Bahagian Majalah DBP

Bahagian Majalah DBP & Unit Majalah Dawama

Setiap bulan, editor-editor Bahagian Majalah DBP akan duduk berbincang dengan Unit Majalah Dawama berkenaan isu-isu fokus bagi keluaran majalah dua atau tiga bulan akan datang (prapenerbitan). Dalam masa yang sama juga, kami akan duduk mencari sebab kesilapan dan kekurangan bagi setiap majalah yang sudah diterbitkan (pascapenerbitan). Setiap bulan juga kami akan bermesyuarat berkenaan kulit majalah (design council).

Saya suka apabila tiba masa mesyuarat-mesyuarat ini. Suka melihat orang-orang besar kedua-dua belah pihak bertekak dan bertelagah. Walau bagaimanapun, sesudah tekak "perit", boleh pula mereka duduk semeja menikmati hidangan yang disediakan. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Saya suka mendengar dan melihat. Kemudian, santap sahaja jamuan...

Pak Lah suka nombor 13? Kenyataan ini dinyatakan oleh banyak pihak kerana nombor itu kerap beliau gunakan. Contohnya, nombor pendaftaran keretanya adalah 13 dan lain-lain lagi. Sila baca Utusan.

Walau bagaimanapun, nombor 13 biasanya dianggap tidak bertuah. Orang Rom menganggap 13 sebagai tanda kematian dan kehancuran. Menurut mitos orang Norse, sekiranya anda meletakkan 13 orang di satu meja, situasi itu sangat tidak bertuah. Mengapa? Semasa satu jamuan 12 orang di Valhalla, seorang penceroboh duduk di meja itu. Akibatnya, keadaan itu menyebabkan kematian Odin, anak Balder.

Ketakutan pada nombor 13 dipanggil triskaidekaphobia. Mungkin disebabkan fobia ini menyebabkan banyak bilik hotel tiada tingkat 13, banyak bangunan tidak diwujudkan tingkat 13, dan tiada barisan tempat duduk ke-13 di dalam kapal terbang. Malah banyak projek baharu atau permulaan pelayaran tidak diadakan pada 13 hari bulan. Tragedi berdarah Malaysia juga berlaku pada 13 Mei.

Tunang saya lahir pada 23 Ogos. Allah jua yang mengetahui...












Majlis ini berlangsung di rumah Fadhilah di Subang Jaya. Terima kasih Kak Maz (kakak ipar) kerana menyediakan lima dulang hantaran yang memang cantik. Terima kasih juga kepada Mas Aini kerana memberikan saya tujuh dulang hantaran yang sama cantik. Gambar-gambar "ditangkap" oleh Abang Hisham. Walaupun lewat menghubunginya, beliau tetap dapat datang menangkap gambar-gambar yang menarik. (Klik gambar untuk paparan lebih besar). Insya-Allah, nikah dan majlis akan diadakan pada bulan Ogos ini.

Gambar-gambar lain akan dimuat naik kemudian. Pada hari ini sehingga Rabu (30 Januari 2008) ada kursus Asas Bahasa Melayu (walaupun sudah setahun mengendalikan Dewan Kosmik).

Saya tergolong dalam golongan terasa geli apabila digeletek. Sahabat saya, Ghani (Editor Dewan Pelajar) pula akan melatah apabila digeletek di perutnya. Emak pula tidak ada reaksi langsung apabila digeletek. Ada orang kata, individu yang terasa geli apabila digeletek pasti mendapat pasangan hidup yang cantik! Haha. Mitos semua itu. Faktanya, sekiranya kita menggeletek diri kita sendiri, pasti tidak terasa geli. Pelik! Mengapa?

Sebenarnya ini semua berkaitan dengan minda. Apabila orang menggeletek kita, minda kita tidak bersedia untuk menghadapi "serangan" itu. Dalam masa yang sama, kita pula sibuk ketawa dan geli hati dengan acahan orang itu. Berbeza dengan sekiranya mahu menggeletek diri sendiri. Minda sudah bersedia bagi aksi itu. Lagipun tiada sebarang "bahaya" dikesan pada masa itu, sudah tentu tiada rasa geli dan gelak ketawa.

