Lega.

Urusan pengesahan borang untuk bernikah sudah selesai. Cuma belum diserahkan lagi kepada Tunang. Itupun selepas menghadapi pelbagai kerenah dan masalah birokrasi.

Cuma agak pelik kerana masih ada lagi agensi kerajaan yang tidak menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat. Dalam masa transaksi bank boleh menggunakan internet, dalam masa cukai jalan boleh dibayar dengan menggunakan internet, dalam masa segala macam borang boleh dimuat turun dengan menggunakan internet, masih ada lagi borang yang tidak diedarkan melalui internet.

Maka terpaksalah saya berulang alik dari pejabat (sehingga terpaksa memohon cuti) ke Pejabat Agama Kajang (untuk mendapatkan borang pemastautinan) ke Bandar Tun Hussein Onn (untuk mendapatkan tandatangan pemastautinan daripada penghulu), kemudian ke Pejabat Agama Kajang semula untuk menguruskan semua borang.

Saya mengerti punca dilaksanakan semua birokrasi ini. Mungkin untuk mengelakkan segala masalah berlaku kemudian hari, tetapi agak menyusahkan walaupun sepatutnya semuanya boleh dilakukan dengan mudah.

Cadangan saya, laburkan sedikit belanjawan untuk membangunkan aplikasi internet dan server. Saya pernah melawat Pusat Data HeiTech Padu di Shah Alam yang memang hebat. Dilihat dari luar bangunan, memang tidak sangka bangunan itu memuatkan pelbagai teknologi yang sepatutnya digunakan oleh pelbagai agensi kerajaan yang masih menggunakan laman sawang yang kuno.

0 komen: