Di DBP, Bahagian Majalah dikatakan bahagian yang paling sibuk, stres, dan pelbagai lagi gelaran dicopkan kepada bahagian ini.
Dalam masa setahun, dua sahabat bahagian ini meninggal dunia, Kak Norraya Mohd Yusof (Ketua Kerani) dan Kak Rohaya Mohd. Yusof (Penolong Editor Dewan Sastera). Mereka bukan adik beradik, kebetulan nama hampir sama.

Semasa ke Cherating inipun, Kak Zaiton Abu Samah (Editor Dewan Siswa) masih lagi sedang menjalani rawatan kemoterapi. Kak Rozninah Abd. Azib (Editor Dewan Sastera) pula baru sahaja dibenarkan keluar dari wad hospital.
Semasa di sana, diadakan majlis membaca Yassin. Semoga dengan berkat membaca ayat al-Quran itu, kami dikurniakan keberkatan kesihatan dari segi mental dan fizikal. Kami berdoa semoga ruh sahabat-sahabat berada dalam keadaan tenang.

Sekurang-kurangnya program ini dapat menguatkan persahabatan kami dan meningkatkan motivasi menjalankan tanggungjawab.

Sempena Sukan Olimpik Beijing 2008, Dewan Kosmik memilih isu sains sukan sebagai fokus bagi mengubah persepsi masyarakat Malaysia berkenaan pembangunan sukan.

Sains sukan meliputi pelbagai bidang antaranya biomekanik, psikologi, fisiologi, sosiologi, perubatan/ kesihatan, pemakanan dan lain-lain. Di Malaysia, sains sukan belum lagi menjadi amalan atlet sepenuhnya. Mungkin kerana kemudahan/peralatannya belum mencukupi ataupun kerana kurang kesedaran berkenaan kepentingannya.

Sebenarnya sains sukan sudah lama wujud, iaitu sejak zaman Yunani lagi. Galen (ahli fizik Yunani) ada menulis esei berkenaan kesihatan pemakanan, kekuatan otot, dan kesihatan senaman. Karyanya itu dibawa ke dunia Arab, diterjemahkan oleh Hunayn Ibn Ishaq. Kemudian Eropah menceduk ilmu dari dunia Arab menyebabkan ilmu Galen itu tersebar luas ke serata dunia.

Dalam masa sebulan ini, sudah tiga kali saya ke klinik gigi. Bukannya ada masalah gigi/sakit gigi, tetapi mahu memastikan gigi dalam keadaan baik. Mujur DBP ada klinik gigi panel. Percuma, selamat duit. Dua rawatan terawal, saya minta Dr. Ismail (di Daya Bumi) menampal gigi geraham, walaupun belum sakit (mencegah lebih baik). Pagi tadi pula, saya buat scaling gigi.

Scaling gigi bermaksud menghilangkan tartar atau karang gigi. Tidak sakit, cuma terasa ngilu kerana doktor menggunakan mesin seperti gerudi untuk mengasah/membuang karang gigi. Pada peringkat awal, karang gigi tidaklah terlalu berbahaya, tetapi sebaliknya sekiranya dibiarkan lama. Akibatnya, karang gigi akan menyebabkan radang gusi kerana toksin bakteria yang merangsang gusi secara berterusan. Kemudian, lama kelamaan gigi akan goyang dan tercabut.

Saya pun bertanya kepada Dr. Ismail, "Saya menggosok gigi tiga kali sehari, pun tetap ada. Mengapa doktor?" Antara butiran jawapannya, "Karang gigi terbentuk daripada sisa makanan yang melekat di permukaan gigi kerana tidak dibersihkan. Kemudian plak (sisa makanan) itu bercampur dengan air liur sehingga menjadi keras. Keadaan ini normal. Awak datang kembali enam bulan lagi."

Cara membersihkan karang gigi, boleh sahaja sekadar memberus gigi. Namun sekiranya sudah keras, hanya alat-alat scaller sahaja yang boleh membuangnya. Sebab itulah kita lihat dalam budaya Barat menggunakan dental floss sesudah makan untuk membersihkan celah-celah gigi yang sukar dicapai berus gigi.

99 Jelmaan Makhluk Halus Dengan Antropologi Melayu sudah terbit. Klik Utusan. Hasil karya Syed Abdullah Hussein Alattas (Uncle Seekers) ini memang sewajarnya dimiliki. Setebal 1066 halaman dan harganya RM999.99 memang dikatakan mahal. Apa sebabnya Uncle menjual bukunya dengan harga yang mahal? Tentulah gimik! Lupa pula hendak mencadangkan supaya beliau mencampakkan duit dari helikopter. hehe.

