Cuti pada hari ini kerana tidak mahu komitmen tugas terjejas kerana kurang cergas.

Selepas waktu Maghrib, menonton filem National Treasure: Book of Secrets. Tidak mengecewakan lagi kerana ada plot cerita yang tidak perlu dipertikaikan seperti filem Anak Halal. Saya masih tercari-cari naskhah fiksyen sains yang seperti National Treasure untuk diterbitkan di dalam Dewan Kosmik. Menggunakan sejarah, tulisan kuno, imaginasi dan strategi bagi membongkar rahsia simpanan kota emas.

Kemudian saya membeli DVD cetak rompak filem The Great Debaters. Saya membeli cetak rompak bukan kerana menyokong industri ini. Tetapi filem ini tidak ditayangkan di mana-mana pawagam di Malaysia. Hendak memuat turun dari internet sudah tentu memakan masa yang lama.

Filem yang berdasarkan pada kisah sebenar arahan dan lakonan Denzel Washington ini sebenarnya bertujuan mengangkat martabat bangsa Negro di Amerika Syarikat. Tidak ada rasanya filem Melayu mengangkat orang Melayu sendiri. Kebanyakannya bertujuan mahu mempromosikan politik Melayu.

Berlatarbelakangkan tahun 1930-an, Denzel Washington adalah pensyarah di Kolej Wiley, kolej Amerika-Afrika yang mahu meletakkan orang kulit hitam setaraf dengan orang kulit putih melalui pertandingan debat. Beliau beria-ia melatih empat orang penuntut kolej supaya menjadi pendebat terhebat. Bermula dengan pertandingan debat antara kolej-kolej biasa, pendebat Kolej Wiley mula membuka mata orang luar kerana kerap menjuarai pertandingan debat. Akhirnya mereka mendapat jemputan pertandingan debat daripada Universiti Harvard. Sebuah universiti tersohor bertanding kehebatan debat dengan sebuah kolej kerdil. Walau bagaimanapun, Kolej Wiley berjaya menjuarai pertandingan itu. Kesannya, orang kulit hitam mula diterima masuk ke universiti-universiti yang sebelumnya dipelopori orang kulit putih.

Denzel Washington selaku orang kulit hitam berjaya memartabatkan bangsanya melalui filem. Pada masa dahulu, orang kulit hitam dipandang kelas kedua berbanding dengan orang kulit putih. Mungkin di Malaysia, orang India perlu menghasilkan filem yang ala-ala sebegini. Di sini, banyak peguam yang bijak adalah terdiri daripada orang India. Tetapi perbezaan orang India di Malaysia dengan orang kulit hitam di Amerika Syarikat, mereka tidak disisihkan apatah lagi "dibersihkan".

Tahniah untuk HINDRAF kerana berjaya memaksa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam.

Semalam, saya bersama Busu bergegas ke Hotel Legend bagi menuntut jenazah Pak Ngah (Mohamad Yunus Bin Mohd Zain) bagi membolehkannya dibawa pulang ke Melaka. Pak Ngah adalah abang kedua dalam hierarki adik beradik abah. Beliau dilaporkan meninggal dunia disebabkan serangan jantung. Beliau berada di hotel itu kerana makan angin bersama keluarga isterinya.

Baru dua minggu lepas, 13 Januari 2007, isterinya kembali ke rahmatullah. Puncanya ialah masalah respiratori, iaitu semput. Jenazah mereka dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam, Lorong Kenangan Abadi, Sungai Udang, Melaka. Mereka bukan pasangan "Sehati Berdansa" yang menghiburkan dan meraih keuntungan atas nama kebajikan. Tetapi mereka adalah pasangan yang bertemu dan bercinta kerana Allah, dan bersama-sama berpisah untuk berjumpa Allah. Sebelum itu, anak kedua mereka "pergi" terlebih dahulu pada awal 2007. Dalam tahun ini sahaja, tiga orang ahli keluarganya menyahut panggilan Ilahi.

Emak dan abad sempat menemui keluarga mereka sebelum menunaikan ibadah haji. Tujuannya bagi mendapatkan keizinan menunaikan haji untuk anak kedua dan ketiga mereka yang belum sempat menunaikan fardu haji. Tetapi Allah lebih mengetahui. Emah dan abah sempat juga menunaikan ibadah umrah untuk Pak Ngah dan Mak Ngah. Semoga roh Pak Ngah dan Mak Ngah dirahmati Allah. Al-Fatihah.

Minat pada muzik gamelan timbul semasa Niswan (rakan sebilik di Mahallat Bilal, UIAM) mengajak bagi menyertai Grup Gamelan UIAM. Komitmen pada Kelab Karisma, Kelab Intelektual Muda (IYC) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mula kendur semasa menyertai grup gamelan. Antara kenangan manis adalah lawatan ke Indonesia dan Konsert Gema Gangsa yang saya kendalikan bersama rakan-rakan Intervarsity Islamic Performing Art Competition (IIPAC) 2005. Kini semasa bertugas di DBP pun masih lagi aktif bersama Kumpulan Gamelan DBP. Koleksi rakaman saya semasa aktif gamelan di UIA, sila klik.


Agak keterlaluan ulasan filem yang ditulis oleh Faisal Tehrani di blognya berkenaan filem arahan Osman Ali, Anak Halal. Tetapi sesudah saya menonton sendiri filem itu di Summit USJ petang tadi, memang filem itu hiburan yang kurang mendidik jiwa. Singkatannya, hedonisme! Dipersilakan untuk menontonnya yang hanya sekadar hiburan semata-mata.

Laman Goodreads.com disenaraikan sebagai antara 10 laman sesawang terbaik oleh majalah Time 24 Disember 2007. Menelusuri laman ini, tidak banyak bezanya dengan Shelfari.com. Kedua-duanya memaparkan buku yang sedang kita baca dan mencadangkan kepada kawan-kawan buku-buku yang menarik untuk dibaca.

Ada perancangan mahu mewujudkan laman sebegini untuk buku-buku berbahasa Melayu.

Malu untuk mengaku. Saya belum pernah tahu dan membaca semua buku terbaik yang disenaraikan oleh majalah Time 24 Disember 2007 ini. Nampak sangat saya semakin kurang membaca buku terbaharu di pasaran. Walau bagaimanapun, saya tidak tahu kriteria yang digunakan Time untuk memberikan gred bagi setiap buku yang dipilih. Yang pasti, bukan jumlah jualan yang menjadi faktor buku-buku ini dinobatkan sebagai buku bukan fiksyen terbaik 2007.

