1. Teg meja dari pandangan hadapan.

2. Teg meja dari pandangan belakang.

Kedudukan Bahasa Melayu = tempat ketiga!

Di mana? Di Malaysia.

"Barang-barangan". Mungkin orang Indonesia yang terjemahkan ayat itu. Macam bunyi barongan pula. Yang betulnya-->Barang-barang.

Minggu sudah syarikat (Nyla) yang menerbitkan majalah komik Upin & Ipin datang ke ITNM untuk berbincang sebarang kerjasama yang boleh dilakukan.

Apabila ditanya berapa jumlah cetakan bagi setiap keluaran majalah itu, jawapannya 75,000 naskhah! Jumlah itu sangat tinggi dalam situasi penjualan majalah mutakhir kini. Majalah terbitan DBP (saya percaya kecuali Dewan Siswa & Dewan Pelajar) pun kini sukar untuk mencecah 15,000 naskhah sebulan.

Sebelum berakhir mesyuarat, pihak syarikat itu memberikan majalah Upin & Ipin daripada keluaran pertama sehingga 12 sebagai cenderahati. Namun saya anggap mereka mahu kami meneliti kualiti majalah itu.

Saya sempat membelek-belek majalah itu, dan bagi saya memang sesuai untuk bacaan kanak-kanak. Cuma mata saya tidak cocok melihat ada beberapa grafik yang disalin (copy paste?) daripada siri animasi sebenar Upin & Ipin sehingga cetakannya menjadi gelap.

Kebetulan pula 23 Januari 2011 adalah hari lahir anak buah saya, Adam. Maka selain diberikan hadiah permainan, saya & isteri memasukkan sekali semua majalah Upin & Ipin ke dalam beg hadiah itu. Kak Maz kata, Adam yang berusia dua tahun itu asyik menatap dan bermonolog sambil menyelak satu persatu halaman majalah itu. Dengan pelat, disebutnya "Upin & Ipin".

Kalau Adam yang dua tahun itu boleh minat membaca komik Upin & Ipin (selain setiap hari menonton Upin & Ipin), maksudnya tentulah ia ada keistimewaannya tersendiri. Banyak orang sudah kata kekuatan Upin & Ipin. Taip sahajalah "keistimewaan upin & ipin" atau "kekuatan upin & ipin" di enjin carian Internet, kita dapat tahu di mana hebatnya Upin & Ipin.

Sejak keluar daripada mengendalikan penerbitan majalah, tiada lagi perkataan "PDF" menghantui otak pada setiap bulan. PDF adalah perkataan yang mencemaskan bagi editor yang belum menyiapkan majalahnya mengikut deadline, tetapi tidak bagi editor yang awal-awal sudah siap kerjanya! Saya dulu pernahlah juga beberapa kali tersenyum berbuntang mata kalau orang tanya, "Majalah kau sudah PDF?"

Kini, editor majalah pula bertanya, "Bila nak siapkan artikel?" Bukannya sebab artikel saya menarik sangat sehinggakan editor mahu sangat tulisan saya, tetapi saya yang mahu menulis. Kalau sudah berjanji, maka sangat wajarlah mereka telefon/sms meminta segera dihantarkan artikel.

Sekarang ini memanglah tidak dapat menulis artikel semasa waktu pejabat. Haram! :) Malam pun tidak larat. Yang sempat hanyalah pada hujung minggu. Maka si isteri saya pun terpaksalah menunggu di hadapan TV untuk keluar rumah sehinggalah saya siap menulis.

Gambar di atas adalah artikel yang tersiar di majalah Dewan Siswa keluaran Februari 2011. Terperanjat jugalah apabila editornya, Abd. Ghani Abu menge-melkan PDF artikel itu. Maka perlulah dipromosikan majalah yang menjadi pesaing majalah E@Siswa (Karangkraf).

Artikel itu berkaitan dengan inovasi. Saya percaya setiap hari orang berfikir mahu melakukan itu dan ini. Akhirnya apa yang setiap orang fikirkan itu akan dinilai; sama ada menjana keuntungan ataupun kepuasan. Ada orang mahu melakukan "itu" kerana mahu kesenangan material/duit. Ada juga yang melakukan "ini" kerana mahu kepuasan hidup.

Terus terang, saya masih lagi fasa melakukan "itu" kerana mahukan yang "A". Harap jugalah dalam hidup ini mahu mendapatkan yang "B" itu. Setakat ini, saya mampu memperoleh "B" itu apabila dapat menulis, menyunting buku - dan bahan itu tersiar atau diterbitkan. Rasa puas sungguh!

Apa-apapun, saya bersyukur masih lagi berupaya melakukan itu dan ini sehinggakan dikurniakan apa yang dimiliki kini. Saya percaya dengan ayat tujuh (7) Surah Ibrahim, "Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih."

Saya sedang menghabiskan membaca himpunan artikel di dalam buku Malaysia-Lah terbitan Gerak Budaya. Saya suka membaca tulisan artikel orang muda (seperti saya? 29 tahun!) yang berbentuk santai, tetapi bercorak new journalism. Alangkah bagusnya kalau artikel sebegitu disiarkan di dalam akhbar tempatan. Barulah jualan akhbar Melayu boleh meningkat! Ada pula salahkan orang Melayu malas membaca hanya sebab jualan akhbar merudum. Sangat tidak logik!

