Cuti sekolah sudah bermula. Pelajar sekolah gembira kerana dapat berehat, datuk nenek gembira kerana cucu pulang ke kampung, ibu bapa gembira kerana dapat turut bercuti bersama anak-anak. Orang yang bekerja pun turut gembira kerana jalan raya tidak sesak!

Setiap hari pergi dan balik bekerja tidak sah sekiranya tidak menempuh kesesakan lalu lintas. Bayangkanlah sekiranya:

  • Jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Sedangkan waktu bermula bekerja jam 8.30 pagi. Untuk tiba ke pejabat memakan masa lagi 45 minit.
Dalam hati bawa ke mulut sudah menyumpah seranah. Kalau dahulu bolehlah dimaki Tuan Samy Vellu. Sekarang tidak sampai hati pula mahu mencarut kepada Tuan Shaziman. Apa yang diborakkan Faizal dan Farah di corong radio pun langsung tidak menarik. Maka terbayanglah alasan yang mahu dijawab di surat lewat hadir ataupun jawapan bernas kepada bos.

  • Perut sakit atau rasa mahu membuang air kecil.
Peluh menitik berjurai-jurai walaupun penghawa dingin sudah ditolak ke tahap maksimum. Kaki yang dikepit rapat dan tangan pun sudah sejuk. Kata-kata si isteri mahu menenangkan perasaan pun dibalas dengan, "DIAMLAH!" Terbayanglah di fikiran, alangkah indahnya kalau berada sahaja di rumah. Pada masa itu, tandas yang hanyir di stesen minyak pun diibaratkan sama di hotel lima bintang.

  • Janji temu.
Dirasakan boleh tiba di destinasi yang dijanjikan kurang setengah jam. Tiba-tiba berlaku kesesakan yang menyebabkan satu jam pun tidak sempat tiba. Wah orang yang dijanjikan pula sudah telefon bertalu-talu, siap SMS lagi. Kalau kawan tidak mengapa, bagaimana sekiranya orang itu adalah pelanggan (client)?

  • Sekatan jalan polis.
Yang ini memang membuatkan setiap orang marah lagi bengang. Tidak tahulah apa relevannya Tuan Polis mengadakan sekatan di jalan raya yang terkenal dengan kesesakan. Bayangkanlah sekiranya tiga lorong disekat menjadi satu lorong. Apabila tiba giliran kita, tidak pula diperiksa secara rapi. Maki hamun dan segala omelan mulut dihamburkan kepada mereka. Yang ini hanya dilakukan di dalam kereta yang tertutup rapat cerminnya.

  • Kecelakaan.
Juga disebut kemalangan. Sebelum tiba di tempat kejadian, semua di dalam kereta membuat spekulasi. Ada yang kata ianya berlaku kerana sekatan polis. Telahan lain pula seperti lori/kereta rosak. Yang biasanya dipendapatkan kerana kemalangan. Juga tidak kurang yang mengeluh kerana kesesakan ini. Namun sekiranya benar disebabkan kemalangan, si penumpang perempuan pasti terus terdiam. Manakala si penumpang lelaki tentu terus berspekulasi punca berlakunya kemalangan.

Sebenarnya dalam perjalanan ke Shah Alam malam tadi, berlaku kemalangan meragut dua jiwa di Lebuh raya Persekutuan. Nampak dua mayat si penunggang motosikal maut dilanggar kereta. Jelas ia salah penunggang motosikal, kerana tidak menggunakan lorong khas motosikal. Si isteri terus trauma dan terdiam.

Yang penting, seminggu ini rasa sedikit aman dalam perjalanan pergi dan pulang bekerja. Namun alangkah indahnya sekiranya keadaan ini berterusan...

1. Dapat belajar selok-belok berkenaan kamera dan fotografi.

2. Belajar posing. Dulu pernah lari kerana tidak mahu bergambar kelas sekolah.

3. Belajar bergaul dengan pakcik makcik.

4. Hati teruja membelinya.


5. Hari ini sahaja memberikan RM300 untuk meningkatkan ekonomi Langkawi. Khabarnya, Kerajaan Pusat yang memperoleh cukai.

