Dalam Dewan Kosmik keluaran Oktober 2008, saya tidak mempunyai masa untuk menulis. Sekadar dapat menulis beberapa halaman sisipan. Yang lainnya, menyudahkan kerja-kerja penyuntingan dan pentadbiran seperti memilih kulit majalah (walaupun akhirnya bukan saya yang memilih gambar Sheikh Muszaphar yang "pecah" ini-kerana sudah bercuti).

Fokus utama, Setahun Selepas Kembali Dari ISS, Dr. Sheikh Muszaphar Ingin Kembali ke Angkasa ditulis oleh Maisarah M. Hambal (nama samaran) yang merupakan wartawan akhbar. Terima kasih Kak kerana membantu saya mewawancara Sheikh Muszaphar (SMS).

Antara fakta yang ditulis:
  • SMS mahu kembali ke ISS.
  • Mahu menghimpunkan sembilan angkasawan Islam lalu menubuhkan persatuan angkasawan Muslim.
  • Mahu menjelajah ke serata tempat/dunia menerangkan kaedah melaksanakan ibadat di ISS.
Off record:
  • Kesal dan sedih dengan MOSTI yang "mengabaikan" angkasawan pertama negara. Kebanyakan program yang dilakukan SMS menggunakan wang sakunya sendiri.
  • MOSTI tidak melakukan program susulan yang lebih berkesan untuk meneruskan program angkasawan.
  • SMS kesal banyak graduan aeroangkasa tidak menggunakan ilmu dalam bidang aeroangkasa. Disebabkan tiada permintaan pasaran.
Saya merasakan semua ini berlaku disebabkan pertukaran Pak Menteri MOSTI, yang mungkin kurang berminat dengan program angkasawan ini. Terus terang, saya cemburu melihat China berjaya ke angkasa lepas dengan roketnya dan taikonautnya (angkasawan dalam bahasa Cina) sendiri (baju taikonaut pun Made In China). Korea Selatan pula akan melancarkan roket satelit sendiri dari bumi Korea. Jangan terkejut kerana Indonesia juga sedang membangunkan roketnya. Baca di sini.

Saya pernah mengkritik cadangan mahu membeli Soyuz. Baca di sini. Syukur mereka tidak jadi beli. Nanti orang mengata, "Kejayaan program angkasawan Malaysia: MEMBELI SOYUZ BUANGAN."

Semasa iftar dan pelancaran buku falsafah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), saya ada urusan lain. Ralat tidak dapat hadir. Kalau tidak, dapat juga bertemu dengan Encik Khair Ngadiron, penerbit-penerbit buku, pencandu-pencandu buku, dan rakan-rakan wartawan.

Memang menjadi resam, sekiranya ada pelancaran buku, para wartawan akan diberikan naskhah percuma buku yang dilancarkan. Dengan harapan supaya dapat diuar-uarkan buku itu dalam akhbar ataupun majalah. Namun biasanya penerbit sedia maklum, tidak semua wartawan akan "mengiklankan" buku-buku itu.

Dulu semasa di PTS Publications, setiap buku baharu yang diterbitkan, saya akan memberikan naskhah percuma kepada Utusan Malaysia, Kosmo dan Berita Harian. Kata dalam hati, "Bertuahnya boleh dapat buku percuma." Walaupun dulu saya editor, buku yang disunting sendiri pun perlu dibeli.

Namun kini saya pula yang memperoleh naskhah buku percuma. Nikmat rasanya apabila memperoleh pelbagai bidang buku (biasanya dapat buku sains) yang biasanya mahal harganya.

Saya mengirimkan e-mel kepada Encik Khair supaya dapat mengirimkan buku-buku terbitan ITNM untuk dimuatkan dalam ruangan Ulasan Buku. E-mel pada hari ini, esok sudah dapat lima buku (gambar di atas). Maka tidak hairanlah ITNM kini semakin "rancak".

Buku-buku terbitan DBP sendiri pun belum tentu boleh dapat dengan segera. Hari ini minta buku daripada syarikat D, minggu hadapan kena mengingatkan semula. Akhirnya, saya sendiri tawar hati hendak mengulas buku DBP.

