Semasa saya belajar di SMABT sehingga ke UIA, kedai gunting mamak atau kedai gunting di bawah pokok menjadi pilihan saya kerana caj perkhidmatannya murah sahaja. Namun selepas beberapa bulan bekerja, saya mula gunting rambut di salun. Mula-mula Iwan yang mengajaknya. Saya suka potong rambut di salun kerana mereka akan mencuci rambut@kepala, kemudian tidak akan meninggalkan seurat rambut di tubuh badan saya ataupun pakaian.

Sejak berpindah ke Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), tidak ada lagi salun yang menjadi pilihan saya kerana lokasi untuk ke salun agak jauh (paling dekat di Jusco Balakong). Di BTHO, ada lebih 3 kedai gunting mamak. Hmmm... Mamak pun mamaklah.

Tanda dagangan (trademark) yang biasa kita lihat di kedai gunting mamak ialah benda yang berputar di hadapan kedai dengan warna yang berjalur-jalur merah, biru dan putih. Benda ini bukan sahaja menjadi tanda dagangan kedai gunting mamak di Malaysia, malah "tiang" ini sudah wujud di Eropah sejak 1361 lagi.

Pada masa itu, tukang gunting rambut juga dikenal dengan pakar bedah. Menjelang tahun 1462, mereka mempunyai kesatuan yang menghimpunkan kesemua tukang gunting @ pakar bedah yang melakukan proses pembuangan darah kotor. Bekam agaknya.

Pembuangan darah kotor dipreskripsikan untuk banyak penyakit seperti untuk demam dan pendarahan dalaman. Sejarahnya, tukang gunting melakukan tugas sedemikian pada 1163 apabila Paus melarang rahib gereja melakukannya.

Dari kisah inilah bermulanya tiang berwarna-warni di kedai-kedai gunting berhampiran rumah kita. Ia adalah simbol perniagaan pembuangan darah kotor kerana pesakit akan menggenggam tongkat atau tiang dengan erat semasa membuang darah supaya urat mereka timbul. Kemudian tukang gunting akan meletakkan lintah pada orang itu dan mengumpulnya di dalam besen.

Kemudian luka selepas membuang darah akan dibalut dengan kain linen. Pembalut kain yang mempunyai kesan darah itu akan digantung di luar kedai sebagai tanda tukang gunting juga adalah pakar bedah. Apabila ditiup angin, kain itu akan berkibar. Lalu tukang gunting mendapat idea untuk mewarnakan sahaja di hadapan kedai dengan lingkaran warna merah dan putih. Yang dilihat pada masa kini ada warna biru. Itu mungkin menggambarkan warna urat yang berwarna agak kebiruan.

Itulah sejarahnya... Mamak di kedai gunting paling ganas pun akan "mematahkan" urat kepala kita. Lalu berbunyilah "prak...prak..."

Sejak saya berumur tiga tahun sehingga darjah enam, saya tinggal di kuarters Kastam di Stulang Laut, di hadapan laut yang boleh nampak tanah Singapura. Selalu saya mendengar bunyi bom kerana di hujung tanah Singapura (berhampiran Malaysia) ialah kem tentera mereka. Maksudnya bila-bila masa sahaja mereka mudah menyerang Johor. Dalam masa yang sama, Kerajaan Johor mahu kem tentera Majidee berpindah ke tempat lain, dengan tujuan untuk membangunkan tapak tanah itu. Sekiranya Singapura menyerang Johor, pasukan tentera yang boleh datang membantu dengan segera ialah dari kem PULADA di Ulu Tiram (lebih sejam ke Johor Bahru).

Dalam masa yang sama, Singapura terus mendekati Johor melalui Pulau Batu Putih (PBP) bermula 23 Mei lalu. Petang Jumaat itu, saya tidak turun ke lobi DBP bagi meraikan Pengarah Penerbitan yang punch card untuk kali terakhir di DBP semata-mata mahu melihat keputusan pemilikan PBP. Keputusannya semua sudah maklum, ia kini milik Singapura.

Pernah suatu masa dahulu Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan (JUPEM) berbangsa Cina yang meletakkan PBP di dalam wilayah Singapura. Tiada bantahan pada masa itu, Malaysia senyap apatah lagi Singapura. Isu mula timbul apabila Ketua Pengarah JUPEM beralih kepada orang Melayu. Beliau membuat peta Malaysia yang baharu dengan meletakkan PBP di dalam wilayah Johor. Singapura mula bising lalu Kerajaan Malaysia mengarahkan supaya "lawan". Namun ada pihak menasihati kerajaan supaya tidak lawan di ICJ kerana pihak itu dan pasukan penyelidik sudah tahu Malaysia tidak punya bukti kukuh untuk memiliki PBP. Beliau menyarankan supaya PBP hanging sahaja.

