Kayu oh kayu, kenapa engkau basah?

Macam mana aku tak basah,
hujan timpa aku, hujan timpa aku.

Hujan oh hujan, kenapa timpa kayu?

Macam-mana aku tak timpa,
katak panggil aku, katak panggil aku.

Katak oh katak, kenapa panggil hujan?

Macam-mana aku tak panggil,
ular nak makan aku, ular nak makan aku.

Ular oh ular, kenapa nak makan katak?

Macam-mana aku tak makan,
memang makanan aku, memang makanan aku...

Banyak orang menyatakan bunyi ular itu menandakan hujan akan turun. Ada juga yang menyatakan, katak mengeluarkan bunyi sebagai perlindungan atau perisai daripada dimakan ular. Betapa hebatnya lagu rakyat itu sehingga dapat menguasai pemikiran kita, bukan sahaja kanak-kanak malah orang dewasa juga.

Sebenarnya, bunyi katak itu sebagai strategi katak jantan memikat katak betina. Dengan kata mudah, katak betina akan tertarik pada bunyi katak jantan itu lalu melakukan persenyawaan. Mungkin sama seperti manusia yang bersiul bagi mendapatkan perhatian wanita, tetapi ini skil atau cara lama! hehe.

Maklumat ini diperoleh di Pameran Senibina Haiwan di Muzium Sultan Alam Shah semalam yang dirasmikan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor.

Rahsia di Sebalik Tulisan

Artikel fokus lain:
-Peribadi Melalui Tulisan Tangan
-Sejarah Penipuan Dokumen Forensik

Artikel lain yang menarik:
-Sains di Sebalik Mimpi
-Tenggelam di dalam Pasir
-Pegaga Merawat Nyanyuk
-Keistimewaan Ciptaan Burung

Ini adalah iklan. Sila skrol ke bawah untuk entri terbaharu.

Noni masuk ke perpustakaan dan berdiri di hadapan pegawai perpustakaan itu sambil berkata, “Saya mahu mengadu!”

“Ada apa, Cik?” petugas perpustakaan bertanya.

“Minggu lalu saya meminjam sebuah buku dari perpustakaan ini, dan buku itu sangat tidak bermutu!” jelas Noni.

“Mengapa pula Cik?”

“Hurufnya kecil-kecil, tidak ada ruang di antara perkataan, tidak ada perenggan, semuanya hanya huruf-huruf, tidak ada gambar menarik, dan yang paling menyedihkan, buku itu sama sekali tidak menceritakan apa-apapun padahal ada banyak nama orang di dalamnya!”

Petugas perpustakaan itu langsung terbeliak dan berkata, "Ooo …. Jadi andalah orang yang membawa buku telefon kami yang hilang minggu lalu!”

Dari Ceritalucu.

Kerana saya agak tertekan dalam masa dua hari bekerja ini.

Sultan Alauddin Riayat Shah dilantik menjadi Sultan Melaka semasa berumur 19 tahun. Sebelum dilantik menjadi sultan, Sultan Alauddin atau nama sebenarnya Raja Husin adalah seorang yang warak, cintakan ilmu, berkeperibadian tinggi, dan tidak berminat menjadi sultan.

Sekiranya menurut hierarki, Raja Ahmad lebih layak kerana beliau adalah anak sulung Sultan Mansur Syah. Namun oleh kerana Raja Ahmad tidak sempat pulang semasa kemangkatan Sultan Mansur, Bendahara Tun Perak memberikan jawatan sultan kepada Raja Husin dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah yang ada di sisi ayahandanya.

Oleh kerana beliau cepat naik, jujur, telus, berkepimpinan seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau mempunyai banyak musuh termasuk musuh di dalam selimut. Akhirnya beliau mati diracun oleh keluarganya sendiri semasa beruzlah sebelum menunaikan fardu haji.

Semasa membaca buku Nama Beta Sultan Alauddin karangan Faisal Tehrani ini, saya spontan teringat pada Anwar Ibrahim. Konsepnya sama, iaitu kepimpinan mereka cepat naik dan cepat jatuh.

