Dahulu saya pernah membaca Dewan Siswa. Itupun Abang bawa pulang ke rumah kerana sekolahnya, Sekolah Alam Shah, memang diberikan percuma kepada setiap pelajar. Tahulah juga kewujudan Dewan Pelajar, tetapi tidak pernah membacanya dahulu.

Di UIA, barulah berjinak-jinak membaca Dewan Masyarakat. Itupun sebab mahu "menembusi kubu kukuh" editorial supaya dapat menerbitkan artikel saya. Sepanjang di UIA, pernahlah sekali artikel berjaya diterbitkan di dalam Dewan Masyarakat, yang lain semuanya di dalam Minda. Syukurlah...

Bemula Januari 2007, semua majalah itu diperoleh percuma. Di dalam laci pejabat penuh dengan sembilan majalah DBP, terbaharu Tunas Cipta yang diterbitkan semula, bermakna sudah ada 10 majalah DBP termasuk tiga jurnal. Sengaja tidak mahu dibawa pulang ke rumah. Khuatir nanti ghaib tanpa disedari (mislay).

Biasanya kami akan memperoleh semua majalah itu antara 25-30 hari bulan pada setiap bulan. Ucapan yang biasa didengar semasa diberikan majalah, "Tahniah, Cantiklah kulit, Wah cepatnya siap!" Semua di Bahagian Majalah, tidak kira editorial majalah itu, editorial majalah lain, dan kakitangan pentadbiran akan membelek majalah-majalah yang diberikan.  

Kami akan membaca artikel-artikel yang menarik dahulu. Kemudian akan dicari kesilapan sama ada dari segi ejaan, tatabahasa, dan fakta. Yang terakhir, akan dikritik sekiranya reka bentuk majalah tidak menarik. Dalam masa dua hari, ada sahaja yang datang ke meja editorial untuk memberikan ucapan penghargaan ataupun kritikan.

Itulah aktiviti pada setiap hujung bulan di Bahagian Majalah tingkat 20 bangunan DBP. Ada yang sudah 15 tahun di bahagian ini...

Bunyi nampak menjijikkan, tetapi fakta ini ada benarnya. Dijadikan cerita, sebelum saya membuka e-mel untuk memuat turun artikel Nik Khartina ini, saya mendapat idea untuk cover line semasa "ehem". Kebetulan, buka e-mel dapat pula artikel ini.

Berak mungkin bahasa yang kasar. Biasanya orang menyebut "membuang air besar". Penyahtinjaan adalah istilah sains yang diterjemahkan daripada defecation.

Nik Khartina, bekas wartawan Dewan Kosmik (DK) semasa difrancaiskan kepada Karangkraf antara penulis yang komited menulis dengan DK sejak diambil semula oleh DBP. Beliaulah penulis yang akan berbincang konsep artikel dahulu sebelum menghantar kepada editorial. Yang lain, sudah dikirimkan artikel, baru bertanya "OK" ataupun tidak.

Artikel beliau pada keluaran November 2008 menceritakan situasi Albert Einstein memperoleh idea berkenaan teori E = MC2 semasa sedang penyahtinjaan. Cara ini terus dilakukan Einstein sekiranya mengalami kebutuaan idea. Kaedah ini juga diaplikasikan oleh Al Gore sekiranya beliau mencari idea untuk menyelesaikan masalah.

Kajian sains kaitan penyahtinjaan dengan memperoleh idea diterangkan dengan terperinci dalam tulisan Nik Khartina ini di DK November 2008.

Namun bagi saya (mungkin semua orang), semasa penyahtinjaan memang membuatkan kita banyak menaakul dan memikirkan semula pelbagai keadaan dan peristiwa. Sekiranya di tempat kerja, kita akan memikirkan cara menyelesaikan semua tugasan dengan segera dan efektif. Sekiranya di rumah, mungkin kita akan merancang mahu melakukan sesuatu yang istimewa dalam kehidupan pada hari itu.

Penyahtinjaan itu baik untuk kesihatan. Jangan ditahan-tahan!

Kebelakangan ini, sibuk orang berbicara berkenaan teknologi hijau. Akhir-akhir ini, Panasonic selalu mengiklankan produknya yang mesra alam di akhbar, sesuai dengan langkah melambatkan pemanasan global. Dua minggu lalu, Panasonic mengadakan promosi produk-produk teknologi hijau di MidValley. Langkah corporate social responsibility (CSR) Panasonic amat dipuji walaupun masih lagi berasaskan keuntungan.

Malaysia pun sedang mempromosikan barangan teknologi hijau. Bulan lalu Pak Lah memberikan ruang kepada Toyota untuk menjalankan penyelidikan teknologi hibrid di Malaysia. Proton juga dijangka akan mengeluarkan kenderaan yang menggunakan teknologi hibrid tidak lama lagi.

Sebenarnya fokus ini diilhamkan semasa menemui Encik Arief Hakim Sani di pejabat PTS di Batu Caves. Kebetulan pula setiap tahun Dewan Kosmik akan mengetengahkan isu berkenaan alam sekitar. Harap-harap tahun hadapan dapatlah anugerah kewartawanan Malaysian Press Institute (MPI) dalam kategori alam sekitar mengalahkan Karam Singh yang setiap tahun merangkul anugerah ini. Haha.

Saya pun memang bencikan pencemaran. Hujung minggu lepas, di Maybank Wangsa Melawati saya merenung tajam seorang lelaki yang dengan selamba membuang tin minuman di tepi jalan. Dia pun membalas pandangan. Rasanya di dalam hati dia berkata, "Apa hal?!" Sebelum masuk bank, saya pun menggeleng kecil. Di dalam hati pun mengomel, "Tidak pandai-pandai buang ke dalam tong sampah?@#*>?"

Baca di sini untuk mengetahui lanjut berkenaan Teknologi Hijau.











Ada sedikit persamaan konsep kulit hadapan. Perbezaan ketara pada isu fokus. Dewan Kosmik keluaran Mac 2007 membicarakan berkenaan fenomena pemanasan global. Manakala Time keluaran 20 Oktober 2008 mengetengahkan masalah kewangan yang melanda Eropah.

Orang Melayu dahulu memang hebat berimaginasi. Sehinggakan dalam peribahasa yang dicipta pun diselitkan unsur-unsur sains. Mungkin orang yang mencipta peribahasa-peribahasa itu tidak perasan unsur-unsur sains itu kerana semua keadaan itu berlaku secara semula jadi di sekeliling.

Contohnya, Ludah ke langit, timpa hidung sendiri.
Peribahasa ini memang selalu didengar. Maksudnya, sekiranya kita melawan orang lebih "tinggi" daripada kita, nasib padah buruk akan menimpa kita semula. Istilah ini sangat sesuai dalam politik pejabat.

Unsur sains dalam peribahasa ini ialah berkenaan hukum graviti. Semua objek di muka bumi ini akan tertarik ke bawah kerana adanya tarikan graviti.

Contoh lain seperti Minyak dengan air tidak akan bercampur.
Maksud peribahasa ini ialah berkenaan kasta dalam kehidupan. Ada sesetengah golongan tidak boleh bercampur dengan golongan lain. Senang kata, orang kaya tidak boleh bercampur dengan orang marhaen (orang biasa). Keadaan ini masih ada lagi.

Ataupun, boleh juga dimengertikan orang Melayu tidak boleh bercampur dengan orang Cina. Mungkin juga orang UMNO tidak boleh duduk semeja dengan orang PAS ataupun PKR.

Unsur sains peribahasa ini pula jelas. Air dengan minyak memang tidak boleh bercampur. Cubalah di rumah, boleh lihat sendiri. Ini kerana kedua-dua molekul itu tidak sama.

Banyak lagi peribahasa Melayu yang menerapkan ilmu sains. Contoh lain seperti Ibarat gasing berputar tetap berpusing tak berpaku, merayau (seperti paksi bumi), putus tali dapat dihubung, patah arang bercerai lalu (atom kovalen yang lemah [arang] tidak mudah dicantumkan) dan lain-lain.

Hebat orang Melayu, spesifiknya orang Melayu dahululah. Tajam pemikiran dan pemerhatian mereka.