Tetapi jangan pula kita menggeletek orang yang tidak dikenali. Mungkin kita akan dapat "cap lima" di muka.

Selepas majalah ini diedarkan kepada semua karyawan Bahagian Majalah DBP, macam-macam komen diberikan oleh mereka. Malah siap ada editor yang datang ke meja saya bagi menyatakan rasa tidak puas hati melihat kulit hadapan majalah Dewan Kosmik keluaran Februari 2008. Tidak kurang juga yang memberikan ucapan tahniah kerana menghasilkan kulit hadapan yang kreatif.

Saya ada memberikan naskhah ikhlas majalah ini kepada seorang rakan. Apabila saya meminta komen daripadanya berkenaan kulit hadapan majalah ini, beliau mengatakan, "Biasa-biasa sahaja." Pada malamnya, beliau menelefon saya, "Siapakah memberikan idea untuk kulit hadapan Dewan Kosmik ini?" "Saya", jawab saya. Balasnya, "Kreatif! Selama ini saya melihat kulit hadapan majalah-majalah atau buku-buku DBP biasanya sesuai untuk pembaca orang tua-tua sahaja. Pada kali ini, saya rasa ada sesuatu yang menarik dan istimewa pada kulit hadapan majalah ini." "Entahlah. Majnun pun memandang Laila cantik walaupun orang lain melihatnya hodoh. Lain orang, lain interpretasinya," kata saya.

Semasa di Sekolah Menengah Agama Bugisiah Tampok, Ustazah Khamsah tidak membenarkan kami mengunyah gula-gula getah. Alasannya, ia seperti kambing yang kerap mengunyah. Apabila melihat Abang Shahrul (abang sulung) suka mengunyah gula-gula getah semasa memandu kenderaan, saya mula mengikut tabiatnya itu. Abang Shahrul suka mengunyah gula-gula getah kerana katanya mahu menghilangkan bau mulut yang kurang menyenangkan.

Sekarang, saya kerap mengunyah gula-gula getah. Di dalam kereta, stok gula-gula ini selalu ada. Biasanya apabila mengunyah gula-gula ini pada waktu pagi semasa memandu ke pejabat, saya pasti bersin. Lega rasanya! Bau mulut pun terasa segar. Lebih-lebih lagi pada minggu lepas ada tersiar di Utusan Malaysia yang menyatakan tabiat mengunyah makanan itu dapat memanjangkan usia wanita. Adakah sekiranya kita tertelan gula-gula getah dapat menyebabkannya kekal di dalam perut kita?

Gula-gula getah bukanlah makanan yang boleh hadam, tetapi mungkin kita pernah terdengar kata-kata orang tua-tua yang menyatakan gula-gula getah boleh kekal di dalam perut selama tujuh tahun. Benarkah? Sebenarnya gula-gula getah akan keluar seperti semua benda yang kita telan. Cuma ada beberapa kes yang melaporkan saluran penghadaman kanak-kanak tersumbat sebab banyak tertelan gula-gula getah.

Sebaik-baiknya, kunyah sahaja tetapi usah ditelan. Apabila sudah puas mengunyah, lekatkannya pada kertas atau tisu sebelum buang ke dalam tong sampah. Singapura mengharamkan mengunyah gula-gula getah bagi mengelakkan orang meludahnya merata-rata sehingga mengotorkan laluan pejalan kaki (seperti paparan gambar).

Apabila mendapat jemputan menghadiri sebarang majlis, saya jarang tidak hadir. Kecuali sekiranya benar-benar sibuk dengan tugasan lain. Tadi saya bersama Penolong Editor Dewan Ekonomi, Saudara Rafiq ke Projek Transformasi Bank Simpanan Nasional (BSN) di Hotel Maya. Projek hasil kerjasama BSN dan HeiTech berusaha menjadikan urusan pelanggan BSN lebih efektif dengan aplikasi teknologi broadband.

Sebelum majlis bermula, saya ke tandas bagi membuang air kecil. Perkara yang paling dibenci, tandas tidak menggunakan air, tetapi menggunakan tisu! Lebih baik saya tahan daripada menghadapi keadaan tidak selesa sepanjang majlis berlangsung. Mengapa pihak hotel tidak menyediakan paip air? Saya merasakan pihak hotel bertindak sedemikian kerana tidak mahu lantai tandas basah. Sekiranya difikirkan, air dan tandas tidak dapat dipisahkan. Bukanlah tandas sekiranya tiada air. Kesimpulannya, hotel itu tidak menghormati pengguna Islam kerana air merupakan alat utama bagi taharah atau bersuci.

