Tempat saya bekerja kini, Wisma ITNM, sedang dalam proses pembaikpulihan (renovation) besar-besaran.

Projek ini melibatkan keseluruhan bangunan ITNM sebanyak enam tingkat. Tingkat enam yang sebelum ini merupakan bumbung terbuka akan dijadikan dewan.


Manakala tingkat lima diubah suai sepenuhnya yang akan memuatkan pejabat Pengerusi ITNM, Pengarah Urusan ITNM, jabatan korporat, jabatan komunikasi, pemasaran & jualan (jabatan saya), dan bilik mesyuarat.


Pengubahsuaian ini turut melibatkan tingkat-tingkat lain. Di tingkat empat dibina surau baharu. Tingkat bawah pula telah siap diubah suai menjadi kaunter khidmat pelanggan dan kedai buku yang baru diwujudkan.

Semua ini dilakukan bagi memberikan keselesaan kepada staf ITNM demi meningkatkan kualiti tanggungjawab tugas. Selain itu, perubahan ini bagi memudahkan sasterawan, penulis, penterjemah, pelanggan, dan peserta kursus berurusan dengan pihak ITNM.

Encik Armin Azhari Salleh, Editor Pelita Bahasa melakukan tinjauan (survey) berkenaan pelancongan kedai buku atau bookstore tourism.

Memang idea ini belum lagi menjadi agenda Kementerian Pelancongan ataupun mana-mana agensi pelancongan bagi menarik perhatian orang luar datang ke Malaysia, khususnya Kuala Lumpur. Sedangkan ada sesetengah pelancong datang ke sesuatu tempat kerana mahu mengunjungi kedai buku.

Contohnya saya sendiri, sejak di UIA saya sangat kepingin mahu melancong ke Bali kerana terdapat gamelan Bali yang sangat unik dan pantas cara bermainnya. Bagi orang lain pula, niat mereka datang melancong ke sesuatu destinasi mungkin kerana mahu membeli belah, berhibur, mencari peluang bisnes, menikmati alam semula jadi, dan lain-lain.

Semasa bersama lawatan Kelab Gamelan UIA dulu ke Jakarta, Solo, Bandung, dan Jogjakarta, tempat yang mula-mula akan saya cari adalah kedai buku. Saya masih lagi teringat membeli Sophies World versi bahasa Indonesia di Toko Buku Gramedia, Bandung, semasa kawan-kawan sibuk masuk ke butik di sekitar toko buku itu.

Maksudnya, kedai buku merupakan antara bookstore tourism yang perlu menjadi salah satu tarikan pelancong datang ke Malaysia. Sekarang, kalau saya ke Pulau Pinang, tempat yang mahu saya kunjungi adalah Pasar Chowrasta, kerana banyak buku terpakai di tingkat atas bangunan lubuk jeruk itu.

Kalau dahulu, Sanusi Junid membina Kampung Buku dengan harapan supaya menjadi salah satu tarikan pelancong ke Langkawi, tetapi sayang akhirnya projek itu menjadi "gajah putih". Kini Melaka pula sudah membina projek sedemikian. Harapnya tidak terjadi seperti di Langkawi. Kota Buku di KL ini pula entah jadi ataupun tidak. Banyak sangat politik!

ITNM baru membuka kedai buku terjemahan, yang akan menjadi satu-satunya kedai buku terulung di Malaysia yang menjual semua karya terjemahan pelbagai bahasa dunia, bukan sahaja terbitan ITNM. Sangat sesuai kalau kerajaan berhajat membawa pelancong berbas-bas datang melawat kedai buku ITNM.

Di Amerika, Larry Portzline merupakan penggerak kepada bookstore tourism. Dia mengetuai "jalan-jalan cari buku" ke seluruh pelosok Amerika Syarikat. Di sini beliau mencadangkan langkah-langkah bagi memastikan bookstore tourism boleh dijalankan dengan mudah.

Mungkin tahun hadapan Datuk Ng. Yen Yen mengubah Citrawarna Malaysia menjadi Citra Ilmu Malaysia. Mungkinlah. Manalah tahu...