Rasa-rasanya, buku-buku ini pasti laku selepas Time memaparkannya dalam keluaran akhir tahun 2007 ini. Antara medium media lain yang menjadi tumpuan penggemar buku ialah ruangan buku New York Times dan bicarawara The Oprah Winfrey Show. Buku-buku yang dipaparkan dalam dua media ini pasti laku. Sebab itulah banyak buku-buku dari luar beria-ia menyelitkan "#New York Times Bestseller" di kulit buku.

Semoga selepas ini, buku-buku terbaik yang diumumkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia atau Majlis Buku Kebangsaan Malaysia menjadi sangat laku di pasaran.









Berikut adalah 10 buku fiksyen terbaik 2007 menurut majalah Time 24 Disember 2007. Daripada 10 buku-buku ini, hanya Harry Potter and the Deathly Hallows oleh J.K. Rowling yang mencatat jualan tertinggi, iaitu 11 juta naskhah dalam masa 24 jam. Buku ini mencatat rekod dunia sebagai jualan buku tertinggi dalam masa 24 jam mengatasi siri Harry Potter sebelumnya, iaitu Half-Blood Prince sebanyak sembilan juta naskhah .

Buku The Brief Wondrous Life karya Junot Diaz mendapat tempat pertama dalam senarai ini.










  • Satu prhmpunan akn diadakan pd 20 dismber ini.. Dihrp smua org mlyu islm BERSEDIA!.. Anda dihrskn mmbwa snjata sprt parang,badik,pisau dn lain2 yg tjm.. PERHIMPUNAN BERDARAH ini brtmpt dimsjid dkt rmh anda.. SELAMAT HARI RAYA KORBAN..
  • 3x Allahu Akbar! Berita penting,harap sebarkan! Jgn PANIK! Kpd org Melayu & Islam,siap sedia, asah parang dan pisau dr skrg hngga 19hb ni.Kita akan bperang habis2an dan sembelih mereka pd 20hb ni!........ kite sembelih lembu, unta, kambing, kerbau dan mcm2 menatang halal lain lg lah sempena hari raya haji ni. Jgn mare aa.. Xleh gurau, g dok surau sorg2. SELAMAT HARIRAYA AIDILADHA, RAYA HAJI N RAYA QURBAN..
Dua contoh sms asal ini diberikan oleh sahabat. Tidak ada sebarang perubahan ejaan. Memang diakui, bahasa sms banyak carca merba. Alasannya, hendak jimat ruang dan mudah menekan telefon bimbit.

Sempena Hari Raya Aidiladha ini, sms yang dikirimkan banyak yang berbaur seperti rusuhan akan berlaku. Mentang-mentang heboh sekarang berkenaan rusuhan kaum dan HINDRAF. Memang kreatif orang Melayu sekarang!

Semoga emak dan abah dapat menunaikan rukun haji dengan sempurna dan mudah.

Undian di NUKE InterNETWORK mendapati 52 peratus pengguna internet telah mengurangkan menonton televisyen bagi menghabiskan masa menggunakan internet. Manakala 12 peratus pengguna pula telah mengurangkan masa bersama teman-teman kerana mahu melayari internet.

Memang ada benarnya fakta ini. Saya pernah melihat orang yang mengalami sindrom ini. Malah saya sendiri rasanya menjadi salah seorang yang "ketagih internet". Ada kalanya apabila internet ada masalah, kehidupan harian seolah-olah tidak ada makna. Saya tidak lagi menonton televisyen apabila berada di rumah. Pulang sahaja ke rumah, duduk terperap di dalam bilik melayari internet sehingga tidur. Esoknya, keluar rumah untuk pergi ke pejabat. Rasanya rakan serumah sudah memahami perangai "buruk" saya.

Pernah juga hampir seluruh rakyat Malaysia kebingungan semasa kejadian gempa bumi pada Disember 2006 yang menyebabkan talian internet terjejas disebabkan jaluran internet terputus di dasar laut selatan Taiwan.

Adakah semua ini menjadikan manusia bersifat mementingkan diri semata-mata? Teringat pada kata-kata Jaafar Abdul Rahim yang menjelaskan sifat orang yang suka membaca buku di mana-mana sahaja, "Lebih baik membaca buku dan tidak menegur orang yang duduk di sebelah daripada bermain komputer di kafe siber tetapi tidak menegur orang sebelah."

Saya mula bercuti pada hari ini sehingga 27 Disember 2007 kerana mahu menghabiskan baki cuti yang ada. Itupun masih ada baki tiga hari lagi. Tetapi sebenarnya tidak ada istilah cuti sekiranya bekerja seperti menerbitkan majalah. Tarikh akhir siap majalah perlu ditepati. Sekiranya tidak, majalah tidak dapat diterbitkan.

Saya hadir ke pejabat bagi menyudahkan kulit majalah Dewan Kosmik keluaran Januari 2008. Fokusnya, "Sains Menyelongkar Alam Mistik". Isu fokus ditulis oleh Saudara Saharil Hasrin Sanin. Saya memberikan tanggungjawab menulis isu fokus kepadanya kerana gaya penulisannya yang santai dan banyak kes studi. Tambahan pula, beliau tidak pernah "lari" daripada tarikh akhir. Saya pula menulis berkenaan "Aplikasi Teknologi dalam Membongkar Alam Mistik" hasil temu ramah dengan Uncle Seekers.

Konsep kulit hasil kreativiti Saudara Fauzi (DAWAMA) ini memang mengagumkan saya. Fotografi pula dilakukan oleh Saudara Mat Yaman yang tidak pernah menghampakan saya. Beliau sebenarnya bukan jurugambar. Tetapi kerana minatnya pada bidang fotografi menyebabkan beliau bersetuju turun padang mengambil gambar.

Kemungkinan besar Dewan Kosmik dan lapan majalah DBP lain akan berubah wajah dari segi persembahan dan isi kandungan pada keluaran Februari 2008. Semua ini bagi memastikan memartabatkan majalah DBP sebagai majalah ilmiah terbaik di Malaysia.

Empat hari berbengkel di Port Dickson memang memenatkan. Walau bagaimanapun, banyak perkara baharu sudah dirancang dan akan dilaksanakan.