Kalau diselidiki, Singapura sudah lama merencanakan matlamat ini. Mereka mengambil jangka masa panjang untuk melakukan tindakan ini. Baru kini strategi David Marshall (Ketua Menteri Singapura pertama-Yahudi) berhasil. Yahudi memang pakar dalam merampas tanah orang lain.

Selepas kedua-dua kerajaan bersetuju membaca kes ini ke ICJ, lalu Arkib Negara, JUPEM dan Wisma Putra pun menjalankan tugas. Dokumen-dokumen penting berkenaan isu ini hanya ada di arkib London, India, Australia, New Zealand, dan beberapa negara lain. Di Johor tidak ada banyak surat/dokumen yang menyokong. Percaya atau tidak para penyelidik Malaysia ini hanya singgah sebentar-sebentar sahaja di semua tempat itu untuk mencari dokumen penting kerajaan? Sedangkan dalam masa yang sama, Singapura meletakkan seorang pegawai (atau proksi) yang sudah bertahun-tahun duduk menjalankan penyelidikan di semua tempat itu. Puncanya, kita tiada bajet.

Pegawai Malaysia sudah tahu Malaysia tidak berupaya memiliki PBP, tetapi tetap menjalankan penyelidikan untuk menghadapi "kalah bermaruah". Tidak ada dokumen yang dapat menyokong sepenuhnya tuntutan Malaysia. Walaupun memang benar ada surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang seolah-olah menyerahkan PBP kepada Singapura pada 1953, namun itu bukanlah faktor pemilikan Singapura ke atas PBP. SUK Johor tidak memiliki kuasa menyerahkan kedaulatan, dia cuma ada kuasa menyerahkan pentadbiran PBP sahaja. Walau bagaimanapun, sultan juga tidak berhak untuk menyerahkan kedaulatan wilayah Johor.

12-4. Itu keputusan hakim-hakim ICJ. Undian 4 memihak kepada Malaysia kerana mereka melihat pada isu kedaulatan atau act of sovereignty. Manakala 12 memihak kepada Singapura lebih melihat pada isu pendudukan efektif atau effectivite yang Singapura lakukan di PBP dengan membina rumah api. Cara penghakiman ICJ ini juga sama dengan cara yang dilakukan di Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan. Malaysia memajukan kedua-dua pulau itu, tetapi Indonesia tidak melakukan apa-apa.

Cara penghakiman inilah yang merisaukan rakyat Johor lagi kerana caranya sama seperti yang berlaku di Pulau Pisang. Kini Malaysia memiliki pulau itu, tetapi aktiviti (rumah api) dijalankan oleh Singapura. Pulau itu hanya kira-kira 20 kilometer dari Pontian, tetapi jauhnya lebih empat kali ganda dari Singapura.

Malaysia pernah ada peluang untuk memiliki secara total PBP. Peluang itu menjelma antara tahun 1963 sehingga 1965, iaitu semasa Singapura bergabung dengan Malaysia. Sepatutnya dalam masa tiga tahun itu, JUPEM patut melakarkan peta Malaysia yang meletakkan PBP di dalam wilayah Johor. Namun tiada siapa yang sedar, mungkin mereka alpa.

Sebenarnya selepas Malaysia memiliki Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, ada satu lagi yang menjadi gunting dalam lipatan, iaitu Ambalat. Ambalat memiliki mineral minyak. Indonesia sudah menandatangani kerjasama dengan Shell di Ambalat. Namun perjanjian itu dibatalkan kerana ia sudah dimiliki Malaysia. Isu ini belum selesai lagi. Rais Yatim sudah menyatakan tidak akan merujuk pada ICJ. Parlimen juga menolak isu PBP di dalam Dewan Rakyat.

Mungkinkah banyak lagi tanah Malaysia yang terpaksa dibawa ke ICJ pada masa akan datang? Kasihan anak cucu kita nanti yang terpaksa menanggung kesilapan nenek moyang mereka. Seperti yang kita lakukan kini dengan menyalahkan orang dahulu.

Ini adalah iklan. Sila skrol ke bawah untuk paparan baharu.

Baca Puisi Kuala Lumpur Siri 2

Tempat: Ruang Legar Balai Budaya DBP
Tarikh: 23 Mei 2008 (Jumaat)
Masa: 8.15 Malam
Hos: Profesor Rahman Shaari
Pemuisi lain: Abot, Raja Rajeswari, Rogayah A. Hamid, Rasdi Daud, Bingkas Kebayan dll...
Anjuran: Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), DBP, DBKL, KEKKWA.

Klik Kakiseni.

*Jamuan ringan disediakan.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Allahumma ya rahmanu ya rahim.

Sempena majlis perpisahan persaraan Encik Zulkifli Salleh yang diraikan pada saat ini, kami menadah tangan memohon ke hadrat-Mu Ya Allah supaya beliau diberkati, dikurniakan rahmat dan nikmat yang berpanjangan, sihat walafiat yang berkekalan.