Diolah daripada artikel majalah Pelita Bahasa yang masih hitam putih lagi walaupun sudah 51 tahun Malaysia merdeka.

Cemburunya semasa membaca laporan berkenaan kejayaan India menerbangkan pesawat tanpa angkasawan ke bulan. Baca Utusan.

Kagum dengan kejayaan mereka. Tidak pastilah sama ada pesawat itu dihasilkan sepenuhnya menggunakan kepakaran anak tempatan India, ataupun masih bergantung pada negara lain. Dengan sangka baik, Chandrayaan-1 mungkin "Made in India" kerana menggunakan bahasa rasmi mereka.

Yang kedua, pelancaran pesawat itu dilakukan di bumi India. Setakat ini, Rusia, Amerika Syarikat (AS), China dan India sahajalah yang mampu melancarkan pesawat/kapal angkasa lepas di negara sendiri.

Hasilnya, keempat-empat negara itu menjadi "kuasa dunia". Itu yang AS mahukan daripada bidang angkasa lepas. Mungkin yang kita faham, kuasa dunia itu dari segi ekonomi. Namun saya suka untuk menyatakan kuasa dunia itu bermaksud mereka menguasai ilmu.

Memang nyata bidang angkasa lepas merupakan bidang ilmu yang paling mahal yang tidak dapat dilakukan oleh semua negara/orang. Hasil penyelidikan di sana pula memang memberikan manfaat besar kepada penduduk bumi, sudah tentu menguntungkan.

Usahlah dengan pemberian Datuk, Mejar dan pingat tentera kepada angkasawan-angkasawan negara sudah dianggap "membalas jasa" kerana mengharumkan nama negara. Pemberian itu terlalu individual, sedangkan pencapaian dalam bidang angkasa lepas sepatutnya lebih menyeluruh.

Pada saya, lebih baik pembangunan bidang ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh, sekiranya mahu membentuk tamadun Melayu.

Saya tiada masalah untuk memperoleh artikel untuk majalah Dewan Kosmik (DK). Kak Norizan (sidang editorial DK) pun banyak memperoleh artikel, biasanya dia dapat artikel dalam kalangan pensyarah yang diperkenalkan oleh penulis (baca: pensyarah) sendiri.

Cuma sejak saya mengendalikan DK pada Disember 2006, ruangan fiksyen sains memang payah diperoleh. Saya merasakan ada dua sebab:
  • Bidang penulisan fiksyen sains jarang diminati oleh penulis kreatif di Malaysia.
  • Saya sendiri tidak melakukan perolehan bidang ini.
Memang dalam penerbitan majalah tidak ada editor/wartawan perolehan.

Di Malaysia, tidak banyak penulis kreatif yang selalu menulis genre fiksyen sains. Ahmad Patria Abdullah dan Faisal Tehrani antara penulis yang sudah mapan dalam genre ini.

Saya pernah bercakap hal ini kepada peserta Minggu Penulisan Remaja semasa mereka datang ke Bahagian Majalah. Perkara yang saya tekankan kepada mereka; sila menulis "lari" daripada kisah-kisah angkasa lepas.

Paling baik, fiksyen sains perlu menceritakan berkenaan pengaruh sains dan teknologi yang diimaginasikan ke dalam masyarakat dan diri seseorang. Bidang sains dan teknologi terlalu luas. Banyak isu bidang ini yang boleh dijadikan cerpen.

Sekiranya berminat, sila e-mel kepada saya.

Sekarang sedang banyak tugas untuk Majlis Pelancaran Jerayawara Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) 2008 Peringkat Kebangsaan.

Ahad ini di S.M.K Panchor, Seremban, akan dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, tetapi rasanya dia mewakilkan exconya. Wilayah-wilayah lain akan menyusul kemudian.