Sekiranya ditanya kepada pelakon-pelakon filem seram/hantu berkenaan pengalaman semasa berlakon, tentu jawapannya, "Saya mengalami itu dan ini"-peristiwa menyeramkan.

Saya tidak mengalami sebarang peristiwa pelik sepanjang menyunting manuskrip Uncle ini. Cuma saya tidak menyunting manuskrip ini sehingga lewat malam, dan hanya menyuntingnya di ruang tamu sahaja. Cuma sekiranya saya berada di pejabat sehingga lewat malam, terbayang-bayang kisah Uncle berkenaan peristiwa semasa beliau dan kumpulan PSI mengadakan "liputan" di kubur lama di hadapan DBP. Kawasan DBP dikelilingi dengan kubur lama, jirat Cina, kubur Muslim, Kristian dan India. Lengkap!

Saya mencadangkan buku beliau ini wajar dibeli oleh setiap perpustakaan awam dan institut pengajian. Mana-mana pusat pengajian yang menawarkan kursus sosiologi dan antropologi, inilah hasil kajian terperinci berkenaan kewujudan cerita-cerita hantu yang mungkin tahayul. Boleh dikategorikan sebagai buku ilmiah kerana buku ini lengkap dengan nota kaki dan bibliografi.

Mana lagi kita hendak dapatkan versi sebenar yang menerangkan berkenaan hantu raya, pocong, pelesit, toyol, hantu galah, hantu tindih dan bermacam-macam jenis hantu. Nah! Uncle berikan 99 kisah hantu. Saya sendiri sudah kenal banyak hantu. Rasa-rasanya selepas ini Mastika atau majalah-majalah sebegini tidak akan menceritakan kisah hantu lagi.

Saya sengaja menulis semua ruangan fokus Dewan Kosmik Ogos 2008 ini. Puas! Semuanya saya coret hasil wawancara dengan empat pegawai di Institut Sukan Negara (ISN).

Mungkin ada orang kata, fokus kali ini meniru Estidotmy yang pernah menerbitkan isu sains sukan pada Jun 2007. Biarkan. Sebenarnya saya sudah merancang untuk mengupas isu sains sukan semasa bertemu dengan seorang bekas atlet hoki negara. Beliau mencadangkan supaya dikupas isu sains sukan. Saya pula terus merangka untuk menerbitkan semasa Sukan Olimpik 2008. Kebetulan.

Sukan Malaysia perlu diterapkan dengan unsur-unsur sains sekiranya mahu maju. Era sukan kini bukan lagi bermain dengan teknikal dan taktikal sahaja, tetapi sains sudah menjadi senjata baharu atlet. Lihat sahaja atlet Amerika, China dan Australia. Realitikan Shaolin Soccer dalam sukan bola sepak, tidak mustahil pasukan Malaysia memasuki Piala Dunia.

Buku ini seperti My Story yang mengisahkan liku kehidupan Lim Goh Tong. Mula-mula mesti jatuh, kemudian bangkit semula. Biasanya buku autobiografi usahawan begitulah bentuknya. Kadang-kadang memang merangsang pembaca untuk bergiat dalam bidang perniagaan.

Isi utama yang saya peroleh daripada buku Skali Lagi ini ialah betapa perlunya kenalan dalam apa-apa bidang. haha. Individu yang menubuhkan Skali inipun memerlukan bantuan daripada beberapa pihak yang dikenalinya untuk membina empayar.

Payah jugalah mahu hidup dalam dunia sekiranya tiada kenalan (baca kronisme). Rasanya kronisme itu perlu, tetapi perlulah benar-benar layak.

Erotik biasanya dikaitkan dengan seks. Memang pun! Cerita-cerita seks atau erotik biasanya tidak digalakkan untuk dibaca. Mengapa? Sedangkan kita perlu membaca cara-cara melakukan seks dengan betul supaya rumah tangga kekal utuh. Contohnya, buku Permata Yang Hilang oleh Ibnu Yusuf. Buku-buku Dr. Ismail Tambi pun perlu dibaca untuk memahami anatomi seks manusia.

Dalam masa yang sama, membaca bahan-bahan erotik menjadikan kita tahu keadaan realiti yang tidak dapat diketahui di akhbar-akhbar semasa. Buku Jakarta Undercover misalnya banyak membongkar realiti kehidupan kota Jakarta yang wujudnya kegiatan yang rasanya membuatkan banyak orang tercengang (jika baru dapat tahu).

Wajarkah bahan-bahan erotik diharamkan? Buku intelektual pun banyak juga KDN haramkan. Akhirnya, baca sahaja Doraemon.

Siti Nurhaliza merdu suaranya. Katanya mewarisi daripada ibunya, Siti Salmah. Namun mengapa adik beradiknya yang lain seperti Ayie (abang), Siti Saida (kakak) dan Siti Saerah (adik) tidak sehebat Siti Nurhaliza?