Baru sebentar Dr. Danial Zainal Abidin mengirimkan artikel untuk dimuatkan dalam ruangan "Islam dan Sains" Dewan Kosmik keluaran November 2008.

Tulisan beliau ada kelompok peminat sendiri. Mantan Timbalan Ketua Pengarah DBP, Dato' Baha juga peminat tulisan Dr. Danial. Beliau berjumpa saya dan mencadangkan supaya semua tulisan beliau dikompilasikan dan diterbitkan dalam bentuk buku.

Dr. Danial adalah penulis pertama yang saya "pikat "sebaik sahaja mengendalikan majalah Dewan Kosmik. Doktor perubatan, pakar motivasi dan penulis buku terkenal ini jarang menghampakan saya. Artikel yang dikirimkan tidak pernah tersasar dari tarikh akhir penghantaran dan mempunyai nilai ilmiah tersendiri. Khabarnya, beliau memperoleh royalti tertinggi dalam senarai penulis PTS Publications. Semuanya berkat perjuangan dakwah beliau melalui pena.

Artikel yang baru dikirimkan berkisar berkenaan TEKANAN. Ada kaitan dengan entri blog sebelum ini, "Mood Boleh Berubah?". Saya petik sebahagian tulisannya, "BBC News bertarikh 25 Jun 2001 melaporkan, kajian saintis Scotland mendapati serangan sakit jantung lebih kerap berlaku pada hari Isnin. Antara sebabnya, pada hari itu bebanan kerja bertambah dan keadaan ini meningkatkan tekanan dan sekali gus risiko menghidap sakit jantung."

Mahu baca selanjutnya, sila dapatkan Dewan Kosmik keluaran November 2008. Isu fokus pada keluaran itu: "Menyemai Teknologi Hijau di Malaysia".

Isnin, ada yang datang bertugas dengan semangat berkobar-kobar. Ada juga yang lemah semangat kerana terbawa-bawa jet lag cuti hujung minggu.

Saya, memulakan hari bertugas dengan mood kedua. Pagi-pagi semasa keluar dari rumah, sedih melihat Baba termenung di sofa memandang kosong ke arah meja. Mahu sahaja menyanyi, "Mengapa kau termenung..." Ada juga dipenampar. Apabila mahu bersalam dengannya, terkejut pula dia. Masuk ke bilik Mama, dia pun memandang kosong ke arah siling. Juga terkejut semasa mahu bersalam. Semuanya berpunca kerana Umi (adik ipar-yang baru tiba di Liverpool) tidak dapat dihubungi sejak kelmarin. Kami kurang tidur.

Tiba di pejabat, mood semakin berkurangan kerana Dewan Kosmik keluaran Oktober 2008 yang sepatutnya sudah siap, tetapi masih lagi di kilang syarikat D (walaupun halaman kulit [yang terakhir siap] sudah dihantar cetak pada 15 September).

Saya pun tiada mood menaip artikel.

Kisah Umi, rupa-rupanya jumlah kredit dia tidak mencukupi untuk menerima panggilan dari Malaysia dan untuk menghantar SMS ke sini. Selepas saya menghantar SMS nombor kredit bernilai RM 100, barulah Baba Mama dapat hubungi Umi. Maka menangislah tiga beranak itu.

Mood saya pun bertambah baik tidak lama kemudian, selepas Khairul menyampaikan slip gaji bulanan.

Terus sahaja saya mengisi kad kebenaran keluar pejabat, tulis Ke Borders, Times Square di ruangan "Kenyataan Keluar", dan Rasmi di ruangan "Rasmi/Peribadi". Kopaklah RM 80.96 (selepas diskaun 20 peratus) untuk membeli buku terbaharu Thomas L. Friedman, iaitu Hot, Flat, and Crowded: Why We Need a Green Revolution--And How It Can Renew America dan majalah Time terbaharu. Buku itu sebagai rujukan untuk penulisan saya dalam ruangan fokus Dewan Kosmik keluaran November 2008.

Mood adalah rasa yang subjektif dalaman yang boleh dikesan/diketahui melalui postur/gerak badan dan kelakuan. Menurut pakar psikologi, Robert Thayer, mood adalah hasil daripada dua dimensi, iaitu tenaga dan rasa ketegangan. Namun satu perkara yang saya belajar selepas berkahwin ini, "Jangan buat lawak bodoh semasa isteri sedang period". Ketidakstabilan mood...



