Jerayawara: Diambil daripada loghat Sarawak yang bermaksud:
persembahan, pameran, ceramah dsb yg diadakan oleh seseorang atau sekumpulan orang (penyanyi, ahli politik dsb) yg berkunjung dr satu tempat ke tempat lain dgn tujuan memberikan hiburan, menjelaskan sesuatu isu kpd orang ramai, mempromosikan sesuatu dsb
(Bar Gelintar Dewan Eja Pro)

Jeraya: Jalan raya
Wara: menguar-uarkan

Dalam bahasa Inggeris: road show

Payah juga hendak menjelaskan maksud "Teknologi Hijau" dalam perbincangan menentukan kulit majalah keluaran November 2008 tadi. Aneh, pelik, ganjil, dan hairan kerana masih ada teman sepejabat tidak memahami istilah TEKNOLOGI HIJAU.

Namun saya tidak menyalahkan mereka kerana sememangnya istilah ini agak baru di Malaysia (walaupun sudah lama). Dalam bahasa Inggeris, istilah ini lebih dikenal sebagai GREEN TECHNOLOGY atau ENVIRONMENT TECHNOLOGY. Boleh baca di Wikipedia berkenaan istilah ini.

Secara ringkasnya, teknologi hijau mengaplikasikan segala yang ada di alam sekitar ini dan dijanakan menjadi sumber tenaga. Sumber tenaga asli mungkin maksudnya yang paling tepat. Teknologi hijau merangkumi sumber tenaga seperti angin, air, solar, hibrid dan lain-lain yang bersumberkan alam semula jadi. Mudah sahaja maksudnya!

Isu ini amat penting. Obama dan McCain pun menyentuh isu ini semasa debat pemilihan Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.

Melihat kulit majalah di atas pun ada juga pihak yang mempertikaikan. Alasannya, "Mana ada orang tanam pokok di dalam mentol!, Mana boleh daun menghasilkan tenaga untuk menghidupkan lampu," Saya pun menahan sabar dan gelak jawapan sinis itu yang agak kelakar juga. Dalam hati pun mengata, "Apalah mereka semua ini? Kulit majalah ini simbolik sahaja. Perlukah saya meletakkan gambar Empangan Bakun yang belum siap di kulit ini."

Walau bagaimanapun, syukurlah Puan Salina (Editor jurnal Malay Literature-isteri Lim Swee Tin) membantu memberikan penjelasan yang bernas. Agak-agak ada orang mahu mempertikaikan kulit majalah Time ini?
Kalau "orang putih" buat manalah ada orang mahu mempertikaikan.

Isu fokus ini dicadangkan oleh Arief Hakim Sani, bos PTS Publications. Ada sesiapa boleh berikan cadangan untuk isu fokus Dewan Kosmik tahun 2009?

Sebelah Abah: Pak Long, arwah Pak Ngah, Pak Uda, Pak Cik, Pak Itam, dan Busu.
Sebelah Emak: Arwah Mak Long, Mak Ngah, Pak Cik, dan Mak Usu.

Pada raya kali ini, saya akan bertanya gelaran pakcik makcik Isteri semasa di dalam kereta sebelum menziarahi rumah mereka. Isteri akan bercerita sekali latar belakang mereka. Itupun sukar mahu mengingat.

Dalam masyarakat Melayu, gelaran-gelaran seperti di atas sudah menjadi amalan/adat biasa. Semuanya menunjukkan rasa hormat orang Melayu terhadap mereka sama ada pemimpin, tokoh dan sesama saudara.

Namun gelaran seperti "Pak Itam" bukanlah membawa maksud kejian ataupun menghina. Kami (sepupu) memanggil adik Abah dengan gelaran Pak Itam (Azmi) kerana keadaan fizikalnya yang berkulit hitam. Mereka (sepupu) pula memanggil Emak dan Abah dengan gelaran "Mak Andak" "Pak Andak" yang sebenarnya merujuk pada keadaan fizikal bertubuh rendah. Walau bagaimanapun, tidak pula Emak dan Abah bertubuh rendah walaupun saya dan Abang lebih tinggi berbanding dengan mereka.

Gelaran lain yang mengacu pada keadaan fizikal:
  • Pak Utih: kerana berkulit putih
  • Ayah Anjang: kerana tubuhnya tinggi
  • Bah Mok: kerana tubuhnya gemuk
Yang paling penting, semua gelaran ini mencerminkan rasa hormat terhadap orang lain. Malah gelaran-gelaran ini menunjukkan rasa sopan dan kesantunan si penutur.