Memandu keseorangan ke mana-mana sahaja memang membosankan lagi mengantukkan. Sebab itulah saya suka ke mana-mana dengan isteri, kerana dia sejak kecil suka bercakap. Sebab itulah kerjaya peguam selayaknya untuknya.

Dalam perjalanan ke Ipoh tadi, radio menjadi alat untuk menghilangkan rasa ngantuk. Beberapa kali juga berhenti bagi menghilangkan rasa mahu tidur. Terdengar ceramah ustaz "renung-renungkan dan selamat beramal" di Hot FM yang berkisar tentang ZAKAT. "Kalau tidak membayar zakat, harta kita itu akan menjadi bara yang akan membakar diri kita kelak."

Secara kebetulan, saya hendak ceritakan yang saya baru mendaftar membuat potongan gaji pendapatan untuk zakat semalam. Selepas kira-kira dan tolak itu ini , saya hanya perlu membayar RM47 pada setiap bulan. Lebih baik bayar zakat daripada potong PCB cukai yang lebih tinggi.

Sebenarnya banyak antara kita yang tidak mengetahui dirinya sudah wajib membayar zakat pendapatan. Yang mereka faham, zakat hanya wajib dikeluarkan semasa hendak raya puasa. Itu zakat fitrah. Sedangkan zakat pendapatan juga wajib dikeluarkan bagi mereka yang sudah layak nisabnya.

Malah ada juga yang memberikan sedekah (paling kurang setiap kali solat Jumaat) dengan niat zakat. Dengan harapan dengan sedekah itu dapat menyucikan hartanya. Saya pun pernah melakukan dan berniat sedemikian. Sedangkan hakikatnya sedekah itu sunat, dan zakat itu wajib. Zakat itu juga salah satu daripada Rukun Islam.

Jumlahnya 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan kasar tahunan.

Lagipun mana mungkin sedekah yang sunat itu diubah menjadi zakat. Apakah boleh solat sunat diniatkan untuk solat wajib?

Saya dan semua orang percaya zakat mampu menyucikan harta. Saya juga yakin Allah boleh tarik apa-apa sahaja nikmat yang dikurniakan sekiranya kita tidak "mengembalikan" kepada-Nya semula. Mungkin barang kita hilang, mungkin kita ditimpa sakit, mungkin gagal naik pangkat, dan segalanya yang minta dihindari mungkin berlaku.

Kalau tidak tahu sama ada kita sudah sampai nisab untuk berzakat, banyak sahaja laman sesawang yang boleh automatik kirakan. Maka jom berzakat!

Setahun lamanya saya menyewa rumah apartmen yang kini saya sudah milikinya. Maka sudah hampir dua tahun saya menginap di situ.

Jujurnya, saya hanya mengenali rapat jiran di sebelah kiri rumah saya. Saya pernah menghadiri kenduri di rumah jiran di sebelah kanan, tetapi sudah lupa namanya. Jiran yang selang satu rumah sama ada kiri mahupun kanan pun saya tidak kenal.

Namun saya mengenali rapat "apek" di rumah bawah saya, kerana dia rajin berborak apabila terserempak.

Saya dan isteri amat menyedari keperluan berbaik-baik dengan jiran. Lebih-lebih lagi dalam Surah an-Nisa ayat 36 pun menyarankan kita berbuat baik dengan jiran tetangga. Malah kami sangat menyedari kelebihan hidup berjiran.

Cuma terus terang saya katakan, jiran tempat saya tinggal kini tidak seperti jiran di rumah ibu bapa atau mentua saya. Yang paling saya tidak boleh lupakan rasa terkilan apabila seorang jiran saya menolak pemberian buah manggis yang dipesan khas oleh ibu saya untuk diberikan kepadanya. "Saya tak makan buah manggis," katanya.

Saya selalu sahaja bertegur sapa apabila terserempak dengan mereka, malah saya turut menyertai mesyuarat persatuan penduduk. Kadangkala isteri memberikan juadah makanan kepada jiran walaupun yang dibeli daripada gerai.