Sebenarnya sebelum wujudnya tisu tandas, orang dahulu (bukan Islam) menggunakan batang jagung yang sudah dimakan bagi tujuan bersuci. Batangnya digantung di luar tandas sebelum digunakan bagi menyucikan segala kekotoran yang terselit di celah-celah dubur. Sesudah digunakan, batang jagung itu dicampak ke dalam lubang bagi dijadikan kompos. Selain batang jagung, daun juga menjadi pilihan utama untuk bersuci sekiranya pergi berkhemah. Sekiranya "bernasib baik", ulat bulu yang ada pada daun turut menjadi alat untuk bersuci.

Sudah tentu kita terfikir lebih baik menggunakan katalog produk yang banyak memenuhi peti pos rumah daripada bersuci dengan batang jagung atau daun kayu. Sudah tentu juga kita merasa pelik apabila keluar dari pintu tandas itu, ada pula sinki air yang digunakan untuk membasuh tangan. Rupanya tangan perlu lebih bersih berbanding dengan alat sulit di dalam seluar/kain sedangkan kulit alat sulit sebenarnya lebih nipis. Sudah tentu lebih terdedah pada sebarang penyakit.

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Ya Allah, kami memohon agar pertemuan ini dianugerahkan hidayah dan taufik agar urusan harian kami berjalan dengan lancar, beroleh kejayaan dan keberkatan.

Ya Allah, kami dipertanggungjawabkan dengan amanah yang berat, maka anugerahkanlah kepada kami keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut.

Allahumma ya Allah,
Jadikanlah majlis ini sentiasa mendapat petunjuk ke jalan yang diredhai serta hindarkanlah hati-hati kami daripada sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan.

Allahumma ya wasia'l maghfirah wa Ya Munzilal barakati war rahmah,
Selamatkanlah kami dan jadikanlah zaman ini zaman yang bertambah-tambah aman dan tenteram semoga negara kami terus maju lagi makmur dan rakyat dapat hidup bersatu, bantu-membantu antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama.

Amin.

Tetamu kehormat: Pengarah Jabatan Penerbitan.
Tempat: Dewan Seminar, Menara DBP.

Manusia semakin kreatif. Saya pun teruja melihat komputer riba terbaharu keluaran Apple ini.

Fokus Dewan Kosmik keluaran Februari 2008, "Seks dan Teknologi Moden". Saya memilih fokus ini kerana menyedari betapa industri ini semakin berkembang di dunia. Di Amerika Syarikat, industri seks melalui teknologi moden, iaitu internet menjana perolehan melebihi AS$6 bilion. Tidak mustahil industri ini akan merebak ke negara Islam Hadhari ini.

Secara kebetulan, gejala seks baru sahaja menggemparkan negara dengan skandal seks Datuk Seri Chua Shoi Lek. Memang kini seks dianggap sebagai perbuatan yang menjijikkan walaupun menguntungkan bagi sebilangan pihak.

Dalam bahasa biasa, kita mungkin pernah dengar perkataan "jalu". Perkataan ini merujuk pada orang yang berjalan semasa tidur. Di dalam Kamus Dewan, jalu tidak merujuk pada keadaan berjalan semasa tidur. Mungkin jalu adalah perkataan pasar.

Orang mengigau semasa tidur adalah perkara biasa. Mengigau adalah disebabkan terpengaruh dengan mimpi semasa gerakan mata cepat (REM) atau peringkat mimpi. Berjalan semasa tidur juga kadang-kadang pernah dialami oleh orang di sekeliling kita. Inipun keadaan biasa. Cuma keadaan yang luar biasa apabila membunuh semasa tidur, makan semasa tidur dan melakukan perhubungan seks semasa tidur!