Lagi satu buku yang menarik perhatian saya adalah buku Rojak Fakta Malaysia terbitan ZI Publications. Separuh saya habiskan membaca buku ini semasa melepak di Kinokuniya pada petang Jumaat selepas keluar opis. Mahu sahaja membeli, tetapi biasalah... akhir bulan. Padahal bukanlah mahal sangat, RM30 sahaja. Bajet/belanjawan! :)

LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal

Rasanya kini semua orang sudah tahu, atau sudah mahu mengetahui apa itu ITNM. Core business ITNM adalah terjemahan. Namun apa kaitannya untuk mementaskan teater di Istana Budaya? Kalau DBP itu ada juga rasionalnya mementaskan teater perdana pada setiap tahun, kerana fungsinya untuk memartabatkan bahasa dan sastera Malaysia.

LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal boleh dikatakan diadaptasi daripada novel grafik karya Datuk Lat, Kampung Boy. ITNM pula telah menterjemahkan buku itu kepada dua bahasa (Arab dan Jerman), selain 11 bahasa lain oleh penerbit tempatan dan antarabangsa.

Pendek kata, tidak keterlaluan jika dikatakan Kampung Boy telah berperanan besar mempromosikan Malaysia di sekeliling dunia. Disebabkan itulah, bos-bos di tempat saya bekerja merasakan betapa perlunya karya ini diangkat lagi ke tempat sewajarnya supaya ia kekal "hijau" (evergreen) - malar.

Kalau orang putih boleh mengekalkan hayat Shakespeare dengan kerap mementaskan/memfilemkan Hamlet, Romeo and Juliet, dan Pride and Prejudice - kalau Harry Potter lebih terkenal selepas ia difilemkan - mengapa tidak Kampung Boy diubah ke bentuk lain, supaya buku itu dipanjangkan hayatnya lagi.

LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal akan dipentaskan pada 16 Mac hingga 3 April 2011. Maka sekarang ini, kami-kami di ITNM tiada sehari pun yang berlalu tanpa melakukan gerak kerja pelaksanaan untuk pementasan itu. Kalau Zaiti sibuk melakukan itu ini dan berhubung dengan orang Hans Isaac (Tall Order Productions), saya pula menyiapkan itu dan ini. Afiq pun bingung itu ini selain sibuk mereka bentuk Buletin ITNM untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Itu belum masuk bos-bos (En. Khair & Pn. Zini) yang tak kering-kering berfikir melakukan itu dan ini.

Maka dipersilakanlah menonton nanti ya. Kami tidaklah mahu memberikan bilangan bulan dan bintang untuk teater ini, tetapi kami yakin teater ini akan berada pada kelas yang tersendiri. Lawak Harith Iskander berada di kelas tersendiri, lawak Awie pun ada kelasnya yang lain, lawak Hans Isaac pun sangat "kelas" dalam Cuci dan mana-mana filem.

p/s Tiada yang percuma di dunia ini termasuklah tiket ini ya! Sila-silakan klik Ticket2U.biz untuk membeli tiket.

Jelas ketara wartawan akhbar kini sudah agak kritikal, ala-ala penulis blog. Penulis akhbar kini lebih berbentuk new journalism, walaupun teknik ini sudah diperkenalkan pada 1960-an. Antara wartawan tempatan yang kini ketara menggunakan teknik yang terdahulu dipopularkan oleh penulis majalah Tempo dan Gatra adalah Zin Mahmud, Ku Seman, dan yang terkini wartawan Utusan di Indonesia, Shaharudin Mustaffa.

Namun kebanyakan wartawan hiburan kini memang benar-benar menggunakan teknik new journalism - yang lebih santai, tidak menggunakan perkataan yang bombastik, lebih intensif dan menimbulkan rasa dramatik dalam susunan ayat.

Yang jelas, wartawan hiburan tidak mudah "dibeli"! Setiap laporan yang ditulisnya kebanyakannya benar dan jujur dari rasa hatinya. Walaupun kita baik dengan wartawan itu, tidak mungkin tulisannya menyokong kita 100 peratus.

Kejujuran itulah yang saya rasa menjadikan filem Ngangkung mengaut RM8 juta, dan 2 Alam kurang RM500 ribu walaupun promosi filem Dr. Rozmey ini sangatlah dahsyat. Saya pernah berborak dengan staf Utusan yang menjaga urusan pembelian iklan. Katanya, "Dr. Rozmey antara pembeli iklan Kosmo yang tertinggi!"

Walau sehebat manapun iklan promosi yang dilaksanakan, penonton filem tetap membaca ulasan (ada perkataan "reviu"?) daripada mana-mana bahan. Paling mudah adalah ulasan filem di akhbar. Kalau rasa ulasan filem itu semacam berat sebelah, banyak lagi tulisan ulasan sesebuah filem yang boleh dikaji - setentunya blog.

Filem Ngangkung mendapat ulasan yang baik sebagaimana filem Adnan Sempit. Namun promosi yang paling banyak membantu filem ini adalah "mulut ke mulut". Dari seorang kawan yang pergi menonton hanya sekadar untuk berhibur merehatkan diri, diceritakan pula kepada kawannya jika filem itu bagus dan tidak rugi ditonton.

Promosi mulut ke mulut ini sebenarnya agak sukar, tetapi sangat berbaloi! Asalkan filem atau teater yang dipersembahkan itu menarik, ia sekali gus menjadikan promosi sebegini menjadi lebih mudah.

Teater Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal akan dipersembahkan pada 13 Mac hingga 3 April 2011 di Istana Budaya terbitan ITNM dan Tall Order Productions, dengan kerjasama kementerian pimpinan Datuk Seri Rais Yatim. Sudah tentu promosi untuk teater ini akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya untuk menarik penonton memenuhi Panggung Sari Istana Budaya itu.