Orang tua Melayu mengingatkan, "Bercakap dengan orang, sopan santun jangan dibuang. Bercakap dengan saudara, lidah bergoyang dijaga pelihara. Bercakap dengan sahabat, perasaan orang hendaklah ingat. Bercakap pada yang ramai, menjaga lidah hendaklah pandai."

Sekurang-kurang orang Melayu tidak kurang ajar seperti orang Barat yang memanggil saudara mara dengan nama. Malah memanggil ibu bapa sendiri pun dengan nama mereka.

Saya, akan digelar Pak Long sekiranya bersama-sama keluarga isteri. Manakala Pak Ngah di rumah keluarga sendiri. Ini untuk akan datang... Insya-Allah.

Dipetik semasa syarahan Dr. Tenas Effendy di Syarahan Raja Ali Haji anjuran Persatuan Linguistik Malaysia dan DBP pada 10 Oktober 2008 di Dewan Seminar DBP.

Kak Maz (kakak ipar) yang sedang mengandung enam bulan dimasukkan ke wad kerana ada sedikit masalah di serviksnya. Abang Shahrul meminta saya menjaga kedai dobinya (di Shah Alam) sementara dia menjaga Kak Maz. Selepas waktu kerja di pejabat, sempatlah bersama-sama isteri menjadi "usahawan terjun". Seronok!

Namun penat juga. Tiba di rumah mentua (Subang Jaya), terus sahaja masuk ke bilik walaupun rasanya agak kurang adab.
Bukannya terus tidur, tetapi buka laptop untuk menonton Freedom Writers yang diberikan oleh Abang Zul. Terima kasih Abang Zul kerana bersusah-susah mendapatkan filem ini daripada Anas.

Mula-mula disangkakan watak murid-murid dilakonkan oleh kanak-kanak, tetapi rupa-rupanya pelajar-pelajar Wilson High School di Long Beach itu terdiri daripada gengster-gengster yang pernah membunuh dan melakukan rompakan. Malah pistol juga dibawa ke sekolah.
Filem berasaskan pengalaman sebenar Erin Gruwell, guru bahasa Inggeris tahun kedua lakonan Hilary Swank ini berjaya mengubah perangai pelajar-pelajarnya dengan mengingatkan semula peristiwa Holocaust, kononnya tindakan zalim Nazi kepada orang Yahudi. Erin menyamakan masalah kejahatan pelajarnya dengan kezaliman Nazi. Yang menjadi mangsa kejahatan pelajar dan kezaliman Nazi adalah orang lain. Itu cara psikologi pertama Erin.

Kedua, Erin mengetahui pelajar-pelajarnya ada masalah peribadi. Lalu Erin mencadangkan supaya pelajarnya menulis segala yang terbuku di dalam hati dalam jurnal yang diberikan percuma. Selepas menulis, disediakan sebuah almari untuk dibaca oleh Erin.

Kemudian semasa cuti sekolah, mereka diberikan novel Anne Frank yang dikatakan menjadi mangsa kezaliman Nazi. Atas keinsafan dan keterbukaan pelajar-pelajarnya meluahkan segala terpendam, Erin berjaya menyatukan semua pelajarnya daripada berpuak-puak.

Filem ini sudah lama. Saya agak ketinggalan menonton filem yang layak saya berikan 4/5 kerana dialog dan plot yang disampaikan cukup bermakna. Contohnya, majlis yang bertema "Toast for Change" bukan mudah diadaptasikan oleh pelajar-pelajar Malaysia yang kebanyakannya "pemalu". Namun saya mengetahui filem ini adalah propaganda Yahudi bagi mengingatkan semula peristiwa Holocaust dan menarik simpati dunia kepada Yahudi.

Filem yang diadaptasi daripada novel The Freedom Writers Diary: How a Teacher and 150 Teens Used Writing to Change Themselves and the World Around Them wajar ditonton oleh guru-guru di Malaysia. Lupakan kisah Holocaust yang langsung tidak boleh percayai, tetapi ambillah kaedah seorang guru mengajar dengan kreatif dan tidak mengabaikan nilai intelektual.