6. Sambung Mesyuarat Pegawai Penghubung KPM pula. Tapi, tengah hari esok "cabut"! Banyak kerja di pejabat.

Hasil daripada tugasan semalam, gambar-gambar yang kami rakamkan di Pekan Kuah memperoleh tempat ketiga.

Ted Adnan suka dengan gambar di bawah:

Hmm penat. Layan air kelapa dululah.

Slurp~~~

Laa rupa-rupanya di tepi longkang!

Saya yang amatur ini merasakan semua gambar ini biasa sahaja. Namun Ted menghuraikan gambar pertama itu mempunyai titik tumpu mata kepada si pemakai baju merah. Latarnya pula hijau sinonim dengan buah kelapa.

Gambar kedua biasa sahaja. Cadangannya, sebaiknya diletakkan dua atau tiga biji kelapa lagi bagi menjadikan gambar tidak klise selain menceritakan "kuatnya minum!"

Ironinya, gambar ketiga yang wide angle membawa mata selari dengan penghadang longkang lurus sehingga ke hulu longkang.

Hadiahnya: coklat dan pen bercap "Langkawi".

Selepas diberikan beberapa teori berkenaan penggunaan kamera, kami diberikan peluang ke Pekan Kuah untuk "mengamalkan" segala yang dipelajari.

Kemudian gambar itu dibentangkan, siap dengan jalan ceritanya.














Saya tidak tahu apa-apa berkenaan fotografi. Syukurlah dihantar secara percuma ke Bengkel Fotografi anjuran KPM. Kamera dipinjam daripada Firdaus, Sony Alpha A350. Kata isteri, "Saya rasa selepas awak balik daripada kursus itu, mesti awak akan beli kamera DSLR."

Dia menggelarkan dirinya Ted Adnan dari DD Media Consult Sdn. Bhd. Rasanya itu syarikatnya untuk membolehkannya memperoleh projek kerajaan. Laman sesawangnya Ted Adnan, blognya pula di sini. Cara P&Pnya di dalam bengkel memang menarik. Yang saya tahu, dia graduan UIA dalam jurusan perakaunan. Banggalah melihat senior yang bijak mencari peluang bisnes.

Semua yang hadir datangnya dari bahagian-bahagian di KPM, saya seorang sahaja agensi di bawah KPM. Mula-mula duduk sebilik dengan Haji Engliman dari Bahagian Psikologi dan Kaunseling. Sempatlah dia belanja makan tengah hari dan solat jemaah Maghrib di dalam bilik. Rupa-rupanya dia DG48 yang layak untuk menginap seorang di hotel. Maka secara automatik, saya pun layak memperoleh bilik untuk seorang selepas dia mendapat bilik lain!:)

Dalam ramai-ramai, ada seorang peserta yang rupa-rupanya cikgu saya di SRK Saint Joseph dulu, Cikgu Razif. Dia kini di Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh/Kluster yang dulunya membawa saya aktif dalam sukan hoki, kriket, dan olahraga. Jangan terperanjat ada beberapa pelajarnya kini menjadi atlet negara, antaranya Megat Azrafiq (hoki), Indra Putra Mahyudin (bola sepak), dan beberapa pemain kriket negara.

Sony Alpha A350 yang dibawa sangat disyorkan untuk dimiliki. Itu kata senior saya yang mengajar bengkel di hadapan. Sebabnya ada beberapa fungsi yang benar-benar memudahkan pengguna. Maka adalah peserta wanita bertanya, "Berapa ribu awak beli?" Haha. "Opis punya," malas 'nak jawab panjang-panjang.