Namun semua orang percaya, pementasan teater yang baik akan dihargai penonton sehingga tidak segan silu mewara-warakan/menguar-uarkan kepada orang lain untuk datang, "Rugi kau tak pergi tengok teater Lat itu!" - Promosi mulut ke mulut.

Itulah yang cuba dilakukan dan diperoleh. Insya-Allah.

ITNM raja pelancaran buku?

Banyak juga orang yang secara langsung dengan dunia buku berkata sedemikian. Mana tidaknya, dalam setahun sahaja banyak majlis pelancaran buku yang dilakukan oleh ITNM.

ITNM pun dalam dilema juga apabila ada juga penulis yang mahu karyanya yang diterjemahkan dan diterbitkan oleh ITNM turut diadakan majlis pelancaran. Dipendekkan cerita, tidak semua buku boleh diadakan majlis pelancaran, walaupun buku itu mempunyai prestij tersendiri.

Berikut adalah gambar semasa Majlis Pelancaran Buku Makyung di Kinokuniya, Suria KLCC pada 19 Disember 2010 lalu.






Memetik kata bos-bos saya, ITNM perlu mengadakan majlis sebegini bagi meningkatkan kepedulian masyarakat akan kewujudan ITNM. ITNM tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk melabur kepada mana-mana syarikat untuk menjenamakan semula ITNM sebagaimana yang dilakukan oleh Bank Islam, RHB, AmBank, Tabung Haji dan lain-lain organisasi.

Khabarnya, Bank Islam menjenamakan semula syarikatnya dengan membelanjakan lebih RM4 juta. Pelaburan yang besar!

Maka dengan mengadakan majlis-majlis tertentu bersusulan dengan strategi pemasaran dan komunikasi yang betul, sekurang-kurangnya nama ITNM kini tersiar di media massa seminggu sekali. Secara tidak langsung, masyarakat tahu apakah itu ITNM. Tidaklah banyak orang menyangka ITNM itu IJN ataupun UiTM.

Dengan sedemikian rupa, pihak Pemasaran & Jualan ITNM mudah memainkan peranan memasarkan segala produk & perkhidmatan yang ditawarkan ITNM. Malah pihak Komunikasi ITNM pun mudah menjalankan pelbagai kerjasama dengan mana-mana pihak - untuk pelbagai program yang bermanfaat untuk dunia penterjemahan dan perbukuan.

Namun saya percaya, pemasaran mulut ke mulut sangatlah penting. Terima kasih kepada penggiat sastera, penulis, penterjemah, pelanggan dan mana-mana individu yang menyebut perkara baik-baik tentang ITNM kepada orang lain.

1. Semasa blog ini ditulis, saya sedang bertungkus lumus melakukan persiapan untuk Majlis Pelancaran Buku Makyung.

2. Saya sedang bertungkus lumus melakukan persiapan untuk Majlis Pelancaran Buku Makyung semasa blog ini ditulis.

Kedua-dua ayat di atas memberikan makna yang sama, tetapi tidak serupa. Satunya ayat pasif, satu lagi ayat aktif.

Saja-saja buat ayat sebegini - bukannya mahu mengajar. Sebenarnya saya tidaklah terlalu teliti "bermain" dengan ayat-ayat sebegini. Sebelum inipun, bagi saya ayat sebegini sama sahaja.

Tetapi tidak bagi bos saya, Puan Zini, yang memang mengambil berat setiap perkara yang dilakukan. Saya banyak belajar tentang ketelitian dan kecekapan bekerja daripadanya. Namun saya cuma sempat belajar genap dua tahun ilmu kerjaya daripadanya - kerana dia ditawarkan jawatan tinggi di Kementerian Dalam Negeri.

Majlis Pelancaran Buku Makyung

Acara tersebut boleh dikatakan majlis terakhir yang dikendalikan oleh beliau. Sebelum ini, banyak acara besar yang dijayakan olehnya. Tidaklah perlu saya sebut satu persatu, kerana memang acara yang tersebut sedikit sebanyak memberi impak kepada industri penerbitan Negara.

Sebelum ini tidak pernah buku penerbit tempatan diberikan ruang pameran yang khusus di gedung buku yang mula beroperasi pada tahun 1927 di Jepun, iaitu Kinokuniya. Namun kali ini, Kinokuniya di Suria KLCC memberikan ruang seluas-luasnya kepada ITNM untuk mempromosikan buku Makyung.

Buku Makyung: Warisan Mistik Malaysia (dalam BI: Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia) sebenarnya telah diperkenalkan kepada umum di Frankfurt Book Fair pada Oktober lalu. Pada masa itulah pihak ITNM menerima tawaran daripada Kinokuniya untuk melancarkan pula buku tersebut di KL.

Berikut adalah gambar pameran buku Makyung termasuk busana penari dan instrumen muzik di peragaan tetingkap (window display) Kinokuniya KLCC.

Rebab, gendang, gong, busana makyung, pakyung dan peran.

Imej besar pemain Makyung di peragaan tetingkap tingkat 2 Kinokuniya.

Rak khas buku Makyung di tingkat 2 Kinokuniya.

Imej besar pemain Makyung di peragaan tetingkap tingkat 2 Kinokuniya (dari pandangan bawah - pintu masuk).

Buku Makyung dipamerkan di sini (peragaan tetingkap utama Kinokuniya).