Allahumma ya qahhar.

Kami berdoa ke hadrat-Mu Ya Allah, supaya beliau dikurniakan kekuatan fizikal dan mental untuk meneruskan kerjaya dalam suasana berbeza, serta dapat menjalankan tugas-tugasnya dengan jayanya.

Allahummua ya mujib.

Jadikanlah kami yang masih dalam perkhidmatan ini tetap konsisten dalam meneruskan tugas-tugas dengan cemerlang dan berkualiti demi memajukan masyarakat dan negara serta dipelihara dalam pemuliharaan dan keredaan-Mu.

Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai satu perhimpunan yang dirahmati. Perpisahan kami pula selepas ini sebagai satu perpisahan yang diberkati dan dilindungi. Dan janganlah Engkau jadikan pada diri kami ini, dan mereka yang bersama kami, kebinasaan, dan menyingkirkan kami dari memperoleh rahmat.

Selanjutnya? Sila dapatkan di pasaran. Bukan mahal sangat pun. RM 6 sahaja. Sambil-sambil tersekat di jalan raya pun boleh selak-selak (khususnya untuk Nadmin. hehe).

Binatang yang menjadi model untuk kulit hadapan Dewan Kosmik keluaran Jun 2008 ialah Burung Botak Upih atau Milky Stork. Burung ini dipilih kerana begitu fotogenik, dan pose nya begitu asli (tidak perlu memasuki Bintang Remaja pun). Burung ini kini tinggal lebih kurang 100 ekor sahaja di Malaysia. Yang mana satu visual yang menarik?

Ini antara yang menarik. Sebenarnya ada enam visual lain lagi (yang tidak menarik-malu untuk dipaparkan). Hasil perbincangan dalam Majlis Reka Bentuk DBP-DAWAMA, visual di bawah inilah yang dipilih. Foto ini dirakamkan oleh Encik Mohd Yaman (DAWAMA).

Walau bagaimanapun, kulit hadapan Time terbaharu memang sangat menarik. Ada kisah pilu melihat kulit hadapan itu.(Maaf. Foto kurang jelas).

Kepada Khadijah Ab. Gani, saya mohon maaf kerana tidak dapat hadir majlis walimah kerana terpaksa menghadiri program anjuran tempat bertugas, iaitu pertandingan boling sempena majlis persaraan Pengarah Penerbitan DBP, Encik Zulkifli Salleh.
Satu Pasukan

Jabatan Penerbitan DBP
Bahagian Majalah

Alhamdulillah pasukan saya menjadi johan, mengalahkan 11 pasukan lain daripada bahagian-bahagian Jabatan Penerbitan.
Piala Pusingan Zulkifli Salleh

Secara faktanya, memang benar.

Di beberapa negara maju, wanita hidup lima sehingga sembilan tahun lebih lama berbanding dengan lelaki. Di Kanada, jangka hayat wanita ialah 81.4 tahun, dan 75.8 tahun lelaki. Di Amerika Syarikat, 79.4 tahun untuk wanita, dan 73.6 tahun untuk lelaki. Pada 1998, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan jangka hayat global ialah 65 tahun untuk 5.8 bilion penduduk dunia.

Saintis menyatakan wanita secara genetik diprogramkan hidup lebih lama supaya dapat membesarkan anak-anak dan cucu mereka. Mungkin hormon seks ada kaitan dengan jangka hayat. Hormon lelaki, iaitu testestron dikaitkan dengan perangai agresif yang menjadikan lelaki berisiko untuk diserang penyakit jantung. Hormon wanita pula, iaitu estrogen dipercayai memelihara mereka daripada penyakit jantung dan strok. Memang banyak kisah serangan jantung berlaku di sekeliling kita melibatkan orang lelaki.

Sekiranya melihat pada fakta ini, dan melihat pada andaian umum, tentu kita menyatakan wanita lebih ramai berbanding dengan lelaki. Namun menurut statistik oleh PBB pada 2000, ada 3049241000 lelaki, dan 3005808000 wanita di dunia. Nisbahnya 101.4 lelaki per 100 wanita. Ini statistik pada tahun 2000. Saya percaya statistik ini banyak berubah pada tahun 2008.

Di kedai-kedai buku rangkaian terbesar di Malaysia seperti MPH, Popular dan Borders ada dijual majalah Dewan Kosmik. Di Kinokuniya pun ada. Malah ada sesetengah kedai serbaguna 7 Eleven turut menjual majalah Dewan Kosmik. Di kedai-kedai buku kecil pun ada, ada di semua kedai buku universiti, di Pustaka Mukmin di Jalan TAR, Badan Cemerlang di Plaza Angsana Johor yang membukit majalah-majalah DBP, dan kedai majalah di BB Plaza juga ada (Saya suka kedai majalah ini. Banyak majalah. Murah sedikit berbanding dengan kedai lain).

