Malam ini, 28 Mac, saya ke Muar untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu.

Kemudian pada 31 Mac sehingga 3 April, saya berada di Pulau Pinang bagi menjalankan penyelidikan berkenaan faktor undi orang Melayu tidak berpihak kepada Barisan Nasional.

Tahun 2007. Semasa satu program di Hotel Hilton, KL Sentral, singgah sebentar di satu gerai pameran, Jabatan Kimia Malaysia. Dapat pamplet menerangkan berkenaan Seksyen Pemeriksaan Dokumen. Di situlah saya mendapat idea menjadikan TULISAN sebagai fokus Dewan Kosmik April 2008.

Semalam saya baru pasang Astro. Haha. Sebab baru pindah rumah. Bukan sebab mahu melihat Akademi Fantasi ataupun bola EUFA sekarang ini, tetapi mahu melihat CSI Supreme Sunday, setiap Ahad. CSI banyak memberikan saya maklumat berkenaan kajian sains bagi mendedahkan bukti jenayah.

Terujanya saya pada fokus ini sehingga mendorong saya menulis dua artikel fokus, "Rahsia di Sebalik Tulisan" dan "Peribadi Melalui Tulisan Tangan". Dua-dua artikel ditulis dalam dua hari berlainan. Puas! Saya mula suka dengan sains sejak terjebak dengan Dewan Kosmik. Dulu minat juga, tetapi dapat B3 dalam SPM. Hehe.

Banyak lagi artikel menarik dalam keluaran April. Antaranya, Sains di Sebalik Mimpi, Putik Kapas Punca Kurang Dengar, Keistimewaan Ciptaan Burung, dan lain-lain.

Terima kasih kepada Mohd Fauzi Hashim kerana banyak memberikan perubahan kepada Dewan Kosmik. Pereka bentuk Dewan Kosmik ini bertukar kerjaya selepas keluaran ini.

Kalau mahu mendapatkan naskhah percuma, datanglah ke tingkat 20 DBP.

Sila klik untuk paparan lebih besar.

Siapa pernah membaca Dewan Budaya, sila angkat tangan!

Rugi sekiranya tidak pernah membacanya. Antara penulisnya, SN Muhammad Haji Salleh, Johan Jaffar, dan banyak lagi penulis hebat.

A. Samad Said. Siapa yang tidak kenal beliau. Beliau memiliki karisma tersendiri walaupun memiliki imej selekeh. Beliau berbeza dengan sembilan SN yang lain. SN lain ada orang yang tidak kenal pun, tetapi Pak Samad menjadi idola banyak orang. Akhbar semalam, siapa yang menang hadiah dapat berbicara dengan beliau bersama-sama Sheikh Muszaphar.

Tidak perlu menang anugerah pun boleh berborak dengan Pak Samad di tepi jalan sahaja. Lepaklah selalu di Kinokuniya, KLCC, tentu dapat bertemu dengan "pakcik" ini. Orangnya "sempoi". Pernah di sekolah dulu, cikgu tambahan dari sekolah luar kata, "Saya siap pakai kasut tumit tinggi semata-mata kerana A. Samad Said datang melawat sekolah. Rupa-rupanya dia sekadar memakai selipar Jepun sahaja."

Semua maklumat ini dapat diperoleh dari buku di atas. Murah sahaja. Saya pun teruja mendapatkan buku itu. Penulis buku itu, Dinsman. Ada tulisannya dalam Harakah terbaharu.


Sila klik untuk paparan lebih besar.

Siapa kata DBP tidak lagi menerbitkan buku-buku yang kurang berkualiti? Setakat ini, saya belum pernah orang mempertikaikan kualiti buku-buku DBP. Yang biasa didengar, "Buku DBP tidak menarik, buku DBP sukar diperoleh, buku DBP kurang promosi...bla...bla...bla..." Semoga Allah membuka pintu hati pengurusan syarikat D supaya mengadakan transformasi syarikat. Amin...