Semasa artikel ini ditulis, saya sedang menantikan kehadiran sahabat yang sama-sama belajar di UIA. Atau lebih tepat teman seperjuangan PKPIM, selain sama kursus pengajian, IRK. -Mohd Razif Arshad.

Ruang tamu.

Inilah kali pertama beliau dan isterinya datang ke rumah walaupun kami sama-sama bermukim di tempat yang sama, iaitu di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. Cuma kunjungan mereka kali ini adalah untuk melihat keadaan rumah saya, sebelum membuat keputusan untuk membeli. Kisah tentang rumah saya ini, boleh baca blog isteri saya, klik blog isteriku.

Ruang tamu lagi.

Ya saya memang merancang untuk menjual rumah yang saya mula duduki sejak tahun 2007 ini. Secara spesifiknya, rumah saya yang berbentuk apartmen duplex (2 tingkat) dinamakan D' Puncak Suasana. Lokasinya berhadapan dengan masjid dan sekolah rendah. Manakala restoran McDonalds, pasar raya Carrefour dan Jusco pula kira-kira 5 minit. Ke Putrajaya pula kira-kira 20 minit tanpa tol, ke KL pula lebih kurang setengah jam (anggaran paling lambat).

Bilik ketiga yang juga bilik belajar saya.

Rumah pula seluas 1,036 kaki persegi, 3 bilik, dan 2 bilik air. Untuk kereta pula, satu parkir berbumbung disediakan. Kereta kedua boleh diletakkan di dalam kawasan apartmen, cuma tidaklah berbumbung.

Oleh kerana mahu dijual, rumah ini saya tawarkan dengan partly furnished; kitchen cabinet berserta stove dan hud, wardrobe IKEA di dua bilik, plaster ceiling berukir berserta candelier, aircond, water heater di bilik air utama, dan rak kasut IKEA.

Dapur yang lengkap kitchen cabinet, stove dan hud.

Tenure rumah ini adalah freehold, dan title pula adalah strata. Fasiliti yang disediakan pula adalah kawasan permainan kanak-kanak, gelanggang badminton dan takraw, kolam renang dan 24 jam kawalan keselamatan.

Peta lokasi D' Puncak Suasana, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Mahu berjoging atau bermain layang-layang? Ada tasik buatan yang tidak jauh dari situ. Boleh minum di Bangi Kopitiam selepas penat berjoging! :) Sengaja promosikan restoran itu kerana pemiliknya adalah alumni UIA.

Pandangan dari hadapan. Pondok security.

Setelah berfikir lama-lama, saya mahu menjual rumah ini dengan harga RM175,000. Sebab saya menjual rumah ini adalah kerana telah membeli rumah di Seksyen 23, Shah Alam. Saya memilih untuk tinggal di Shah Alam kerana berdekatan dengan rumah mentua di Subang Jaya. Pak mentua saya yang baru lepas menjalani pembedahan bypass perlu selalu dipantau.

Rumah abang sulung saya pula di Seksyen 7, Shah Alam. Mudahlah emak dan abah untuk datang ke rumah saya kalau melawat anak-anak yang mencari rezeki di ibu kota ini - walaupun kawan opis kata, "Jauhlah Shah Alam tu!"

Pintu masuk dan keluar.

Kalau berminat, jangan segan-segan hubungi saya! E-melkan sahaja di anuarmanshor@gmail.com. Jangan lupa berikan nombor telefon untuk saya hubungi ya!

Saya lulusan IRK (baca: agama) dari UIA.

Tamat belajar, sempatlah sebulan menganggur. Itupun sebab sebulannya cuti hari raya. Terima kasih kepada Kak Martinelli kerana merekomenkan saya kepada Abe Nazrul (PTS) yang kebetulan mencari staf.

Selepas setahun di PTS, syukur kemudiannya diterima bekerja di DBP. Puan Padilah Ali tanya, "Kenapa you keluar PTS?" Saya jawab, "Kerana gaji." Saya hidup merantau di KL, lebih tepatnya di Subang Jaya yang memang terkenal sebagai kawasan elit. Itupun sebab menyewa di situ bersama abang sulung saya.

Di DBP lah saya menajamkan skil menulis, kerana memang editor majalah digalakkan menulis sendiri di dalam majalah yang dikendalikan. Kemudian di situ jugalah saya mengenali beberapa wartawan akhbar. Antara yang terus dihubungi seperti Khuzairi Ismail (Utusan) - kerana beliau selalu menulis untuk majalah DBP. Nazmi Yaakob (Berita Harian) pula sebab beliau kerap lepak di DBP - sama ada untuk buat liputan mahupun bertemu kawan-kawannya.

Kini di ITNM, saya diberi tanggungjawab sebagai pegawai komunikasi (PR) - bukan Pakatan Rakyat.

Petang tadi saya mendengar Kerusi Panas di Radio 24 BERNAMA. Kalau mengikut apa yang dikatakan oleh panel jemputan, Prof. Dato' Mohd Hamdan Adnan, Presiden Institute of Public Relations Malaysia (IPRM), mungkin akan datang hanya mereka yang memiliki akreditasi profesional PR (APR) sahaja yang boleh melakukan PR di mana-mana organisasi.

Layaknya menjadi pegawai PR samalah kelayakan yang diperlukan untuk menjadi peguam, akauntan, mahupun arkitek - yang memerlukan sijil kelayakan akreditasi.

Kata Prof. Hamdan, di Malaysia kini cuma ada 63 orang sahaja yang memiliki APR. APR ini samalah seperti IR (insinyur) bagi jurutera.

