Saya bercuti bermula 15 Ogos 2008 sehingga 2 September 2008. Lamanya...hehe

Kepada sahabat-sahabat yang ada kelapangan masa, dialu-alukan hadir ke majlis perkahwinan kami. Lokasinya tertera di entri bawah.

Sila klik untuk paparan imej jelas.

17 Ogos 2008 di Dewan Melawati, Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.

23 Ogos 2008 di Taman Kenanga, Tampoi, Johor Bahru. Tarikh ini bersempena hari kelahiran bakal isteri.

Kad berwarna hitam putih kerana melambangkan keadilan (kerana bakal isteri peguam. hehe). Kata Aa Gym dalam Keluarga Syurgaku, "Sesungguhnya Allah menciptakan lelaki dan wanita masing-masing lengkap dengan software dan hardware. Lelaki dilengkapkan dengan otot-ototnya sebagai lambang kegagahan juga kekuatan fizikal dan psikologi yang berbeza dengan wanita. Wanita pula diciptakan dengan kegemarannya berhias dan bersolek, perasaannya yang lemah lembut dan sebagainya."

Maksudnya, Allah begitu adil menciptakan makhluk yang saling melengkapi.

"Ini sahaja yang ada untuk orang Melayu," katanya. Kata-kata seterusnya diungkapkan berdegar-degar dalam bahasa Inggeris. Apakah bahasa Melayu bukan milik orang Melayu juga?

Dalam Buletin Utama TV3, 12 Ogos 2008 semasa mengulas cadangan kuota 10 peratus pelajar bukan bumiputera menuntut di UiTM oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tepat pukul 5 petang semalam, sesudah PDF Dewan Kosmik keluaran September, terus sahaja segera pulang ke rumah kerana mahu membeli cat di kedai perkakasan di Bandar Tun Hussein Onn. Biasa membeli barang-barang pertukangan di situ, kedainya tutup pukul 6.30 petang. Cadangnya malam semalam mahu mengecat bilik utama bagi menyambut kehadiran "orang baharu".

Betapa tertekannya kerana sebelum memulakan kerja-kerja mengecat, kaca mata yang memang digunakan untuk lenjan sejak tahun 2004 pula patah. Mahu menggunakan kaca mata lagi satu, terasa sayang pula. Lebih-lebih lagi kaca mata itu perlu dalam keadaan baik sebelum walimah pada hujung minggu ini. Namun tetap diteruskan niat untuk mengecat tanpa memakai kaca mata, tetapi sekadar dilakukan separuh jalan kerana pandangan kabur sahaja.

Stres. Rumah masih lagi belum siap dikemas. Rabu ini teman-teman pejabat ajak bermain boling. Khamis pula emak abah sudah tiba di KL. Mulalah terfikir betapa nikmatnya kalau mata dalam keadaan baik. Boleh melihat dengan jelas tanpa sebarang alat bantuan.

Tarik nafas dalam-dalam... Semasa mandi, saya merenung mata di cermin di bilik air. Kebetulan pada siangnya saya mendapat tahu bahawa dalam banyak-banyak anggota badan manusia, cuma kornea mata sahaja yang tidak mendapat bekalan darah. Tidak seperti anggota lain yang memperoleh oksigen daripada aliran darah, kornea mata memperoleh oksigen secara terus daripada udara.

11 x 11=121

111 x111=12321

1111x1111=1234321

11111x11111= 123454321

111111x111111= 12345654321

1111111x1111111= 1234567654321

111111111x111111111 =123456787654321

111,111,111 x 111,111,111 = 12,345,678,987, 654,321

Tunang asyik menghitung hari menghadapi hari pernikahan sahaja. Biasanya saya akan membetulkan hari yang dibilangnya. Dia mengira mengikut tarikh Masihi, saya pula mengikut tarikh Hijrah. Kalau ikut tarikh Islam, waktu maghrib sudah dikira hari berikutnya.

Adat. Emak kata akan merebus telur pindang untuk diberikan kepada tetamu. Tidak salah sekiranya disamakan telur pindang dengan telur herba Cina yang biasa dijual di pasar raya (ada dua kedai di Mid Valley). Telur pindang banyak khasiatnya. Tiga hari diperlukan untuk merebus telur itu sehingga menjadi hitam.

Pengalaman semasa walimah Abang, banyak telur yang retak, ada juga yang pecah. Ada orang kata, untuk mengelakkan telur pecah, titiskan beberapa titik CUKA ke dalam periuk rebus. Benarkah?

