Cikgu Aminah bertanya kepada semua kawan-kawan saya di darjah satu, SRK Saint Joseph, "Apakah cita-cita anda?" Cikgu Aminah memang menggunakan bahasa baku dan bahasa Melayu standard semasa mengajar di kelas. Setiap kali isu bahasa baku dibangkitkan, saya mesti teringat Cikgu Aminah.

Cita-cita saya pada masa itu mahu menjadi MISI atau lebih dikenal sebagai jururawat (nurse)! Tiada sesiapapun yang menggelakkan saya pada masa itu. Mungkin kawan-kawan saya pada masa itu mengetahui kerjaya misi juga layak disandang oleh lelaki.

Saya tertarik untuk menjadi misi kerana kerap pergi ke klinik kerajaan di Flat Lumba Kuda. Kini flat itupun sudah tidak wujud lagi semata-mata untuk pembinaan Gerbang Perdana. Itulah flat yang Emak dan Abah duduki pada awal perkahwinan mereka.

Naik ke darjah lima dan enam, saya tertarik mahu menjadi Pegawai Kastam sebagaimana Abah. Terasa mahu menjadi Pegawai Kastam kerana sangatlah suka menaiki bot dan kapal kerajaan berjalan di Pantai Lido (kini Teluk Danga) dan Selat Tebrau (atau lebih tepat Stulang Laut).

Di sekolah menengah, saya dihantar masuk ke sekolah Arab. Saya memang tidak boleh melupakan sindiran pedas jiran, "Masuk sekolah Arab, nanti mahu jadi apa?" Mujur Emak memujuk, "Sabar Angah. Nanti tunjukkan kepada mereka!"

Di UIA pun saya mengambil pengajian Islam (pengkhususan Usul Fiqh, sokongan sains politik). Memang terbayang untuk bekerja sebagai USTAZ sahaja. Itulah jua harapan Emak dan Abah yang menyebabkan saya memohon j-QAF. Alhamdulillah saya berjaya dan ditempatkan untuk mengajar di Ayer Baloi, Pontian, dan berkursus di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim (IPTI). Walaupun arwah Atuk sebelah Abah bekas guru besar, hakikatnya saya tiada langsung bakat menjadi guru. Daripada tidak ikhlas mengajar, lebih baik jangan menjadi guru.

Yang pasti, sejak keluar dari UIA, saya bertugas di semua industri penerbitan buku/majalah. Sempat sebulan sahaja menganggur. Itupun kerana orang sibuk beraya sebulan lamanya. Kemudian sempat seminggu di Saba Islamic Media sebelum Abang Nazrul menawarkan bertugas di PTS Publications atas cadangan Kak Martinelli.

Setahun di PTS, saya ke DBP sebagai editor majalah Dewan Kosmik selama dua tahun sebelum akhirnya kini saya di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Unit Komunikasi Korporat.

Saya tidak pernah bercita-cita untuk melibatkan diri dalam dunia penerbitan buku/majalah, tetapi alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan melalui kerjaya ini.

Petang ini saya dan Isteri balik ke Johor yang menjadi rutin pada setiap bulan. Setiap bulan jugalah saya timbal balas menghulurkan "duit belanja" kepada Emak dan Abah yang pernah mereka berikan kepada saya sepanjang hidup 23 tahun sebelum bekerja. Saya pernah tidak memberikan duit belanja, dan ternyata duit saya "terputus". Itulah keberkatan memberikan wang belanja kepada ibu bapa. Saya percaya keadaan ini.

1 Mei: Selamat Hari Pekerja:)

Tarikh: 20 April 2009
Masa: 4.00 petang
Tempat: Pentas Utama Pusat Dagangan Dunia Putra
Disempurnakan oleh: Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim
Dr. Volker Wolf membelek buku di sebelah Enche Lah yang menyusun buku.

Pengarah Urusan ITNM memang seorang pemidato hebat.

Pengarah Goethe-Institut Malaysia merangkap penyusun bersama buku, Dr. Volker Wolf yang suka merendahkan diri.

Walaupun Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berbangsa Cina, ucapannya dalam bahasa Melayu mengalahkan orang Melayu.