Suria Janib, penolong editor Dewan Masyarakat mengulas buku Faisal Tehrani, bakal Sasterawan Negara (SN), bak kata SN A. Samad Said (mantan?). Harganya RM25, 312 halaman. Murah! Kalau saya membeli di Koperasi DBP, boleh dapat diskaun 20 peratus, tetapi sekiranya membelinya di syarikat D di Hulu Kelang, boleh dapat 30 peratus! Ahaks!

Buku Faisal tidak pernah saya tidak beli (contoh ayat yang memeningkan semasa mengedit artikel). Bermula dengan buku 1515, sehingga kini saya terus membaca karyanya. Cuma bak kata salah seorang wakil penerbit buku, dia tidak suka dengan cara Faisal yang suka "lompat-lompat" penerbit. Memang pun. Sekejap di DBP, sekejap di UP&D, sekarang ini banyak di Ameen pula. Itu belum dikira buku yang diterbitkan oleh penerbit "entah", contoh Tunggu Teduh Dulu. Alasan penerbit, "Kalau kita sudah banyak mempromosikan mereka, tiba-tiba dia pergi ke penerbit lain, rugilah kita." Bagi penulis pula, "Siapa dapat memberikan royalti yang tinggi, saya akan menerbitkan karya dengan mereka." Cari makan...

Saya belum membaca lagi buku ini walaupun diiktiraf sebagai tempat pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Saya akan mendapatkannya di syarikat D, Hulu Kelang walaupun Koperasi DBP ada di bawah ini sahaja.

Sila klik untuk paparan lebih besar.

Seperti buku sains, DBP juga kurang menerbitkan buku-buku perniagaan dan pengurusan. Dewan Ekonomi pun banyak mengulas buku-buku "luar".

Ruangan di atas ditulis oleh Jaafar Abdul Rahim, mantan pegawai DBP. Semasa saya di UIA, saya suka membaca ulasan buku yang ditulis oleh Shaharom TM Sulaiman, Zulkifli Salleh, dan Jaafar Abdul Rahim. Sehingga kini saya masih lagi membaca ulasan buku mereka, Shaharom di Kosmo, Zulkifli dan Jaafar di majalah terbitan DBP, kadang-kadang di akhbar. Jaafar baru keluar wad hospital kerana menghidap penyakit diabetis @ kencing manis.

Ulasan mereka buka "menceduk" daripada blurb di belakang buku. Ulasan mereka dapat menarik pembaca membeli buku tersebut sekali gus mencari buku-buku berkaitan. Mereka memang benar-benar membaca buku itu dengan menggunakan skil pembacaan pantas. Jangan dipertikaikan sekiranya buku yang diulas itu dibaca dalam tempoh yang pendek.

Saya pernah membaca buku Tony Buzan bagi menguasai skil pembacaan pantas, tetapi kurang berkesan. Kelmarin selama dua hari saya berkursus di DBP berkenaan pembacaan pantas yang dikelolakan oleh Encik Manimaran Govindasamy, bekas wartawan Kosmo, juga penulis Dewan Masyarakat, kini sedang menamatkan pengajian PhD. Kesimpulannya, pembacaan pantas adalah skil yang perlu selalu berlatih.

Berkenaan buku di atas... Kita tentu ada buku Blue Ocean Strategy, Six Sigma dan lain-lain. Buku di atas adalah himpunan bagi semua idea pengurusan yang diamalkan di dunia.

Sila klik untuk paparan lebih besar.

Ulasan ini ditulis oleh Puan Filzah Ibrahim, pegawai di Pusat Penyelidikan Sastera Kanaka-kanak dan Remaja (PURNAMA), DBP. Buku-buku yang diulas adalah terbitan Bahagian Sains dan Teknologi, Jabatan Penerbitan DBP.