Dato' Baharuddin Zainal selaku Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan, Lembaga Pengelola DBP banyak memberikan maklumat baharu berkenaan isi kandungan yang sepatutnya ada dalam majalah. Teguran beliau berkenaan kekurangan setiap majalah DBP akan diambil perhatian oleh setiap editor. Manakala slot pengalaman sebulan Editor Dewan Masyarakat, Saudara Mohd Shukri Mohd Ariff di Majalah Gatra, Indonesia memberikan semangat baharu kepada editor-editor majalah dan staf DAWAMA. Kata Shukri, "Pak Putut (Ketua Redaktur Gatra) terkejut DBP menerbitkan sembilan majalah. Apabila beliau bertanya jumlah orang yang mengendalikan sembilan majalah itu. Saya menjawab, 'Bapak datang sahaja melihat di Kuala Lumpur'." Ini kerana Gatra yang merupakan majalah terbaik di Indonesia diterbitkan dengan kakitangan sebanyak 200 orang. Respon Dato' Dr. Firdaus Abdullah (KP DBP), "Hasrat hati saya mahu melihat Bahagian Majalah DBP dapat menerbitkan semula majalah yang berbentuk seperti Gatra yang terbit dua minggu sekali. Tetapi saya malu menyatakan kepada sesiapa kerana saya gagal mempertahankan Massa semasa di UKSB. Tetapi saya yakin kemampuan Bahagian Majalah DBP dan berani meluahkan isi hati saya ini pada hari ini."

Perancangan fokus Dewan Kosmik yang saya bentangkan tidak ada apa-apa bantahan daripada sesiapa. Respon Prof. Emeritus Dato' Dr. Isahak Haron, "Kalau dapat kita terbitkan satu lagi majalah sains. Kerana rasanya tidak mencukupi satu majalah sains yang semakin berkembang bidangnya." Beliaulah orang yang mempertahankan Dewan Kosmik dan Dewan Ekonomi daripada ditutup semasa pengambilalihan daripada Ultimate Print.

KP DBP nampaknya gembira dengan segala perancangan penerbitan majalah DBP dan komitmen kakitangan Bahagian Majalah DBP dan Unit Majalah DAWAMA. Beliau yakin majalah majalah-majalah DBP yang popular seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Kosmik dan Dewan Ekonomi serta majalah-majalah klasik seperti Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa berjaya menyebarluaskan bahasa Melayu di mana-mana sahaja. Kita tunggu dan lihat perubahan majalah-majalah DBP.

Saya masih lagi di pejabat semasa blog ini ditaip kerana menyiapkan perancangan semua majalah terbitan DBP. Bangga melihat masih ada sahabat yang sanggup bersama-sama berkorban demi keberkatan tanggungjawab.

Esok, 13 sehingga 16 Disember 2007, 44 kakitangan Bahagian Majalah DBP bersama-sama 31 kakitangan DAWAMA Sdn. Bhd. berada di The Legend Water Chalets, Port Dickson bagi berbincang penerbitan sembilan majalah DBP. Perkara yang dibincangkan meliputi perancangan kandungan majalah, isu fokus majalah, reka bentuk, strategi pemasaran, periklanan dan percetakan.

Selain itu, Dato' Baharuddin Zainal akan menyampaikan ceramah berkenaan kandungan berkualiti majalah. "Orang Besar" turut sudi hadir bagi memartabatkan kembali majalah DBP. Antaranya, Dato' Johan Jaafar, Dato' Dr. Firdaus Abdullah, Prof. Emeritus Dato' Isahak Haron, Dato' Baharuddin Zainal dan "orang kuat" DAWAMA.

Tujuannya hanya satu, MEMARTABATKAN MAJALAH DBP. Dengan harapan supaya bengkel ini berkesan dan dapat memberikan impak maksima kepada masyarakat. Insya-Allah, tidak ada orang lagi yang memperlekehkan penerbitan DBP.

DBP hendak berubah. Doakan kami dapat memartabatkan ilmu dan bahasa Melayu.

Saya mohon semua pihak terutamanya ahli politik, ahli ekonomi, pakar bahasa, warga DBP, para penulis blog, mahasiswa, pencinta bahasa membaca tulisan Noor Azam ini.

Sudah tiga hari demam saya belum menunjukkan sebarang tanda sembuh. Tetapi tetap digagahkan diri untuk hadir ke pejabat. Soal tanggungjawab perlu diutamakan. Selain itu Dewan Kosmik keluaran Januari belum siap lagi. Kali ini memang agak terlajak daripada jadual biasa. Tambahan pula bermula 13 sehingga 16 Disember ini akan diadakan bengkel penerbitan majalah di Port Dickson.

Sebenarnya pada hari ini saya cuti kecemasan kerana badan tidak larat untuk bekerja. Tetapi memikirkan tiada siapa dapat menggantikan tempat untuk menerangkan perancangan Dewan Kosmik 2008 pada pra bengkel pada pukul 3 petang, saya tetap datang pada pukul 12 tengah hari.

Saya pernah dengar kisah sahabat yang menangis kerana tidak sakit dalam masa sebulan. Sebabnya mungkin Allah tidak menyayanginya. Kerana dengan sakit sahaja dapat menyucikan dosa.

Memang semasa sakit saya kurang aktiviti yang lagha.



Bagi segmen udara, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2007, ia diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Mat Sirat. Manakala bagi segmen maritim, ia diadakan di Awana Porto Malai.

Saya puas "merayau" di segmen udara kerana banyak pameran yang menarik diadakan termasuklah melihat secara dekat pesawat Sukhoi dan persembahan Red Arrows. Saya cuma sekali sahaja "merayau" di segmen maritim. Mungkin kerana tidak dapat melihat pameran di laut. Walau bagaimanapun, banyak maklumat yang diperoleh yang akan ditulis untuk Dewan Kosmik dan Dewan Siswa.

Dua minggu lepas, saya demam sesudah pulang dari Kuching. Kini dijangkiti demam lagi sesudah puas berjalan-jalan di Langkawi.

Buku yang sudah tiada di pasaran ini perlu dibaca untuk mereka yang menjadikan Dr. Mahathir sebagai pemimpin sanjungan. Banyak maklumat yang diperincikan bermula saat-saat cemerlang sebelum beliau menceburi bidang politik, individu yang membantu kerjayanya, dan resam dunia politik. Yang menarik, penulis menceritakan cara, reaksi dan falsafah Dr. Mahathir dalam menghadapi pelbagai belenggu masalah. Yang paling penting, membaca buku ini menjadikan kita belajar dan memahami corak pemikiran Che Det.

Ditulis oleh J. Victor Morais dan diterjemahkan oleh Abdul Razak Abdul Rahman. Terima kasih kepada Saudara Azli kerana meminjamkan buku ini.

Petang ini saya akan berangkat ke Langkawi bagi membuat liputan berkenaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2007. Saya pergi seorang diri dan berada di sana sehingga 8 Disember 2007.

Tujuan utama saya ke sana adalah bagi memperoleh maklumat berkenaan pembuatan teknologi pertahanan sama ada udara ataupun laut. Saya cuba dapatkan relevannya pembelian kapal selam dan Sukhoi sehingga Malaysia sanggup melaburkan jutaan ringgit. Mungkinkah pelaburan itu berbaloi? Ini untuk Dewan Kosmik.