Kesannya, semua pelajar Erin memperoleh kejayaan cemerlang sehingga berjaya memasuki sekolah tinggi dan universiti. Yang penting, seusai menonton filem ini, saya terus mengucup pipi isteri yang sedang comel tidur kerana terkesan dengan curahan kasih sayang Erin terhadap pelajar-pelajarnya.

Pautan:

Assalamualaikum wbt.,

Didoakan agar tuan dan sidang redaksi Dewan Kosmik dalam keadaan sejahtera di bawah payungan rahmat Ilahi.

Pertamanya, saya rasa, masih belum terlewat untuk saya mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru' buat tuan dan pasangan. Saya doakan agar rumah tangga yang dibina akan kekal ke akhirat dan semoga tuan, suami isteri dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah atas inisiatif tuan untuk membuat sedikit ringkasan Dewan Kosmik (DK) setiap keluaran di blog peribadi tuan. Tidak saya nafikan, ringkasan inilah yang mendorong saya untuk mendapatkan DK September dan Oktober 2008.

Tuan yang dihormati,
Baru-baru ini, melalui blog peribadi tuan, ada mencatatkan perihal kehairanan pembaca DK yang merasakan tuan telah menyuntik roh Islami dalam setiap keluaran DK. Alhamdulillah, sebagai pembaca muslim, saya menyokong usaha tuan. Apatah lagi, kini, banyak penyelidikan telah dijalankan dan mendapati bahawa Islam dan sains tidak dapat dipisahkan.
Namun demikian, DK Oktober 2008 sedikit sebanyak mencalar imej Islami yang telah tuan terapkan. Foto yang digunakan untuk artikel "Berubat Dengan Mandi" agak mengganggu saya, seorang pembaca Muslimah.

Saya faham sekiranya apa yang berlaku adalah di luar kawalan tuan. Saya juga berharap agar tuan dapat melakukan sesuatu untuk memastikan agar imej Islami dalam DK terus terpelihara.

Apa pun, sekali lagi tahniah saya ucapkan atas kegigihan tuan untuk memastikan DK tampil dengan isu-isu menarik dan terkini pada setiap keluaran. Hanya Allah yang dapat membalas setiap titis keringat yang tuan curahkan.

Sekian.

Zaharahanum Kamarudin

Berborak semasa berziarah hari raya adalah saat paling mengasyikkan. Lagi-lagi kalau berborak dengan pakcik makcik yang banyak pengalaman. Topik-topik klise yang akan dibincangkan:
  • Cuaca (hujan ataupun tidak)
  • Keadaan jalan raya (sesak ataupun lengang)
  • Situasi politik negara (UMNO, PAS, PKR, DAP)
  • Ekonomi (minyak, ekonomi Amerika Syarikat)
  • Kisah haji (pakcik makcik yang akan menunaikannya)
  • Terbaharu: Lanun merampas kapal MISC
Namun saya paling terkesan apabila berborak dengan Pak Andak (pakcik Isteri) di Felda Tenggaroh, Mersing. Kasihan apabila mendengar dia menceritakan keperitan peneroka Felda yang masih lagi terpinggir. Katanya, "Rumah aku cantik kerana aku melakukan kerja-kerja luar (part-time). Kalau mengharapkan hasil tanaman, rumah macam itulah yang aku dapat," sambil meluncungkan mulutnya ke rumah usang di seberang rumahnya.

Lain pula apabila berborak dengan orang muda. Mai (sepupu) menceritakan filem baharu yang ditontonnya di HBO, Freedom Writers.

Apabila tiba di Kuala Lumpur, melilau saya mencari DVD filem itu, tetapi tiada di Subang Jaya. Di The Summit USJ, tempat saya mendapat rare film pun tiada. Kata Isteri, "Kita langganlah HBO nanti!"

Mai kata filem itu menceritakan pengalaman guru mendidik murid yang kurang pandai sehingga mereka berminat untuk menulis dalam bentuk surat. Akhirnya surat-surat anak-anak muridnya itu menggemparkan keadaan. Yang menarik, guru itu berjaya merangsang minat murid-muridnya membaca novel Anne Frank.

Siapa ada filem ini? Kalau tiada, saya nekad muat turun filem itu nanti!