Sebenarnya membunuh semasa tidur adalah hujah yang sudah kerap digunakan oleh pelaku jenayah itu. Contohnya, Kenneth Parks (1987), Bernard Charles Brown (1992), Michael Ricksgers (1993) dan banyak lagi kes pembunuhan yang didakwa dilakukan semasa tidur. Manakala Richard Overton (1998) pula melakukan cubaan merogol yang didakwa dilakukan semasa tidur. Kes-kes ini ada yang berjaya digugurkan, malah ada juga yang dikenakan hukuman. Semua kes ini pelik. Tapi yang paling aneh adalah kes Scott Falater (2000) yang membunuh isterinya, dan membawa mayat isterinya melepasi sempadan Mexico. Dia mendakwa melakukan semua itu semasa tidur. Dia berjaya tidur lena di dalam penjara seumur hidup kerana banyak keraguan dalam hujahnya.

Ada banyak lagi kes-kes unik yang dilakukan semasa tidur. Semua ini ditulis oleh Nor Fadhilah Ahmad, Peguam Jabatan Peguam Negara yang bertugas di Kementerian Pertahanan. Saya sekadar memberikan idea kepadanya dan membantu dalam menyusun atur susunan idea dan huruf di artikel. Artikel berkenaan isu ini akan diterbitkan dalam Dewan Kosmik keluaran Mac 2008. Fokus Dewan Kosmik Mac 2008, "Eutanasia: Membunuh atau Ihsan?"

Sabtu lalu, saya pergi ke Jalan TAR, berjalan-jalan di hujung minggu. Singgah sebentar di Pustaka Mukmin, tempat "lepak" saya bersama Saudara Jaafar Rahim. Semasa membelek-belek buku terbaharu di kedai itu, terpandang buku "Penulis Termasyhur di Dunia". Bentuknya seperti buku murah dan picisan. Tetapi sesudah membaca sedikit kandungan buku itu, saya tertarik lalu membelinya bersama-sama dua buku lain dengan harga diskaun 20 peratus (sekiranya membeli buku bersama-sama Saudara Jaafar Rahim, boleh dapat 30 peratus diskaun).

Buku terbitan Pustaka RBS dan disunting oleh Dr. Sherryda Halid menyenaraikan 15 penulis yang hebat dan termasyhur di dunia, antaranya Arthur Conan Doyle, Leo Tolstoy, William Shakespeare, R.K. Narayan, Mark Twain, George Bernard Shaw dan lain-lain. Rata-rata dalam kalangan penulis itu, mereka mengalami saat yang perit sebelum berjaya meletakkan diri sebagai penulis hebat. Ada yang buta huruf semasa di sekolah, dipandang hina oleh masyarakat, muflis, dan banyak lagi pengalaman yang menyedihkan. Buku ini masih ada kekurangan kerana tidak menyenaraikan penulis Islam yang lagi hebat dan masih kekal karya mereka sehingga sekarang seperti Ibnu Sina dan Imam Ghazali.

Saya mula terfikir, apakah magis yang menyebabkan karya mereka masih disanjung tinggi? Sebenarnya penulis-penulis Barat itu sebelum menjadi terkenal, mereka sudah banyak menghasilkan karya. Namun ada satu karya yang berjaya melonjakkan nama mereka sekali gus karya-karya sebelumnya turut mendapat perhatian. Contohnya, Arthur Conan Doyle yang terkenal dengan karya Sherlock Holmes. Karyanya itu sehingga kini terus hidup dalam filem, novel, radio, kartun, komik dan pementasan teater. Sebelum terbitnya Sherlock Holmes, beliau sudah menerbitkan A Study in Scarlet-The Grand Introduction of The Detectives Sherlock Holmes, The Sign and Four, Micah Clarke, The White Company dan lain-lain. The Lost World yang pernah disiarkan oleh TV3 juga adalah karya beliau. Hasil daripada kekuatan tulisannya juga melayakkan beliau memperoleh darjat tertinggi British, iaitu Sir.

Gambar di atas memaparkan suasana semasa perbincangan Majlis Reka Bentuk DBP-DAWAMA atau "Design Council". Tujuannya bagi memilih kulit majalah yang akan menjadi penyeri muka hadapan semua majalah DBP. Semua editor dan pereka bentuk akan duduk bersama berbincang dan melontarkan idea bagi memastikan kulit majalah menarik.