Fenomena itu sudah banyak berlaku sekarang. Hari ini, pembukaan Parlimen menyaksikan banyak muka baharu yang terdiri daripada anak muda seperti Nurul Izzah Anwar, Yusmadi Yusuf, Khairy Jamaluddin, Loh Gwo Burne (tangkap gambar boleh jadi ahli parlimen), Tony Puah, Chua Tee Yong dan lain-lain. Kita tunggu dan lihat, mungkinkah nasib mereka akan menjadi seperti Sultan Alauddin ataupun Anwar Ibrahim.

Selepas kemangkatan Sultan Alauddin, kesultanan Melaka diganti dengan anaknya yang terus melenyapkan kesultanan Melaka, iaitu Sultan Mahmud. Ini semua angkara ibu (isteri kedua Sultan Alauddin berketurunan mamak) dan bapa-bapa saudaranya yang menyingkirkan Raja Zainal, yang layak menjadi sultan. Melaka rosak di tangan orang yang "rosak".

Selepas membaca blog Helmy Samad yang menceritakan pengalamannya pergi ke zoo, rasanya sudah lama saya tidak ke zoo. Kali terakhir, pada 2005 semasa rombongan iiPAC ke Zoo Melaka. Kali terakhir ke Zoo Johor pula semasa heboh harimau belang terlepas. Manakala saya tahu pernah ke Zoo Negara, itupun kerana emak simpan lagi gambar semasa menaiki kereta api di situ, zaman kanak-kanak dahulu.

Zirafah, antara binatang yang menarik dipamerkan di zoo. Orang tahu zirafah mempunyai leher yang jinjang, tetapi mungkin tidak banyak yang tahu lidah zirafah berwarna ungu ataupun biru-hitam, berotot dan panjang (paling panjang: 54 sentimeter). Lidahnya perlu kuat kerana zirafah sentiasa makan antara 16 sehingga 20 jam sehari.

Pendukung teori evolusi yang suka mengaitkan setiap makhluk dan kejadian berlaku kerana proses semula jadi juga tidak menyatakan punca lidah zirafah berwarna ungu disebabkan proses evolusi. Ada pendapat Barat menyatakan warna lidah zirafah gelap kerana ia bentuk perlindungan daripada pancaran matahari. Alasannya, lidah zirafah selalu berada di luar mulut, tetapi teori ini kurang dapat dipastikan kebenarannya.

Selain zirafah, binatang yang mempunyai lidah berwarna ungu adalah anjing Sha-Pei, mengkarung lidah biru dan anjing chow-chow. Menurut kepercayaan Cina, anjing chow-chow berlidah biru-hitam kerana menjilat cat yang menitis semasa dewa sedang mengecat langit. Walau bagaimanapun, semua ciptaan atau makhluk Allah diciptakan supaya kita berfikir hikmah di sebalik kejadian.

Saya menceritakan berkenaan zirafah kerana berkaitan dengan isu fokus Dewan Kosmik keluaran Jun 2008, "Kepupusan Hidupan Liar Mengancam Ekologi".


Klik imej untuk paparan lebih besar.

Sejak saya "memegang" Dewan Kosmik, saya memberikan ruang kepada Ikram untuk menulis "Ulasan Buku" pada setiap bulan. Bukan kerana dia sahabat saya, tetapi memang dia berbakat dalam bidang penulisan. Jadi tidak timbul isu kronisme dalam situasi ini. Buktinya, bukunya sudah terbit, saya masih lagi khayal dalam dunia majalah.

Kami rapat sejak menyertai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Matrikulasi UIAM. Pada masa itu, dia sebagai amir (ketua) dan saya pula sebagai timbalannya. Kami mula berminat dalam bidang penulisan dan buku sejak berkenalan dengan Jaafar Rahim. Saya, Ikram, Hilmi, Hamdi, Suhail, Nadmin, Nabil dan sahabat lain "berlawan-lawan" bagi menerbitkan artikel di mana-mana penerbitan. Saya dan Ikram berminat menulis di majalah seperti Minda, Dewan Agama dan Falsafah (Kedua-dua sudah ditutup), dan Dewan Masyarakat. Manakala Hilmi lebih gemar menulis untuk akhbar.