Lusanya tersiar di Utusan Malaysia, Pendidikan Kita Tersilap?

Persembahan Encounter High Winds Ensemble, Malaysian Philharmonic Orchestra yang mendendangkan "Crocodile Story", salah satu cerita di dalam buku Kisah Dongeng dan Cerita Rakyat Malaysia & Jerman.


Titah Pelancaran Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Ucapan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, James R. Keith.

Ucapan Alu-aluan Pengerusi ITNM, Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh.

Gimik Pelancaran.

Antara kenamaan yang hadir.

Raja Nazrin Shah di gerai ITNM di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Gerai ITNM.

Setiap hari ada program di gerai nombor 3095-3098 & 3123-3126:
  • Sesi autograf dengan Timbalan Menteri, Sasterawan Negara, pemenang SEA Write Award, dan sasterawan prolifik (9 orang).
  • Sesi aktiviti MyTV3.
  • Persembahan Silap Mata.
  • Dua majlis pelancaran buku yang melibatkan Raja dan tokoh sejarah.
  • Peraduan "Beli Buku ITNM & Menangi Hadiah Bernilai RM100,000". Hadiah utama: Kereta Produa Myvi.
Banyak buku terbaharu yang diberikan diskaun daripada 10% sehingga 50%!

Artikel blog baharu di bawah.

Saya berborak dengan Saudara Khalil di PWTC sambil menikmati air teh tarik berharga RM3.00 secawan.

Kami memerhatikan rata-rata yang mengerumuni Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2009 di PWTC ini adalah orang Melayu. Orang Cina mahupun orang India di pesta buku ini boleh dikatakan golongan yang minoriti walaupun taraf pesta tahunan ini adalah "antarabangsa".

Lebih banyak yang bertudung dan berkopiah.
Foto dari UnikaPTS.

Namun saya menyatakan kepada rakan sekerja, Khalil, "Keadaan berbeza semasa pesta buku Popular, jualan gudang MPH, dan jualan penghabisan stok Pay Less Book. Pada masa itu lebih banyak orang Cina dan India."

Ironinya, orang Melayu juga menjadi majoriti semasa jualan gudang Dawama dan juga Utusan Publications.

Anda nampak wajah Cina dan India?
Foto dari UnikaPTS.

Sekilas pandang, orang Melayu menjadi minoriti di tiga pesta buku yang dipenuhi orang Cina dan India kerana banyak buku yang dijual adalah berbahasa Inggeris ataupun bahasa Cina. Mungkin juga orang Melayu menjadi majoriti di jualan gudang Dawama dan Utusan kerana banyak buku yang dijual adalah berbahasa Melayu.

Namun di PBAKL, saya merasakan buku yang dijual adalah seimbang, sama ada buku bahasa Melayu mahupun bahasa asing. Mahu dikatakan PBAKL ini lebih "mencerminkan" orang Melayu pun tidak juga kerana banyak orang Cina yang menduduki jawatankuasa penganjur PBAKL ini.

Perkembangan ini sangat positif. Sekurang-kurangnya ia menjadi bukti bahawa orang Melayu masih mempunyai "nafsu" untuk membeli buku. Pihak penganjur juga pasti maklum bahawa kuasa ekonomi orang Melayu lebih banyak membantu dalam mengembangkan industri jualan buku.

Justeru tidak hairanlah di PBAKL ini, penerbit buku berbahasa Melayu tempatan lebih menyerlah berbanding dengan penerbit antarabangsa.

Di Utusan Malaysia pada hari ini:

ITNM mendapat hak penerbitan terjemahan buku The Audacity of Hope sebelum Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat lagi. Kini dalam versi bahasa Melayu, buku ini diberikan judul Keberanian Menggapai Harapan yang diterjemahkan oleh Eddin Khoo, anak Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.

Esok, 21 April 2009 jam 10.00 pagi di Hotel Seri Pacific, buku ini akan dilancarkan oleh DYTM Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, yang terkenal dengan ketinggian nilai akal budi.

Buku ini sebenarnya memberikan impak lebih besar berbanding dengan kaset ataupun CD yang mempunyai suara Obama. Secara realiti, banyak rakyat Amerika yang beralih undi memilih Obama selepas membaca buku ini, walaupun pada asalnya mereka nekad mahu mengundi Hillary Clinton.