Cuma majalah ini tidak banyak dijual di kedai-kedai mamak tepi jalan, di Puduraya pun tidak ada. Ada banyak tempat lagi belum menjual Dewan Kosmik. Mengapa?

Saya percaya ada tiga sebab.
  1. Tiada promosi meluas. Buktinya banyak orang tidak tahu kewujudan Dewan Kosmik. Apabila saya kata, "Saya editor Dewan Kosmik." Jawab orang itu, "Hmm." (Jawapan orang yang tidak tahu majalah ini). Ataupun mereka berkata, "Dewan Kosmik itu apa?"
  2. Pemasaran tidak meluas. Apabila tiada promosi, sudah tentu orang tidak tahu adanya Dewan Kosmik. Kemudian pastilah tiada permintaan. Kemudian pegawai pemasaran Dawama pun berkata, "Kami bukan tidak mahu menghantar majalah, tetapi tiada permintaan." (Baling batu di kepala baru tahu!)
  3. Isi kandungan tidak menarik. Ini berkaitan dengan editorial Dewan Kosmik yang dilaksanakan oleh dua orang, saya dan Puan Norizan Muslim (hampir 15 tahun di Bahagian Majalah DBP).
Berkenaan dengan isi kandungan... Sejak saya mengendalikan Dewan Kosmik, saya cuba tidak "memberatkan" isi kandungan. Saya menurunkan tahap keupayaan membaca (readibility index) majalah ini sehingga pelajar sekolah rendah. Maksudnya pelajar sekolah rendah pun memahami isi kandungan Dewan Kosmik.

Namun saya menyedari ada sebahagian artikel yang ala-ala seperti tesis atau kertas kerja wacana. Ini perlu dimuatkan dalam Dewan Kosmik memandangkan ada juga pembaca dalam kalangan pelajar universiti, saintis dan pensyarah universiti.

Saya amat berharap sebarang cadangan penambahbaikan Dewan Kosmik. Sebab itulah diwujudkan ruangan surat pembaca. Di bawah surat pembaca yang baru diterima semalam. Surat yang ditulis oleh pelajar sekolah menengah.
Surat 1
Surat 2

Biasanya saya akan memulakan sesi penerangan majalah dengan bertanyakan soalan, "Apakah maksud 'kosmik'?" sambil memegang Dewan Kosmik untuk diberikan kepada sesiapa yang dapat memberikan jawapan dengan tepat. Namun tidak pernah ada seorang pun pelajar sekolah menengah yang mengadakan lawatan ke DBP dapat menjawab soalan itu.

Semasa pertama kali diberikan taklimat oleh Puan Padilah Ali (Ketua Bahagian Majalah @ bos majalah DBP), dia kata, "Saya memberikan tanggungjawab kepada awak mengendalikan majalah Dewan Kosmik." Keluar sahaja dari biliknya, saya terus membuka Kamus Dewan Edisi Keempat, muka surat 825 untuk mencari makna KOSMIK.

Maksudnya, 1. yg berkaitan dgn alam semesta; 2. terdapat di atau berasal dr angkasa lepas;

Yang saya tahu, Dewan Kosmik asalnya diterbitkan oleh penerbit luar pada 15 tahun 5 bulan yang lalu. Kemudian DBP menerbitkan sebelum diberikan secara francais kepada Karangkraf. Bermula tahun 2007, DBP mengambil semula Dewan Kosmik bersama-sama empat majalah lain.

Saya tidak mendapat sebarang maklumat rasional diberikan nama KOSMIK kepada majalah berkonsepkan sains dan teknologi ini. Di Malaysia, selain Dewan Kosmik, majalah sains lain cuma estidotmy terbitan Utusan Malaysia dengan kerjasama MOSTI. Itupun sebagai sisipan. Estidotmy adalah akronim bagi "era sains, teknologi & inovasi". Majalah antarabangsa lain contohnya Popular Science, Scientific American, dan Scientific American Mind semuanya ada perkataan sains. Cuma Focus BBC tidak ada perkataan sains.

Saya pernah menyuarakan untuk menukarkan Dewan Kosmik menjadi Dewan Sains. Seperti majalah lain, Dewan Ekonomi jelas untuk ekonomi, Dewan Sastera-sastera, Dewan Pelajar-pelajar sekolah rendah, Dewan Masyarakat-bacaan umum, Dewan Siswa-pelajar sekolah menengah, Dewan Budaya-budaya, Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa-bahasa Melayu. Namun bos menyatakan agak sukar kerana perlu melalui pelbagai birokrasi atasan. Saya ngalih.

