Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) akan diadakan 19 hari lagi. Kalau tahun lepas, pihak penganjur menyatakan jumlah pengunjung merudum, yang mungkin kesan daripada kemelesetan ekonomi. Saya teruja untuk mengetahui reaksi pengunjung bagi PBAKL tahun ini.

Walau bagaimanapun, jumlah kehadiran pengunjung ke PBAKL sebenarnya boleh diragui. Masakan tidak, sistem pengiraan masih lagi menggunakan "alat pengira tasbih", sedangkan Pesta Buku Popular (yang diadakan setiap tahun di KLCC) telah maju dengan mengira pengunjung melalui jualan tiket. Lebih telus!

Dengan menggunakan "alat pengira tasbih", dan meletakkan petugas yang menghitung itu di setiap pintu masuk PWTC, mungkin juga orang yang bekerja di PWTC pun dikira sama!

Saya telah lama bertugas di PBAKL ini, sejak belajar di UIA yang bertugas sebagai pekerja sambilan dengan Saba Islamic Media. Pada masa itu, setiap pembeli buku di PBAKL biasanya akan diberikan buku nota, pen, ataupun rantai kunci (key chain) sebagai hadiah. Kalau peraduan pula (khususnya Karangkraf), orang yang bertuah akan diberikan beg yang berisi majalah ataupun buku.

Namun kini PBAKL sudah banyak berubah. Penganjur sudah berani melabur untuk memberikan motosikal kepada pengunjung, ITNM tahun lalu pula memberikan kereta kepada pembeli bertuah, malah banyak lagi gerai yang memberikan pelbagai hadiah, selain diskaun.

PC Fair pun tidak pernah memberikan hadiah lumayan sebegini. Paling mahal pun, pengunjung PC Fair akan membawa pulang hadiah berbentuk komputer (laptop) juga. Saya pernah bertuah mendapat rollerblade.


PBAKL tahun ini pula, ada pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan di gerai ITNM. Sebelum PBAKL, ITNM menganjurkan pertandingan mengulas buku ITNM di Facebook/blog. Hadiah keseluruhan, RM10,000! Hadiah pertama, RM5,000, yang setanding pula dengan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Pertandingan mengulas buku tidak pernah diadakan di Malaysia. Malah tidak pernah ada mana-mana pihak memberikan pengiktirafan kepada pengulas buku, filem, ataupun lain-lain bidang. Pengkritik sastera sahaja yang diiktiraf.

Padahal pengulas memainkan peranan penting dalam mana-mana industri. Filem Adnan Sempit mendapat sambutan hangat, malah mencatat rekod antara filem "pecah panggung" kerana mendapat ulasan yang baik (bak kata Meor Shariman). Begitu jugalah dengan Nur Kasih yang dipromosikan dengan baik di blog, Facebook, dan akhbar.

Buku La Tahzan, Mukaddimah Ibn Khaldun, Shit, dan banyak lagi buku juga "hebat" kerana diulas baik oleh banyak pihak. Orang yang mengulas buku ini biasanya jujur atau telus menulis ulasannya. Kalau buku itu baik, buku itu akan digambarkan secara positif, begitu jugalah jika sebaliknya. Cuma yang banyak "ulasan" di akhbar kini bukannya ulasan buku sebenar. Saya menganggapnya sebagai blurb kerana ulasannya terlalu pendek.

Saya tetap meminati ulasan buku tulisan Shaharom TM Sulaiman dan Jaafar Abdul Rahim. Ulasan buku mereka tidak hanya tertumpu kepada buku yang diulas itu, tetapi turut mengaitkan dengan buku lain yang sama konsep. Ulasan Jaafar Abdul Rahim lebih sedikit santai kerana suka mengaitkan dengan situasi semasa. Ulasan buku Zulkifli Salleh pula, rasanya tidak sampai tahap saya membaca ulasannya. Mungkin terlalu "tinggi"!