Kamera di Langkawi murah harganya. Bebas cukai~~~

Hari ini saya ke Langkawi bagi menghadiri dua program:
  1. Bengkel Fotografi Untuk Ahli Sidang Redaksi Buletin dan Titian Kementerian Pelajaran Malaysia (25-27 Mei 2009).
  2. Mesyuarat Pegawai Penghubung Kementerian Pelajaran Malaysia (27-29 Mei 2009).
Isteri pula sudah ke Pulau Pangkor Sabtu lalu bagi menghadiri Persidangan Penasihat Undang-Undang sehingga Selasa ini. Kemudian dia terus ke Cherating untuk mesyuarat dengan Kementerian Pertahanan.

Inilah kali pertama berjauhan agak lama!huhu.
Teringat filem Sepi. Haha

Saya sangat suka dengan ukiran kayu khat ayat Kursi ini. Sebelum ini, saya hanya dapat menyentuh ukiran tulisan khat di masjid, dan setiap kali ke Pasar Seni, saya akan menyentuh ukiran kayu di "Lorong Melayu". Kini alhamdulillah saya sudah memilikinya sejurus selepas mendapat cek bayaran honorarium menulis di Dewan Kosmik. :)

Selanjutnya cerita berkenaan rumah saya di blog Isteri. Klik di sini.





YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dari kiri: Dato' Alimuddin (KP Pelajaran), Tan Sri Zulkurnain (KSU KPM), YAB Tan Sri Muhyiddin, Dato' Wan Hashim Wan Teh (Pengerusi ITNM), Encik Mohd Khair (Bos ITNM) semasa gimik pelancaran Koleksi Buku Terjemahan Siri Sastera Malaysia.

Tarikh: 19 Mei 2009
Masa: 3.00 petang
Tempat: Hotel Shangri-La Putrajaya

Di semua akhbar hari ini menyatakan pengumuman "Kota Buku" oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berucap semalam.

Manakala di blog beberapa sasterawan yang hadir semalam menyambut baik penganjuran majlis semalam. Cuma hampir kebanyakannya inkuiri majlis semalam dengan tanggungjawab DBP. Ujar mereka, majlis tersebut sepatutnya dianjurkan oleh DBP. Malah ada juga yang mempertikaikan kewibawaan DBP dalam memartabatkan sastera kebangsaan.

Bukanlah ITNM bertujuan mengambil alih tugas DBP. ITNM tetap memerlukan kerjasama daripada DBP dalam segala hal. Malah pelancaran 28 buku terjemahan sastera semalam kebanyakannya daripada hak cipta DBP. Dalam kata yang mudah, ITNM dan DBP saling lengkap melengkapi.

Syukur majlis semalam berlangsung dengan damai. Para pejuang bahasa dan sastera pun sempat berbisik dari hati ke hati dengan TPM, terutamanya berkenaan isu PPSMI dan sastera. Paling manis, para sasterawan dapat berhimpun setelah kian lama mereka tidak dapat bertemu.

Berkenaan penubuhan Kota Buku, saya tidak langsung skeptikal dengan pengumuman tersebut. Malah tidak menganggap ia sebagai "gula-gula" BN. Khabarnya, lokasi yang dipilih pun sangat strategik, iaitu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Bak kata Mr. Law (Presiden MABOPA), "Di KL, apa-apa sahaja yang dijual pasti laris!" yang merujuk kepada kekurangan pengunjung semasa Pesta Buku Terengganu baru-baru ini.

Gambar lain akan menyusul.

Gambar di atas berlangsung pada 18 Mei 2008, di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, yang menyaksikan empat Sasterawan Negara dan hampir semua pemenang S.E.A. Write Award duduk berbincang dengan pengurusan ITNM untuk menterjemahkan karya mereka ke bahasa asing.

Genap setahun kemudian, iaitu pada 19 Mei 2009 ini jam 2.15 petang, di Hotel Shangri-La Putrajaya, melakar satu lagi sejarah kerana mereka berhimpun sekali lagi untuk duduk berbincang bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkenaan masa hadapan sastera Malaysia.