Buku ini lebih memberikan kepuasan daripada mendengar ucapan Obama yang penuh berkarisma.

Banyak orang mengetahui kisah Cinderella, Hansel and Gretel, dan Snow White. Semuanya kisah dongeng yang menceritakan keadaan setempat di Barat. Kisah dongeng ini dicipta daripada khayalan, imaginasi, dan pemikiran seseorang. Ia menjadi terkenal kerana diceritakan turun-temurun ke generasi seterusnya sehingga "melekat" menjadi kisah rakyat.

Buku Kisah Dongeng dan Cerita Rakyat Malaysia & Jerman terbitan terbaharu ini hasil kerjasama ITNM dengan Goethe-Institut Malaysia (agensi yang mempromosikan kebudayaan dan bahasa Jerman). Kisah di dalam buku ini merangkumi kisah rakyat Malaysia dan Jerman antaranya Die Sterntaler (Syiling Bintang), Mahsuri, Vom Fischer und Seiner Frau (Kisah Nelayan dan Isteri), Bawang Putih dan Bawang Merah, dan lain-lain.

Buku ini akan dilancarkan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Tokoh Sejarawan Malaysia di Pentas Utama Putra, PWTC pada 20 April 2009 jam 4.00 petang. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan Crocodile Story oleh Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO).

Siapa datang dapat miniatur buku ini yang comel!

Mungkin tidak banyak orang yang mengenalinya...

Beliau adalah penulis cerpen dan puisi selain pelukis.

Lebih lanjut, jumpa sahaja beliau di gerai ITNM pada 19 April 2009 (Ahad) jam 12.00 tengah hari.

Semua karya sastera tempatan yang diterjemahkan ke bahasa asing oleh ITNM adalah hasil tulisan Sasterawan Negara dan pemenang Hadiah SEA Write Award kecuali Faisal Tehrani, Sasterawan Negara akan datang!

Bukunya, Bedar Sukma Bisu diterbitkan oleh DBP (2007) kerana memenangi Sayembara Jubli Emas DBP (kategori umum). Kurang dua tahun, naskhah ini diterjemahkan oleh Datuk Dr. Zawiyah Baba dan diterbitkan oleh ITNM dengan judul The Prau With the Silent Soul. Lanjut di blog Faisal Tehrani.

Saya seperti Nur Madihah yang merangkul banyak A dalam SPM 2008 yang suka membaca karya Faisal Tehrani!haha. Bukan saya sahaja, malah kini berlangsung di PBAKL, orang Itali pun mencarinya untuk diantarabangsakan karyanya.

Maka temui Faisal Tehrani di gerai ITNM pada 18 April 2009 (Sabtu) jam 2.30 petang.








Buku terkini ITNM, Keberanian Menggapai Harapan adalah terjemahan daripada karya kedua Barack Hussein Obama, Presiden Amerika Syarikat, iaitu The Audacity of Hope.

Buku ini akan dilancarkan oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah.

Tarikh: 21 April 2009 (Selasa)
Masa: 10.00 pagi
Tempat: Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur

Penglibatan Raja Nazrin Shah dalam majlis ilmu ini membuktikan bahawa nilai intelektual mampu mewujudkan perhubungan tanpa batas sempadan antara pihak istana dengan rakyat.

Sebagaimana Obama cuba menerapkan beberapa perubahan dalam pentadbiran kerajaan melalui kepimpinannya, rakyat jelata menyedari keampuhan kepemimpinan Raja Nazrin yang tidak terbendung kesejatian modal sosial, nilai humanisme, kebagusan moraliti, dan ketinggian akal budi.

Malah keberanian Obama menjaga keluhuran cita-cita bangsa hakikatnya sudah lama dilaksanakan oleh Raja Nazrin. Penterjemahan buku Obama ini bukan mahu menerapkan wawasan “Pandang ke Barat”, tetapi menjadi harapan ITNM supaya pembaca dapat terkesan mempunyai cita-cita organisasi sebagaimana Obama dan Raja Nazrin Shah.

Semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang akan mula berlangsung pada Jumaat ini, ITNM melantik 20 pelajar Kelab Keusahawanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebagai petugas jualan.
Sesi penerangan antara kumpulan.

Konsepnya mudah, sekiranya semua pelajar itu berjaya mencapai sasaran jualan A, mereka akan memperoleh RM##,###. Ada tiga sasaran perlu dicapai untuk memperoleh imbuhan yang semakin tinggi.

Dengan cara ini, ITNM dapat membantu memberikan lebih pendedahan kepada Ahli Kelab Keusahawanan UIA berkenaan dunia realiti bidang bisnes/keusahawanan.
Dari kiri Faisal Tehrani, isteri Pak Samad, Pak Samad, Dr. Siti Zainon, dan Encik Mohd Khair.

Malam tadi juga, ketiga-tiga sasterawan tersohor di atas hadir bagi memberikan penerangan berkenaan buku masing-masing selain merangsang pelajar-pelajar UIA untuk bertugas ala-ala apprentice di PWTC nanti.

Sekarang...Semua yang terlibat dengan industri buku sedang sibuk dengan produksi/promosi buku sebelum pesta buku.

Tidak lama lagi akan berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-28. Seperti lazimnya, PBAKL akan diadakan di PDDP (kata Zoy; singkatan Pusat Dagangan Dunia Putra). Ia bermula pada 17 sehingga 26 April 2009. Gerai ITNM di Dewan Tun Razak 3 (TR3), ada lapan gerai bermula nombor 3095. Masuk sahaja TR3, boleh terus nampak gerai yang turut dipamerkan kereta Myvi.

Oleh kerana PBAKL bermula 17 April (tengah bulan), sememangnya tidak banyak orang yang berani mengambil risiko tinggi menghabiskan duit membeli belah buku. Maka sangatlah digalakkan untuk window shopping bermula 17 April itu. Rasa-rasanya orang kerajaan akan dapat gaji pada 24 April, Jumaat. Maka habiskanlah duit anda pada Sabtu dan Ahad itu. Jangan lupa ke gerai ITNM!Haha.

Sudah dua tahun saya tidak menjadi peserta gerai PBAKL. Tiga tahun sebelumnya, muka saya memang ada di PBAKL. Tahun ini muncul kembali!

***

Tahun lepas saya menghabiskan tidak lebih RM500 untuk beli buku di PBAKL. Belum kaya, jadi buat gaya orang belum kaya! Buku paling banyak yang dibeli adalah dari ITNM. Tahun ini sudah menjadi staf ITNM pula.

***

Tahun lepas pergi ke PBAKL seorang diri. Tahun ini saya pasti pergi dengan orang yang dicintai, Isteri! Saya melihat Puan Isteri semakin kuat membaca buku. Pantang mendengar saya ke stor PTS, pasti dia akan memesan buku ini dan itu. Di meja kopi banyak berterabur buku, malah di katil pun ada bukunya. Kasihan dia kerana saya cuma menyediakan satu partition untuk bukunya di rak.

***

Saya terbaca satu artikel tentang kebaikan bermain permainan video (video game). Klik Nature Neuroscience. Banyak orang kata bermain video game boleh menyebabkan kita terpengaruh sehingga boleh membunuh. Hal ini benar-benar berlaku di UK, Warren Leblanc membunuh kawannya Stefan Pakeerah kerana terpengaruh dengan "Manhunt".

Namun dalam jurnal Nature Neuroscience menyatakan bermain video game boleh meningkatkan penglihatan mata. Memang ada benarnya kerana apabila kita bermain "Counter Strike", mata kita akan melilau mencari musuh untuk ditembak. Malah dalam kegelapan pun, kita dapat mengesan kehadiran musuh. Mungkin selepas ini tidak perlu makan lobak, sebaliknya bermain video game!

***

Kalau dilihat di sekeliling kita, bermain video game sama pentingnya dengan pergi ke pesta, membaca buku untuk peperiksaan, dan bercinta. Malah di UIA dahulu, kalau kawan-kawan sedang bermain video game, susah betul mahu diajak ke kafeteria. Mungkin juga bakal isterinya hendak jumpa pun susah!