Namun penerbit buku di Malaysia (yang tiada penerbitan majalah) kini agak terhad untuk mendapat tempat/platform ulasan buku. Dalam majalah DBP, ruang ulasan buku kini terhad hanya untuk buku terbitan DBP. Begitu jugalah dengan majalah terbitan Karangkraf, buku terbitan Alaf 21 diutamakan dalam majalah Karangkraf. Mujur akhbar tempatan tidak memberikan had kepada buku mana-mana penerbit untuk diulas.

Sejak kebelakangan ini, saya agak jarang mengemas kini blog. Saya dan rakan-rakan agak banyak kerja menguruskan pembabitan ITNM dengan Google Books. Syukur segalanya berjalan baik dan semoga dengan adanya Google Books itu, semua karya sasterawan/penulis Malaysia dapat diantarabangsakan.

Lebih kurang sebulan lagi akan berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 19-28 Mac 2010. Kini semua penerbit buku sedang sibuk dengan penerbitan buku baharu selain merancang strategi untuk meraih keuntungan semasa PBAKL. Menarik PBAKL tahun ini kerana dewan di seberang sungai dibuka semula sungguhpun mendapat banyak rungutan dua tahun lalu kerana dewan itu tidak dilengkapi sistem pencegahan kebakaran.

Pada pesta tersebut pastinya semua pencandu buku akan berkampung 10 hari di PWTC walaupun segala kemudahan di situ agak daif, terutamanya tandas yang langsung tidak mesra 1Malaysia. Yang saya pasti juga selain pencandu buku, pencuri buku juga telah lama merancang strategi untuk "mengambil" beberapa buku pilihan.


Sekali fikir, memang agak pelik ada orang yang sanggup untuk mencuri buku. Kalaulah pelajar yang mencuri buku, sudah tentu mereka maklum tidak berkat ilmu yang diperoleh. Namun Johnny Depp pernah mencuri buku panduan bermain gitar terbitan Mel Bay semasa berusia 12 tahun. Beliau akhirnya pandai bermain gitar, tetapi sebenarnya dia bukan tahu pun hal keberkatan ilmu.

Detektif Lim yang merupakan seorang artis pun mencuri buku beberapa tahun lalu, tetapi adakah dia tidak mampu membayar harga dua buku yang bernilai RM149.90? Saya berborak dengan Ikhram, Eksekutif Kanan Pemasaran ITNM (baru bertugas-pernah bertugas di MPH dan PTS) berkenaan hal ini. Beliau menyatakan keadaan ini acap kali berlaku di mana-mana kedai buku terutamanya di MPH. Katanya, bukan sahaja artis terkenal, malah banyak orang kenamaan yang pernah mencuri buku. Kata Ikhram, "Mereka saja-saja mencuri buku, atau mungkin hobi."

Cuma ada satu lagi gerombolan (gelaran yang cocok) yang memang kerjanya mencuri, tidak kira apa-apa sahaja jenis buku sama ada yang terlaris mahupun yang berkualiti. Bos PTS, Arief pernah menulis blog berkenaan hal ini. Katanya, mereka mencuri buku untuk dijual semula secara dalam talian (online).

Memang ada benarnya. Ikhram menyatakan modus operandi mereka tidak dilakukan semasa banyak orang di dalam kedai buku, tetapi sebaliknya; semasa kedai buku tidak banyak orang. Mereka akan menyelitkan buku yang telah lama disasarkan ke dalam seluar.

Pencuri buku ini juga sebenarnya maklum berkenaan hal undang-undang. Sekiranya pekerja/pengawal kedai buku dapat mengesan mereka mencuri di dalam kedai buku, ia masih lagi belum menjadi kesalahan. Apabila mereka melangkah keluar dengan buku yang dicuri, pada masa itulah mereka boleh ditahan.

Pekerja/pengawal kedai buku sebenarnya sudah mengecam wajah semua pencuri buku. Kadang-kadang mereka siap bertegur sapa dengan pencuri buku. Malah ada kalanya buku yang diselitkan di dalam seluar dikeluarkan dan diletakkan di rak semula di hadapan pekerja/pengawal kedai buku. Asasnya, selagi tidak melangkah keluar kedai dengan buku yang dicuri, selagi itu tidak boleh ditahan.