Tetapi adalah tidak berbaloi sekiranya saya ke sana semata-mata untuk Dewan Kosmik. Saya cuba mendapatkan maklumat yang sesuai untuk dimuatkan di dalam Dewan Masyarakat, Dewan Siswa ataupun Dewan Budaya.

Dahulu abah ke LIMA bagi menyertai pameran. Kini saya datang bagi membuat liputan berkenaan LIMA.

"Teater yang sebegini aku mahukan!" Kata sahabat yang pernah duduk sebilik di UIA, Niswan.

Saya bersama Niswan baru sahaja menonton Teater Rakyat yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Sastera di hadapan Stor Teater DBP. Pada malam ini dipersembahkan Teromba dan Mek Mulung. Persembahan ini diadakan dalam bentuk yang santai. Hanya ada pentas untuk persembahan, manakala kerusi bertingkat untuk penonton yang hanya beratapkan bumbung serta berhawakan udara semula jadi.

Teromba yang berasal dari Negeri Sembilan dipersembahkan oleh Dato' Dr. Rosli Saludin dari Jabatan Kesusateraan Melayu, UPSI bersama anaknya. Teromba adalah ungkapan berirama yang biasanya berkenaan adat sebagai panduan atau amalan adat sesuatu masyarakat. Ia adalah sejenis puisi bebas yang mempunyai bentuk lain seperti pantun, syair, rubai dan talibun.

Manakala Mek Mulung yang dipersembahkan oleh Kumpulan Seni Mek Mulung dari Kedah ini adalah adunan kesenian yang menggabungkan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik. Saya pernah menonton Mek Mulung di Dewan Filharmonik Petronas. Tetapi persembahan malam ini tidak kurang hebatnya.

Esok malam pula giliran Randai dan Bongai bagi mengisi slot Teater Rakyat malam kedua. Terasa rugi tidak dapat hadir kerana saya ke Langkawi pada esok hari. Program ini akan diadakan pada setiap bulan bagi memartabatkan seni budaya Melayu. Bentuk teater yang santai ini diharapkan dapat mengimarahkan lagi dunia teater daripada dimonopoli oleh teater asing.

Siapa kata DBP mandul idea?

Petang ini saya akan pulang ke Johor Bahru untuk berjumpa dengan emak dan abah sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci pada 2 Disember 2008 untuk menunaikan ibadah haji.

Emak pernah menunaikan haji sebelum ini. Umrah pun sudah beberapa kali ditunaikan. Abah pula sudah beberapa kali menunaikan umrah. Cuma belum pernah menunaikan fardu haji. Saya bersyukur kerana "jemputan" menunaikan haji sudah sampai kepada abah. Entah bila pula giliran saya.

Keadaan abah sama seperti Prof. Muhd Kamil Ibrahim yang pernah tidak tahu membaca Al-Quran. Tetapi semangat abah mahu mempelajari bacaan Al-Quran itu tetap tinggi. Abah berguru dengan Ustaz Ahmad di surau Kuarters Kastam. Beberapa kali juga melihat abah membaca Al-Quran sendirian dengan terjemahannya. Saya pula rasa menyesal kerana tidak pernah membantu abah mempelajari bacaan Bahasa Arab. Emak pula membuka kelas mengaji di rumah tanpa dikenakan sebarang bayaran. Kata emak, "Mengajar budak-budak mengaji, pahalanya mengalir kepada kita selagi mana mereka membaca Al-Quran."

Saya sudah "paksa" emak dan abah membaca karya Prof. Muhd Kamil, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Semoga emak dan abah dapat sedikit panduan semasa berada di Tanah Suci. Sebagai anak, sudah tentu saya mendoakan emak dan abah dapat menunaikan ibadah haji tanpa sebarang masalah dan memperoleh haji yang mabrur (diterima). Jauh di sudut hati saya, saya berdoa semoga emak dan abah selamat pergi dan selamat pulang ke tanah air. Tetapi sekiranya mereka mahukan "selamat" di sana, itu pilihan mereka. Semoga segala kebaikan untuk emak dan abah di Tanah Suci.

Semasa muda, Molly Mahoney adalah pemain piano yang diramalkan akan menjadi pemain piano hebat. Tetapi "bintangnya" tidak menyerlah. Semasa umurnya berusia 23 tahun, dia mewarisi gedung mainan ajaib atau magik daripada bos yang aneh berusia 243 tahun, Mr. Magorium. Tetapi Mahoney mengalami masalah konflik dalaman dan keyakinan diri sehingga hampir menjual gedung mainan itu. Berkat persahabatan erat dengan budak yang memiliki karisma dan keajaiban luar biasa, Eric Applebaum dan akauntan, Henry Weston, Mahoney berjaya mempercayai dirinya sendiri dan dapat memanfaatkan kiub kayu magik yang dihadiahkan oleh Mr. Magorium. Mahoney dapat mengeksplotasikan dirinya sendiri sehingga berjaya menghidupkan kembali gedung mainan yang "sedih" kerana kematian Mr. Magorium.

Filem Mr. Magorium's Wonder Emporium ini ditulis dan diarahkan sendiri oleh Zach Helm. Beliau belum pernah mengarahkan sebarang filem sebelum ini. Tetapi hasil tulisannya pernah difilemkan, iaitu filem drama-komedi Stranger than Fiction (2006). Helm adalah graduan Sekolah Drama Goodman di University DePaul. Filem Mr. Magorium's Wonder Emporium ditulis semasa beliau bekerja sebagai penulis skrip kontrak di 20th Fox Century. Tetapi naskhahnya itu tidak difilemkan sehingga dia mampu membeli semula skrip itu hasil daripada filem Stranger than Fiction.

Sebenarnya saya mahukan fiksyen sains yang berbentuk sebegini. Sebentar tadi peserta-peserta Minggu Penulisan Remaja (MPR) datang melawat Bahagian Majalah DBP. Saya menerangkan kepada mereka berkenaan konsep fiksyen sains Dewan Kosmik. Semoga karya yang dihasilkan oleh bakal-bakal sasterawan itu menepati cita rasa saya.

Kebetulan saya bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Adakah adil dilabelkan minda saya ini mandul? Mungkin saya tidak secerdas Muhammad Iqbal, mungkin tidak sebijak Albert Einstein dan tidak sehebat pemikiran Naquib Al-Attas. Tetapi saya bersyukur kerana minda saya belum mandul sehingga tidak dapat mengeluarkan sebarang idea atau pemikiran.