Bos saya pernah "sound", "Mengapa Dewan Kosmik kurang mengulas buku-buku sains terbitan DBP?" Saya menjawab, "DBP tidak menerbitkan buku-buku sains yang disasarkan untuk golongan pembaca peringkat atasan. Kalau adapun, buku itu hanya sesuai untuk pensyarah sahaja." Bos terdiam.

Semua buku di atas dijual dengan harga RM 9.00 (bawah RM 10.00), empat warna dan bersaiz besar. Rasionalnya, sila klik Puan Ainon, ada maklumat rasionalnya buku kanak-kanak perlu berbentuk sedemikian.

Sila klik untuk paparan lebih besar.

Judul buku: Keseimbangan Matematika dalam al-Quran
Pengarang: Abah Salma Alif Sampayya
Peenrbit: Penerbit Republika (Indonesia)

Ulasan buku ini ditulis oleh Ikram.

Semua orang tahu madu sedap. Semasa di sekolah, emak menggalakkan saya menghirup madu pada setiap hari untuk mencerdaskan otak. Alhamdulillah. Ada kesannya.

Orang perempuan fobia mendengar perkataan madu, tetapi tidak pula memakan madu menyebabkan mereka dimadukan. Yang jelas, madu jugalah yang mengeratkan perhubungan mereka dengan suami kerana makanan itu dapat membangkitkan kekuatan seksual. Ini fakta kerana madu mengandungi mineral boron yang merangsang hormon estrogen, iaitu hormon wanita.

Makan madu tidak menyebabkan diabetis atau kencing manis, tetapi makan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan kaki kita dipotong. Ini fakta juga kerana madu mengandungi:
  • Gula: glukosa dan fruktosa.
  • Mineral: magnesium, kalium, kalsium, klorium natrium, zat besi, sulfur dan fostat.
  • Vitamin: B1, B2, C, B6, B5 dan B3.
  • Zat: kuprum, iodin, zink.
  • Hormon tertentu.
Bagi kawan-kawan yang akan bernikah dan sudah bernikah, istilah "bulan madu" paling digemari bukan? Haha. Istilah ini wujud bermula zaman Babylon lagi. Pada masa itu, bapa pengantin perempuan akan memberikan madu kepada menantunya bagi menyerlahkan "kejantanan" menantunya. Perbuatan ini dilakukan dalam masa sebulan. Jadilah honey moon, mis mêl (bahasa Wales), shahr el 'assal (bahasa Arab), la luna de miel (bahasa Sepanyol), luna di miele (bahasa Itali), dan mah e asal (bahasa Parsi).

Walau bagaimanapun, renungkanlah dalam Surah an-Nahl, ayat 69, “Daripada perut mereka (lebah) ada minuman yang berwarna-warni, yang boleh menyembuhkan manusia...”

Ya Allah Ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, kami berhimpun di majlis kesyukuran yang mulia dan bersejarah ini, memohon rahmat dan hidayah dari sisi-Mu. Semoga dengan rahmat itu, Engkau memberikan hidayah, petunjuk dan menyatukan pemikiran kami, Engkau perkukuhkan perpaduan kami, Engkau hindarkan fitnah dan pertelingkahan dalam kalangan kami, Engkau memperbaiki urusan agama dan dunia kami.

Ya Allah, kami memohon taufiq dan hidayah-Mu dalam setiap perkara, maka restuilah perancangan dan pembangunan yang disusun dan diatur oleh kami dalam usaha menerbitkan edisi khas Dewan Masyarakat. Kami juga memohon semoga usaha kami ini mendapat keberkatan sehingga berjaya dimanfaatkan oleh semua pihak sekali gus meningkatkan tahap intelektual dan budaya ilmu bagi memantapkan lagi sosio-budaya dan politik Malaysia.