Rasional cadangan saya, sekiranya bakal pembeli tidak tahu maksud KOSMIK, mereka juga pasti keliru bidang apakah yang dibincangkan dalam majalah ini walaupun ada sub mast-head "Majalah Sains dan Teknologi" yang kecil di kulit hadapan. Namun saya tetap berharap suatu hari nanti KOSMIK akan terkenal sebagai majalah sains.

Bersambung...

Saya menjadi editor Dewan Kosmik sejak penerbitan keluaran Februari 2007. Sebenarnya mula bertugas di DBP pada Disember 2006. Memang sudah dapat diagak akan diberikan majalah itu walaupun jiwa memberontak mahukan Dewan Ekonomi. Ini kerana saya sudah setahun mengendalikan buku bidang bisnes dan pengurusan semasa bertugas di PTS Professional. Sekurang-kurangnya saya mempunyai pengalaman dan beberapa penulis yang boleh ditonjolkan.

Namun mungkin ada hikmahnya semua kehendak Tuhan. Seorang graduan lulusan usul fiqh (major) dan sains politik (minor) mengendalikan majalah sains. Ada juga pegawai senior yang mempertikaikan keupayaan saya. Buat tidak tahu sahaja. Belum pasti pegawai itu berupaya menerbitkan majalah dalam masa yang ditetapkan (deadline). Dalam sejarah saya, hanya sekali sahaja terlajak deadline, itupun kerana pereka bentuk "cabut lari".

Secara jujur, sebelum ini saya tidak pernah membaca Dewan Kosmik. Majalah terbitan DBP yang kerap dibaca hanya Dewan Masyarakat. Entah mengapa sebelum ini tidak tertarik untuk membaca majalah terbitan DBP yang lain.

Belum ada lagi pencapaian yang hebat semasa mengendalikan majalah ini. Belum lagi mendapat sebarang anugerah, belum lagi dapat meningkatkan jualan majalah sehingga 100 000 naskhah seperti Mastika, belum lagi menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat disebabkan isu fokus, belum lagi berjaya mengulang cetakan kedua bagi satu keluaran, dan banyak lagi yang belum. Belum di sini maksudnya doa dan usaha untuk ke arah itu masih ada.

Satu perkara yang perlu difahami... Bahagian majalah DBP hanya menjalankan tugasan memperoleh manuskrip (artikel) dan menyunting artikel sahaja. Urusan reka bentuk, cetakan, pemasaran dan promosi dijalankan oleh Dawama. Dalam masa yang sama, bahagian majalah tetap memantau urusan yang dilakukan oleh Dawama. Memantau maksudnya memberikan cadangan dan menasihati sahaja. Tindakan tetap dilaksanakan oleh Dawama.

Oleh itu, isu lapuk berkenaan majalah tidak ada di pasaran atau kedai, cetakan kurang berkualiti, dan reka bentuk tidak menarik adalah di luar bidang kuasa editor bahagian majalah DBP. Kami menyedari masalah itu. Tindakan yang klise kami lakukan, "Saya akan maklumkan perkara ini kepada individu yang bertanggungjawab."

Namun yang pelik, setiap kali ada lawatan sekolah ke DBP, semasa saya memberikan penerangan berkenaan majalah, saya akan bertanya, "Tahukah adik-adik kewujudan majalah Dewan Kosmik?" Dalam banyak-banyak sekolah yang datang DBP, hanya ada satu sekolah sahaja yang tidak tahu kewujudan majalah ini.

Bersambung...

Bob, Mom, Madam: Semua boleh dibaca walaupun dari belakang.

Ia dipanggil palindrom. Perkataan palindrom diambil dari perkataan Yunani yang bermaksud "percubaan untuk lari sekali lagi". Namun dalam bahasa Inggeris bermaksud "perkataan, frasa ataupun ayat yang boleh dibaca dari hadapan ataupun belakang".

Banyak perkataan yang tergolong dalam palindrom. Antaranya mom, tat, peep, boob, kayak, radar, reviver, tattarattat, kinnikinnik, detartrated dan redivider. Ada juga palindrom yang memberikan maksud lain selepas diterbalikkan seperti stressed-desserts atau drawer-reward.

Ada juga palindrom yang boleh jadi ayat yang lengkap seperti, "Go hang a salami! I'm a lasagna hog!" ataupun "A man, a plan, a canal: Panama".

Saya pernah mendengar kawan-kawan perempuan yang bercakap dalam bahasa yang tidak difahami. Memang tidak mahu orang lain mengetahui apa-apa yang mereka borakkan. Contohnya dalam filem Puteri Impian. Amy Mastura "membuat ketupat" dengan Nor Aliah Lee menggunakan bahasa tersendiri. Misalnya, "Safa yafa mafa hufa perfa gifa mafa kanfa." Maksudnya, "Saya mahu pergi makan." Cuma ditambahkan "fa".