Bukan sahaja hitam apabila diletakkan di dalam peti ais, malah pisang boleh berubah lebam apabila dibiarkan terlalu lama, atau terlalu masak walaupun tidak disentuh. Keadaan ini berubah sedemikian kerana etilina, hormon asli yang berperanan meranumkan buah itu tidak berhenti menghasilkan hormon.

Tiada cara untuk menghentikan hormon etilina, cuma boleh diperlahankan penghasilan hormon itu, iaitu dengan cara meletakkan pisang di tempat yang tidak sesejuk peti ais, tetapi lebih sejuk daripada suhu di dapur. Sekiranya diletakkan di dalam peti ais, sebatian polifenal yang menukarkan warna hitam pisang akan terhasil. Ini disebabkan suhu sejuk yang bukan suhu tropika pisang boleh membunuh sel permukaan pada kulit pisang.

Namun, keadaan pisang di sebalik kulit itu tetap elok walaupun kulitnya berubah hitam.

Cuba perhatikan cimpanzi atau monyet mengopek kulit pisang di zoo. Binatang ini mengopek kulit pisang berlawanan arah dengan cara kita mengopek.

Siapakah Eric Rotheim? Rasanya tidak banyak yang mengenalinya apalagi mengetahui hasil-hasil ciptaannya. Rotheim adalah jurutera dan pencipta inovasi (seperti Zulkifli Haron?), yang mereka bentuk tin aerosol kira-kira 75 tahun lalu. Walaupun kini pelbagai inovasi sudah dihasilkan, hasil kerja Rotheim (seperti lakaran di gambar atas) masih lagi ada dalam bentuk tin-tin aerosol pada masa kini.

Pada mulanya, ciptaan Rotheim ini tidak begitu diendahkan oleh mana-mana pihak (seperti Zulkifli Haron?). Namun tin aerosol itu mula mendapat perhatian pada Perang Dunia II, semasa tentera Amerika mahu memusnahkan pelbagai serangga yang mengganggu mereka. Pada masa kini, bentuk tin aerosol diperkembang dengan digunakan dalam bidang perubatan dan masakan.

Air kencing terdiri daripada 95 peratus air. Termasuk dalam kandungan air itu ialah garam-garam galian, urea dan asid urik. Air kencing ini juga mengandungi pigmen kuning dan urokrom (Pigmen kekuningan yang menyebabkan warna air kencing). Sebab itulah air kencing berwarna kekuning-kuningan.

Hari pertama saya lepak di kedainya, sudah banyak pelanggan. Alhamdulillah. Semoga Allah memberkati perniagaannya. Klik Abang untuk cerita selanjutnya.

Soalan:
Mengapakah makanan yang masuk ke mulut kita berwarna-warni, tetapi yang keluar hanya berwarna coklat? Ataupun kadangkala ada yang berwarna hitam, merah dan kuning. Tidak pernah pula tinja itu berwarna biru, jingga, kelabu dan sebagainya. Kalau yang "keluar" itu berwarna merah jambu, pasti terkejut orang yang sedang meneran.

Warna coklat itu terhasil di dalam perut (tali perut) semasa dalam perjalanannya keluar. Namun yang kita lihat di dalam mangkuk tandas itu bukan sahaja bahan makanan yang dihadamkan, tetapi turut terkandung darah! Kerana sel darah yang sudah digunakan perlu dipam keluar dari badan kita/binatang.

Sel-sel itu perlu terurai dahulu. Salah satu komponen semasa terurai ialah kimia yang dipanggil bilirubin. Apa warnanya? COKLAT!

Dewan Bahasa adalah majalah pertama yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Mula diterbitkan pada 1957, seusia dengan kemerdekaan negara. Majalah ini tidak pernah gagal diterbitkan oleh karyawan DBP sebagai inisiatif dan langkah memartabatkan bahasa Melayu.

Kini Puan Ritah Yahaya bertanggungjawab menerbitkan majalah yang rasanya tertua di Malaysia, dengan bantuan Nurhamizah Hashim. Walaupun majalah ini sudah "tua", Dewan Bahasa masih lagi berwarna satu kuras (16 halaman) sahaja, bakinya tetap berwarna hitam putih. Adakah ini menggambarkan ketidakseriusan sesetengah pihak dalam mengagungkan bahasa Melayu?

Lihatlah contoh artikel di atas. Halaman yang mempunyai tajuk artikel dan gambar Hisham Salmin itu berwarna hitam putih, manakala halaman yang tertera komik Dee itu berwarna.

Sahabat Tunang memaklumkan berkenaan kewujudan kedai buku maya yang benar-benar serupa dengan rak buku di kedai-kedai buku.