Berkenaan ulasan buku bagi keluaran Mei 2008 ini, Jostein Gaarder memang sudah dikenali umum dengan karyanya, Sophie's World, terbit pada 1991 yang sudah diterjemahkan kepada 53 bahasa. Mungkin bahasa Melayu adalah terjemahan yang ke-54. Saya mempunyai tiga koleksi buku ini; bahasa Inggeris, bahasa Indonesia (beli semasa di Bandung), dan bahasa Melayu (beli semasa pesta buku baru-baru ini yang diterjemahkan oleh ITNM).

Namun entah mengapa, Maya tidak laris atau tidak sehebat Sophie's World. Mungkin sebab karya Gaarder pada kali ini terlalu berat, persis buku falsafah yang melambak di pasaran ataupun tiada unsur fiksyen yang menarik. Saya pun belum tertarik untuk membaca Maya. Kini sedang seronok membaca Detektif Indigo Kembali oleh Faisal Tehrani, fiksyen sains.

Ada orang DBP "bising" kerana saya asyik mengulas buku-buku bukan terbitan DBP. Faktanya, DBP kurang menerbitkan buku-buku sains. Sekiranya ada, sesuai untuk bacaan kanak-kanak ataupun untuk pensyarah sahaja. Sebab itulah saya kurang berminat mengulas buku-buku DBP. Saya pekakkan sahaja orang "bising". Semasa di UIA dulu, saya selalu mengeluh majalah-majalah Karangkraf hanya mengulas buku-buku yang diterbitkan Alaf21 (anak syarikat Karangkraf). Saya tidak mahu pembaca majalah DBP mengeluh seperti pernah saya lakukan.

Pernah saya "berdebat" dengan rakan sekerja kerana asyik mengulas buku-buku PTS. Jawapan saya, "PTS sahaja yang memberikan naskhah ikhlas kepada saya. Buku-buku DBP, saya sendiri yang minta daripada DAWAMA."

Enam bulan lalu, bangunan dua tingkat yang hampir siap yang akan menjadi pusat pentadbiran Taman Negeri Royal Belum di tebing Tasik Banding, Gerik, Perak, ranap sama sekali.

Baru-baru ini, bumbung Sekolah Menengah Wakaf Tapai, Kuala Terengganu pula tiba-tiba runtuh.

Ironinya, Kellie’s Castle yang dibina kira-kira 100 tahun lalu masih lagi tersergam indah di Batu Gajah, Perak.

Walaupun tidak disalut dengan simen, walaupun berada di atas bukit, walaupun hampir dengan sungai yang mengalir deras, rumah penjajah itu tetap utuh.

Orang kata selalu nampak lembaga Kellie di beranda ini. Orang Melayu memang suka cerita hantu. Semalam saya tonton Congkak. Bukan sebab seram cerita hantu, tetapi terkejut dengan dentuman bunyi yang kuat.
Dahulu, ladang dan rumah milik William Kellie Smith ini diusahakan oleh orang India. Pada masa itu, tidak pula timbul isu membantah tindakan British membawa mereka ke Tanah Melayu semata-mata untuk menjadi buruh. Mereka menzahirkan rasa terima kasih dengan mengabadikan patung Kellie di kuil yang terletak berhampiran Kellie's Castle.

Seperti bentuk muka beruang.

Saya tidak suka kucing. Emak pernah membela kucing semasa saya belum wujud lagi di dunia, tetapi abah melarang membelanya sejak berpindah ke kuarters Kastam (flat).

Di asrama dahulu, saya pernah "membaling" kucing dari katil tingkat atas kerana kucing itu mahu "melepak" tidur bersama-sama. Saya mula membenci kucing sejak membaca artikel yang menyatakan bulu kucing boleh menyebabkan asma.


Di asrama, kucing terlalu banyak. Siap ada diberikan nama. Selalulah pernah mendengar kucing berdengkur macam kawan-kawan (termasuk saya?). Faktanya:
  • Kucing berdengkur untuk mengurangkan stres seperti sedang mengandungkan anak, semasa cedera, sedang ketakutan, dan sedang nazak.
  • Berdengkur juga bentuk komunikasi antara ibu dan anak kucing kerana anak kucing yang baru lahir tidak dapat melihat, tetapi boleh merasa getaran dengkuran ibunya.
  • Ia juga menjadi isyarat bahawa "semuanya dalam keadaan selamat" kepada anak kucing. Kemudian anak kucing pun berdengkur bersama-sama ibunya.
Bentuk dengkuran kucing ada sedikit persamaan dengan cara manusia berdengkur. Kucing menggetarkan membran "pita suara tiruan" di belakang pita suara sebenar kucing.

