Artikel lepas, Tuan Faizal menyatakan, "Air panas memang cepat menggelegak disebabkan molekul-molekul airnya, H2O sudah 'diaktifkan' ( ikatan antara molekul sudah agak longgar). Panas kan 'ais' lagi lambat untuk menggelegak..hehe!.. Teori Pepejal>Cecair>Gas."

Bagaimana pula hendak membekukan ais? Adakah ais akan lebih cepat membeku dengan air sejuk ataupun dengan air panas?

Sebenarnya sains menjadi lebih menarik sekiranya dicuba sendiri. Saya bukan pelajar jurusan sains (saya jurusan agama), tetapi menurut Kak Ritah yang menghadiri Seminar Lautan Biru (daripada buku Blue Ocean Strategy), "Mengapa Tony Fernandez yang pakar dalam bidang muzik diberikan cabaran untuk mengendalikan industri penerbangan?" Kak Ritah jawab sendiri, "Sebab dia mengetahui kehendak pelanggan." Mungkin sebab itulah bos memberikan saya tanggungjawab mengendalikan majalah Dewan Kosmik supaya dapat mengetahui minat pembaca bukan aliran sains untuk membaca majalah sains.

Saya pun mencuba meletakkan air panas dan air sejuk ke dalam dulang kiub ais ke dalam peti ais baharu (baca: lama). Jawapannya, air sejuk (dari paip) lebih cepat beku berbanding dengan air panas. Namun air panas cuma lambat membeku tidak lama selepas itu, mungkin tidak lebih 15 minit.

Ironinya, saya mendapat maklumat sekiranya dua baldi yang masing-masing berisi air panas dan air sejuk diletakkan di luar rumah semasa musim sejuk (di negara beriklim empat musim), air yang panas akan membeku dahulu. Mengapa?

Mungkin sekiranya air panas, penyejatan akan menghilangkan banyak jisim air, jadi tidak perlu banyak air yang perlu dibekukan.

Mungkin Tuan Faizal dapat menjawab dengan secara saintifik.

Kebelakangan ini, saya mula belajar memasak sendiri, masak yang mudah-mudah sahaja seperti bubur. Yang berat-berat belum lagi dipelajari. Emak menyuruh beli itu dan ini supaya mudah memasak nanti. Semua peralatan memasak sudah ada, cuma belum tahu hendak memasak masakan apa.

Kadang-kadang duduk makan berseorangan di dapur, terfikirlah macam-macam. Apa sebab bawah sink boleh keluar air, bagaimana penghembus dapur (stove blower) menghilangkan asap dari dapur memasak, mengapa bau busuk walaupun sampah hanya ditinggalkan sehari semalam (haha), dan bolehkah memasak air menggunakan air sejuk ataupun air panas?

Kalau memasak air menggunakan air panas, adakah air itu cepat dijerang? Ataupun sekiranya menggunakan air sejuk, adakah air itu lambat menggelegak?

Saya pun mencuba melakukannya...

Satu dapur diletakkan air panas, manakala satu lagi dapur diletakkan air sejuk yang sama kuantitinya dengan air yang panas (di sebelahnya). Api dapur yang dinyalakan pun sama nyalaannya.

Jawapannya...Air panas memang lebih cepat menggelegak.

Walau bagaimanapun, lebih selamat sekiranya minum air yang dimasak daripada air sejuk/air paip kerana air yang sudah dijerang lebih banyak mengandungi bahan mineral terlarut. Sebab itulah Ustaz Amran (di sekolah dahulu) tidak membenarkan menjerang air untuk kali kedua semasa berkhemah di Gunung Ledang.

Ini bulan kedua majalah Dewan Kosmik membicarakan berkenaan binatang. Pada Jun 2008, isu yang ditekankan berkaitan dengan pemanasan global. Maksudnya, betapa perlu manusia memelihara dan memulihara binatang/haiwan/hidupan liar demi kelangsungan manusia sendiri. Sekiranya satu rantaian kehidupan dalam alam ini (manusia-haiwan-tumbuhan) tidak berfungsi, pasti menyebabkan kerosakan. Kerosakan kepada manusia menyebabkan kita menderita. Kerosakan kepada alam menyebabkan pelbagai bencana yang berlaku.

Sebenarnya saya sendiri tidak tahan melihat pelbagai kerosakan yang dilakukan oleh manusia. Geram!