Saya tidak ada latar belakang pendidikan PR. Belajar PR pun daripada pengalaman. Di opis saya, ada dua orang sahaja yang latar pendidikannya ada kena mengena dengan PR, iaitu Shida dan Zaiti (mass comm.). Maka perlulah mereka mengambil APR untuk melayakkan mereka mengamalkan PR pada masa akan datang. Itupun kalau IPRM bertegas mahu melaksanakan APR untuk pengamal PR.

Saya? Mungkin menjadi ustaz agaknya. Lulusan agama...

YAB Najib akan merasmikan MAHA 2010 pada hari ini. Acara dwitahunan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah hasil tangan YAB Muhyiddin semasa beliau menerajui kementerian (pada tahun 2006) yang dulunya orang kata kementerian low class.


Faktanya, MAHA diadakan jauh dari Kuala Lumpur, iaitu di Serdang. Serdang adalah tempat terletaknya cawangan gedung buku terbesar Indonesia, iaitu Gramedia (di Mines) - yang gosipnya tidak berapa untung sangat.

Dewan pameran untuk MAHA adalah seluas 42,000 meter persegi. Kawasan pameran terbuka pula seluas 30 hektar.

Orang ramai yang hadir ke MAHA 2008 adalah sebanyak 1.2 juta pengunjung dengan jumlah pempamer sebanyak 1,197. Sebagai perbandingan, Pesta Buku KL pada tahun 2008 mencatatkan kehadiran pengunjung sebanyak 2.2 juta orang sebelum menurun kepada 1.8 juta orang pada tahun 2009.


Jika benar rekod catatan oleh penganjur Pesta Buku KL, acara tahunan itu lebih banyak mencatat kehadiran pengunjung daripada MAHA - walaupun ia diadakan di PWTC yang seluas 253,000 kaki persegi.

Namun yang kita lihat sendiri hari ini, acara pesta buku yang sangat ditunggu-tunggu oleh sesiapa sahaja pada setiap Mac/April tidak begitu menyerlah impaknya jika dibandingkan dengan MAHA. Hal yang nampak jelas adalah kurangnya promosi Pesta Buku KL.

Saya rasa ia berpunca daripada dua sebab; pertama, mungkin penganjur merasakan dengan promosi ala kadar pun, sudah mencatatkan pengunjung lebih sejuta - jadi mengapa perlu promosi bermati-matian. Kedua, mungkin juga sebab kurangnya peruntukan untuk hal promosi.

Hakikatnya, boleh dikatakan sejak diadakan Pesta Buku Antarabangsa (antarabangsa ke?) Kuala Lumpur, ia tidak pernah gagal dengan jumlah pengunjung dan jualan. Malah boleh dikatakan belum ada pesta buku lain di Malaysia yang mampu menyaingi pesta buku itu. Mungkin sudah tiba masanya penganjur Pesta Buku KL cuba mengambil risiko untuk mengadakan acara itu di tempat yang lebih besar. "Pesta Buku KL sudah sinonim dengan PWTC" tidaklah boleh dijadikan asas. Kalau 10 tahun lagi pun, alasan itu tidak lagi relevan.

Di PWTC kini bukanlah tidak ok, tetapi sudah timbul beberapa masalah yang tidak "sedap" untuk beberapa pihak. Antara pempamer sendiri tidak puas hati dengan jumlah gerai yang diberikan. Pengunjung pun tidak seronok dengan lorong pejalan kaki yang "dipaksa" ke gerai yang terpencil lokasinya. Kalaulah sebegini konsepnya di mana-mana pusat membeli-belah, tentu sudah lama lingkup.

Di MAHA, kemudahan OKU pun disediakan! Yalah... Manalah tahu ada pakcik makcik yang sudah tidak larat berjalan pun mahu melihat lembu kambing ternakan anaknya di MAHA.

YAB Muhyiddin yang dulu pengasas MAHA kini sudah berada di KPM, yang menaungi Jawatankuasa Pesta Buku KL. Besarlah harapan sekiranya YAB Muhyiddin dapat melakukan sesuatu untuk Pesta Buku KL ini. Dalam Radio 24 semalam, saya dengar YB Noh Omar anggap MAHA ini sebagai KPI kementeriannya, mungkin sudah tiba masanya YAB Muhyiddin menjadikan Pesta Buku KL sebagai salah satu KPInya di KPM.

Ehem... Pempamer antarabangsa MAHA adalah sebanyak 22 negara. YB Noh sasarkan jualan tahun ini sebanyak RM15 juta - RM150 juta pula daripada MOU. Ini barulah antarabangsa!

Dua perkara yang sudah lama saya tidak buat; menulis artikel dan menulis blog.

Artikel saya tidaklah hebat sangat, dan artikel blog saya pun tidaklah sampai melayakkan saya menjana duit iklan daripadanya.

Artikel yang tersiar di ruangan fokus Dewan Kosmik Disember 2010 inipun sudah lama ditulis. Percaya ataupun tidak, saya siap menulis artikel itu pada Februari 2010.

Pada masa itu, buku Menyangkal Kiamat 2012 terbitan Kharisma Network memang sedang hangat di kedai buku. Tetapi sengaja saya tidak membeli buku itu semasa menulis artikel yang diminta Kak Norizan (Editor Dewan Kosmik) itu. Risau kalau-kalau orang mengata saya menciplak isi kandungan daripada buku itu.

Mujur saya sempat tonton filem 2012 semasa ditayangkan di pawagam. Walaupun memang mengarut, tetapi bolehlah sekadar hiburan (baca: melegakan tekanan) selepas pulang dari kerja.

