Tahniah kepada pereka lagu "Awan Nano" atas pemilihan sebagai penerima Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL).

Banyak lagi pertandingan atau peraduan yang membabitkan muzik termasuklah filem bagi mencari yang terbaik antara yang terbaik. Apabila yang "paling terbaik" itu dikenal pasti, ia akan memberikan impak positif yang besar. Namun tidak kurang juga memberikan kesan sebaliknya. Bagaimanapun, tujuan semua peraduan ini hanyalah untuk memberikan penghargaan kepada yang terbaik.

Begitu jugalah dengan pertandingan atau peraduan atau sayembara penulisan. Orang kata, perkara yang melibatkan kreatif penulisan ini tidak boleh dipertandingkan kerana kriteria pemarkahannya sangat subjektif. Malah ada juga suara yang mempertikaikan jurinya atau hakim yang tidak pakar. Masakan tidak, manalah layak orang yang tidak dinobatkan Sasterawan Negara menilai karya seorang Sasterawan Negara yang menyertai pertandingan penulisan.

Ada juga betulnya. Tapi buat apalah dirumitkan kata-kata orang itu. Dalam kes "Awan Nano", manalah layak ketua juri AJL26, Azmeer, menilai karya M. Nasir yang digelar Sifu!

Sekurang-kurangnya dengan menyertai pertandingan penulisan, penulis akan berusaha untuk giat menulis yang terbaik untuk memenangi hadiah yang ditawarkan. Jarang-jarang penulis yang menyertai pertandingan akan menghantar karya yang "cincai", kerana mereka sedar cabaran pesaing pastinya bukan calang-calang.

Mereka juga sedar, jika mereka menghantar penyertaan yang "asal boleh" itu, akhirnya akan dibakulsampahkan. Sudahlah tidak diterbitkan, manuskrip pun tidak pasti dikembalikan semula. Adalah lebih baik jika dihasilkan karya tersebut dengan sepenuh hati. Jika tidak menang pun, mungkin berpeluang untuk diterbitkan. Mungkin puisi W.S. Merwin boleh difikir-fikirkan:

I asked him how do I know if I’m any good and he said you don’t. You never know. You’ll die without knowing. If you have to know, don’t write.”

Namun satu perkara yang paling ditakuti kalau menyertai pertandingan menulis ini, iaitu memperoleh surat "...dukacita dimaklumkan bahawa anda GAGAL dalam pertandingan ini". Tipulah jika tidak ada manusia normal yang tidak terasa hati apabila karyanya gagal dalam pertandingan. Lebih-lebih lagi penulis muda yang jiwanya sentiasa mahu menang.


Disebabkan itulah, Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian dikhususkan untuk penulis yang berusia bawah 45 tahun.

Positif ataupun negatif pertandingan penulisan ini, penulis perlu senantiasa bermotivasi dalam bidang ini kerana "penulisan adalah perniagaan" bak moto Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani.

Ya, saya tidak bergebang kosong tentang perkara ini. Cuba bayangkan kalau kita menulis sebuah novel, ia berkemungkinan diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Mungkin juga jika "rezeki terpijak", berpeluang juga diterjemahkan ke beratus-ratus bahasa dunia. Itu baru sahaja prospek terjemahan, belum lagi undangan ceramah ataupun menulis di media-media lain.

Namun pokok pangkalnya, penulis sendiri perlu bertindak sebagai "usahawan". Kalau mendapat surat gagal pun, tenang-tenang sahajalah kerana situasi ini dihadapi semua orang. Truman Capote yang pernah bekerja di The New Yorker pun karyanya pernah ditolak majikannya. Malah beliau pernah dipecat hanya kerana kritikannya terhadap puisi orang lain. Akhirnya, beliau diangkat sebagai salah seorang penulis Amerika yang terkenal.

Januari 2012 - Genap tiga tahun saya bertugas di Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang dulunya dikenal sebagai ITNM. Alhamdulilah karier dalam kehidupan saya diberikan jalan mudah oleh Allah.

Setahun genap editor buku di PTS Publications, genap dua tahun editor majalah di DBP. Kini genap tiga tahun di ITBM, saya diberikan amanah untuk menguruskan jabatan baharu, iaitu Jabatan Buku Malaysia.

Syukur kerana Allah maha mengetahui keupayaan saya melaksanakan tanggungjawab ini. Hakikatnya saya "risau" melaksanakan tugas ini, kerana KPI yang diberikan dirasakan mungkin tinggi dalam keadaan yang perlu dimulakan daripada "0". Sebanyak 10 judul buku terbit pada setiap bulan bermula Jun hingga Disember 2012. Maknanya, tahun ini jabatan baharu ini perlu menerbitkan 70 judul baru.

Namun perlantikan ini tetap dianggap sebagai amanah/tanggungjawab (taklif). Perasaan berbesar hati sehingga bangga (tasyrif) hanya sekelumit di dalam hati. Tidak dinafikan peluang jawatan dan imbuhan ini banyak memudahkan hidup, tetapi ujian tetap ujian.

Saya sukakan kerja baharu ini sebagaimana saya sepenuh hati bekerja semasa bos menawarkan untuk mengendalikan "komunikasi" di ITBM. Dulu emak selalu marah kerana malas membaca buku (baca: buku sekolah). Apabila berbaik dengan Jaafar Rahim bermula tahun pertama di UIA, saya terus berusaha memasukkan diri dalam dunia buku - hanya untuk meningkatkan ilmu diri.

Kini saya betul-betul mengusahakan penerbitan buku. BUKU KARYA ASLI - bukan buku terjemahan.

Setiap hari ulang alik bermotosikal dari Shah Alam-Wangsa Maju-Shah Alam, yang saya fikirkan hanya satu; mencari langkah dan strategi untuk memperoleh lebih 70 manuskrip berkualiti.

Saya mencari manuskrip yang mempunyai isi yang tidak bercanggah dengan kepentingan bangsa, agama dan tanah air serta menggunakan bahasa Melayu standard...