Minggu sudah syarikat (Nyla) yang menerbitkan majalah komik Upin & Ipin datang ke ITNM untuk berbincang sebarang kerjasama yang boleh dilakukan.
Apabila ditanya berapa jumlah cetakan bagi setiap keluaran majalah itu, jawapannya 75,000 naskhah! Jumlah itu sangat tinggi dalam situasi penjualan majalah mutakhir kini. Majalah terbitan DBP (saya percaya kecuali Dewan Siswa & Dewan Pelajar) pun kini sukar untuk mencecah 15,000 naskhah sebulan.
Sebelum berakhir mesyuarat, pihak syarikat itu memberikan majalah Upin & Ipin daripada keluaran pertama sehingga 12 sebagai cenderahati. Namun saya anggap mereka mahu kami meneliti kualiti majalah itu.
Saya sempat membelek-belek majalah itu, dan bagi saya memang sesuai untuk bacaan kanak-kanak. Cuma mata saya tidak cocok melihat ada beberapa grafik yang disalin (copy paste?) daripada siri animasi sebenar Upin & Ipin sehingga cetakannya menjadi gelap.
Kebetulan pula 23 Januari 2011 adalah hari lahir anak buah saya, Adam. Maka selain diberikan hadiah permainan, saya & isteri memasukkan sekali semua majalah Upin & Ipin ke dalam beg hadiah itu. Kak Maz kata, Adam yang berusia dua tahun itu asyik menatap dan bermonolog sambil menyelak satu persatu halaman majalah itu. Dengan pelat, disebutnya "Upin & Ipin".
Kalau Adam yang dua tahun itu boleh minat membaca komik Upin & Ipin (selain setiap hari menonton Upin & Ipin), maksudnya tentulah ia ada keistimewaannya tersendiri. Banyak orang sudah kata kekuatan Upin & Ipin. Taip sahajalah "keistimewaan upin & ipin" atau "kekuatan upin & ipin" di enjin carian Internet, kita dapat tahu di mana hebatnya Upin & Ipin.
2 komen:
tak tidor lagi ke malam2 nie...
Anak buah saya lagi teruk kroniknya dengan upin dan ipin. Kalau pakai baju nak baju ada gambar upin ipin je. Kalau dah pakai punyalah susah nak tukar kepada baju lain.
Catat Ulasan