Tup-tup... Alexander: 2012 terbitan PTS pula laku di mana-mana kedai buku bermula September 2010. Masa lihat buku PTS itu di kedai buku, terus tergetus hati, "Kenapalah aku tak tulis buku tentang isu ini?!"

Kalau ada orang bertanya kenapa sudah lama tidak menulis artikel dan blog, jawapan "kasar" saya, "Malas!" Maafkan saya ya Puan Nik Khartina yang terkena saya menjawab sebegitu. :) Sebenarnya sejak awal tahun 2010, program dan aktiviti ITNM back to back (dalam Dewan Eja Pro: saling membelakangi [yang tepat: berturutan/bertubi-tubi/bersambung-sambung]).

Saya suka menulis. Itu faktanya. Cemburu melihat kawan-kawan yang asyik tersiar artikel di media. Saya suka menulis sebab kata Shaharom TM Sulaiman, "Menulis boleh meredakan sakit, menulis boleh menghilangkan stres." Memang kini tekak saya masih perit dan batuk-batuk. Semalam MC demam.

Kerana itulah sejak tahun pertama di UIA, saya tidak pernah henti menulis. Mujur artikel sulung terus tersiar di majalah Minda. Terima kasih Abg. Izra (bekas wartawan Minda - kini cikgu!). Saya masih ingat pertama kali dia menelefon saya untuk memaklumkan artikel saya tersiar, pada masa itu saya sedang membaca buku Dr. Danial, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden di atas katil, Niswan pada masa itu sedang mengeruh! Akhirnya kini Niswan di IJN, entah apa nama tugasannya. Katanya, memberhentikan jantung pesakit sebelum pembedahan.

Sumber: Majalah MPH Mutiara Minda (Ogos-Okt 2010 - Isu 03).

Jumaat lalu, jalan raya di KL semuanya sesak oleh kerana orang Selangor yang bercuti (Nuzul Quran) keluar membeli-belah di ibu kota sempena menjelangnya raya.

Disebabkan itulah, saya tersekat hampir setengah jam di Jalan Semarak (selepas mengambil isteri di pejabatnya). Maka terpaksalah berpatah balik menuju ke KLCC - untuk berbuka puasa.

Seperti biasa, kami akan masuk ke kedai buku Kinokuniya untuk membelek-belek buku.

The Epic of Hang Tuah di rak utama.

Setiap kali masuk ke situ, rasa bangga kerana kedai buku tersohor atau eksklusif di KL ini masih lagi terus memaparkan The Epic of Hang Tuah di rak utama di pintu masuknya. Boleh kata di rak windows display utama. Bertambah nilainya lagi, buku itu sebaris dengan buku Jane Austen, Chrismas Carol dan buku-buku import yang dianggap klasik!

Pandangan rak dari luar cermin Kinokuniya.

Isteri saya membeli buku Jane Austen kerana itu bacaan kegemarannya semasa kecil.

Buku sastera Malaysia yang ITNM terjemahkan ke bahasa asing pula diletakkan di rak "Asian Literature". Di situ, buku sasterawan tempatan kita diletakkan sebaris dengan buku karya Khaled Hosseini (penulis A Thousand Splendid Suns atau The Kite Runner), Orhan Pamuk (pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraaan 2006) dan lain-lain penulis hebat.


Seingat saya, Kinokuniya tidak pernah mengadakan sebarang diskaun buku. Namun sempena bulan kemerdekaan ini, kedai buku itu memberikan potongan sebanyak 10 peratus bagi setiap pembelian buku melebihi RM150. Dan sekali lagi, buku The Epic of Hang Tuah di windows display untuk ditonjolkan sempena kempen promosi tersebut.

Saya pernah menyertai Seminar Pencinta Buku yang kali pertama diadakan di Perbadanan Perpustakaan Shah Alam pada tahun 2006. Masa itu saya bertugas di PTS Publications. Saya masih ingat pembentang kertas kerja pada masa itu antaranya Jaafar Abdul Rahim, Zin Mahmud, Shaharom TM Sulaiman, Ainon Mohd dan lain-lain.

Bos saya pada masa itu, Abg. Arief (staf PTS kini memanggil Encik Arief) yang duduk di belakang memberikan SMS yang meminta saya memberikan apa-apa soalan kepada ahli panel. Entah apa sebabnya dia meminta sedemikian. Apa bos minta, itu adalah arahan. Jadi saya memberikan soalan kepada Zin Mahmud (pada masa itu di Utusan Malaysia) dengan merungut kerana buku berbahasa Melayu sangat kurang diulas dalam ruangan Rencana Utusan Malaysia. Asyik-asyik buku berbahasa Inggeris. Nisah Haron yang menjual buku di sebelah mikrofon pun mengangguk-angguk yang setuju agaknya.

Dua seminar yang sama selepas itu tidak dapat saya hadiri. Saya telah beralih kerja ke DBP pada masa itu. Mungkin sibuk dengan deadline penerbitan majalah. Ataupun sudah bosan dengan terlalu banyak seminar yang dianjurkan di DBP. haha!

Bagi kali yang keempat, seminar ini bertukar tempat ke ITNM. Nama seminar pun ditambah "Malaysia 2010" di hujungnya - SEMINAR PENCINTA BUKU MALAYSIA 2010. Namun konsep seminar ini masih tetap sama, iaitu membincangkan perihal dunia perbukuan. Cuma fokusnya kini lebih kepada buku terjemahan.

