Pada: 6 November 2007
Tempat: Dewan Bankuet, Menara DBP.
Tetamu kehormat: Pengarah Penerbitan

Ya Allah ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, kami berhimpun di majlis Sambutan Raya Jabatan Penerbitan yang mulia dan bersejarah ini memohon rahmat dan hidayah dari sisi-Mu.

Semoga dengan rahmat itu, Engkau berikan hidayah, petunjuk dan menyatukan pemikiran kami, Engkau perkukuhkan perpaduan kami, Engkau hindarkan fitnah dan pertelingkahan dalam kalangan kami, Engkau memperbaiki urusan agama dan dunia kami.

Allahumma Ya Muhaimin, Ya Raqib, Ya zaljalali wal ikram.

Ya Allah, kami memohon taufik dan hidayah-Mu dalam setiap perkara. Restuilah perancangan dan pembangunan yang disusun dan diatur oleh kami dalam usaha memajukan organisasi kami. Bimbinglah para pemimpin kami yang memikul amanah dan tanggungjawab dalam pentadbiran organisasi kami dengan sinaran petunjuk-Mu yang berterusan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada ketenteraman dan kesejahteraan. Hindarkanlah kami sekalian daripada segala malapetaka dan sifat-sifat keji, hasad dengki, boros dan semua sifat negatif.

Ya Allah selamatkanlah kami sekalian daripada perselisihan yang boleh membawa perpecahan dan kebinasaan. Anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan keupayaan untuk merangka strategi dan dasar bagi mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan serta matlamat wawasan sebagaimana yang kami cita-citakan.

Allahumma ya zaljudi wal karam.

Kami pohonkan limpah rahmat, taufik dan hidayah bagi sahabat-sahabat kami di segenap lapisan dan golongan. Mantapkanlah semangat dan keazaman mereka dengan penuh kesabaran dan bertawakkal kepada-Mu dalam memikul tanggungjawab memajukan organisasi, negara dan agama supaya disanjung tinggi dan disegani.

Amin ya Rabbal a'lamin.