Semasa zaman jahat dahulu, kerap juga membuli kucing. Biasanya kucing-kucing menjadi mangsa simbahan air semasa mandi. Semoga diampunkan dosa-dosa lampau... Namun mengapa banyak kucing yang takutkan air seperti kambing?

Bulu kucing berfungsi sebagai perlindungan daripada kesejukan. Sekiranya basah atau sejuk, keadaan ini boleh menyebabkan kehidupan kucing sedikit bermasalah. Mungkin inilah sebabnya kucing takutkan air.

Namun ada sejenis kucing, iaitu Fishing Cat yang tidak takutkan air, malah pandai berenang dan menyelam di dalam air untuk mengejar ikan dan itik. Kucing jenis Turkish Van pula suka mandi sehingga gemar melompat masuk ke dalam tab atau tasik untuk mandi.

Ada juga orang yang tergamak memakan kucing.





Teringat kata-kata Pak Djamal (Pegawai di Kedutaan Indonesia yang mengajar saya gamelan di UIA), "Ilmu memudahkan urusan kehidupan kita, agama memandu arah tuju hidup kita, dan seni menjadikan kehidupan ini lebih indah."

Malam 18 April, di Ruang Legar Balai Budaya DBP berlangsung Baca Puisi Kuala Lumpur anjuran KALAM, saya adalah AJK persatuan itu. Agak mengejutkan kerana program sastera yang selalunya dianggap membosankan, tetapi berlaku sebaliknya. Sambutan yang baik sehinggakan tidak cukup kerusi yang disediakan. Tambah menakjubkan, majoriti yang datang adalah dalam kalangan orang muda. Maknanya, tidak semua orang muda hanyut dengan budaya Barat, dan tidak semua sastera Melayu itu membosankan. Dangkalnya pemikiran orang yang mengagungkan sastera Inggeris. Entah apa pula untungnya mahu memasukkan sastera Inggeris dalam mata pelajaran sekolah.

Malam tadi pula, bersama-sama tunang dan kawan baiknya ke Istana Budaya (IB) bagi menyaksikan Konsert Idris Sardi. Banyak orang yang tidak kenal beliau, tetapi saya tetap tertarik untuk menghabiskan duit dan masa pergi menonton dan mendengar gesekan biola beliau. Walaupun sudah berumur 70 tahun, gesekan biolanya dapat membuatkan pendengar ketawa, sedih, menangis dan meremang bulu roma. Itu situasi yang berlaku di dalam Panggung Sari IB.

Saya kagum dengan ucapan Idris Sardi semasa interval, beliau menyatakan anugerah bakat adalah milik Allah, dan semua sanjungan dan pujian juga adalah milik Allah. Kata-katanya diucapkan dalam bahasa Melayu yang tersusun dan puitis. Ironinya, banyak artis tempatan pula jarang mengembalikan segala nikmat kepada Allah. Sekiranya berucap pula, banyak yang rojak ataupun, "Saya terasa bodoh bercakap dalam bahasa Melayu."

Rakan-rakan "ortodoks" di UIA dahulu mengharamkan muzik yang bertali. Bukan yang bertali pun mereka haramkan juga. Tetapi tidak pula Yusuf Qardawi mengharamkannya. Hujahnya ada di dalam buku Fiqh al-Ghina’ wa al-Musiqa (Hukum Nyanyian dan Muzik).

Faktanya, muzik dapat meningkatkan keupayaan IQ. Klik ScienceDaily. Saya pun teringat kembali kata-kata Pak Djamal lagi, "Apabila jiwa terisi seni, ia bisa menjadi tenang."

Dahulu, berkurun-kurun lamanya proses pembentukan awan hujan tidak dapat diketahui.