Bukan itu sahaja, selepas setahun berbincang dan berusaha mendapatkan hak cipta karya mereka, sebahagian karya mereka sudah diterjemahkan dan diterbitkan. Tan Sri Muhyiddin akan melancarkan buku-buku mereka sebelum meneroka ke pasaran dunia.

Saya pernah menulis di sini menyatakan buku penulis Jepun memperoleh Hadiah Nobel selepas diterjemahkan. Maka tidak mustahil terdapat salah satu buku sastera terjemahan ITNM ini akan dinilai oleh panel penilai Hadiah Nobel kategori sastera suatu hari nanti.

Semalam saya diminta menjadi panel penemuduga menggantikan Puan Bos yang sangat sibuk menguruskan persiapan satu majlis tidak lama lagi ini.

1. Ada lebih kurang 15 calon yang hadir untuk mengisi tiga kekosongan jawatan. Rata-rata yang hadir sebaya dengan Nur, adik saya yang berumur 25 tahun. Sebelum bermulanya sesi temuduga, awal-awal saya menyatakan kepada Kak Ijah (sumber manusia), "Saya risau kalau berat sebelah dalam pemberian markah."

2. Saya lahir pada bulan Mac. Kata orang, individu yang lahir pada bulan tersebut sangat sensitif. Saya tidak menafikan hal itu. Oleh kerana itu, saya sangat kasihan pada dua calon yang menggunakan sentimen "keluarga sakit" dalam jawapan balas temuduga. Isteri kata, "Berlakon rasanya." Seorang calon lelaki, "Saya berhenti kerja di tempat lama kerana mahu menjaga ayah yang sakit." Apabila ditanya khabar ayahnya, jawabnya, "Ayah saya sudah meninggal dunia." Seorang calon perempuan pun sama menyatakan berhenti kerja di tempat lama kerana mahu menjaga emaknya yang sakit di Melaka.

3. Sukar untuk menerima hakikat ada calon yang menamatkan sesi temuduga dengan ucapan, "Terima kasih abang!" Abang? Wah sangatlah tidak sesuai memanggil panel penemuduga dengan gelaran itu. Saya sedarlah diri ini masih lagi muda, tetapi tidak perlulah memuji saya sedemikian dalam sesi temuduga! haha.

4. Saya juga tidak dapat menerima hakikat ada calon yang memasuki bilik temuduga tanpa membawa fail sijil asal. "Mana sijil?" Barulah dia tersedar dan keluar mendapatkan sijil di luar bilik. Hendak dikatakan terlalu gugup, tidaklah diterima akal kerana dia berpengalaman bekerja selama lapan tahun di bank.

5. Ada seorang calon yang baru lepas dibedah pada sebelah pagi sebelum temuduga! Katanya ada masalah semasa melahirkan anak. Jelas kelihatan dia menahan kesakitan melalui pergerakan jalan dan terdapat tiub salur darah yang masih melekat di tangannya. Berlakon? Tidak rasanya sebab saya tahu tempat kerjanya. Memang sah dia baru sahaja bersalin.

6. Isu masalah bahasa Inggeris memang ketara dalam kalangan calon yang hadir ke sesi temuduga. Namun ada juga yang terlalu hebat bertutur bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bukan keutamaan untuk diterima, tetapi ITNM yang sentiasa berhadapan dengan klien asing memang perlu pertuturan dalam bahasa Inggeris.

7. Selepas setiap calon keluar dari pintu bilik, kami bertiga terus berbincang sama ada calon itu perlu dipertimbangkan ataupun terus ditolak. Rasanya setiap calon dapat mengagak sama ada dirinya layak ataupun tidak. Saya memahami rasa kecewa sekiranya mereka merasakan diri mereka tidak layak mengisi jawatan di ITNM.