Semalam, Betty beria-ia mahu memasuki Young Editor Training Intensive (YETI). Sanggup dia menghabiskan masa di pejabat sehingga tidak pulang ke rumah semata-kata untuk menyiapkan majalah dummy untuk dipersembahkan kepada panel penilai YETI.

Kawannya, Marc (seorang gay) pula bersungguh-sungguh untuk presentation itu sehingga memerlukan rekomen daripada "orang besar" dalam industri penerbitan majalah.

Situasi ini di Amerika Syarikat.

Daripada keseluruhan cerita Betty semalam, dapat difahami bahawa menjadi seorang EDITOR di sana sama tarafnya dengan kerjaya sebagai peguam mahupun doktor.

Begitu juga kisahnya dalam filem Confession of a Shopaholic yang memaparkan kesungguhan Rebecca untuk bekerja dengan majalah Alette, walaupun beliau diterima bekerja dengan majalah Succesful Saving.

Di Malaysia, kerjaya editor belum lagi dianggap profesional seperti peguam ataupun doktor terutamanya editor buku. Saya percaya hal ini disebabkan industri penerbitan di Malaysia yang masih lagi dianggap sebagai industri kecil sederhana (IKS). Namun persepsi ini agak berlainan kepada editor majalah. Editor majalah seperti majalah Mastika, Wanita, Remaja, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan lain-lain dipandang tinggi dalam masyarakat kita. Sasterawan Negara seperti Usman Awang dan Keris Mas juga pernah menjadi editor majalah.

Jasa editor sebenarnya sangat besar kepada masyarakat. Tidak keterlaluan dikatakan jasa editor sama tarafnya dengan guru. Puan Ainon suka menyamakan tugas editor dengan mak andam. Penulis buku bestseller, Rahsia Bisnes Orang Cina, Ann Wan Seng pernah berborak dengan saya, "Saya menulis apa-apa sahaja yang saya mahu. Saya faham editor yang absorb segala tekanan kesalahan ayat dan tatabahasa tulisan saya itu." Dato' Baha Zain pula pernah menulis di blognya berkenaan jasa seorang editor.

Semua orang tahu sesebuah buku yang baik banyak bergantung pada "kekuatan" editornya. Disebabkan itulah saya suka membelek nama editor di imprint page sebelum membaca sebarang buku ataupun majalah.

Novel Yukiguni karya Yasunari Kawabata yang diterbitkan pada tahun 1935 asalnya tiada memberikan impak besar kepada penggemar sastera dunia.

Namun selepas Edward G. Seidensticker menterjemah novel berbahasa Jepun itu ke bahasa Inggeris dengan judul Snow Country pada tahun 1957, dunia mula mengagumi tulisan Kawabata tersebut.

Kesannya sangat besar sehingga melayakkan Kawabata dianugerahi Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 1968. Selain Snow Country, dua novel lain yang menyebabkan panel penilai Hadiah Nobel memilihnya adalah The Old Capital dan Thousand Cranes.

Sewajarnya Yasunari Kawabata mengucapkan setinggi penghargaan kepada Seidensticker kerana telah menterjemah Yukiguni dengan sebaik-baiknya.

Buku asal berjudul Selera Perdana. Kini diterjemahkan oleh ITNM berjudul Cuisine of the Premiers.

Melalui buku ini kita dapat mengetahui bahawa Tun Mahathir sangat suka makan daging. Patutlah beliau sangat tegas sejak dahulu sehingga kini kerana daging sebenarnya menyebabkan paras uremia tinggi di dalam darah.

Alasan Tun tidak makan ikan, tetapi makan daging kerana dikatakan menguatkan ingatannya. Ada betulnya kerana daging kaya dengan protein dan vitamin B. Sejak mengetahui hal ini, saya pun kurang makan ikan apatah lagi ikan keli! haha. Tapi ikan masin sangatlah sedap!

Makanan memang banyak mempengaruhi personaliti dan perangai seseorang. Contohnya, seseorang yang dalam keadaan perasaan tidak stabil biasanya akan memakan makanan berasaskan asam akibat kekurangan vitamin B dan C.

Kini setiap pagi saya dan isteri makan madu DCL yang Kak Maz jual untuk kecergasan di pejabat.