Kini, dengan adanya radar cuaca, proses ini dapat dikaji. Hasilnya, didapati awan hujan terbentuk melalui tiga peringkat:
  1. Air tersejat ke udara.
  2. Awan terbentuk.
  3. Titisan hujan berlaku.
Ketiga-tiga peringkat ini sudah lama dijelaskan dalam ayat 48, Surah ar-Rum:
  1. “Allah jualah yang menghantarkan angin..." (Air tersejat ke udara).
  2. "...lalu angin itu menggerakkan awan. Kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit seperti yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok." (Awan terbentuk).
  3. "Lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendaki-Nya dalam kalangan hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira.” (Titisan hujan berlaku).
Altitud minimum awan hujan adalah di ketinggian 1200 meter. Secara logiknya, sekiranya objek sebesar titisan air hujan menghujam bumi, pasti menyebabkan kerosakan kerana kelajuannya mencapai 558 kilometer per jam. Namun air hujan tidak begitu. Itu ciri unik air hujan.

Saya suka lagu Sudirman, Hujan. Suka juga dengar lagu kumpulan Hujan.

Baca Puisi Kuala Lumpur

Tempat: Ruang Legar Balai Budaya DBP
Tarikh: 18 April 2008 (Jumaat)
Masa: 8.15 Malam
Hos: A. Ghafar Ibrahim (AGI)
Pemuisi lain: Datuk Mohd Shafie Apdal, Datuk Johan Jaafar, Dato' Dr. Firdaus Abdullah, Khalid Salleh, Roslan Madun dll...
Anjuran: Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), DBP, KEKKWA.
*Jamuan ringan disediakan.

Program ini akan diadakan pada setiap bulan.

Datuk Dr. Hasan Ahmad, "Setahun yang lalu, saya berbisik kepada Pak Lah supaya mengubah dasar bahasa Inggeris (BI) dalam mata pelajaran sains dan matematik, beliau berjanji akan melaksanakannya, tetapi tidak ubah-ubah lagi. Kalau tidak mahu ubah, cakap sahaja tidak mahu, jangan berdalih-dalih."

Datuk Dr. Hasan Ahmad, "Orang politik yang suka cakap BI, apabila bertemu rakyat mesti cakap bahasa Melayu (BM), kalau tidak sudah tentu kalah."

Datuk Dr. Hasan Ahmad, "Orang bukan Melayu lebih menguasai BM berbanding dengan orang Melayu sendiri. Kerana orang Melayu gemar menggunakan dialek masing-masing."

Datuk A. Aziz Deraman, "Semasa saya bersama-sama Datuk Hasan Ahmad bertemu Pak Lah pada 2002, Hasan Ahmad ada berpesan, 'Kalau tidak ubah dasar BM, UMNO akan kalah."

Datuk A. Aziz Deraman, "Siakap senohong ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri."

Datuk A. Aziz Deraman, "Dalam mesyuarat MT UMNO, mereka pernah melabelkan "cendawan" bukannya "cendekiawan" kepada tokoh seperti Nik Safiah Karim dan Wan Hashim Wan Teh."

Datuk A. Aziz Deraman, "10 tahun lalu semasa pelajar Melayu bermasalah menguasai BI, ada ahli korporat mencadangkan supaya semua perkara ditukarkan menjadi BI, termasuklah drama BM. Sama seperti di Indonesia dan Thailang, drama Hindustan pun dalam bahasa mereka."

Datuk A. Aziz Deraman, "Saya ingat lagi kata Nik Safiah Karim dalam Jendela Utara yang merasa malu kerana ibu bapa berucap dalam BI semasa majlis perkahwinan anaknya di hotel."

Datuk A. Aziz Deraman, "Semasa saya mengikuti rombongan Datuk Seri Najib bertemu Perdana Menteri China, beliau bercakap dalam BM. Kemudian diterjemahkan dalam bahasa Mandarin kepada PM China. Mengapa tidak menteri-menteri lain melakukan perkara yang sama?"

Datuk A. Aziz Deraman, "Semasa di R&R Plus, ada seorang ibu bercakap dalam BI semata-mata mahu bertanyakan jenis makanan kepada anaknya."

Datuk A. Aziz Deraman, "Di sekolah, tiada lagi lagu-lagu seperti Enjit-enjit Semut atau Pok Amai-amai. Yang ada lagu Twinkle-twinkle Little Star."