8. Malamnya selepas solat Maghrib, saya, Khalil, Ridwan, dan Saiful bercerita berkenaan pengalaman bekerja. Saya cuma pernah bertukar tiga tempat kerja. Saiful pernah membayar RM600 kerana berhenti kerja sebelum tamat notis selama dua bulan selain pernah gagal dalam bisnes sendiri. Ridwan pernah menjadi pelayan makanan hotel dan katering yang dibayar hanya cukup sekadar membeli majalah Pedang Setiawan. Manakala Khalil yang paling tua sudah tentu paling banyak bertukar kerja. Pengalaman kerjanya yang paling teruk adalah kerja membuat rumah/bangunan. Pernah berdiri di bawah pengetuk batang cerucuk!

9. Selepas sesi temuduga itu, saya sangat insaf melihat kesukaran untuk memperoleh rezeki. Saya dan Isteri saling menasihati apabila kadangkala mengeluh kepenatan bekerja, "Orang lain yang tidak mempunyai kerja lebih malang berbanding kita yang ada kerja yang baik." Memang benar kata Bos Besar saya, "Lebih baik sibuk bekerja daripada sibuk mencari kerja."

10. Saya mengakui Abah bertukar gelap kulitnya kerana banyak berada di lautan, berpanas dan berhujan demi menjalankan tugas Kastam. Ya Allah bersyukurnya dapat bekerja tanpa perlu berpanas apatah lagi berhujan. Siap memakai jaket pula apabila kesejukan dengan penghawa dingin.

Fatimah Bte Ahmad, emak saya.

Dia sanggup menanti di luar kelas Tadika Bukit Chagar semasa saya masih lagi kekok dengan kawan-kawan baharu. Malah sanggup juga dia meluangkan masa yang lama berada di SRK Saint Joseph semasa saya tidak serasi dengan sistem pembelajaran formal di sekolah itu, walaupun dalam masa yang sama dia perlu menguruskan rumah tangga.

Sejak saya mengenal erti kehidupan dunia, emak tidak lagi bekerja. Walaupun gaji abah sehingga bersara pun tidak dapat mengatasi gaji saya kini, emak dan abah tetap berusaha membesarkan tiga orang anaknya sehingga saya dan abang berjaya ke universiti, manakala Nur dapat menghabiskan pengajian diploma.

Sungguhpun begitu, tidak pernah emak dan abah mengeluh sekiranya saya menelefon untuk meminta wang perbelanjaan yang bukan sedikit jumlahnya. Sehingga kini saya merasa pelik bagaimana emak dan abah menguruskan kewangan untuk membesarkan kami bertiga. Apabila saya membelek balik slip gaji abah yang disimpan kemas di dalam laci almari, menitis air mata melihat jumlah pendapatan bulanannya.

Mungkin kesunyian dek kerana anak-anaknya pergi merantau untuk belajar dan bekerja, emak mengamalkan bangun seawal empat pagi menunaikan qiyamullail, kemudian memasak nasi lemak dan mengadun kuih untuk dijual di gerai Makcik Kiah. Selain itu, emak tidak segan silu menjaga Faiz dan adik-adiknya; Firdaus dan Fatin, dan juga Luqman dan adik-adiknya; Maisarah dan Irfan. Alhamdulillah berkat semua kerja sambilan itu, emak dapat menunaikan dua kali ibadah haji dan mengerjakan umrah sebanyak tiga kali.

Emak yang saya kenali sangat memahami apa sahaja perilaku dan keputusan anak-anaknya. Dalam hidup saya, dua keputusan besar yang saya lakukan disokong penuh oleh emak; kerjaya dan perkahwinan. Emak tidak membantah saya "lari" daripada kursus ijazah malah menyokong penuh apa yang kini saya lakukan. Emak juga tidak membantah keputusan saya untuk menikahi Fadhilah walaupun pada masa itu dia sangat sibuk dengan urusan ke Mekah.

Pernah sekali emak menelefon sekolah membantah penyertaan aktif saya dalam beberapa persatuan. Emak meminta Ustazah Khamsah menghadkan penglibatan saya supaya dapat diberikan fokus kepada pelajaran.