Yang paling menarik, kami lebih akrab dengan "Bibik Indon" mereka. Kebetulan "tempat pengering baju" rumah saya ini letaknya di bilik khas di hadapan rumah. Maka setiap kali saya dan isteri membasuh atau menyidai baju, akan ada bibik mereka datang berborak itu dan ini. Juadah makanan yang diberikan kepada kami pun disampaikan melalui bibik mereka. Bayangkanlah...

Hendak salahkan mereka 100 peratus pun tidak wajar kerana kita semuanya bekerjaya, yang keluar pagi balik petang. Adakala sampai malam (bak kata Ramli Sarip dalam Nyanyian Serambi). Waktu malam memanglah tidak akan keluar rumah. Hujung minggu pula semuanya dengan urusan masing-masing. Saya dan isteri pula selalu ke rumah mentua pada hujung minggu.

Kami sedar sekiranya mahu mempunyai jiran yang baik, terlebih dahulu kami sendiri yang perlu menjadi baik. Saya insaf hal ini dan isteri pun mengerti realiti ini. Saya percaya hubungan kejiranan ini akan dilimpahkan keberkatan oleh Allah. Semoga kami dijauhi daripada segala keburukan...

Mungkin tidak semua orang mengetahui kewujudan Berita Buku walaupun ia telah diterbitkan sejak 1982 oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Mulai Oktober 2009 ini, Berita Buku telah dihidupkan semula setelah "mati" buat beberapa tahun. Tidaklah pula diketahui sebab musabab "kematian" majalah ini.

Saya merasakan MBKM terpanggil untuk menerbitkan semula majalah ini setelah melihat situasi menggalakkan penerbitan majalah yang menceritakan tentang dunia buku, seperti MPH Quill (oleh MPH) dan Pop Club (terbitan Popular). ITNM pula dengan majalah www.itnm.com.my.

Naskhah Berita Buku ini diberikan percuma, tetapi tidaklah saya tahu cara mendapatkannya. Saya secara tidak sengaja ternampak majalah ini di bilik bos. Maaf bos saya mengambilnya tanpa meminta izin :)

Dahulu pun MPH Quill dan Pop Club diberikan percuma kepada umum, tetapi kemudiannya hanya diberikan secara percuma kepada pemegang kad keahlian. Untuk orang lain - jual!

Walau bagaimanapun, tahniah kepada MBKM kerana menerbitkan Berita Buku yang berjaya menampilkan penulis-penulis hebat, antaranya Shaharom TM Sulaiman, Zaharah Othman, Uthaya Sankar SB, Reggie Lee, Arief Hakim Sani dan lain-lain. Kualiti artikelnya, kertasnya, dan reka bentuknya pun menarik.

Saya pun menumpang kaki sama menulis satu artikel dan satu laporan aktiviti. Menumpang...

Sejak awal Ramadan, saya dan keluarga isteri "berkampung" di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Alhamdulillah pak mentua saya selamat menjalani pembedahan pintasan jantung, dan kini berada di Unit Rawatan Rapi Jantung (CICU) PPUM.

Hampir semua kafeteria sudah saya rasai makanan yang dijual, dan hampir semua kiosk saya masuk untuk membeli barangan keperluan serta kehendak.Di hospital, selain kafeteria dan kedai runcit, akan ada juga kedai bunga dan kedai buah-buahan.

Biasanya apabila menziarahi orang sakit, kita akan membawa bunga atau buah-buahan. Namun tidak semua pesakit boleh memakan buah semasa dalam pengawasan doktor, dan tidak semua pesakit suka bunga (mungkin alahan).

Cuma satu buah tangan yang tidak menjadi masalah jika diberikan kepada pesakit, iaitu bahan bacaan. Kalau pesakit beragama Islam, biasanya akan ada Quran (tafsir) ataupun Yasin berhampiran dengannya. Bagi yang lain, paling tidak pun akan ada majalah di samping mereka. Jangan sesekali bawa Yasin yang disisipkan di dalam kocek baju semasa menziarah pesakit yang tidak tenat/nazak!