Sekiranya orang mandul, dapat diubati sehingga mampu memperoleh anak. Kemandulan minda DBP seperti yang didakwa sebenarnya ada cara untuk diubati. Sila baca tulisan Rustam A. Sani yang ada pro dan kontra. Sekurang-kurangnya masih ada orang yang rasional dalam hal ini.

Adakah ucapan Ahli Parlimen Gerik itu dapat dianggap sebagai fitnah? Ini kerana beliau mengatakan, "Orang-orang DBP mengalami kemandulan minda." Ini yang saya dengar dan lihat di Buletin Utama pada malam 26 November 2007. Di dalam akhbar lain pula kenyataannya.

Jenuh juga dia hendak meminta maaf daripada karyawan DBP yang tidak mandul minda dari tingkat satu sehingga 30. Rasanya dia akan datang seminggu sebelum pilihan raya.

Saya bersama Nadmin, Fadliana dan Nor Fadhilah menghadiri rumah Jaafar Abdul Rahim, orang yang banyak memberikan galakan supaya mencintai buku dan ilmu. Tujuannya kerana beliau mengadakan majlis kesyukuran sempena ulang tahun hari lahir yang ke-57. Banyak tetamu yang hadir terutamanya sahabat-sahabatnya dari GPMS.

Majlis bacaan Yasin dipimpin oleh Saudara Ahmad Yaakob, sahabat saya di UIAM yang kini bertugas di GPMS. Semasa membaca Surah Yasin, ada orang meletakkan dua jag air kosong. Lantas saya teringat pada buku Dr. Masaru Emoto, saintis Jepun yang banyak menulis berkenaan kehebatan air.

Katanya di dalam buku The Miracle of Water, "Air fleksibel pada apa-apa yang diucapkan oleh manusia. Sekiranya ucapan positif yang diungkapkan, kualitinya menjadi baik. Sebaliknya, kualiti air teruk sekiranya kata-kata negatif terpacul daripada lidah manusia kepada air itu."

Buktinya, beliau menggunakan beberapa sampel air. Setiap air itu diberikan ucapan yang berlainan, alunan muzik dan label-label dengan perkataan yang tersendiri. Kemudian cawan-cawan itu diletakkan di dalam peti sejuk dengan suhu -25 darjah Celsius atau lebih rendah. Selepas tiga jam, air-air itu dikeluarkan dan menghasilkan pelbagai bentuk yang unik. Setiap butir ais hanya dapat dilihat melalui mikroskop. Sebahagian air itu membentuk kristal yang sangat indah. Namun ada juga air yang tidak membentuk kristal.

Air juga dipengaruhi oleh informasi yang diterima. Emoto ada menjalankan ujikaji dengan menggunakan dua sampel air daripada sumber yang sama. Sampel pertama dilabelkan dengan “Terima kasih”. Manakala sampel kedua diberi label dengan ayat “Kamu bodoh”. Selepas dibekukan, air yang berlabelkan “Terima kasih” membentuk kristal heksagonal yang indah. Sedangkan air dengan label “Kamu bodoh” hanya membentuk pecahan-pecahan kristal.

Dengan terhasilnya penyelidikan saintifik oleh Masaru Emoto berkaitan air ini, ia sekaligus membuktikan keberkesanan rawatan Islam yang dijalankan oleh Dato’ Dr. Haron Din dan kepercayaan orang Melayu yang memberikan anak-anak minum air daripada majlis membaca Surah Yasin.

Tetapi sekiranya anak-anak memang malas belajar, tidak perlulah diberi minum air Yasin dengan harapan supaya lulus cemerlang. Bacalah Basmalah sebelum minum dan makan.

Semalam saya bersama Saudara Azli (Editor Dewan Ekonomi) dan Eksekutif Foto Dawama, Encik Mat Yaman ke Teratak Pak Habib Wadi Hussein di Janda Baik untuk menemurah Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas atau lebih dikenal sebagai Uncle Seekers. Tujuannya supaya saya dapat maklumat untuk dicoretkan dalam artikel fokus Dewan Kosmik keluaran Januari 2008. Sememangnya rumah Pak Habib cantik dan sungguh indah.

Uncle menerangkan banyak perkara berkenaan kerja-kerja mencari "hantu" ini. Apabila mendengar semua penjelasannya, pandangan saya kepadanya berubah. Selama ini saya menyangka dia suka mengarut dengan publisiti murahan. Tetapi saya dapat merasakan tugasnya menjejaki "hantu" adalah bertujuan bagi mengubah paradigma masyarakat terutamanya orang Melayu berkenaan HANTU!

Proses pencarian paranormal atau hantu dijalankan dengan pelbagai teknologi canggih yang terdiri daripada kamera, sistem navigasi, sistem bunyi, sistem suhu dan lain-lain. Alat ini digunakan bagi membuktikan benarkah wujudnya hantu dengan hasil saintifik.

Begitu juga dengan pembongkaran beberapa kaedah rawatan bomoh yang karut. Misalnya, telur yang mengandungi darah kerana penyakit dalaman, makan api dan lain-lain. Sila baca di sini bagi mengetahui teknik-teknik dengan lebih lanjut. Terima kasih Uncle kerana sudi memberikan demonstrasi.

Terima kasih juga kepada keluarga Pak Habib termasuklah krew Seekers Malaysia kerana melayan kami dengan penuh mesra.

Petang tadi saya pergi ke Pameran Hartanah Bumiputra di Pusat Pameran Mid Valley. Cadangnya sekadar mahu meninjau sekiranya ada rumah yang mampu saya beli.

Sebenarnya saya sudah membeli sebuah rumah Pangsapuri Angsana, Taman Raintree di Batu Caves. Tempatnya berdekatan dengan Kuil Batu Caves (di sebelah belakang bukit Batu Caves). Harganya RM 115.000 dengan keluasan 850 kaki persegi, tiga bilik dan dua bilik air. Saya sudah meletakkan wang tempahan sebanyak RM 1000.00. Pada asalnya, saya berminat membeli rumah itu kerana lokasinya akan didirikan Stesen Komuter KTM yang dijangka siap pada 2009. Sudah tentu nilai rumah itu melambung naik apabila sudah siap kelak. Tetapi saya terpaksa membatalkan niat menduduki rumah itu kerana feng shui kawasan itu kurang elok. Ini nasihat daripada saudara mara dan rakan-rakan. Nampaknya saya terpaksa memohon bagi mendapatkan semula wang tempahan itu.