Kedua-dua buku ini mempunyai wajah kulit yang hampir sama. Sama imej, cuma diolah sedikit sahaja.

Kedua-dua penulis buku ada kaitan dengan DBP. Kiblat Mawaddah, Hasrina Baharum bekas editor Dewan Pelajar yang kini pensyarah UPSI. Manakala Terima Kasih, Tuhan, penulisnya Azizul Rahman, Guru Cemerlang KPM yang merupakan penulis tetap Dewan Siswa dan pembentang Majalah Dalam Kelas (MDK) untuk majalah-majalah DBP.

Persoalan, dari segi undang-undang, apakah implikasinya?

Satu buku, penerbitnya Tintarona. Satu lagi, Utusan Publications (UPND). Rasanya, dua-dua penerbit itu adalah sama.

Bak kata seorang editor DBP, "Seteruk-teruk penerbit D, ada lagi penerbit lagi teruk."

Terima kasih kepada teman sepejabat isteri kerana menghadiahkan ketuhar gelombang mikro kepada isteri sempena pernikahan kami.

Terima kasih kepada teman sepejabat saya kerana menghadiahkan penyedut hampagas. Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat kerana bermurah hati menghadiahkan kami pelbagai jenis barangan.

Pagi tadi saya menerima satu lagi artikel yang membincangkan berkenaan ketuhar gelombang mikro. Insya-Allah artikel itu akan diterbitkan untuk keluaran November 2008.

Sebenarnya banyak orang sudah mengetahui kesan gelombang (baca: radiasi) kepada makanan yang dimasak atau dipanaskan. Rasanya ini bukan omongan kosong walaupun kebanyakan ketuhar gelombang mikro dilekatkan pelekat SIRIM.

Rujuk Herbalhealer dan Mercola yang mendedahkan segala kesan negatif ketuhar gelombang mikro. Dr. Hertel dan Dr. Blanc menyatakan paras hemoglobin darah dan kolesterol individu yang menelan makanan daripada ketuhar gelombang mikro menurun. Mereka juga terdedah pada anemia (kekurangan darah).

Pada 1991, Norma Levitt meninggal dunia walaupun selepas melakukan pembedahan pinggul kecil. Rupa-rupanya sebelum itu jururawat bertugas memanaskan darah tranfusi dengan ketuhar gelombang mikro. Elektrokimia badan manusia yang semula jadi tidak menerima perubahan fisiologi badan manusia.

Saya bukannya antiteknologi sehingga menghalang isteri menggunakan alat itu. Kasihan juga melihatnya menghabiskan masa yang lama semata-mata untuk memasak atau memanaskan makanan. Apa yang perlu saya lakukan untuk menjaga kesihatan?


Abah.Emak




Terima kasih Suhail kerana dapat merakam beberapa gambar menarik.

Sepanjang bulan Ramadan ini, saya dan isteri melaksanakan ibadah di rumah keluarga mentua. Sekurang-kurangnya meredakan "rasa kehilangan" ibu dan ayah kepada anak sulungnya.

Bak kata Tok Mah (nenek saudara) semasa menziarahi rumahnya di Kota Tinggi semalam (Isnin), "Perasaan ibu sangat sedih semasa mahu melepaskan anaknya untuk "diberikan" kepada orang lain (baca suami). Kasih sayang anak kepada ibu itu mula-mula dibelahbahagikan antara ibu bapa dan suami. Sekiranya sudah ada anak, dibahagikan pula kasih sayang kepada anak-anak itu. Kasih sayang kepada ibu bapa semakin lama semakin berkurangan." Sebab itulah mama (ibu isteri) menangis semasa majlis akad lalu.

Kami cuma balik ke rumah Cheras pada cuti hujung minggu. Kelakar juga apabila melihat isteri menyediakan juadah untuk iftar. Katanya, "Macam main pondok-pondok pula." Mula-mula saya mentertawakannya kerana tidak sengaja terus menelan sambal yang ditumis. Kononnya mahu "merasa" makanan. Kemudian saya pula dimarahi kerana tidak merebus telur betul-betul. Akibatnya, telur tidak menjadi betul-betul keras.