Emak juga seorang yang sangat memendam rasa. Tidak pernah mengharapkan sesuatu yang lebih daripada anak-anaknya. Selalulah semasa kecil dahulu saya tidak mahu ke kedai untuk membeli barang, akhirnya emak sendiri yang pergi membeli. Sehingga kini pun, saya akan bertanya dahulu sebelum pulang ke Johor, "Emak mahu kirim apa-apa?" Jawapan biasa, "Tak ada apa-apa." Namun kalau dibawa pulang tudung ataupun sebarang cenderahati, gembiranya sangat terpancar melalui riak wajahnya.

Kini emak berumur 57 tahun. Abah pula setahun lebih usia daripada emak. Teringat betapa sukarnya emak berulang alik ke Muar menjaga arwah atuk semasa akhir hayatnya. Apabila terfikir hal ini, saya tidak membayangkan akan kemampuan saya menjaga mereka pada masa akan datang. Yang terdaya kini, setiap minggu menziarah ibu bapa mentua di Subang, dan setiap bulan pulang ke Johor. Terfikir juga suatu hari nanti membawa emak dan abah tinggal di Kuala Lumpur ini, dan selalu juga menyuarakan hal itu kepada mereka. Biasanya emak membalas, "Bila lagi nak balik sini?"

Muka emak kelihatan serba salah apabila disarungkan jubah semasa konvokesyen saya. Namun saya puas melihat dia memakai jubah itu. Seolah-olah memberikan dia kegembiraan membesarkan saya selama ini.

Ada orang tidak suka membaca buku terjemahan, kerana dikatakan tidak betul laras bahasanya. Namun kadangkala mereka terpaksa juga bergantung kepada sari kata filem sekiranya langsung tidak memahami dialog pelakon Hindustan itu. Sari kata juga merupakan terjemahan.

Ada juga orang tidak suka membaca buku terjemahan ke bahasa Melayu, kerana dikatakan memeningkan kepalanya. Namun suka pula orang itu membaca buku bahasa Indonesia yang jelas banyak tidak difahami beberapa perkataan. Malah buku yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia yang rata-rata banyak lagi perkataan bahasa Inggeris pun banyak diborong sekiranya ke Indonesia.

Hakikatnya, tidak semua perkataan bahasa Inggeris mahupun bahasa asing yang lain dapat kita fahami. Kita sangat memerlukan bantuan kepada penterjemahan. OKU (pekak@bisu) pun memerlukan jurubahasa isyarat bagi menyampaikan maksud kata-kata orang normal.

Maka apakah makna "terjemahan" kepada diri anda?

... Maka dengan alasan itu jugalah kami sempat "putus" untuk tiga tahun lamanya!

Kami "bertaut" semula selepas tamat pengajian. Mungkin sebab sudah jodoh.Alhamdulillah, tempoh 'perpisahan' itu menjadikan kami berdua, manusia yang 'baru',haha!More respect and thoughtful!


Selanjutnya di blog
Isteri.


Semasa diwawancara oleh Ally Iskandar di Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 pada 23 Mac 2009.


Di Buletin Utama TV3 pada 22 Mac 2009.

Malam tadi, buat pertama kalinya Broadband Celcom saya di rumah mendapat liputan HSDPA. Kadangkala ke 3G. Tidak lama kemudian ke EDGE dengan berkelip-kelip warna hijau ala-ala lampu dada Ultraman di modem broadband itu. Namun boleh lagilah melayari beberapa laman web daripada beroperasi tidak ubah seperti dial up sebelum ini.

Semuanya kerana saya membuat aduan melalui e-mel kepada careline@celcom.com.my atas saranan Mat Rock (Irwan Effendy).

Pagi ini dapat respons e-mel daripada mereka:

Dear Mr Mohd Khairulanuar

Thank you for your e-mail.