Berbalik pada keadaan di Mid Valley. Belum sempat menghabiskan semua gerai pameran itu, saya sudah tertarik pada sebuah gerai pameran. Apabila melihat pada brosur yang diberikan, saya tertarik dengan harga dan bentuk rumah yang dipaparkan. Apartmen Gardenville Selayang Heights namanya. Dengan keluasan 1307 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air, empat beranda, harga jualan kepada bumiputra ialah RM148.000 (tingkat tiga, lot tepi). Saya terus nekad membayar wang tempahan RM 100.00 (murah kerana membeli daripada pemaju) bagi mendapatkan rumah itu. Kemudian saya terus bergegas ke Selayang bagi melihat fasa rumah yang sudah siap. Cuma rumah saya itu belum siap dibina. Saya berpuas hati dengan keluasan dalaman rumah dan suasana rumah itu. Berdekatan dengan masjid pula. Semoga rumah itu siap segera dibina.

Saya teruja mahu membeli rumah kerana...

Fokus Dewan Kosmik (DK) pada keluaran Disember 2007 adalah "Teknologi Perang Masa Hadapan". Mengapa saya memilih isu ini sebagai fokus?

Bukan niat mahu mempromosikan perang yang sememangnya memusnahkan. Tetapi sekadar mahu menceritakan kepada umum betapa kreatifnya manusia dalam menciptakan pelbagai teknologi baharu. Tambahan pula, entah mengapa orang lelaki begitu meminati segala perkara yang berkaitan dengan perang. Fokus DK Disember 2007 memang dikhususkan untuk pembaca lelaki. Tetapi rencana lain di dalamnya ada banyak yang sesuai untuk bacaan kaum wanita. Antara isi kandungan fokus yang saya tulis sendiri ini adalah inovasi Amerika Syarikat dalam mencipta pesawat hipersonik yang berkelajuan 4000 batu sejam pada ketinggian 100 000 kaki, senjata laser, cip yang ditanam di dalam otak bagi mengesan musuh dan banyak lagi.

Saya mengakhiri rencana ini dengan ayat,

Apakah sebab AS beriya-iya membangunkan teknologi pertahanannya? Adakah disebabkan AS mahu menjadi polis dunia ataupun sebagai langkah berjaga-jaga daripada serangan musuh? Kebanyakan tujuan senjata dan jentera perang dicipta adalah sama ada bagi menyerang ataupun bagi tujuan pertahanan. Ironinya, semasa Presiden China, Hu Jintao mengumumkan pemodenan ketenteraan China, beliau menyatakan tujuan diadakan langkah ini bagi “mempertahankan kebebasan, keselamatan dan kedaulatan China”.

Tahukah anda bahawa rata-rata usia seekor nyamuk adalah dua minggu? Kecuali sekiranya ia ditampar manusia.

Kelmarin saya membeli produk terbaharu Ridsect, yang berbentuk seperti kipas. Sebabnya saya mahukan keselesaan semasa tidur.

Selama saya menggunakannya dalam masa dua hari, saya dapati ia memang berkesan. Tidur saya tidak lagi diganggu gigitan ataupun desingan nyamuk. Melihat pada label produk, produk itu mengandungi bahan kimia metofluthrin yang dapat menyahkan nyamuk. Saya masih lagi mencari maklumat berkenaan metofluthrin kerana khuatir sekiranya ia mengandungi kesan sampingan.

Sekiranya semua orang menggunakan produk yang menghalau nyamuk, bagaimana nyamuk dapat melangsungkan kehidupan? Mungkin jangka hayatnya kurang daripada dua minggu. Harap-harap isu berkenaan nyamuk ini tidak diperdebatkan di parlimen seperti isu monyet.



Dede yang tinggal di kawasan pedalaman Indonesia adalah orang unik kerana hampir seluruh tubuhnya menyerupai kayu pokok. Keadaan ini dibongkarkan oleh krew dokumentari Discovery Channel.

Menurut Anthony Gaspari, pakar dermatologi dari University Maryland yang turut menyertai krew itu mendapati ketumbuhan pada tubuh Dede disebabkan virus yang dikenal sebagai Human Papillomavirus (HPV) yang menyebabkan ketuat. Virus itu juga melemahkan sistem imun bagi melawan sehingga menyebabkan tubuh Dede berbentuk seperti yang dipaparkan.

Apakah puncanya? Sila klik URL di atas. Adakah disebabkan seks rambang?

Tahukah anda bahawa sesudah makan, kucing biasanya menjilat dirinya sendiri? Ini kerana naluri kucing mahu menghilangkan bau makanan daripada diri mereka supaya pemangsa tidak akan mencium bau makanan itu lalu mencari mereka untuk memakannya.

Semasa saya bertugas di PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab memperoleh manuskrip-manuskrip baharu untuk diterbitkan, saya pernah mencadangkan kepada seorang penulis dari Sarawak untuk menulis buku berkenaan dengan "MENULIS BUKU".

Beliau menyahut cabaran saya itu lantas menulis manuskrip dalam lingkungan 300 muka surat dalam masa kurang tujuh hari! Kemudian saya menyerahkan manuskrip itu kepada PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. untuk diterbitkan dalam kategori pendidikan. Saya kurang pasti sama ada buku itu sudah diterbitkan ataupun ditolak oleh editor bertanggungjawab.

Sesudah membaca rencana Roosfa Hashim di Utusan Malaysia pada hari ini, saya yakin buku itulah yang saya peroleh setahun yang lalu. Agak dukacita dan agak malu kerana ia tidak diterbitkan di PTS. Mungkin editor di PTS ada sebab untuk menolak manuskrip itu. Walau bagaimanapun, Jeniri Amir adalah penulis yang wajar dicontohi di Malaysia. (Sila klik URL Utusan Malaysia di atas bagi membaca sebab-sebabnya).

Meminjam kata-kata Jaafar Rahim, "Knowing berlaku apabila kita membaca, mastering pula sekiranya maklumat daripada pembacaan menjadi ilmu. Tetapi salah satu proses applying berlaku adalah dengan cara menulis."

Tahukah anda bahawa Isaac Asimov yang merupakan profesor biokimia lebih dikenal sebagai penulis karya sains fiksyen? Antara karyanya yang terkenal, I, Robot sudah difilemkan.

Tahukah anda bahawa seorang manusia normal tidak dapat menyentuh telinganya sendiri dengan menggunakan siku?

Semasa berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) 2007 Peringkat Kebangsaan pada 15 November 2007, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak mengatakan bahasa Melayu adalah wadah utama dalam merapatkan hubungan sesama manusia di Malaysia.

Menurutnya, semua orang mungkin dapat berbicara dalam bahasa Inggeris semasa perbualan. Tetapi tidak semua perkara yang dituturkan itu sampai ke dalam jiwa atau perasaan. Beliau mengambil contoh rakyat negara China yang bangga menuturkan bahasa Mandarin walaupun ada banyak bahasa lain di negara itu. Tujuannya, hanya dengan bahasa tempatan dapat membangkitkan kemesraan dan perhubungan erat semasa perbualan walaupun dalam masa yang singkat.