PBAKL adalah lubuk utama pencuri buku. Bagaimana mahu menahan mereka sedangkan setiap penerbit di PBAKL tidak ada mesin pengesan kecurian. Petugas jualan pula pasti tidak sempat memantau satu persatu pengunjung yang datang. Setakat satu dua buku yang dicuri, mungkin boleh sahaja dihalalkan, tetapi penerbit mana boleh tahan kalaulah mereka mencuri The Epic of Hang Tuah yang bernilai RM250 sebuah!

Semalam, saya dan isteri seharian menghabiskan masa berjalan-jalan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Masjid India, Pasar Seni, Jalan Petaling (lebih terkenal dengan Petaling Street), dan Jusco Taman Maluri.

Biasanya kami akan berjalan-jalan sebegini pada hari bekerja, tetapi kali ini berlainan pula. Tujuan sebenarnya adalah mahu berjalan-jalan dengan kereta baharu. Kereta apa? Rahsia... Kerana bagi saya kereta adalah liabiliti, bukannya aset yang boleh dibanggakan.

Oleh kerana berjalan sakan, saya hanya sempat membaca akhbar pada waktu malam. Saya tertarik dengan artikel tulisan Zin Mahmud di Mingguan Malaysia dengan judul Dunia Tanpa Buku.

Sejak Zin Mahmud menerajui Mingguan Malaysia, tulisan beliau lebih kurang seperti menulis blog atau pojok. Hasil tulisan beliau diceduk daripada keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Tahniahlah! New journalism!

Beliau mengaitkan artikel beliau kali ini dengan inovasi terbaharu Apple, iaitu iPad dengan trend pembacaan buku semasa. Ada logiknya hujah beliau pada kali ini. Ada banyak penulis yang mendakwa trend pembacaan buku akan berubah daripada membaca buku yang tebal kepada Kindle ataupun Nook, tetapi tidak bersandarkan hujah mahupun alasan yang logik. Namun Zin membandingkan trend pembacaan itu dengan perubahan penggunaan telefon.


Ya memang betul kini tidak banyak orang yang memiliki telefon talian tetap di rumah. Cuma kebanyakan pejabat kerajaan sahaja yang ada telefon talian tetap di setiap meja staf. Pejabat swasta sudah lama menggunakan telefon bimbit yang diberikan kepada setiap staf. Yang jelas, kini semua orang ada telefon bimbit, termasuklah pelajar sekolah rendah.

Bukan ini yang mahu saya ceritakan. Bagi saya, daripada tulisan Zin itu, beliau mahu mengajak pembaca supaya tidak statik dengan keadaan yang sedia ada. Pendek kata, jangan selesa dengan rutin harian yang ada. Kalau mahu melakukan perubahan diri atau kerjaya, perlu senantiasa berubah dan mengadaptasi dengan perkembangan terkini.

Namun adakah semua orang mampu berlapang dada untuk mengubah minda? Tindak-tanduk dan perilaku kita tidak akan berubah sekiranya minda tidak bersedia untuk berubah. Sebenarnya isu ini tidaklah menjadi masalah yang besar. Cuma di sudut hati saya, berasa agak terkilan melihat ada segelintir pihak yang tidak bersedia untuk menerima perubahan.

Di akhiran tulisan Zin itu, beliau menyatakan, "Kalau selama ini, seseorang tanpa sebarang alat boleh membaca buku tetapi pada masa akan datang, mereka yang tidak mampu untuk memiliki e-reader akan terhalang daripada peluang untuk membaca buku. Maka golongan ini, akan membaca buku-buku cetak yang sudah ketinggalan zaman."

Senang kata, jika tidak mahu atau tidak berani berubah, bersedialah dan jangan menyalahkan orang lain sekiranya ketinggalan zaman!