Semasa menunggu giliran lebih sejam untuk mendapatkan ubat di farmasi PPUM, di hadapannya ada Kedai Syidah yang banyak menjual majalah dan buku. Daripada pemerhatian saya, setiap tiga orang akan membayar majalah ataupun buku, mungkin untuk bacaan dirinya sendiri ataupun untuk pesakit di dalam wad.

Memang ada kajian yang membuktikan membaca mampu menenteramkan jiwa pesakit dan mengurangkan stres mereka yang menziarah pesakit. Malah terdapat penyelidikan yang mendapati membaca merupakan antara terapi mujarab untuk menyembuhkan penyakit.

Tetapi kami cuma memberikan tafsir Quran kepada pak mentua. Kami tidak memberikan Harakah, Berita Harian mahupun Utusan Malaysia kepada pak mentua kerana dia biasanya akan "terikut-ikut" dengan apa yang dibacanya. Risau kalau beliau marah, denyutan jantungnya akan berdetak dengan lebih kencang.

Di dalam Suara Keadilan keluaran 6-13 Okt 2009, menyatakan, "... ITNM yang ditugaskan untuk melakukan terjemahan ini. Malangnya, institut ini tidak produktif, selain menghabiskan sejumlah besar dana awam." Penulisnya kini berada jauh di Amerika Syarikat.

Kritiknya lagi, "... sejumlah besar dana yang dibelanjakan ITNM dihabiskan untuk pentadbiran dan kakitangan awam, bukan penulis dan karyawan."

Di byline, M. Bakri Musa seorang pakar bedah yang menetap di Silicon Valley, California, jelas tidak mengikuti perkembangan ITNM. DBP pun teruk dikritiknya melalui "lidah" akhbar parti politik. Malah setiap kritikannya itu jelas memaparkan kebebalan dirinya sendiri, kerana tidak mengikuti secara rapat perkembangan industri penerbitan buku di Malaysia. Judul artikelnya, "Apabila intelektual turun, si bebal naik".

Setahun lalu, buku ITNM hampir langsung tiada di mana-mana kedai buku utama. Namun kini sila ke MPH, Kinokuniya, dan beberapa kedai buku, pasti akan didapati buku terbitan ITNM.

Malah di MPH, ITNM mempunyai rak khas yang tertera label "Institut Terjemahan Negara Malaysia". Terkini, buku terbitan ITNM mendapat windows display di pintu masuk utama MPH Mid Valley tanpa membayar walau sesen pun.

Buku Menakhoda Zaman menjadi windows display di pintu masuk utama MPH Mid Valley.

Rak khas buku Menakhoda Zaman di semua kedai buku MPH dan kedai buku terpilih.

Rak khas ini diletakkan khusus di tepi kaunter bayaran kedai buku MPH. Malah di belakang kaunter terdapat banner khas untuk buku ini.

Jelas ITNM sebagai GLC menginsafi tidak akan mensia-siakan wang cukai rakyat 1 Malaysia walaupun tidak mendapat dana yang besar daripada kerajaan. Semua inisiatif yang dilakukan adalah untuk bersama-sama penerbit lain membangunkan industri penerbitan buku di Malaysia.

Ahad lalu, 11 Oktober 2009, ITNM melakar satu lagi sejarah penerbitan di Malaysia apabila berjaya menerbitkan buku Perdana Menteri Malaysia, Menakhoda Zaman (Helming the Times) dalam masa kurang sebulan. Pejabat Perdana Menteri menawarkan ITNM untuk menerbitkan buku ini seminggu sebulan puasa.

Menganggap ini sebagai cabaran dan kepercayaan kepada ITNM, pihak pengurusan tanpa ragu-ragu bersetuju dengan tawaran tersebut. Bagi tujuan ini, ITNM bersama-sama MPH Publishing Group bersetuju untuk menjadi penerbit bersama menerbitkan buku ini.