Ada juga yang menggunakan singkatan kata sama ada awal perkataan ataupun hujung perkataan. Contohnya, "Sahugikan." Maksudnya sama seperti di atas.

Saya rasa macam menyambung pelajaran pada peringkat sarjana berkenaan bahasa isyarat inilah.

Sudah menjadi rutin, sebelum tidur saya akan set masa penggera di telefon bimbit lima minit awal. Sekiranya hendak bangun pukul 6.00 pagi, saya akan set pukul 5.55 pagi. Begitu jugalah sekiranya hendak bangun pukul 6.30 pagi, saya set masa penggera pukul 6.25 pagi.

Apabila penggera telefon bimbit berbunyi pukul 5.55 pagi, serta merta saya terus set pukul 6.00 pagi. Seperti biasa, saya akan meluruskan badan menelentang seolah-olah jenazah. Masa lima minit itu dianggap sebagai masa kecederaan.

Pukul 6.00 pagi, telefon bimbit berbunyi lagi. Maksudnya saya kena juga bangun. Kalau saya terus tidur, saya akan terus lewat bangun. Namun kerap kepala terasa "berat sangat". Betulkah apabila hendak bangun tidur, serta merta kepala menjadi berat? Teringat teman sebilik di Matrikulasi UIA, Syawal, yang memang betul berat kepala semasa bangun pagi. Katanya, kalau bangun juga, akan kena migrain.

Biasanya berat kepala manusia lebih kurang 7.5 peratus daripada berat badan manusia. Berat badan saya 60 kilogram (stabil sejak SPM). Maksudnya berat kepala saya lebih kurang 4.5 kilogram, tetapi tidak pernah pula saya timbang. Sekiranya berat badan manusia 90 kilogram, berat kepalanya ialah 6.75 kilogram.

Ada banyak "benda" yang menyebabkan kepala mempunyai berat sedemikian. Kepala kita mempunyai 22 tulang; iaitu lapan tulang kranium yang melindungi otak, dan 14 tulang di muka.

Faktanya, kita mesti letih apabila menegakkan kepala kerana ia berat. Tidak pastilah pula apabila tidur, kepala bertambah berat. Namun kalau orang tidur semasa khutbah Jumaat, pasti terlentok ke kiri, ke kanan, ke hadapan, malah ada yang terus terlentang ke belakang. Itu memang betul kepalanya berat sebelah.

Semoga Allah mengampuni segala dosa Puan Fatimah Ahmad dan merahmati kehidupannya. Selamat hari ibu emak.

Mungkin sempena hari ibu, Istana Budaya (IB) mengadakan persembahan teater muzikal Randai Kasih Menanti. Saya pun mengambil kesempatan menggunakan kad media untuk masuk ke Panggung Sari dengan percuma. Bukan menyalahgunakan kad media, tetapi dengan bantuan Abang Saari Shafie, saya dapat layanan istimewa daripada PR IB, Saudara Kassim Lee.

Persembahan randai ini pernah diadakan 14 tahun lalu di Stadium Negara. Kini, pelakon yang kekal berlakon dalam persembahan di IB hanya Zulkifli Md. Zain (bapa Norzizi Zulkifli) dan Ahmad Tariq Siregar (anak Ahmad Tamimi Siregar-14 tahun lalu adalah bayi). Pelakon lain yang terlibat dalam persembahan arahan Ahmad Tamimi pada kali ini ialah Dato' Yusni Hamid, Safura Ya'cob, Ray Redzuan, dan lain-lain.

Sedikit berkenaan randai... Randai adalah tarian tradisional Minangkabau berasal daripada perkataan merandai yang bererti mengarang atau melingkar suatu kawasan lapang untuk mencari sesuatu yang hilang. Struktur persembahan randai berkonsepkan gerak tari silat.

Namun Randai Kasih Menanti kurang unsur randai yang tulen atau sempurna. Ia menceritakan ibu (Safura) yang membuang anak di sampan kerana terpengaruh kata-kata bomoh (Ahmad Tamimi). Selepas besar, anak itu kembali ke pulau asalnya kerana dihanyutkan selepas kapal yang diterajuinya dipukul ribut. Seterusnya, sebaiknya pergi sahaja ke IB.

Sebenarnya musykil juga kerana ada lagu pop rock dan rentak zapin dalam persembahan itu. Walau bagaimanapun, saya lebih suka persembahan randai di Dewan Filharmonik Petronas pada tahun lepas.

Maaf. Agak lucah. Walau bagaimanapun, semua memakainya, tetapi tidak diketahui sebab rasional kita memakainya. MENGAPAKAH KITA MEMAKAI SELUAR DALAM?

