pasangan yang akan mendirikan rumah tangga.

Di Shah Alam pula, kami mengunjungi tiga kedai di Plaza Alam Sentral. Dalam banyak-banyak pakaian yang dipamerkan, ada satu pakaian yang menarik perhatian. Kebetulan pula pakaian itu dijadikan iklan dalam majalah Pesona Pengantin keluaran Februari 2008.

Saya, Fadhilah, Mak Cik Hashimah (ibu Fadhilah) dan Umi (adik Fadhilah) berjalan pula ke SACC. Tertarik pula pada koleksi pakaian pengantin Salikin Sidek. Cantiklah pula! Harga: Masih tidak tahu. Di laman sawangnya, harga untuk pakej perkahwinan agak berpatutan.

Esok pula akan ke Semua House di Jalan TAR untuk melihat koleksi Kak Diana (yang membuat pelamin) pula.

Pening... Mujur majlis saya nanti di Johor Bahru dianggap sudah selesai kerana saya sudah biasa berurusan dengan pak andam (Amy Bridal) yang mengandam Abang Shahrul (semasa majlis perkahwinannya).

Apabila saya bertanya pada tunang, mengapa mahu menghabiskan belanja yang besar untuk majlis nanti? Jawapannya, "Kahwin hanya sekali."

Sudah seminggu saya selesema. Sukar bernafas. Suara pun agak lain.

LiveScience mengklasifikasikan demam selesema antara 10 penyakit misteri di dunia. Termasuk dalam kategori ini ialah AIDS dan Alzheimer. Pakej dalam selesema; batuk berkahak, hidung berair dan bersin.

Mengapakah kita menutup mata semasa bersin?

Ada orang mengatakan, sekiranya mata terbuka semasa bersin, biji mata akan terkeluar. Sebenarnya cerita itu mitos semata-mata. Walaupun kita bersin sambil membuka mata, mata tidak akan terkeluar dari tempatnya, tetapi pernahkah kita melihat orang bersin sambil membuka mata?

Tidak. Menutup mata semasa bersin adalah refleks. Amat mustahil kita dapat membuka mata semasa bersin. Sekiranya salah satu saraf kita terangsang, ia akan merangsang respons kepada saraf yang lain. Contohnya, mata berair apabila menguap.

Mengapakah kita bersin?

Bersin adalah bentuk pernafasan yang ekstrem. Apabila bersin, udara dihembus dengan kuat melalui hidung supaya bahan-bahan asing tidak tersimpan di dalam badan kita. Sekiranya kita tersedut habuk, habuk akan menyebabkan hidung terangsang dan mencetuskan bersin. Begitu juga keadaannya semasa selesema dan alahan pada sesuatu.

Bersin yang paling laju pernah direkodkan adalah pada kelajuan 166 kilometer sejam! Manakala Guinness Book of Records pernah mencatatkan Donna Griffiths dari England sebagai pemegang rekod orang yang paling lama bersin, iaitu bermula 13 Januari 1981 sehingga 978 hari kemudian. Orang yang tidak pernah bersin di dunia ialah Firaun!

Bersyukur kita masih berupaya untuk bersin. Alhamdulillah...

Sudah dua hari saya mendiami rumah di Bandar Tun Hussein Onn. Sudah dua hari juga saya dapat tidur nyenyak, tetapi tidaklah sampai terlajak solat Subuh;) Begitu nyenyak tidur kerana suasana persekitaran rumah yang jauh daripada bising/hingar jalan raya. Berbeza dengan rumah di USJ yang amat dekat dengan lebuh raya. Semasa tidur juga dapat dengar deruman enjin kenderaan.

Dalam istilah bahasa Inggeris, sleep tight merujuk pada keadaan tidur yang nyenyak. Sekiranya diterjemahkan, mungkin bermaksud "tidur dalam keadaan ketat". Pelik. Bagaimana istilah ini boleh merujuk pada keadaan tidur yang nyenyak?

Istilah ini sudah wujud sejak abad ke-18. Ia diambil bersempena dengan bentuk tilam yang mempunyai sokongan tali pada setiap penjuru tilam. Berbeza dengan tilam pada masa kini yang mempunyai spring ataupun span, tilam pada zaman dahulu cuma mengandungi bulu. Tali yang dianyam pada tilam akan diketatkan atau ditarik supaya tilam itu tidak melendut.

Mungkin disebabkan itulah orang berkata, "Tidur dalam keadaan ketat" atau sleep tight untuk merujuk pada tali, iaitu supaya tali itu cukup ketat sehingga orang yang tidur akan mengalami tidur yang nyenyak.

