Memang betul pembaca kini tidak lagi menilai kualiti isi kandungan sesebuah buku berdasarkan kulitnya, tetapi grafik di bahagian itulah yang akhirnya membuatkan orang mencapai buku dari rak untuk dibelek. Banyak pembaca setuju menyatakan bahawa kekuatan grafik menjadi faktor penarik penting untuk mula membaca sesebuah buku. Samalah juga jika kita mahu membeli sebuah kereta, tentunya bentuk badan luaran, lampu, dan rim tayar menjadi timbang tara sebelum bersetuju untuk memilikinya.
Tersiar di Mutiara Minda keluara Feb-Apr 2012, Isu 09 |
Namun pembeli atau pengguna sekarang lebih bijak untuk memilih sesebuah produk dan perkhidmatan. Kalau dahulu, kita sekadar melihat paparan laman sesawang sesebuah hotel sebelum menempah biliknya. Namun kini pengguna akan melihat ulasan tentang hotel itu di Internet, sama ada di blog ataupun laman-laman seperti tripadvisor.com, agoda.com ataupun booking.com untuk membaca komen-komen mereka yang pernah menduduki hotel terbabit.
Situasi ini tidak ada bezanya dengan tarikan untuk menonton filem yang ditayangkan di pawagam, yang mana kita akan terlebih dahulu membaca ulasan filem tersebut sama ada di akhbar dan juga majalah. Namun membaca ulasan filem di blog atau di laman-laman hiburan lebih dipercayai ketelusan penulisannya. Jika filem tersebut dikritik dari pelbagai aspek, pasti jumlah penonton tidak sebagaimana yang diharapkan penerbitnya. Namun jika sebaliknya, bertuahlah kerana filem mereka berjaya menduduki carta “pecah panggung”!
Realitinya, banyak penerbit kini telah mengubah strategi pemasaran filem-filem mereka. Kalau kita berpeluang memperoleh jemputan menonton tayangan gala filem, kita akan dapati lebih banyak penulis blog, pentadbir laman hiburan dan pengkritik filem di Internet yang hadir berbanding dengan wartawan media konvensional.
Situasi penjualan buku khususnya di Malaysia pun tidak ada bezanya. Buku terlaris di Malaysia tahun 2011, A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad tulisan mantan Perdana Menteri Malaysia keempat pun banyak disumbangkan oleh ulasan atau resensi yang baik daripada semua media yang ada, walaupun ia dijual dengan harga RM100. Tidak dinafikan populariti penulisnya menjadi salah satu faktor kelarisan buku itu, tetapi liputan media di akhbar, televisyen dan Internet bermula sehari selepas pelancarannya sudah cukup menimbulkan keterujaan seluruh rakyat Malaysia untuk mendapatkan buku tersebut.
Begitu jua situasi yang dialami semasa kontroversi melanda buku Interlok hasil karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain. Di sana sini orang membicarakan isi kandungan buku tersebut, bukan sahaja menjadi topik perbualan di kedai-kedai kopi, malah di semua media melaporkan tentang buku tersebut. Walaupun ia telah ditulis pada tahun 1967, ulasan tentang buku tersebut memberikan keuntungan besar kepada penerbit asalnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (sehingga habis cetakan), dan penerbit versi terjemahan, Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
Melihat impak ulasan buku terhadap penjualan produk tersebut, hampir semua penerbit di Malaysia masa kini mempunyai pengulas bukunya sendiri. Namun gaya penulisan si pengulas “makan gaji” dengan mereka yang mengulas secara jujur ada banyak bezanya. Pengulas buku “makan gaji” akan menyatakan yang elok-elok sahaja tentang buku terbitan syarikatnya. Manalah boleh mereka menyatakan sisi negatif tentang produk yang diterbitkan syarikat yang memberikan sumber pendapatan. Ia berlainan dengan pengulas luar yang akan menyatakan sesuatu yang difikirkan benar tentang buku yang dibacanya. Kalau buku tersebut menarik, positiflah ulasannya. Namun kalau sebaliknya, bersedialah untuk menerima kritikan pedas pengulas tersebut.
Realitinya di Malaysia, kita sedang dalam proses untuk melahirkan lebih banyak pengulas buku yang analitis dan kritis. Pengulas-pengulas mapan seperti Shaharom TM Sulaiman, Jaafar Abdul Rahim, Dato’ Baha Zain, Zulkifli Salleh, dan Roosfa Hashim semuanya sudah sampainya masanya memerlukan pengganti untuk menyambung bidang resensi buku yang baik. Namun adakah bidang penerbitan buku di Malaysia kini perlu mewujudkan pengulas buku upahan? Sebenarnya sudah ada individu yang melakukan kerja sedemikian, cuma belum ketara sehingga membuka syarikat menawarkan perkhidmatan tersebut.
Di Barat, bidang pengulasan buku sudah menjadi perniagaan yang jelas memberikan keuntungan lumayan. Syarikat seperti Blue Ink Review, Foreword Clarion Review, dan Kirkus Indie Review menawarkan perkhidmatan ini dengan mengenakan caj antara AS$300 hingga AS$600 bagi setiap ulasan buku bergantung pada tempoh masa siap yang diminta pelanggan. Pelanggan syarikat terbabit pula terdiri daripada penerbit besar antarabangsa yang mempunyai bilangan judul buku berkualiti untuk diulas, antaranya Random House, Penguin, Hachette, Simon & Schuster, Macmillan, dan HarperCollins.
Namun sebagai permulaan, sesiapa sahaja boleh bergerak untuk menjadi pengulas buku sambilan. Sebenarnya tidak perlu terlalu berharap kepada mana-mana penerbit untuk membayar anda jika mengulas buku terbitan mereka. Cara yang terbaik, setiap ulasan yang telah dihasilkan, hantar sahaja kepada mana-mana majalah ataupun akhbar. Sekurang-kurangnya setiap ulasan yang tersiar akan dibayar antara RM150 hingga RM200!
4 komen:
wah.. macam bes je job camni kan.. baru2 ni john grisham menawarkan peluang pada mana2 blogger yg nak buku terbaru beliau.. lepas baca kena promote kat blog.. kami apply gak.. tp tak dapat..mementang la reader ciput.. sabo je lar..hhahaha
Sungguh benar kata Anuar. Dia ini sudah mula menulis sejak matrikulasi lagi. Saya kagum dengan dia, selain cemburu dengan hasil yang diperolehinya. Tapi disiplin menulis saya lemah.
nice info...
Tahniah! Tulisan yang mantap.
Di barat banyak majalah yang diterbitkan berkenaan dengan ulas buku. Bookmarks, RT Review, Writer Chronicle dan sebagainya. Di Malaysia kita belum ada.
Ada yang mahu bekerjasama dengan saya mewujudkan satu laman web mengulas buku. Saya sudah menyediakan outline dan draf secara kasar.
Kiranya berminat sila hubungi saya di pej88@yahoo.com
Catat Ulasan