Jawapan klise:
  • "Sejak kecil lagi emak suruh pakai."
  • "Supaya anu tidak tergantung." (Lelaki).
  • "Supaya tidak dimasuki sebarang binatang ataupun anasir luar." (Wanita).
Dahulu pakaian ini dikenal sebagai "kain cawat". Ia mula dipakai dan dipopularkan sejak 4000 tahun dahulu di Crete (di Greece) kerana cuaca di sana panas. Ada juga yang menyatakan orang Mesir yang mula-mula memakai seluar dalam dengan cara melilit kain di sekeliling badan. Mungkin seperti mamak-mamak tua di kedai makan mamak.

Sebenarnya, seluar dalam berperanan bagi mengurangkan kekotoran pada kain. Ia adalah lapisan di antara kulit dan baju/seluar yang membantu mengekalkan baju/seluar kekal bersih.

Nama lain untuk seluar dalam: skivvies, unmentionables, panties, bloomers, undies, knickers, drawers, gaunchies, step-ins, scantier, unwhisperables, baju kecil, baju dalam, dan topang bawah.

Kemudian dalam 200 Masihi, muncul satu lagi pakaian sulit, iaitu coli. Pada mulanya, pakaian ini dinamakan sebagai strophium atau mamillare yang berbentuk seperti pita untuk payudara.

Saya teringat pada pesan seorang ustazah, penceramah agama terkenal, "Saya tidak akan menggantung pakaian sulit di luar rumah sehingga boleh dilihat orang lain. Dalam masa yang sama, saya cuba untuk tidak membenarkan anak-anak dan suami saya melihatnya."

Hebat!

Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) tersenarai sebagai 100 orang paling berpengaruh di dunia. Beliau tergolong dalam kumpulan pemimpin dan pendukung revolusi dalam keluaran terbaharu Time. Klik Time.

Antara dalam kumpulan itu ialah Vladimir Putin, Barack Obama, Dalai Lama, Hillary Clinton dan lain-lain. Tambah menarik, ulasan berkenaan diri DSAI ditulis oleh sahabatnya, Paul Wolfowitz, bekas Presiden Bank Dunia dan Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat.

Semasa di UIA, saya suka membeli roti High 5 yang berharga RM 0.50 (sekarang RM 0.60). Ijad pernah melarang saya membeli roti jenama itu kerana pernah melihat keadaan kilang roti itu dengan mata sendiri. Saya tidak percaya, tetapi selepas berita berkenaan cara penghasilan roti itu tersebar di media, saya tidak lagi membeli roti itu. Walaupun Silver Bird Group Bhd. (syarikat High 5) memperkudakan Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, saya tidak akan makan roti itu lagi.

Namun selepas menonton Buletin Utama semalam, saya rasa macam mahu mengeluarkan semua simpanan dalam Tabung Haji. Benci sangat melihat "orang besar" High 5 tersenyum dan tergelak dengan "orang besar" Tabung Haji selepas menandatangani perjanjian strategik.

Tabung Haji akan melaburkan RM 300 juta termasuk duit saya, emak, abah, atuk, nenek, dan semua umat Islam dalam industri makanan halal. Itu tidak menjadi masalah. Masalahnya, mengapa perlu melabur dalam industri yang bukan diterajui oleh bukan Islam? Banyak lagi pengusaha Islam yang amat perlu dibantu.

Dalam Utusan Malaysia, Tabung Haji memulakan gerak kerja ini dengan melabur dalam syarikat yang pernah kontroversi ini. Sebelum itu, Tabung Haji sudah memiliki saham dalam syarikat QSR Brands Bhd. (milik Tan Sri Mohd. Ali Hashim) dan Lam Soon (M) Bhd (syarikat ini bukan milik umat Islam).

Alternatif roti itu, tentulah makanan yang dihasilkan oleh umat Islam. Adakah kita akan makan roti di bawah ini?

Singa Betina

Sebelum ini, saya tidak pernah tahu dan tidak pernah berminat mengambil tahu. Namun semasa mencari bahan untuk menulis fokus Dewan Kosmik keluaran Jun 2008, terbaca fakta yang menyatakan singa betina yang keluar berburu mencari makanan, bukannya singa jantan. Sekiranya keadaan itu berlaku pada manusia, sudah lama orang menyatakan si suami itu seorang yang pemalas!

Orang perempuan memiliki struktur badan yang agak lemah berbanding dengan lelaki. Disebabkan itu, orang lelaki selalu diminta melakukan kerja-kerja yang berat dan lasak. Namun walaupun singa betina memiliki tubuh yang lebih kurus berbanding dengan singa betina, ia dianggap sebagai kelebihan. Kelebihan itulah menyebabkan singa betina yang keluar berburu. Tambahan pula dengan tubuh yang kecil itu membolehkan singa betina bergerak dengan lebih pantas.
Singa Jantan

Singa betina tidak mempunyai bulu leher yang lebat seperti singa jantan. Oleh itu, mudah bagi singa betina menyembunyikan diri. Kalaulah singa jantan bersembunyi di sebalik pokok, buat kelakar sahaja! Sudah tentu boleh dilihat. Tetapi singa jantan akan mengawal kawasan memburu semasa "isterinya" mengejar mangsa. Demi kasih sayang kepada "isteri"! Macam si suami duduk di dalam kereta menunggu si isteri keluar dari pejabat.