Ada orang tidak mahu terlalu selesa tidur kerana mahu bangun Qiyamullail.

Saya suka menonton wayang. Biasanya saya akan memperoleh sesuatu ilmu daripada jalan cerita. Memang tidak dinafikan menonton wayang dapat menghiburkan jiwa. Tetapi bukanlah sehingga mencapai tahap hedonisme. Hamka sendiri menukilkan di dalam bukunya berkenaan hobinya yang suka menonton wayang (mungkin cereka ataupun wayang kulit).

Perkara yang paling membosankan semasa menonton wayang; apabila terdengar bunyi deringan telefon bimbit, perbualan yang agak kuat, goyangan kerusi semasa duduk dan kunyahan bertih jagung (pop corn) yang "ganas". Pada minggu lalu, semasa menonton dua filem, iaitu Cuci dan Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street, konsentrasi tetap terganggu dengan semua keadaan itu.

Terfikir sejenak, mengapa orang hanya memakan bertih jagung semasa menonton wayang?

Bertih jagung mula wujud sejak 5600 tahun dahulu semasa ketua puak New England memberikannya kepada penyebar Kristian pada Hari Kesyukuran pada tahun 1621. Pemberian itu bukan dalam bentuk bungkusan kon seperti yang biasa dilihat sekarang, tetapi dibungkus di dalam beg kulit rusa.

Apabila wayang mula-mula ditayangkan pada tahun 1910-an, bertih jagung tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam panggung-panggung mewah. Pada masa itu, wayang tidak ada bunyi. Hanya ada paparan gambar. Oleh itu, bunyi kunyahan bertih jagung pasti mengganggu orang lain. Walau bagaimanapun, semasa pasaran saham jatuh merudum pada 1929, beberapa panggung mewah mengalami kerugian dan ada yang ditutup, manakala panggung-panggung kecil dan murah (yang dibenarkan membawa masuk bertih jagung) masih lagi beroperasi.

Pemilik panggung mewah mula menyedari keadaan ini. Lalu menyebabkan mereka menjual bertih jagung sebagai wang sampingan. Dalam masa yang sama, makanan itu dibenarkan dibawa masuk ke dalam panggung selepas wayang mula menyediakan sistem audio yang menenggelamkan bunyi kunyahan bertih jagung.

Sebenarnya kos bertih jagung amat murah. Sekiranya makanan itu dijual oleh pihak bukan pemilik panggung, sudah tentu menguntungkan pihak itu. Disebabkan itulah, pada masa kini hampir semua panggung memiliki gerai konsesi yang menjual bertih jagung. Jadi bertih jagung bukanlah menjadi makanan yang menyeronokkan untuk penonton wayang, tetapi sebenarnya membantu panggung terus berniaga dengan keuntungan.

Patutlah ada papan tanda, "Makanan Luar Tidak Dibenarkan Dibawa Masuk".

Saya pernah memaklumkan berkenaan pembelian rumah di Selayang. Sebelum itu saya sudah membeli rumah di Batu Caves. Sebenarnya saya membatalkan hasrat membeli rumah di Selayang. Sebabnya kerana memikirkan pada masa akan datang, sekiranya bakal isteri ditempatkan di Putrajaya, sudah tentu jauh perjalanan dari Selayang ke Putrajaya. Kasihan pula! Tetapi memang berasa agak kecewa kerana terpaksa melupakan membeli rumah itu.

Walau bagaimanapun, semalam saya sudah berpindah ke apartmen D' Puncak Suasana, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. Rumah ini asalnya milik Pak Busu Fadhilah. Dia menjualnya rumah itu dan membeli rumah lain (di atas tanah) kerana mahu menjaga ibu mentua yang sudah uzur. Harga rumah apartmen ini lebih kurang rumah di Selayang, tetapi rumah itu lengkap dengan perabot dapur, hiasan siling, penyaman udara, almari baju, jeriji dan lain-lain. Lokasi ke pejabat saya, dekat. Ke pejabat Fadhilah pada masa kini (Jalan Semarak) pun agak dekat. Sekiranya dia ditempatkan di Putrajaya, tiada masalah juga.

Buat masa ini, saya menyewa bersama-sama Hisham (teman serumah sewa di USJ). Ini kerana rumah itu baru sahaja memperoleh "strata title". Oleh itu, urusan cukai tanah dan hal-hal lain perlu diselesaikan dahulu oleh pemilik asal sebelum penukaran nama pemilik dilakukan.

Jemputlah datang ke rumah pada masa raya nanti. Hendak mengadakan usrah pun dialu-alukan. Peta ke rumah saya:

View Larger Map