Dalam masa kurang sebulan jugalah, teks ucapan Najib diolah sehingga menjadi rencana yang lebih menarik, disunting, diterjemahkan, disusun atur, dan dicetak. Inilah hasilnya...

Dato' Sri Najib, Encik Mohd Khair Ngadiron (Pengarah Urusan ITNM), dan Dato' Ng Tieh Chuan (CEO MPH).

Dato' Sri Najib membelek buku Menakhoda Zaman.

Siti Nurhaliza pun turut hadir ke majlis dan mendapatkan tandatangan Dato' Sri Najib.

Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Tan Sri Jins Samsudin dan Datuk Khalid Muhammad Jiwa (Datuk K).

Dato' Sri Najib dan Datin Seri Rosmah.

Encik Mohd Khair menunjukkan miniatur buku Menakhoda Zaman.

Sidang akhbar di The Warung.

Datuk K dan Siti Nurhaliza.

Suasana di Majlis Memperkenalkan Buku Menakhoda Zaman.

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menjemput anda menghadiri Majlis Memperkenalkan Buku Menakhoda Zaman (Helming the Times) Sebuah Buku Oleh Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang akan diadakan seperti maklumat berikut:

Tarikh: 11 Oktober 2009 (Ahad)
Masa: 10.30 Pagi
Tempat: East Atrium Mid Valley, Kuala Lumpur
Tetamu kehormat: Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia

Jadilah 100 pembeli pertama dan anda berpeluang mendapatkan tandatangan eksklusif secara langsung dengan Y.A.B Dato’ Sri Najib Tun Razak.*
* Terhad kepada pembelian di kaunter MPH Mid Valley Megamall.

Ulasan buku boleh dibaca di dalam Berita Minggu (ruangan Rencana halaman 31) pada hari ini. Sila klik di sini.

Buku ini akan diperkenalkan pada hari ini di East Atrium Mid Valley Megamall jam 11.00 pagi. Dato' Sri Najib sendiri sanggup meluangkan masa untuk memperkenalkan karyanya ini kepada umum.

100 pembeli pertama akan mendapat tandatangan eksklusif daripada Dato' Sri Najib sendiri.

Iklan Majlis Memperkenalkan Buku Menakhoda Zaman (Helming the Times) ini disiarkan di Berita Harian pada hari ini.

Sila dapatkan naskhah akhbar ini sekarang.

Buku Menakhoda Zaman ini diterbitkan bersama oleh ITNM dan MPH.

Ia dijual dengan harga RM42 (RM45 Sabah & Sarawak) dan dicetak sebanyak 10,000 naskhah. Sebelum berada di pasaran, buku dwibahasa ini telah ditempah sebanyak 7,500 naskhah.

Buku nukilan Dato' Sri Najib Tun Razak ini dijangka menjadi evergreen dan rujukan utama sebagaimana buku Dilema Melayu (Dr. Mahathir).

Syukur malam tadi dapat diadakan majlis solat hajat dan doa selamat di Masjid Abu Bakar, SS19 Subang Jaya. Terima kasih kepada Imam Abas dan kariah masjid yang sudi meluangkan masa bagi majlis ini. Semoga doa kalian diberkati dan bapa mentua saya sihat sejahtera selepas pembedahan nanti. Insya-Allah.

"Penyakit jantung yang sebelum ini hanya menyerang golongan berusia, kini mula 'mendekati' rakyat negara ini yang berusia kurang 40 tahun..."


Ini laporan Berita Harian pada awal minggu ini.

"...gemar meminum teh tarik, memakan nasi lemak dan roti canai serta menghisap rokok secara kerap..."

Merupakan punca utama golongan muda terdedah kepada penyakit jantung.

"...tabiat kurang suka bersenam 'mendekatkan' mereka kepada pelbagai risiko seperti obesiti, darah tinggi dan kencing manis, iaitu penyebab penyakit jantung."


Saya kini sangat kurang bersenam. Tambahan pula bekerja dalam pejabat yang berhawa dingin.

Adakah...Apakah...?