Malam Jumaat, saya ke Hotel One World, Damansara bagi menghadiri Majlis Anugerah Malaysian Press Institute (MPI). Azli (Dewan Ekonomi), Aninah dan Suria (Dewan Masyarakat) menjadi calon akhir hadiah kategori masing-masing.
Esoknya, pagi-pagi lagi sudah tercongok di Stadium Putra, Bukit Jalil kerana menjadi wakil DBP untuk Perhimpunan Hari Pekerja 2008.

Petangnya saya ke Temerloh, Pahang bagi menghadiri majlis perkahwinan Suhada (junior gamelan). Malamnya saya sudah berada di Johor juga kerana majlis perkahwinan anak Pak Long.

Ke Hotel One World, saya dapat bertemu dengan semua wakil media yang ada di Malaysia. Sekurang-kurangnya saya terserempak dengan rakan-rakan di UIA, Dayne Azmin di Utusan Malaysia dan Nizam di Sinar Harian. Walaupun Azli, Aninah dan Suria tidak memenangi sebarang hadiah, pencalonan nama mereka sudah membuatkan saya cemburu. Harap-harap MPI dapat membuka kategori sains pada tahun hadapan.
Tahun lepas saya menyertai juga Perhimpunan Hari Pekerja. Itupun kerana mahu mendengar sama ada Pak Lah akan mengumumkan kenaikan gaji ataupun sebaliknya. Syukur kerana Pak Lah mengumumkannya tidak lama selepas itu. Pada tahun ini, saya secara sukarela pergi walaupun tidak mendapat honorarium RM 2000 kerana mahu mendapat baju korporat percuma! haha!

Majlis walimah hukumnya wajib hadir sekiranya mendapat jemputan. Bulan Mei ini, setiap minggu ada sahaja jemputan. Ikut rasa hati, mahu sahaja pergi semua tempat, tetapi "benda alah" dalam dompet kena ambil kira juga. Bukannya dekat-dekat, selepas ini ke Ipoh, Johor Bahru, Kluang, dan terakhir Kuala Terengganu. Sedih pula kalau tidak pergi, semuanya teman rapat.

Saya menghabiskan masa cuti sempena Hari Pekerja (dulu Hari Buruh) dengan beratur membeli tiket wayang (The Kite Runner). Pelik. Rata-rata yang menonton filem itu adalah orang tua. Tambah pelik lagi kerana ada dua pawagam sahaja yang menayangkan filem itu di Malaysia.

Filem ini salah satu lagi hasil daripada adaptasi buku yang ditulis oleh Khaled Hosseini, warga Afghanistan yang tinggal di Amerika, juga pengarang novel A Thousand Splendid Suns. Beliau baru menerbitkan dua novel, tetapi karyanya sudah diangkat menjadi filem.
Filem yang diterbitkan oleh DreamWorks dan diarahkan oleh Marc Forster sudah tentu banyak propaganda yang mengarut. Abaikan adegan liwat, minum arak, main daun terup dan keganasan Taliban (termasuk hukuman rejam bagi penzina). Mungkin ia realiti kehidupan di Afghanistan, tetapi paparan buruk berkenaan orang Afghan cukup meluatkan penonton.

Filem ini mengingatkan saya pada filem Iran, Children of Heaven, yang menggambarkan pengorbahan abang kepada adiknya. Namun filem The Kite Runner adalah kisah pengorbanan seorang sahabat kepada sahabatnya. Pengorbanan melampau Hassan kepada Amir menyebabkan hampir satu pawagam terharu (terdengar juga sedu sedan). Namun tidak semua pengorbanan itu dibalas dengan kebaikan. Amir yang merupakan majikan Hassan tidak mengetahui Hassan adalah saudara kandungnya (hasil hubungan sulit luar nikah bapanya) sehingga sanggup memfitnah Hassan.

Saya tidak nampak adegan dakwah dalam filem ini, walaupun ada beberapa babak ibadat yang dipaparkan. Yang saya faham, banyak digambarkan secara tersirat keburukan peribadi seorang Muslim. Tidak cukup sekiranya filem ini dijadikan sebagai "peluru serangan balas" kepada filem Fitna. Namun sewajarnya filem ini diusahakan oleh penerbit filem Malaysia. Indonesia sudah ada Ayat-ayat Cinta dan Kun Fayakuun, Malaysia tidak seharusnya berbangga dengan Syukur 21 yang gagal itu.