Cerita selipar hilang memang selalu terjadi kalau di masjid/surau. Semasa di SMABT dulu, saya akan mangga selipar dulu sebelum ditinggalkan di luar surau. Walaupun pelik, inilah cara terbaik untuk mengelakkan "selipar Jepun" berharga RM5 hilang "dipinjam" orang. 

Siapa kata selipar sebegitu tak penting walaupun harganya sangat murah. Di dalam Masjidil Haram & Masjid Nabawi, hampir semua jemaah sanggup jinjing selipar sampai ke saf yang mahu didirikan solat - bukannya naskhah Quran yang dibawa. Ada juga jemaah yang menjadikan selipar sebagai "sitrah" (sempadan ruang solat - supaya orang tak lalu di hadapan kita yang sedang bersolat).

Ada satu permainan yang kini saya dah tak nampak dimainkan oleh budak-budak, iaitu "baling selipar". Orang Kedah kata "Tuju Kasut" seperti Puan Adibah (MBKM) nyatakan. Seronoknya permainan ini bermula selepas jatuhnya selipar itu ... kejar pemain lawan dengan selipar juga. Baling selipar kepada pemain lawan bagi mengelakkan mereka menyusun tegak semula selipar itu. Wah permainan yang penuh dengan strategi dan semangat berpasukan!

Selipar juga membawa konotasi "marah". Banyak dalam filem Tamil/Hindustan, pegang satu selipar yang diacukan kepada muka orang lain membawa maksud, "Aku sangat marah ni!"

Tetapi acu selipar saja hanya menzahirkan ekspresi marah saja. Kalau ustaz yang kecoh satu Malaysia sebab baling kasut kepada hakim atau wartawan yang gempar sedunia baling kasut kepada Bush, itu baru betul-betul zahiran kemarahan!

Semuanya datang daripada barangan yang diletakkan paling aspal dalam tubuh badan kita, SELIPAR.

P/s Kumpulan Cerpen Selipar memang ada kaitan dengan cerita selipar hilang ... masjid ... imam....