Dewan Kosmik keluaran Julai 2008 pula menekankan isu vektor yang menyebabkan manusia menderita. Judul coverline: "Angkara Vektor, Manusia Menderita". Vektor ialah binatang pembawa virus yang menyebabkan manusia dijangkiti penyakit. Contoh binatang vektor seperti nyamuk, lalat dan tikus. Berbeza dengan zoonosis yang bermaksud penyakit binatang yang disebarkan kepada manusia contohnya anjing gila, penyakit kuku dan mulut, dan sebagainya.

Kedua-dua masalah (vektor dan zoonosis) memang menyeksakan manusia sehingga menyebabkan kematian. Saya tidak membicarakan berkenaan penyakit denggi sahaja, tetapi meliputi pelbagai penyakit termasuklah malaria, untut, tifus, JE, hawar dan demam kuning. Kes penyakit lain kecuali denggi semakin surut, tetapi kes denggi saban tahun kian meningkat. Yang peliknya, denggi merebak di mana-mana sahaja. Di sekolah, rumah kediaman malah tempat bekerja pun sudah tidak terselamat daripada penyakit ini.

Dengan harapan, pembaca dapat maklumat berguna daripada Dewan Kosmik sebagai langkah pencegahan. Maklumat yang disampaikan hasil daripada wawancara dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Institut Penyelidikan Perubatan.

Saya sedang sibuk menyiapkan artikel untuk Dewan Kosmik keluaran Ogos 2008. Perlu disiapkan segera memandangkan saya akan bercuti panjang nanti. Tambahan pula pada petang ini saya terlibat dengan persembahan gamelan sempena Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP ke-52 oleh YB Dato' Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Sejak masuk pukul 8 pagi tadi (selepas bersarapan dengan Rafiq [Penolong Editor Dewan Ekonomi]), saya duduk sahaja di meja.


Tiba-tiba dapat panggilan pada pukul 12.33 tengah hari, "Aku hendak datang jumpa kau sekejap lagi." Jawab saya, "Baiklah jumpa di tingkat lima ya!" Dalam hati, tertanya-tanya sebab Abang Zoy hendak berjumpa pada waktu tengah hari begini. Baru teringat saya pernah memesan album terbaharu kumpulannya, Dewangga Sakti berjudul Mabok Kepayang. Abang Zoy pernah memberikan e-mel yang mengandungi tiga lagu kumpulannya itu, iaitu Mabok Kepayang, Takseem dan Takseem 2. Memang saya berminat dengan lagu-lagu berirama Melayu. Bak kata Tunang, jiwa saya masih lagi utuh dengan semangat budaya Melayu. Walaupun sebenarnya masih ada darah Cina di dalam tubuh badan ini. Arwah nenek (sebelah emak) dahulunya berbangsa Cina.


Kehadiran Abang Zoy ke DBP memang "langkah kanan" kerana dapat bertemu dengan wartawan Meja Sastera Berita Harian, Sheikh Nazmi Yaakub yang kebetulan menjalankan liputan program DBP. Sebelum balik, berpeluang pula bertemu dengan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh. Saya langkah kanan juga kerana diberikan empat CD; satu saya beli, satu hadiah percuma kepada Tunang, satu untuk dijual kepada orang lain, satu lagi kepada Editor Dewan Budaya. Editor Dewan Budaya, A. Ghapar Abdullah terus sahaja mencoretkan sesuatu dalam perancangan penerbitan majalahnya keluaran Ogos 2008 sebaik sahaja saya menyerahkan CD Dewangga Sakti kepadanya. Katanya, "Saya terus memasukkan dalam perancangan saya!"


Dalam iTunes di komputer riba (di rumah) dan di komputer pejabat (salah guna?) penuh dengan lagu gamelan, zapin, instrumental dan lain-lain. Biasanya lagu gamelan akan dimainkan dengan memakai headset yang digunakan untuk tidur sebelum solat Jumaat. Mungkinkah lagu-lagu Dewangga Sakti yang hampir kesemua ahli kumpulannya senior saya di UIA akan saya gunakan untuk tidur? Tidaklah sama sekali kerana ada orang menyanyi dalam beberapa lagunya. Yang pastinya, lagu-lagu ini akan saya gunakan untuk didendangkan semasa majlis walimah saya di Johor Bahru. Abang Zoy, perlukah dibayar royalti? Di JB tiada apa-apa persembahan, cuma majlis walimah di KL ini sahaja yang ada persembahan gamelan adik-adik UIA. Daripada lima lagu dalam album Mabok Kepayang ini, paling saya suka ialah Tertinggal Kapal Angkasa.