Semalam Syed Nurulakla (penterjemah buku Pengembaraan Ibn Battutah) menghubungi saya untuk mengesahkan kehadirannya. Dia sangat teruja dapat peluang membentangkan kertas kerja di seminar itu. Katanya, "Memang saya sangat suka dengan judul itu. Itu memang minat saya!" Judulnya, "Pengalaman Estetika Membaca Karya-karya Terjemahan: Perspektif Penterjemah". Kalau selama ini ada orang yang merungut membaca buku terjemahan, kali ini kita akan berkongsi pengalaman dari tiga panel yang berlainan, iaitu dari perspektif penterjemah itu sendiri (Syed Nurulakla), dari kaca mata pembaca buku (Rahimi Saad), dan dari pandangan penulis pula (Faisal Tehrani).

Yang pastinya, akan ada banyak lagi ilmu menarik daripada Dato' Lat, Encik Khair Ngadiron, Encik Shaharom TM Sulaiman, Prof. Abdullah Hassan, Puan Zinitulniza, Encik Ahmad Kamil Zuhairi, dan Ustaz Abdullah Al-Qari yang dapat dikongsi bersama peserta.



Hujung minggu sudah saya dan isteri merayau di kawasan Setia Alam, Shah Alam, selepas melihat ekspo perumahan PKNS di SACC Mall.

Selepas meredah becak untuk melihat keadaan rumah sebenar Ayu Puri, di Alam Nusantara yang berharga RM376K (sangatlah mahal - mengikut skala pendapatan sayalah), terpaksalah membasuh kereta yang terkena percikan becak ataupun lecak di Tesco Klang.

Barulah saya tahu yang Gramedia di situ telah lama ditutup. Gramedia, penerbit tersohor yang sangat gah dengan penerbitan dan kedai bukunya di Indonesia pun boleh "tutup kedai" di Malaysia.

Sebagai perbandingan, tidak ada mana-mana penerbit buku di Malaysia yang mempunyai penerbitan TV dan radio sebagaimana Gramedia. Cuma PTSlah yang sangat aktif bergerak melalui YouTube dan "radio". Mungkin Karangkraf bolehlah dikatakan sama dengan Gramedia yang juga menerbitkan akhbar Sinar Harian (Gramedia: Harian Kompas). Syarikat penerbitan yang punya hotel? Di sini belum lagi sampai ke tahap seperti Gramedia.

Sekali fikir, memang strategi Gramedia membuka cawangan di kawasan Klang ada bijaknya - kerana jumlah warganegara Indonesia di situ. Cuma mungkin mereka tidak mengambil faktor kuasa membeli warga Indonesia di situ - yang mungkin kurang sanggup berbelanja lebih untuk bahan bacaan. Pak mentua saya, Haji Ahmad Abdul Kadir pun tutup kedai bukunya di Meru - yang dibuka hasil wang pencennya.

Namun mengapa pula ada juga cawangan Gramedia di Mines. Terus terang saya katakan, walaupun rumah saya tidak jauh daripada Mines, tidak pernah ada "perasaan" mahu ke situ. Saya lebih selesa membeli belah di Jusco Cheras Selatan ataupun di Carrefour Bandar Tun Hussein Onn. Maaf untuk dikatakan, Mines bagi saya tidak ubah seperti Summit di USJ.

Mungkin juga sebab pembukaan Gramedia di Mines untuk menarik penduduk Melayu dari kawasan Kajang dan Bangi. Saya, orang Melayu yang ada darah Cina pun tidak gemar ke Mines.

Pada pandangan saya, peminat buku Indonesia lebih suka membeli buku di kawasan Jalan Masjid India, terutamanya Pustaka Indonesia - sama ada di kedai bawah ataupun di kedai tingkat 3. Harga pula boleh lebih kurang dengan pak cik itu.

Kalaulah Gramedia menyasarkan pembelinya daripada golongan warga Indonesia yang kaya (Cina Indonesia) yang kebanyakannya tinggal di Subang Jaya ataupun USJ, rasanya kurang tepat. Kalau sudah kaya, baik mereka pulang ke Indonesia, dan membeli buku di sana. Lebih-lebih lagi dengan tukaran Ringgit Malaysia ke Rupiah Indonesia yang sangat tinggi. Lagi banyak untung.

Apa-apapun, lokasi sangat memainkan peranan penting, sebagaimana mahu membeli rumah. Mungkin Gramedia perlu mencari tapak kedai yang sesuai di Jalan Masjid India. Itupun kalau berani bersaing dengan Pustaka Indonesia, Pustaka Mukmin dan Pustaka Minerva di situlah.

Di Malaysia, biasanya buku yang dirasakan boleh "boom" akan diadakan khas majlis pelancaran. Bagi mendapatkan liputan daripada media pula, akan dijemputlah VIP dalam kalangan menteri untuk melancarkannya.

Namun kaedah sebegini sudah acap kali dilakukan oleh mana-mana penerbit. Maka biasanya pihak media akan memilih majlis pelancaran buku yang VIPnya ada nilai berita untuk dicungkil.

Walaupun tanpa sebarang majlis pelancaran buku, belum ada lagi buku terbitan penerbit Malaysia yang dinanti-nantikan/ditunggu-tunggu penjualannya oleh pembaca buku.

Yang saya nampak, cara "membuatkan pembeli ternanti-nanti" ini berjaya dilakukan oleh J.K. Rowling pada semua siri buku Harry Potter.

Contohnya, semasa Harry Potter and the Goblet of Fire diterbitkan pada tahun 2000, semua kedai buku dilarang sama sekali menjual buku itu sebelum tarikh yang dibenarkan. Pembeli buku hanya mampu terngiur melihat buku itu dipamerkan di dalam peti berkunci.