Telur mempunyai dua bahagian, hujungnya yang agak besar mengandungi sel udara (air cell) yang mengembang apabila telur dipanaskan (sama seperti tayar kereta). Sekiranya pundi udara itu mengembang terlalu cepat, sudah tentu memberikan tekanan pada kulit telur, lalu menyebabkan retak ataupun pecah.

Biasanya ada orang melubangkan sedikit lubang pada sel udara telur itu dengan menggunakan jarum tajam. Lubang ini dapat memberikan sedikit ruang keluar kepada udara tanpa perlu meretakkan kulit telur.

Cuka bukanlah memberikan ketahanan kepada kulit telur, tetapi sebaliknya menjadikan putih telur bergumpal. Sekiranya telur retak, tidak banyak putih telur yang keluar dari kulitnya.

Saya suka telur goreng, tetapi tidak telur rebus. Telur adalah makanan asli paling bagus. Semua vitamin dan zat terkandung dalam telur kecuali vitamin C. Harap-harap berakhirlah "zaman" telur goreng kurang dua minggu ini.

Abraham Lincoln dilantik ke Kongres pada 1846.
John F. Kennedy pula dilantik ke Kongres pada 1946.

Abraham Lincoln terpilih sebagai Presiden pada 1860.
John F. Kennedy pula terpilih sebagai Presiden pada 1960.

Kedua-duanya daripada bidang undang-undang.
Kedua-duanya kematian anak semasa menduduki Rumah Putih.

Kedua-dua Presiden ditembak pada hari Jumaat.
Kedua-dua Presiden ditembak di kepala.

Setiausaha Lincoln bernama Kennedy.
Setiausaha Kennedy pula bernama Lincoln.

Kedua-duanya dibunuh oleh orang Selatan Amerika.
Kedua-duanya digantikan dengan orang Selatan Amerika bernama Johnson.

Andrew Johnson, yang menggantikan Lincoln, dilahirkan pada 1808.
Lyndon Johnson, yang menggantikan Kennedy, dilahirkan pada 1908.

John Wilkes Booth, yang membunuh Lincoln , dilahirkan pada 1839.
Lee Harvey Oswald, yang membunuh Kennedy, dilahirkan pada 1939.
Kedua-dua pembunuh mempunyai nama yang terdiri daripada tiga perkataan.
Kedua-dua nama pembunuh mempunyai 15 huruf.

Lincoln ditembak semasa teater bertajuk "Ford".
Kennedy pula ditembak di kereta yang dikenal sebagai "Lincoln" buatan "Ford".

Lincoln ditembak di dalam teater, kemudian pembunuh itu lari dan bersembunyi di gudang.
Kennedy pula ditembak dari gudang, kemudian pembunuh itu lari dan bersembunyi di dalam teater.

Booth dan Oswald dibunuh sebelum sempat dibicarakan.

Seminggu sebelum pembunuhan Lincoln, dia berada di Monroe, Maryland.
Seminggu sebelum pembunuhan Kennedy, dia berada bersama-sama Marilyn Monroe.

Ada kaitan sains di sebalik semua kebetulan ini. Saharil Hasrin Sanin menulisnya dalam Dewan Kosmik keluaran Jun 2008 halaman 34-35 berjudul Sains di Sebalik Kebetulan.

Terkejut apabila melihat papan tanda menutupi kedai buku Borders Times Square (tingkat satu) yang menyatakan kedai itu sedang diubah suai. Kata hati saya semasa berjalan ke tingkat dua Borders, "Wah! Borders semakin cantiklah selepas ini."

Saya pun bertanya kepada juruwang semasa hendak membayar buku yang dibeli. Rupa-rupanya tujuan Borders diubah suai bukannya untuk semakin cantik, tetapi semakin mengecil. Kata juruwang itu, "Banyak ruang kosong di tingkat dua ini. Sebab itulah dijadikan satu tingkat sahaja."

Sebenarnya saya menyangkakan perkara negatif dengan perubahan ini. Mungkinkah keadaan ini disebabkan kita kurang membeli buku (membaca mungkin banyak)? Khuatir juga sekiranya dengan perubahan ini akan menyebabkan buku-buku dan majalah-majalah Bahasa Melayu tidak diberikan ruang seperti yang sedia ada.

Namun saya agak gembira kerana baru mengetahui seorang pengurus Borders itu rupa-rupanya teman sekelas di UIA. Boleh dapat diskaun! Buku yang dibeli semalam pun dapat diskaun 10 peratus. Jadilah... Borders seperti Kinokuniya yang tidak pernah ada jualan diskaun.