Firstly, we wish to express our regrets on the service experienced by
you regarding broadband service. On that note, we would appreciate if you could kindly provide the following details for our next course of action:

1) Your Celcom mobile / data package number - 019-217 8204

2) Device/PDA/Notebook/PC / Phone Brand & Model (Type of Datacard)
3) Your Operating System (Leopard/Tiger/Windows/XP/Vista -etc)
4) Web browser used to surf internet (Mozilla/IE/Netscape/Opera -etc)
5) Time period (the start date of the problem)
6) Full address of the location during the problem
7) Signal bar on your device (laptop/note book screen or on your mobile phone)
8) Error appeared when disconnected
9) Alternative contact number

We regret the inconvenience caused pending the settlement and we sincerely appeal for your kind understanding in this circumstance.

Saya menggunakan pakej pejabat dengan bayaran RM90 daripada RM98 harga di pasaran. Celcom ada menawarkan pakej lebih murah dengan kontrak tidak boleh menamatkan perkhidmatan selama 24 bulan. Hakikatnya yang bayaran RM90/RM98 pun ada kontrak 12 bulan. Sekiranya mahu ditamatkan, perlulah bayar RM150.

Hah tidak semena-mena saya menaikkan suara kepada "awek" di Celcom 1111! Semuanya tiada dimaklumkan dalam kontrak.

Tetapi saya tidaklah akan marah sekiranya Celcom Broadband di rumah boleh mendapat liputan HSDPA sepanjang masa:)

Di Utusan Malaysia pada hari ini:
  • Ulasan buku Keberanian Menggapai Harapan yang ditulis oleh Mohd Khuzairi Ismail. Ada gambar Nana!:)
  • Rencana berkenaan program ITNM di sisipan jawi Utusan Melayu yang ditulis oleh Sholina Osman.

Saya diajukan pelbagai pertanyaan oleh pelanggan ITNM semasa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang baru sahaja berlalu. Malah soalan yang sama diberikan kepada pegawai ITNM yang lain. Soalan yang kerap diajukan adalah, "Bagaimana mahu menjadi penterjemah?"

Rata-rata yang bertanyakan soalan ini adalah pelajar yang akan tamat pengajian di universiti, malah ada seorang wanita baru sahaja bankrap perniagaan yang mahu menjadi penterjemah. Daripada maksud pertanyaan mereka, saya dapat mengandaikan profesion penterjemah ini masih lagi dilabelkan sebagai "kelas kedua".

Mujur ada seorang wanita berbangsa Cina yang memang sepenuh hati mahu menjadi penterjemah sepenuh masa. Saya melihat kesungguhan hatinya mahu menjadi penterjemah kerana beliau membelanjakan hampir RM500 membeli buku terbitan ITNM. Beliau menghabiskan masa lebih kurang sejam untuk mengisi borang peraduan "Beli Buku ITNM & Menangi Hadiah Bernilai RM100,000". Wanita Cina tersebut akan memasuki kursus penterjemahan intensif ITNM dalam masa terdekat ini.

Saya tidak menafikan banyak orang beranggapan bidang penterjemahan bukan merupakan kerjaya yang profesional. Telahan mereka, sesiapa sahaja boleh menjadi penterjemah asalkan mempunyai kemahiran bahasa yang baik. Berbeza dengan bidang guaman dan perakaunan yang memerlukan sijil tauliah bagi membolehkan individu menjalankan praktik sebagai peguam dan akauntan; Certificate In Legal Practice (CLP) untuk peguam, dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) untuk akauntan.

Hakikatnya, terjemahan sebenarnya bidang yang profesional dan dilakukan oleh mereka yang sangat profesional. Contohnya, buku Hikayat Hang Tuah, judul terjemahan The Epic of Hang Tuah (sedang dalam proses penerbitan) diterjemahkan oleh Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh. Begitu juga dengan karya Faisal Tehrani, Bedar Sukma Bisu diterjemahkan oleh Datuk Dr. Zawiyah Baba (mantan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia) dengan judul The Prau With The Silent Soul.

ITNM sedang berusaha meningkatkan profesionalisme dalam bidang penterjemahan. Antara langkah awal, penterjemah yang berdaftar dengan ITNM perlu mempunyai sijil terjemahan ITNM.

Boleh sahaja buat duit dengan menterjemah.