Biasanya cadangan kulit setiap majalah yang dipaparkan sebanyak empat, lima, enam, tujuh...dan 10. Walau bagaimanapun, menurut Saudara Shukri, Editor Dewan Masyarakat yang berkursus di majalah Gatra, Indonesia selama sebulan menyatakan, "Paling kurang kulit majalah yang dicadangkan oleh pereka bentuk Gatra adalah sebanyak 20 konsep. Sekiranya masih lagi kurang menarik, pereka bentuk profesional luar akan mereka kulit majalah Gatra bagi keluaran itu."

Setiap kulit majalah yang terpilih adalah hasil mesyuarat dan kesepakatan bersama. Sekiranya masih lagi tidak menarik selepas diterbitkan, apalah yang dapat dikatakan? Majnun pun memandang Laila cantik dan menarik walaupun orang lain memandang Laila seorang yang hodoh.

BEIJING 9 Jan. - China telah menutup kira-kira 200 laman web yang memaparkan iklan dadah dan seks haram, lapor media tempatan.
Langkah ini adalah sebahagian usaha untuk menghapuskan unsur-unsur tidak sihat dalam Internet, kata media kerajaan.
Kira-kira 6000 laman web didapati memaparkan iklan haram dan menggalakkan seks melibatkan dadah sebagai perangsang seks dan juga ubat kesihatan tambahan, lapor People's Daily.
Sebanyak 199 akan ditutup dan 130 lagi akan diperbaiki, lapor surat akhbar itu lagi.
Ia tidak menyatakan apa yang akan berlaku kepada laman web yang selebihnya.
China telah melancarkan beberapa kempen untuk mengemaskan talian Internet sebagai persediaan penganjuran sukan Olimpik Beijing yang akan berlangsung pada tahun ini.
Minggu lalu, pegawai atasan penerbitan telah mengenakan sekatan terhadap laman web Internet yang membenarkan pengguna untuk muat turun video dan audio.
Mereka juga mengarahkan semua pengeluar mengawasi bahan yang diterbitkan atau disiarkan dengan mengancam untuk mengenakan denda dan hukuman lain. -Reuters
(Utusan Malaysia 10 Januari 2008)

China, negara komunis sudah melakukan sejajar dengan syariat Islam, "Jangan mengampiri zina." Bilakah pula MIMOS dan MCMC, organisasi di bawah kerajaan Islam Hadhari akan mengambil langkah yang sama? InsyaAllah...

Fokus Dewan Kosmik keluaran Februari 2008, "Seks dan Teknologi Moden".

Semalam saya memperoleh satu artikel daripada pelajar UTM, Jalan Semarak, KL, Muhammad Abhar Rosnan. Beliau menulis berkenaan keajaiban burung boleh bercakap persis manusia. Yang pelik, walaupun burung tidak ada akal dan tidak ada tekak tetapi berupaya mengeluarkan bunyi yang bukan sahaja merdu malah mengasyikkan.

Sekiranya manusia mempunyai larinks, peti suara, lidah, bibir, gigi dan lelangit, burung pula mempunyai sirinks bagi menghasilkan pelbagai bunyi. Tambahan pula, burung memiliki dua saluran bronkus atau tiub udara. Ini membolehkan burung dapat menghasilkan dua bunyi yang berlainan seolah-olah sedang berduet.

Tentu kita pernah mendengar burung bercakap, "Assalamualaikum", "Selamat pagi" dan membunyikan kembali deringan telefon, bunyi ketukan pintu dan sebagainya. Tanpa syak dan ragu, ini ciptaan Allah S.W.T.

Artikel ini akan diterbitkan di dalam Dewan Kosmik keluaran Februari 2008.

Isu fokus: Sains Menyelongkar Alam Mistik

Alam mistik sering didogmakan sinonim dengan hantu. Ini paradigma kebanyakan orang kita. Adakah alam mistik benar-benar wujud ataupun sekadar ilusi manusia? Ikuti paparan menarik Dewan Kosmik membongkar kewujudan paranormal dengan bukti saintifik.

Artikel-artikel lain:
- Teknologi Membongkar Alam Mistik
- Rahsia Haram Arak
- Sains di Sebalik Comel
- Tragedi Kapal Angkasa Columbia 2003