Walaupun Abdul Taib Mahmud berasal dari suku kaum Melanau yang mendapat pendidikan Inggeris, beliau tetap menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dengan betul dalam kalangan masyarakat. Beliau berasa bangga apabila melihat banyak orang bukan Melayu dapat berpidato, bersyarah, berucap dan berpantun dengan lancar dalam bahasa Melayu. Katanya, ini adalah hasil kejayaan perjuangan generasi dahulu yang berusaha mendaulatkan bahasa Melayu.

Cuma getik melihat orang Melayu yang mengagung-agungkan bahasa Inggeris.

Pada hari ini, saya ke Sarawak bersama-sama Ketua Bahagian Multimedia, Encik Jamaluddin Sulong bagi menghadiri Majlis Penangguhan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) 2007 Peringkat Kebangsaan di Hotel Holiday Inn Kuching, Sarawak. Majlis ini akan disempurnakan oleh Y.A.B. Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada 15 November 2007.

Saya pergi ke sana atas kapasiti setiausaha jawatankuasa. Matlamat majlis ini diadakan di Sarawak dengan harapan supaya BBSN pada tahun hadapan diadakan di sana. Ini kerana bentuk program BBSN adalah merakyat supaya sampai kepada khalayak luar daripada Kuala Lumpur.

Mungkin ada orang mempertingkaikan keberkesanan BBSN dalam mengakarumbikan cinta pada bahasa dan sastera negara, tetapi ini adalah salah satu inisiatif tanggungjawab sosial yang tidak menjanjikan sebarang keuntungan. Mahu mengubah perasaan cinta seseorang pada bahasa dan sastera Melayu bukanlah kerja yang mudah. Semoga dalam jangka masa panjang, bahasa Melayu dan sastera Malaysia gemilang pada masa hadapan.

Judul : Big Questions in Science
Penyusun : Harriet Swain
Penerbit : Vintage

Banyak benda yang pelik atau janggal yang dapat dibongkar atau dihuraikan oleh sains. Daripada maklumat berkenaan kewujudan tuhan, asal usul alam dan hal berkaitan kehidupan sehingga maklumat berkenaan mimpi, cinta, rasa sakit semuanya dihuraikan di dalam buku ini.

Hasil kajian daripada beberapa pakar yang terdiri daripada saintis, pensyarah dan penulis bebas dihimpunkan menjadi buku bagi tatapan umum.

Isi yang menjadi perhatian saya adalah, "What maked us fall in and out of love?" Biasanya, orang hanya menyatakan cinta terhasil sekiranya ada jodoh. Memang tidak dinafikan. Walau bagaimanapun, bibit cinta tercetus hasil daripada gabungan kimia di dalam badan manusia. Bau, makanan, sosial dan pemikiran adalah antara faktor membangkitkan perasaan cinta sesama manusia.

Banyak lagi yang dapat dibongkar oleh sains. Adakah boleh dikaitkan Islam dengan sains? Sehingga sekarang saya masih belum mendapat jawapan tuntas.

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sekali lagi mengharamkan buku. Pada kali ini, tujuh buku diharamkan daripada pasaran buku di Malaysia:
  1. Tajul Muluk: Fiqh Perempuan
  2. Tasawuf Perenial Kearifan Kritis Kaum Sufi
  3. Kumpulan Ilmu Ghaib
  4. The Muslim Jesus
  5. Kisah dan Sabda Yesus dalam Literatur Islam
  6. Penyembuhan Cara Sufi
  7. Kitab Kaysf al-Asrar
Sebabnya buku-buku itu menyentuh kesucian agama Islam atau menyelewengkan fakta-fakta dan ajaran agama Islam.

Teringat pada filem Evan Almighty lakonan Steve Carrel, Morgan Freeman dan lain-lain. Saya dapat menonton filem itu selepas memuat turun daripada internet (sekurang-kurangnya tidak menguntungkan mereka). Tidak pula terpesong akidah selepas menonton filem itu. Sedangkan filem adalah cara paling utama memesongkan pemikiran manusia.

Ironinya, filem itu dihalalkan, buku-buku banyak pula yang diharamkan.

Pada: 7 November 2007
Tempat: Dewan Bankuet Menara DBP
Tetamu kehormat: isteri Menteri Pelajaran Malaysia

Allahumma ya rabbal kaainat wa qodiyal hajat.

Ya Allah, kami memohon agar pertemuan ini dianugerahkan hidayah dan taufik supaya urusan harian kami berjalan dengan lancar, beroleh kejayaan dan keberkatan.

Ya Allah, kami dipertanggungjawabkan dengan amanah yang berat, maka anugerahkanlah kepada kami keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut.

Allahumma ya Allah.

Jadikanlah Majlis Ramah Mesra Puspanita ini sentiasa mendapat petunjuk ke jalan yang diredhai serta hindarkanlah hati-hati kami dari sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan.

Allahumma ya wasia'l maghfirah wa ya munzilal barakati warrahmah.

Selamatkanlah kami dan jadikanlah zaman ini zaman yang bertambah-tambah aman dan tenteram. Semoga negara kami terus maju lagi makmur dan rakyat dapat hidup bersatu, bantu-membantu antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama.

Walhamdulillahi rabbil a'lamin.

Pada: 6 November 2007
Tempat: Dewan Bankuet, Menara DBP.
Tetamu kehormat: Pengarah Penerbitan

Ya Allah ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, kami berhimpun di majlis Sambutan Raya Jabatan Penerbitan yang mulia dan bersejarah ini memohon rahmat dan hidayah dari sisi-Mu.

Semoga dengan rahmat itu, Engkau berikan hidayah, petunjuk dan menyatukan pemikiran kami, Engkau perkukuhkan perpaduan kami, Engkau hindarkan fitnah dan pertelingkahan dalam kalangan kami, Engkau memperbaiki urusan agama dan dunia kami.

Allahumma Ya Muhaimin, Ya Raqib, Ya zaljalali wal ikram.

Ya Allah, kami memohon taufik dan hidayah-Mu dalam setiap perkara. Restuilah perancangan dan pembangunan yang disusun dan diatur oleh kami dalam usaha memajukan organisasi kami. Bimbinglah para pemimpin kami yang memikul amanah dan tanggungjawab dalam pentadbiran organisasi kami dengan sinaran petunjuk-Mu yang berterusan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada ketenteraman dan kesejahteraan. Hindarkanlah kami sekalian daripada segala malapetaka dan sifat-sifat keji, hasad dengki, boros dan semua sifat negatif.

