Saya bergambar dengan Dahiri Saini selepas bicara #BukuITBM #NyonyaTembikai di Pustaka Negeri Sarawak.
Ada banyak cara untuk promosi buku; adaptasi ke filem (paling cepat jana untung), buat teater, buat pelancaran buku dan juga bicara buku. Saya katakan ini semua antara kaedah mempromosikan buku - walaupun bukan semua cara ini pasti akan melariskan jualan buku.
Jualan buku tetap subjektif. Orang kata buatlah itu dan ini, pasti akan laris buku itu. Kalau di pesta buku, orang kata kalau mahu dapat jualan tinggi, pastikan gerai berada betul-betul di pintu masuk. Tapi tidak juga betulnya. Ada penerbit yang letaknya di tingkat atas sekali pun dapat jualan berjuta ringgit. Ada juga gerai penerbit yang berada di dalam ceruk bilik, bosnya WhatsApp kepada geng-geng, "Aku pening sebab buku dah habis di rak."
Cumanya saya yakin perlunya ada konsistensi, kreativiti dan kesediaan untuk berubah dalam menjual buku. Konsisten terbit buku berkualiti dengan judul dan kulit buku yang "cun" ... barulah mudah orang menjual. Salah seorang panelis bicara buku Dahiri tadi, Zakaria Hassan kata, "Sebaik saya dapat buku ini daripada Dahiri, saya rasa tidak sabar-sabar mahu membaca buku ini di rumah ... kerana kulit bukunya sangat-sangat menarik jiwa saya untuk membacanya!" Saya lihat naskhah Nyonya Tembikai miliknya habis diconteng hampir di setiap halaman ... mungkin idea yang dia dapat semasa membaca.
Kreatif guna semua kaedah untuk pasarkan buku ... seperti geng buku indie jual buku dengan WhatsApp. Dan juga sentiasa berubah dalam pakejing buku. Boleh jadi penerbit *tut* dan *tut* dah tak "gah" seperti dulu kerana orang muda rasakan buku yang diterbitkan sesuai untuk bacaan orang tua sahaja. Sedangkan orang tua pun sudah tidak beli buku mereka.
Semasa makan dengan panelis bicara buku dan pegawai Pustaka Negeri, mereka hargai dengan apa yang tempat kerja saya lakukan dalam penerbitan buku sekarang. Saya harap benda ini dapat berterusan, kekal "hip" (curi kata Abg. Lan Sinaganaga) dan cool.
Psst.... Saya ada impian untuk buat pelancaran buku di ruang legar Suria KLCC sambil ada slot deklamasi puisi....
0 komen:
Catat Ulasan