Merujuk Strange World, rupanya ada kaedah lain yang mungkin menjimatkan air dan gas untuk merebus telur. Kaedah ini hanya memerlukan sebiji telur dan dua telefon bimbit. Apitkan telur itu dengan dua telefon itu (seperti imej di bawah).
Kemudian buat panggilan dua-dua telefon itu selama 65 minit. Selepas tempoh itu, telur mentah itu berubah menjadi seolah-olah telur rebus.
Sekiranya benar eksperimen ini, maksudnya memang benar wujud radiasi yang membahayakan pengguna. Sekiranya benar juga, "masak" juga otak (kerana otak paling hampir dengan telinga).

Saya belum cuba untuk melakukan eksperimen ini lagi. Saya merasakan fakta ini ada benarnya kerana saya memang tidak boleh berborak lama dengan menggunakan telefon bimbit. Pening jadinya. Biasanya menggunakan loudspeaker bagi tujuan ini.

Ada seorang sahabat bertanya, "Mengapa kau terlalu banyak unsur Islamik (mungkin maksudnya ruangan "Islam dan Sains") dalam majalah kau? Nanti orang cakap majalah kau ini seperti majalah agama pula. Aku tahulah kau lulusan agama."

Ada pula menyatakan, "Kawan saya tertarik dengan Dewan Kosmik keluaran Februari, "Seks dan Teknologi Moden." Apabila dibaca isi kandungan majalah itu, seolah-olah membaca majalah agama pula."

Individu lain pula memberikan komen berkenaan kulit majalah Dewan Kosmik November 2007, "Mengapa mengambil model memakai tudung untuk isu pembedahan plastik? Mana ada orang bertudung buat pembedahan plastik."

Saya masih ingat semasa menghadiri seminar di UIA dahulu, Dekan Kulliyyah Sains, Prof. Dr. Ahmad Torla menyatakan tidak bersetuju dikaitkan Islam dengan sains. Hujahnya, "Sekiranya setiap penyelidikan sains dikaitkan dengan Islam (baca al-Quran), bagaimana keadaannya sekiranya pada masa akan datang, wujudnya penyelidikan sains terkini yang tidak dapat dibuktikan dengan sebarang ayat al-Quran? Akan ada nanti orang mempertikaikan kebolehpercayaan al-Quran."

Panel lain dalam seminar itu, Shah Kirit Kalkulal Govinji pula tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Ahmad Torla. Hujahnya, "Ilmu Allah tidak tertanding dengan manusia. Bagaimana pula ada ilmu manusia yang boleh terjangkau dengan ilmu Allah."

Ada benarnya kata Dr. Ahmad Torla, tetapi saya lebih bersetuju dengan pendapat panel kedua. Sebenarnya saya lebih tertarik dengan kenyataan Maurice Brucaille, pemikir Perancis (rujuk Dewan Kosmik September 2008) yang mengkaji fakta sains dalam al-Quran, Bible, dan Taurat. Beliau menyimpulkan bahawa hanya al-Quran yang memperoleh 100 per 100 dalam ujian penyelidikannya.

Katanya, "The Quran did not contain a single statement that was assailable from a modern scientific view. Why should we (orang Kristian) be surprised at this (keserasian antara al-Quran dengan sains) when we know that, for Islam, religion and science have always been considered twin sisters."

Islam dan sains memang tidak boleh dipisahkan. Sains dipandu agama, agama memandu sains. Sekiranya disekularkan sains, maka hilanglah arah kerana tiada "pemandu".

Pada 17 Ogos 2008.
Di Kompleks Melawati, Tabung Haji Kelana Jaya.


























Terima kasih kepada InaKamal kerana merakamkan foto-foto ini. Foto perkahwinan di Johor Bahru belum siap lagi.

Sudah lama juga meninggalkan pembacaan buku-buku berbentuk bisnes/ekonomi/pengurusan. Sejak di DBP, banyak dihabiskan dengan membaca buku/majalah berbentuk sains kerana mahu meningkatkan pengetahuan berkenaan bidang yang agak asing dengan jiwa. Untuk pembacaan santai, novel pula menjadi pilihan. Kini, saya sedang menikmati isi kandungan buku-buku berkenaan rumah tangga hadiah sempena pernikahan daripada Encik Armin (Editor Pelita Bahasa) dan rakan sekerja Isteri, Tarmizi.