Saya pernah bermain muzik bersama-sama mereka di Pasar Seni. Pada masa itu saya bermain gamelan, mereka dengan instrumen masing-masing. Lagu yang didendangkan pada masa itupun saya sudah tidak ingat lagi. Yang saya ingat, memang penuh dengan eksperimen semua lagu pada masa itu. Kehadiran album ini memang saya nantikan kerana terasa jemu juga asyik mendengar lagu Mohram sahaja. Sudahlah di televisyen (termasuk drama Melayu) ada lagu-lagunya, di dalam pesawat MAS pun ada juga. Alhamdulillah terbit juga album kumpulan Abang Zoy ini. Gembira juga melihat sahabat-sahabat seperti Mat Rock (Irwan) dan Wahyun sudah menyertai kumpulan ini. Abang-abang seperti Abang Mohsen dan Abang Raof memang saya kagumi semangat dalam mengimarahkan muzik tradisional walaupun dari lulusan UIA. Sebab orang kata lulusan UIA ini asyik bernasyid sahaja. Namun kini ada juga yang bermain muzik Melayu walaupun di UIA hanya belajar menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Arab.


Yang paling menarik, album ini murah sahaja. Hubungi sahaja Abang Zoy di Dewangga Sakti.




Semasa majlis konvokesyen saya pada 28 Ogos 2006. Saya dalam jurusan usul fiqh dan sains politik. Manakala Tunang dalam jurusan undang-undang.

Pada masa itu, kami kawan.

22 Jun 2008. DBP sudah berusia 52 tahun. Usia abah lebih lima tahun, emak kurang setahun daripada abah.

Ada orang mengkritik. Sudah berusia 52 tahun, tetapi mengapa perlu diadakan program-program yang tidak mencerminkan pembudayaan ilmu yang sewajarnya dilaksanakan oleh agensi yang mendukung budaya intelektual. Secara peribadi, saya menyokong "suara sumbang" itu. Saya mengimpikan pelbagai wacana ilmiah yang benar-benar memberikan kesan kepada masyarakat. Orang lama DBP kata, "Kali terakhir program DBP yang menggemparkan negara semasa Syarahan Perdana Palestin yang menempatkan dua tokoh politik negara di atas satu pentas, iaitu Dr. Mahathir dan Allahyarham Fadzil Nor."

Siapa hendak disalahkan?

Walau bagaimanapun, Jom ke DBP pada kali ini ada program pertemuan atau ramah mesra antara pembaca/penulis bersama-sama editor majalah. Inilah peluang untuk bersua muka dengan editor sembilan majalah terbitan DBP. Saya suka dengan program ini, tetapi tetap ada masalah juga. Hehe.

Masalahnya, saya risau sekiranya selepas berhubung rapat dengan penulis yang ditemui, khuatir juga sekiranya tidak diterbitkan karya mereka dalam majalah yang mempunyai 64 halaman sahaja. Itu masalah yang biasa dihadapi sekiranya penulis ada nombor telefon bimbit editor. Sampai malam pun ada juga penulis yang telefon dan bertanya, "Artikel saya sudah diterbitkan?" Serba salah. Hendak dijawab secara jujur, memanglah tidak wajar. Biasanya terpaksa juga menggunakan ayat-ayat penyedap hati, "Insya-Allah akan diterbitkan."

Datanglah ke DBP 21-22 Jun ini bermula 9 pagi. Ada pelbagai acara yang diadakan untuk seisi keluarga. Jumpalah editor-editor majalah di Sanggar Za'ba yang dipenuhi pelbagai buku terbitan DBP sejak penubuhannya 52 tahun lalu.

Lega.

Urusan pengesahan borang untuk bernikah sudah selesai. Cuma belum diserahkan lagi kepada Tunang. Itupun selepas menghadapi pelbagai kerenah dan masalah birokrasi.

Cuma agak pelik kerana masih ada lagi agensi kerajaan yang tidak menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat. Dalam masa transaksi bank boleh menggunakan internet, dalam masa cukai jalan boleh dibayar dengan menggunakan internet, dalam masa segala macam borang boleh dimuat turun dengan menggunakan internet, masih ada lagi borang yang tidak diedarkan melalui internet.

Maka terpaksalah saya berulang alik dari pejabat (sehingga terpaksa memohon cuti) ke Pejabat Agama Kajang (untuk mendapatkan borang pemastautinan) ke Bandar Tun Hussein Onn (untuk mendapatkan tandatangan pemastautinan daripada penghulu), kemudian ke Pejabat Agama Kajang semula untuk menguruskan semua borang.