Sungguhpun begitu, media sudah memainkan promosi secara tak langsung dengan memaparkan berita yang menyatakan 20 naskhah buku itu telah dijual secara seludup di sebuah pasar raya yang dirahsiakan namanya.

Media turut menyiarkan berita cara kawalan pihak keselamatan (mungkin seperti Securiforce) mengedarkan footage TV buku itu di setiap kedai buku. Malah media turut menggemparkan berita buku Harry Potter itu ditemui di meja Berita Scottish Daily Record. "Rencah" berita ditambah lagi dengan dihebohkan buku itu dipulangkan semula kepada penerbit dalam keadaan yang belum dibuka lagi.

Ini kaedah PR dan pemasaran yang dilakukan untuk buku Harry Potter and the Goblet of Fire sebelum ia dijual kepada umum pada 8 Julai 2000. Hasilnya, lihat sahaja gambar di bawah. Orang beratur panjang sejak malam hari untuk membeli buku itu.

Keadaan di kedai buku Borders, Sunnyvale, lima minit sebelum buku Harry Potter dijual.

Lebih 6000 orang beratur untuk membeli buku Harry Potter di kedai buku Waterstones, London.

Cara yang dilakukan untuk buku Harry Potter ini sudah menjadi amalan bagi mana-mana filem yang hebat. Contohnya, sambungan filem The Lord of the Ring yang orang ternanti-nanti keluarannya. Begitu jugalah dengan filem Transformers.

Keluaran kereta juga ada pengikutnya tersendiri. Ada penggemar kereta ternanti-nanti keluaran terkini kereta Honda ataupun Toyota. Malah Proton dan Perodua pun sudah menggunakan taktik ini bagi keluaran Exora dan Alza.

Saya baru perasan Google Translate ada ciri terbaharu, iaitu "bunyi" yang menyebut perkataan yang diterjemahkan.


Caranya mudah sahaja, hanya perlu klik ikon speaker (di dalam bulatan di atas). Kita dapat mendengar sebutan yang agak betul bagi perkataan yang mahu diterjemahkan, dan perkataan yang diterjemahkan.

Teknologi ini dinamakan "text-to-speech".

Seperti biasa, perkataan bahasa Melayu masih lagi belum dapat diaplikasikan dalam sistem ini, tetapi bahasa Indonesia sudah boleh digunakan - walaupun bahasa Melayu boleh diterjemahkan dengan menggunakan Google Translate.

Namun relaks sahajalah... Bahasa negara yang mengalahkan Malaysia Piala Thomas semalam pun belum ada lagi (bahasa Jepun). Yang "malunya", bahasa Swahili dan bahasa Vietnam sudah ada pula.

Saya mencuba perkataan "smile" diterjemahkan ke bahasa Swahili. Rupa-rupanya diterjemahkan kepada "tabasamu", lebih kurang sama dengan bahasa Arab.

Cuma "text-to-speech" Google Translate ini belum lagi tepat sebagaimana terjemahannya. Sebagaimana yang ditulis dalam majalah www.itnm.com.my, "Anda boleh saja mencubanya sendiri, dan sebaik melihat hasilnya, anda pasti bersetuju dengan sebab ITNM sepatutnya menjadi rujukan bagi hal-hal penterjemahan!"

Piala Dunia tidak lama lagi.

Maka syarikat besar di dunia akan berlumba-lumba menaja negara pasukan yang layak bertanding dalam sukan yang terbesar itu. Sebagai balasan atau ROI (return of investment), nama syarikat penaja akan terpapar di jersi pemain.

AirAsia pernah menaja jersi pengadil EPL. Memanglah pulangan timbal balas daripada tajaan itu sangat tinggi! Senang kata, tajaan PR melalui pasukan bola sepak ataupun mana-mana acara sukan adalah kaedah paling tinggi untuk meraih "keuntungan" publisiti.

Namun bukan di alam realiti sahaja diamalkan cara PR ini. Majalah komik bola sepak, iaitu Roy of the Rovers yang pernah diterbitkan sejak 1954 sehingga 2000 pun pernah mendapat tajaan daripada syarikat besar.


Pasukan fiksyen di dalam majalah itu, iaitu Melchester Rovers pernah ditaja oleh McDonalds, Nike, TSB, dan Subbeteo.

Tajaan daripada Nike.

Tajaan daripada McDonalds.

Menaja pasukan bola sepak di dalam komik ini adalah idea yang paling "gila" pernah dilakukan, tetapi kaedah ini sebenarnya sangat berkesan. Pertama, cara ini menepati sasaran golongan tajaan, iaitu penggemar bola sepak daripada golongan muda sehingga dewasa.

Yang kedua, pasukan yang ditaja itu akan senantiasa menang, sebagaimana menurut bayangan fiksyen si pelukis komik itu. Tambahan pula, pemain pasukan itu pasti tidak akan terlibat dalam gejala dadah apatah lagi rasuah!

Yang paling penting, tajaan syarikat itu panjang hayatnya, kerana komik itu akan dibaca dan terus dibaca orang selagi masih ada di rak buku atau disimpan.

Sebenarnya menaja watak di komik itu sangat murah daripada menaja pasukan bola sepak yang sebenar. Untunglah mana-mana syarikat yang menaja watak komik.

Mungkin di Malaysia, Petronas boleh menaja watak Aku, Dia dan Volkswagon ataupun Proton menaja Anak-anak Sidek!