Seronok sebenarnya menulis artikel berkenaan ekonomi/bisnes. Tawaran daripada Azli untuk menulis artikel dalam majalahnya, mudah sahaja saya terima. Selain mengetahui selok belok perniagaan, dapat juga mengetahui rahsia kejayaan beberapa syarikat multinasional. Seolah-olah membaca buku motivasi apabila mengetahui kisah kejayaan mereka. Contohnya Red Bull, bermula daripada "kosong", kini mampu menyaingi Coca-Cola ataupun Pepsi. Malah daripada minuman tradisi masyarakat Thailand, minuman ini berjaya menembusi pasaran dunia sehingga menjadi salah satu pasukan lumba kereta F1.

Begitu juga dengan Nissan yang pernah hampir-hampir bankrup, mampu bangkit selepas diambil alih oleh Renault. Di Jepun kini, Nissan meraih jualan kedua tertinggi di belakang Toyota, yang mengatasi Honda.

Berlainan dengan pengeluar kamera filem, Agfa, yang kini gulung tikar walaupun hampir 100 tahun berada di pasaran kerana tidak mahu mengubah strategi bisnes daripada kamera filem kepada kamera digital.

Tepat judul yang Azli berikan, "Bagaimana Mereka Melihat Pemasaran?"

Kata A. Samad Ismail, "Kita tidak boleh lagi mengkaji mutiara tanpa merujuk pada tiram yang menghasilkan mutiara. Pada masa yang sama, kita tidak boleh membincangkan tentang bahasa Melayu tanpa memikirkan masa hadapan orang Melayu. Bahasa Melayu adalah produk kehidupan orang Melayu. Sejarah bahasa Melayu adalah sejarah orang Melayu. Maka masa hadapan bahasa Melayu akan menjadi masa hadapan orang Melayu juga."
-Dalam akhbar The Singapore Standard pada tahun 1953.

Semoga Allah merahmati ruh Pak Samad.

Selanjutnya di blog Isteri. Sila klik Isteri.

Gambar perkahwinan belum lagi siap. Akan menyusul kemudian.

Ramadan 1429 kali ini sama tarikhnya dengan September 2008. Dengan kebetulan ini, memang memudahkan setiap umat Islam menghitung hari untuk meraikan Aidilfitri. Ibu bapa pula dapat menjawab dengan mudah pertanyaan anak-anak, "Sudah berapa hari kita berpuasa?"

Setiap tahun, apabila masuk Ramadan, ada banyak rencana yang memperihalkan berkenaan keistimewaan dan kelebihan berpuasa. Buku-buku berkenaan puasa pun laris di pasaran. Sangat bagus!

Dewan Kosmik (DK) pun tidak mahu ketinggalan merebut peluang ini. Dalam masa bahan bacaan lain memperincikan keberkatan Ramadan dari segi agama, DK pula menghidangkan pembaca dengan keistimewaan berpuasa dari segi sains (bertepatan dengan konsep DK). Tidak dinafikan sudah ada banyak rencana di akhbar/majalah lain menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa dari segi sains, namun masih ada individu yang tidak mengetahui maklumat itu.

Contohnya, dalam mesyuarat di DBP, ada seorang pegawai bertanya selepas saya membentangkan fokus bulanan majalah, "Bagaimana puasa boleh menyah toksik sedangkan tidak ada bahan makanan di dalam perut?" Jawapan saya dengan memberikan analogi, "Sebelum melakukan pembedahan, pesakit perlu berpuasa bagi memudahkan proses pembedahan. Ini kerana tiada zat makanan di dalam badan yang merangsang perkembangan bakteria/virus."

Keluaran kali ini, saya tidak menulis kecuali beberapa artikel penyendal. Agak kesuntukan masa dengan beberapa urusan lain. Artikel fokus berkenaan puasa kali ini (lima artikel) semuanya ditulis oleh Dr. Danial Zainal Abidin, penulis, pakar motivasi dan doktor perubatan.