Saya mengerti punca dilaksanakan semua birokrasi ini. Mungkin untuk mengelakkan segala masalah berlaku kemudian hari, tetapi agak menyusahkan walaupun sepatutnya semuanya boleh dilakukan dengan mudah.

Cadangan saya, laburkan sedikit belanjawan untuk membangunkan aplikasi internet dan server. Saya pernah melawat Pusat Data HeiTech Padu di Shah Alam yang memang hebat. Dilihat dari luar bangunan, memang tidak sangka bangunan itu memuatkan pelbagai teknologi yang sepatutnya digunakan oleh pelbagai agensi kerajaan yang masih menggunakan laman sawang yang kuno.

Semalam saya dengan selamba keluar dari Kursus Etika, Protokol dan Penampilan Diri untuk menziarah rakan sekerja, Rohaya Md. Yusof di Hospital Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, saya lewat tiba lima minit kerana beliau baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Beliau bertugas sebagai Penolong Editor Dewan Sastera sudah lama menaburkan bakti di DBP. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya.

Al-Fatihah.

Di bahagian majalah, cuma Rafiq sahaja yang bertangan kidal. Cacat? Tidaklah. Ia dipanggil orang istimewa! haha.

Pernah ada orang kata, individu yang bertangan kidal dikaitkan dengan kejahatan. Namun tidaklah betul sama sekali. Hanya kerana orang itu tidak melakukan semua perbuatan dengan tangan kanan, tidak sewajarnya dianggap tidak elok. Tidak pula Rafiq makan dengan tangan kiri, tetapi tidak pastilah dia masuk ke masjid masih dengan kaki kiri.

Kelebihan orang kidal ini banyak pada arena sukan. Memang Rafiq aktif dalam sukan. Asal ada sahaja sukan di DBP ini, ada sahaja mukanya. Walau bagaimanapun, Rafiq tetap "lauk" kepada Murad dalam pertandingan badminton antara jabatan DBP. huhu.

Yang paling ketara, banyak rakan-rakan yang kidal pandai matematik. Contohnya Farhana (rakan sekerja di Seven Eleven selepas SPM dulu) dan Fiza (kawan di UIA). Kini Farhana di Kementerian Kewangan (patutlah) dan Fiza di TM.

111 111 111
x 111 111 111
12345678987654321


Kalau tidak percaya, gunakan sahaja kalkulator.

Saya mula menggunakan komputer semasa berumur 12 tahun (darjah enam). Seingat saya, pada masa itu hanya kami yang sudah memiliki komputer di kuarters Kastam. Abah sanggup membelinya semata-mata mahu melihat anak-anaknya dapat mengikuti perubahan teknologi semasa.

Semasa mula-mula mengetuk papan kekunci (keyboard) memang menyusahkan. Terfikir juga kenapalah orang yang mencipta alat ini tidak menyusunnya mengikut susunan huruf abjad. Pada masa itu, terkial-kiallah mengetuk papan kekunci semata-mata mahu menulis nama sendiri (suka menulis nama sendiri di WordPad).

Papan kekunci yang digunakan sekarang sebenarnya diadaptasikan daripada mesin taip. Christipher Sholes adalah orang yang mempatenkan mesin taip pada 1868. Pada asalnya, beliau hanya menyusun huruf-huruf yang kerap digunakan pada papan kekunci mesin taip. Huruf pertama di papan kekunci ialah QWERTY (seperti di papan kekunci; baris pertama dari sebelah kiri atas).

Pernah ada usaha untuk mencipta papan kekunci baharu untuk menggantikan QWERTY, iaitu pada 1936 oleh August Dvorak. Beliau menyusun huruf vokal AEIOU di tengah-tengah papan kekunci. Manakala huruf konsonan yang biasa digunakan, iaitu DHTNS diletakkan di sebelah kanan. Beliau menyangkan tindakannya itu memudahkan pengguna atau membantu jurutaip menaip dengan pantas, tetapi banyak pengguna mengadu sukar mempelajarinya.

Di barisan pertama papan kekunci, perkataan yang boleh dibina ialah TYPEWRITER, PREREQUIRE, PROPRIETOR, REPERTOIRE, REPETITORY, dan PERPETUITY.

Perkataan paling panjang yang boleh dibina daripada papan kekunci bahagian tengah ialah ALFAFAS.

Ayat bahasa Inggeris yang menggunakan semua huruf di papan kekunci ialah, "The quick brown fox jumps over the lazy dog."