Ya Allah selamatkanlah kami sekalian daripada perselisihan yang boleh membawa perpecahan dan kebinasaan. Anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan keupayaan untuk merangka strategi dan dasar bagi mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan serta matlamat wawasan sebagaimana yang kami cita-citakan.

Allahumma ya zaljudi wal karam.

Kami pohonkan limpah rahmat, taufik dan hidayah bagi sahabat-sahabat kami di segenap lapisan dan golongan. Mantapkanlah semangat dan keazaman mereka dengan penuh kesabaran dan bertawakkal kepada-Mu dalam memikul tanggungjawab memajukan organisasi, negara dan agama supaya disanjung tinggi dan disegani.

Amin ya Rabbal a'lamin.

Adakah ini bentuk Soyuz yang Malaysia akan beli?

Bijak betul Kerajaan Rusia! Sekiranya tidak membuat tawaran jualan kepada Kerajaan Malaysia untuk membeli "besi buruk" ini, Soyuz pasti dijual kepada pusat jualan besi buruk. Kerajaan Malaysia pula berbangga apabila Kerajaan Rusia membuat tawaran ini. Seolah-olah mendapat pengiktirafan sehingga disiarkan pada muka hadapan Utusan Malaysia (6 November 2007).

Sekiranya sekadar untuk pameran di muzium tanpa mahu mengkaji atau menyelidik kaedah membuat kapal angkasa seumpamanya, sudah tentu ia pembaziran besar. Harga untuk membeli, kos untuk penghantaran ke Malaysia, cukai, ubah suai muzium dan lain-lain kos sudah tentu tinggi.

Lebih baik berikan sahaja RM itu kepada PTPTN bagi memansuhkan kos perkhidmatan (baca riba') 3 peratus.

Saya mohon maaf kerana kerap mengulas buku-buku terbitan PTS. Bukan kerana atas kapasiti saya pernah bertugas di situ. Tetapi saya percaya pada setiap kualiti buku yang diterbitkan. Tambahan pula saya mendapat diskaun buku yang tidak mungkin saya peroleh daripada mana-mana kedai buku ataupun penerbit.

Yang terbaharu, saya membaca buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman karya Muhd Kamil Ibrahim, profesor perakaunan di UiTM. Saya membelinya pada minggu lepas dengan tujuan mahu memberinya kepada emak sempena hari jadinya yang ke-56. Selain itu, insyaAllah dia bersama abah akan pergi menunaikan haji pada 2 Disember 2007 ini. Saya juga membeli buku Yang OK dan KO Dalam Ibadah Haji dan Umrah (OK dan KO bahasa pasar kan? hehe).

Saya dapat menghabiskan bacaan buku Prof. Kamil sepanjang dua hari bercuti di rumah, Johor sebelum bakal haji (emak dan abah) melahapnya. hehe. Saya suka sesebuah karya yang memberikan kesan kepada jiwa. Apabila membaca buku itu, ia mendidik saya menjadi orang yang lebih sabar. Yang paling penting, secara tidak langsung memberikan semangat untuk kerap menunaikan qiyamullail. Buku yang pernah membuatkan saya begini adalah karya Habiburrahman El Shirazy.

Memang benar saya belum ada rasa mahu menunaikan haji dalam masa terdekat ini. Mungkin belum dapat "kad jemputan rasmi". Saya juga sedar banyak melakukan kesilapan semasa menunaikan umrah bersama keluarga dahulu. Yang paling saya kesalkan, meninggalkan abah kerana mementingkan diri mahu menunaikan ibadah. Astaghfirullah...

Terima kasih Prof. Kamil kerana dapat menambahkan satu lagi koleksi biografi peribadi yang agak kurang dilakukan orang Malaysia. Saya sudah "paksa" emak dan abah untuk menghadam buku itu sebelum berangkat menunaikan haji pada 2 Disember 2007. Teringat pada Imam karya Abdullah Hussain semasa membaca buku ini.

Hati terasa bangga melihat para profesional hadir memeriahkan majlis pengumuman personaliti bagi kerjasama dengan kempen celik ilmu anjuran Mont Blanc dan UNICEF pada 31 Oktober 2007 di Pavilion.

Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datin Seri Tiara Jacquelina adalah wakil Malaysia daripada 149 personaliti politik, budayawan, usahawan, ahli sukan, dan penghibur lain di seluruh dunia. 149 adalah bersempena nama pen edisi khas Mont Blanc, Meisterstuck 149 yang dijual dengan harga AS$ 149 (RM 550). Tujuannya, hasil jualan disumbangkan kepada program pendidikan UNICEF di Amerika Latin, Afrika dan Asia terutamanya India.

149 adalah koleksi khazanah pen Mont Blanc. Sejak penciptaannya pada 1924, 149 menjadi ikon bagi budaya menulis. Malah sehingga kini, 149 menjadi instrumen penulisan bagi beberapa tokoh terkenal. Yang terbaharu, Muzium Kesenian Moden di New York menobatkan 149 sebagai pen klasik dan disimpan khas di muzium itu. 149 dipilih sebagai simbol kempen UNICEF ini kerana kuasa pen dianggap sinonim dengan budaya ilmu, imaginasi dan intelektual.

Saya selalu bawa pen berharga RM4.50 ke mana-mana sahaja.

Pada keheningan pagi 28 Januari 1986, kapal angkasa Challenger dijadualkan membawa misi STS-51-L selepas beberapa kali ditundakan tarikh pelancarannya.

Tetapi selepas 73 saat dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy, kapal angkasa itu meletup dan meragut kesemua tujuh krew. Puncanya kerana kegagalan pihak NASA meraikan pandangan daripada para jurutera yang menyatakan ada sedikit masalah pada roket pelancar kapal angkasa itu.

Sabda Nabi, "Kamu lebih tahu urusan yang berkaitan denganmu."

Kisah selanjutnya ada di dalam Dewan Kosmik keluaran Disember 2007.

Tarikh: 29 Oktober 2007
Tempat: Tingkat 20, Bahagian Majalah DBP
Tetamu Kehormat: Pengarah Penerbitan DBP

Antara staf bahagian majalah.

Antara jejaka yang masih bujang. Yang berbaju hitam sahaja sudah berumah tangga.

Bos bahagian majalah menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada Shahrulnizam (Dewan Budaya).

Sedang menyiapkan juadah.

Mejaku dipenuhi hadiah cabutan bertuah.

Sidang redaksi Dewan Ekonomi; Rafiq, Junaidah dan Azli.

Aninah Janang dan Rafiq.

Pengarah Penerbitan menyampaikan hadiah cabutan bertuah.