Profesor Emeritus Datuk Nik Safiah Karim, "Saya hidup dengan dapat melihat zaman kegemilangan BM, dan dapat melihat orang merosakkan BM."

Profesor Emeritus Datuk Nik Safiah Karim, "Agaknya pucuk pimpinan kita matanya kurang nampak sehingga menyalahkan dasar BM punca masalah penguasaan BI."

Profesor Emeritus Datuk Nik Safiah Karim, "Orang yang menukarkan bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia adalah berdosa besar!"

Hari ini sehingga Rabu, saya berada di Ipoh bagi menghadiri Seminar Mengangkasakan Bahasa Melayu anjuran DBP Wilayah Utara dan Maktab Perguruan Kinta, Perak.

Antara tokoh yang akan membentangkan kertas kerja ialah Hassan Ahmad, A. Aziz Deraman, Nik Safiah Karim dan Isahak Haron.

Sepanjang saya mengendalikan majalah Dewan Kosmik, saya belum berpuas hati dengan setiap fiksyen sains yang diterbitkan. Sejujurnya, semua fiksyen sains yang diterbitkan adalah "tangkap muat" kerana tiada stok ataupun mengejar deadline.

Ada juga karya fiksyen sains yang dikirimkan oleh peserta Minggu Penulisan Remaja (MPR), tetapi mereka mengecilkan konsep fiksyen sains itu sendiri. Hampir keseluruhan fiksyen sains yang mereka hasilkan berkisarkan angkasa lepas, cakerawala, senjata, peperangan, imaginasi melampau dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, saya memuji hasil karya Heo Chong Chin yang akan diterbitkan dalam Dewan Kosmik keluaran Mei 2008. Lee Sai Fa, Editor Jurnal Malay Literature dan Jurnal Bahasa turut memuji dan tergelak sesudah membaca cerpen ini. Armin Azhari Saleh, Editor Pelita Bahasa pula mencadangkan supaya cerpen ini dijadikan contoh untuk sebarang penerangan berkenaan fiksyen sains.

Seorang polis sedang menyiasat kes kematian. Saksi utama dalam kisah ini adalah lalat betina. Soal jawab antara polis dan lalat ini amat melucukan. Lalat menyatakan mayat itu tidak dibunuh di kawasan itu kerana ada larva spesies lalat kampung di tubuh mayat itu. Polis juga memperoleh maklumat bahawa orang itu dibunuh dengan menggunakan racun kerana lalat turut mati selepas hinggap dan bertelur di mayat itu.

Sebahagian daripada cerpen itu, sila klik paparan di bawah ini untuk mendapat imej lebih besar. Silalah beli Dewan Kosmik keluaran Mei 2008 untuk bacaan selanjutnya;)

Pada pukul 3 petang, dengan penuh selamba saya mengisi kad kebenaran keluar pejabat untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Sengaja menggunakan waktu pejabat untuk urusan peribadi, tetapi bukan untuk peribadi sangat pun. Membeli buku untuk pembangunan diri, seterusnya untuk kemajuan organisasi. Betulkah?

Sebenarnya saya sudah menetapkan buku-buku yang akan dibeli di gerai-gerai yang terpilih, yang diyakini tidak akan memberikan diskaun tinggi di kedai-kedai buku antaranya ITNM, UKSB dan Ameen.

Terserempak dengan Faisal Tehrani di gerai Ameen, "Hai, keluar waktu pejabat nampaknya." Dengan penuh selamba pun saya menjawab, "Bos pun ada di sini." Saya membeli tiga bukunya, Karbala, Surat-surat Perempuan Johor dan Detektif Indigo Kembali. Sebenarnya malu hendak membeli Surat-surat Perempuan Johor kerana agak lambat mendapatkan buku itu. "Tolong minta autograf penulisnya ya," permintaan saya kepada jurujual di hadapan Faisal.

Lalu di gerai DBP/DAWAMA. Lesu sahaja tanpa ada promoter yang memujuk pengunjung masuk ke dalam gerai. Cuma maskot sahaja yang berjoget-joget di pintu masuk gerai memujuk orang melihat buku-buku ilmiah. Majalah-majalah DBP pula seperti batu nisan terpacak di atas bukit. Kasihan majalahku.