Zoomii.com baru sahaja dilancarkan oleh Chris Thiessen, pelajar Cambridge. Saya sedar fenomena ini sudah mula melanda Malaysia. Teringat kata-kata Kang Razzi dua tahun lalu, "Saya mahu menjual tiga buah buku sebulan pun payah." Namun kini rasanya sudah banyak kedai buku yang dikelolakan oleh anak tempatan antaranya BookCafe dan e-Kedai, pun sudah mendapat sambutan menggalakkan.

Kedai-kedai buku maya tempatan memang banyak menjual buku-buku penulis tempatan, sedikit penulis luar. Kerana buku-buku penulis luar biasanya dibeli melalui Amazon, Google Books, Chapters dan AbeBooks. Biasanya orang membeli buku di situ sudah tahu isi kandungan buku itu, kemudian terus cari, letakkan di shopping cart dan check out.

Thiessen mencipta laman sesawang yang membolehkan pembeli membeli buku seolah-olah berada di kedai buku. Bentuknya lebih kurang sama seperti Google Maps. Rak-rak yang disusun buku boleh diperbesar, dikecilkan atau pergi ke rak lain dengan menggunakan tetikus. Cuma Zoomii hanya memaparkan buku-buku bestseller.

Khabarnya ini projek kerjasama dengan Amazon.

Malunya apabila perut berbunyi. Malunya sama seperti terkentut sehingga orang lain terdengar bunyi dan terhidu baunya. Kalau di dalam lif, malunya tidak dapat digambarkan. Saya selalu berdoa semoga tidak berlaku keadaan ini semasa di dalam lif. Sudahlah pejabat di tingkat 20.

Bagi sesetengah tempat di luar negara, perut berbunyi bukanlah keadaan yang mengaibkan. Namun tidak di negara kita. Sekiranya kita mengetahui sebab perut berbunyi, mungkin persepsi kita dapat berubah.

Perut berbunyi atau berkeroncong adalah keadaan biasa dalam proses penghadaman. Keadaan ini berlaku apabila cecair makanan yang dihadam itu bergerak ke atas atau ke bawah di dalam saluran penghadaman (baca: usus). Bunyi itu terhasil apabila otot perut mengecut dan menolak kandungan perut melalui satu injap, iaitu pilorus.

Bunyi ini biasanya akan kerap berlaku sekiranya bahan makanan tidak masuk untuk beberapa jam kemudian. Dalam istilah bahasa Inggeris, keadaan ini dikenal sebagai borborygmus.

Sekiranya perut berbunyi sehingga ada orang tergelak, katakan sahaja, "Sudah tiba masanya borborygmus ini diisikan dengan makanan." Tentu orang itu terus diam.

Semasa bersama-sama Abang menyewa di USJ, cuma ada satu mesin basuh milik Rahmat. Itupun selalu tidak berfungsi. Kalau berfungsi pun, kadang-kadang sedang digunakan oleh Hisham ataupun Syahrul. Kalau tidak berfungsi, baju memang tinggal di dalam mesin dalam keadaan basah. Bau hapak pun menjelma.

Selalu jugalah baju-baju dihantar ke kedai dobi. Biasanya dalam 5 kilogram sebab baju yang disimpan untuk stok seminggu.

Walau bagaimanapun, sejak tinggal di Bandar Tun Hussein Onn, saya sudah memiliki mesin basuh yang tidak (atau belum) wujud masalah mesin rosak atau berebut-rebut untuk membasuh. Sudah lama tidak menghantar baju ke kedai dobi. Rindu juga bau baju wangi yang biasanya hanya baju basuhan kedai dobi memiliki bau itu. Direndam dengan Softlan pun tidak serupa bau dari kedai dobi.

Rasanya tidak lama lagi saya akan mendapat balik bau baju itu kerana Abang akan membuka kedai dobinya sendiri. Sudah dimaklumkan awal-awal, "Aku hendak menghantar tali leher, percuma sudahlah. Aku kan adik." Haha. Kedainya tidak jauh dari rumahnya, di Seksyen 7 Shah Alam, sebelah kedai nasi ayam Linda Onn.

Pembukaannya pada 6 Julai ini. Kalau tidak silap, 7 Julai adalah tarikh perkahwinannya dengan Kak Maz. Sengaja rasanya dipilih tarikh itu sebagai tanda cinta mereka kot. Hoho! Emak dan abah akan datang. Sebagai perasmi rasanya.

Klik blog Abang.

Fokus Utama Dewan Kosmik Julai 2008 di halaman 6-8. Saya menulis bersama Puan Norizan Muslim (Karyawan paling lama di bahagian majalah).

Halaman 9-12 di Dewan Kosmik Julai 2008.