ITNM pada kali ini banyak menerbitkan buku terjemahan. Terkejut apabila mengetahui Encik Khir Ngadiron, timbalan dekan semasa saya di Matrikulasi UIA dahulu kini menjadi Ketua Pegawai Eksekutif ITNM. Teringat kata-katanya, "Lain kali kalau kau hendak buat "jahat", pandai-pandailah cari jalan," semasa saya aktif PKPIM.

Sebenarnya pesta buku pada kali ini mencatat sejarah dengan bertambahnya bilangan gerai. Namun yang dilihat bukanlah bertambahnya bilangan penerbit. Cuma penerbit seperti Karangkraf, Grolier, Karisma dan lain-lain "memecahkan" gerai-gerai mereka. Gerai Karangkraf ada di ruang legar PWTC, dan ada juga di dalam Dewan 1.

Saya sekadar membeli tujuh buku. Yang seronok dapat jumpa kawan-kawan di PTS dan rakan-rakan di UIA.

Sabtu ini, pukul 4 petang ada aktiviti majalah DBP di Pentas Utama, Tun Razak 2. Saya pula berada di Kompleks Pertama, menghadiri kursus perkahwinan. hehe

Warna mengubah mood kita. Ia juga banyak mempengaruhi pemandangan kita, meluaskan ruang, menutup segala cela, membangkitkan rasa nyaman dan keselesaaan.

Warna adalah cara yang paling cepat dan paling kuat untuk menghadirkan transformasi dan melahirkan perspektif dan imaginasi baharu. Warna juga adalah salah satu punca inspirasi paling berharga yang mudah didapati.

Sabtu, saya pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Sekadar berjalan-jalan melihat kelakuan pengunjung sahaja. Terlalu padat dengan manusia sehingga "malas" membeli buku.

Ahad, kesempatan bercuti pada hujung minggu dimanfaatkan dengan mengecat rumah (ruang tamu).
Warna ungu: Warna kegemaran tunang saya disapukan pada dinding tumpu (feature wall).
Warna kuning: Warna kegemaran saya disapukan pada dinding lain.

Walaupun warna ungu sangat jarang ditemui di muka bumi ini, ia melambangkan spiritual, misteri, kebangsawanan, transformasi, kekasaran, keangkuhan yang dilambangkan oleh warna biru. Perpaduan antara keintiman dan erotis atau menjurus pengertian yang mendalam dan peka. Sifatnya sedikit kurang teliti tetapi selalu penuh harapan.


Ada orang menyatakan warna kuning adalah warna keramat agama Hindu, tetapi warna ini diiktiraf sebagai warna diraja Malaysia yang melambangkan kegembiraan, keseronokan dan kesucian. Ia juga menonjolkan kehangatan, inspirasi dan daya hidup. Kuning juga signifikan dengan komunikasi, kesedaran dan cahaya.

Johann Wolfgang von Goethe dalam teori warnanya, Effect of Colour With Reference to Moral Associations menyatakan warna-warna bukan sahaja memberikan kesan kepada minda, malah bertindak menghasilkan “sistem” di dalam organ badan.

Pakar psikologi Switzerland, Max Lusher menyatakan minat pada sesuatu warna dapat menggambarkan peribadi personaliti diri seseorang.

Saya mewajibkan diri untuk menonton filem ini nanti, tetapi entah bila akan berada di pawagam Malaysia. Malah saya mewajibkan diri untuk membeli dan membaca semua karya Habiburrahman El Shirazy. Bermula dengan Ayat-ayat Cinta, saya terpaut untuk membaca karya novel Islami karangannya. Khabarnya, filemnya mencatat rekod "pecah panggung" atau terlaris di Indonesia. Malah Presiden Indonesia pun turut "mencemar duli" masuk ke pawagam menonton filem ini. Klik Berita.

Di Malaysia, Ayat-ayat Cinta versi bahasa Melayu juga laris walaupun bahasa Melayunya kurang berkualiti dan banyak individu yang tidak mengetahui kewujudannya di pasaran. Semasa ditemuduga oleh Ketua Pengarah DBP, beliau bertanya, "Apa buku yang sedang awak baca?" Saya menjawab, "Ayat-ayat Cinta oleh Habiburrahman El Shirazy, novel yang kini laris di Indonesia." "Mana bukunya?" Tanya KP DBP. Saya pun menunjukkan buku itu yang kebetulan berada di dalam beg. Kini saya di DBP. Alhamdulillah...

Apabila membaca bukunya, teringat pada novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Pak Hamka. Membaca kedua-dua karya sememangnya menginsafkan diri. Semangat untuk mendirikan qiyamullail semakin kuat seusai membaca novel-novel berbentuk sedemikian. Oleh itu, saya tidak malu membacanya di mana-mana sahaja walaupun pernah bos saya menegur, "Mentang-mentang fokus Dewan Kosmik berkenaan cinta, baca buku cinta sahaja," (merujuk fokus DK Februari 2007).

Dunia Barat sudah ke hadapan dalam mengadaptasikan novel menjadi filem. Semua orang tahu Harry Potter diadaptasikan daripada buku J.K. Rowling. Kita pun tahu The Lord Of The Rings difilemkan hasil daripada novel J.R.R. Tolkien. Selain itu, The Jungle Book, Charlie & the Chocolate Factory, Jaws, The Silence Of The Lambs, Transformers, X-Men, Superman, Batman, Spider-man diadaptasikan daripada karya bertulis dan lukisan.

Indonesia sudah bergerak lebih awal berbanding dengan Malaysia. Mereka bukan sahaja menerbitkan filem dari buku-buku yang terlaris, malah buku-buku yang berkualiti tinggi turut dijadikan filem. Menyusul selepas Ayat-ayat Cinta ialah Laskar Pelangi tulisan Andrea Hirata.

Dahulu Malaysia banyak menerbitkan filem sedemikian. Tentu kita masih ingat Mira Edora lakonan Julia Rais. Saya pun pernah menonton filem itu. Itu daripada novel karya Khatijah Hashim. Kita juga mengetahui wujudnya buku Ranjau Sepanjang Jalan, tetapi generasi seusia saya tentu tidak tahu adanya filem berjudul sedemikian walaupun ditulis oleh Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad.

Kini projek sedemikian semakin lesu. Karya Lepaskan Kembali Aku ke Laut yang ditayangkan di RTM pun kurang mendapat sambutan. Terfikir juga sekiranya naskhah-naskhah lama seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Awang Sulung Merah Muda atau Sejarah Melayu dijadikan filem. Mungkin mendapat sambutan seperti sambutan yang diberikan kepada teater Puteri Gunung Ledang.

Ada pihak menawarkan saya menulis skrip cerita hantu.

Wakil calon di Balik Pulau berkata, "Orang seperti Anuar lah yang perlu mempertahankan UMNO di Malaysia. Dulu kami berjuang mempertahankan ketuanan Melayu. Saya berpesan kepada anak cucu saya, walau apa-apapun yang terjadi, jangan pangkah yang lain."

Pemandu bas di Balik Pulau, "Saya hampir tiada gaji, dapur mungkin tidak lama lagi tidak akan berasap. Semuanya berlaku sejak Rapid Penang datang ke sini. Bukannya semua orang tidak tahu individu penggerak syarikat itu. Memang patut saya pangkah yang lain. Kami mahu 'mengajar' mereka."

Makcik pengusaha restoran di Balik Pulau, "Sepatutnya ustaz-ustaz jangan terlibat dalam politik. Apabila masuk politik, mereka mula caci mencaci. Bukankah tidak elok?"

Suri rumah di Permatang Pauh, "Walaupun Lim Guan Eng berbangsa Cina, sekurang-kurangnya dia memahami adat budaya Muslim. Semasa perhimpunan, dia menyuruh supaya memendekkan masa supaya dapat dilakukan tugasan hakiki. Katanya, 'Ini selaras dengan cara kerja Khalifah'."

Peniaga di Medan Tun Rahah, Kepala Batas, "Lihatlah banyak kedai yang tutup. Perniagaan di sini terlalu lembab."

Kaki "gebang" di gerai makan, Bayan Baru, "Cuba lihat di kertas pangkah undi. Mengapa gambar calon BN jelas, tetapi tidak gambar calon lain kabur?"

Kesimpulannya, sepanjang saya berada di sana, rata-rata rakyat Pulau Pinang menyokong kerajaan negeri baharu.