Bimbinglah para pemimpin kami yang memikul amanah dan tanggungjawab dalam pentadbiran organisasi ini dengan sinaran petunjuk-Mu yang berterusan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada ketenteraman dan kesejahteraan. Hindarkanlah kami sekalian daripada segala malapetaka dan sifat-sifat keji, hasad dengki, boros, dan semua sifat negatif. Ya Allah! Selamatkanlah kami sekalian daripada perselisihan yang membawa kepada perpecahan dan kebinasaan. Anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan keupayaan untuk merangka strategi dan dasar organisasi bagi mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan serta matlamat wawasan sebagaimana yang kami cita-citakan.

Kami pohonkan limpah rahmat, taufiq dan hidayat supaya kami kekal bersemangat dan berazam dengan penuh kesabaran dan bertawakkal kepada-Mu dalam memikul tanggungjawab memajukan organisasi, negara dan agama supaya disanjung tinggi dan disegani.

Tarikh: 25 Mac 2008
Tempat: Dewan Bankuet DBP
Tetamu Kehormat: Ketua Pengarah DBP

Sebagai meraikan pelawaan "tagged" daripada Suhail, saya mendedahkan barang-barang yang ada di dalam dompet. Inilah kali pertama saya "membuka" dompet untuk tatapan umum. Agak peribadi. Mujur Suhail tagged sekarang. Sekiranya dia tagged dua bulan lalu, memang saya tidak akan dedahkan, kerana dompet yang "dipelihara" sejak tahun pertama UIA memang sudah "hancur".

Kini saya sudah ada dompet Valentino (lihat gambar, pakej dengan tali pinggang). Hehe. Dompet ini adalah hadiah daripada Fadhilah sempena majlis pertunangan yang lalu.
  1. Kad pengenalan: Wajib ada di dalam dompet atau beg tangan semua orang. Sudah agak lunyai; warna pudar, plastik terkopek sedikit. Kad pengenalan tidak berkualiti seperti yang diwar-warkan. Muka saya agak berlainan kerana pegawai yang mengambil gambar mengarahkan supaya ditanggalkan kaca mata.
  2. Dua keping lesen memandu: Satu yang asal, satu lagi yang diperbaharui. Tempoh tamat lesen memandu saya pada 25 Mac ini.
  3. Kad ATM bank: Maybank, Bank Islam, BSN, CIMB dan Bank Muamalat. Yang aktif cuma tiga bank yang awal sahaja.
  4. Kad pelajar Matrikulasi UIA: Ini sahaja kenangan yang ada. Kad pelajar di UIA Gombak terpaksa dipulangkan kembali.
  5. Kad Pembaca Perpustakaan Negara Malaysia: Rasanya dua kali sahaja dimanfaatkan. Pusat Dokumentasi Melayu (DBP) lagi seronok berbanding dengan PNM.
  6. Kad diskaun buku Saba Islamic Media: Kekal di dalam dompet kerana tiada tempoh tamat. Kad-kad kedai buku lain semuanya sudah tamat tempoh.
  7. Kad Bonuslink dan RealRewards: Hadiah tidak pernah ditebus pun.
  8. Kad nama saya: Untuk stok sekiranya bertemu dengan orang yang baru dikenali.
  9. Gambar pasport: Mudah sekiranya ada borang yang memerlukan gambar ini.
  10. Duit kertas: Rasanya tidak pernah ada lebih RM 200 pun. Selamat...
Itu sahaja. Tiada syiling di dalam dompet ini kerana tidak ada ruang untuk duit syiling. Ringkas sahaja. Walau bagaimanapun, banyak juga barang peribadi yang lain diletakkan di dalam beg sandang Gryphon, merangkap beg laptop.

Sedikit sejarah berkenaan dompet... Dompet atau "wallet" sudah digunakan sejak tahun pertama Masihi yang digunakan untuk membawa kertas. Wallet mungkin diambil daripada perkataan Proto-Germanic.

Rasional sebab duit atau beberapa barangan peribadi kita diletakkan kemas di dalam dompet, begitu jugalah diri kita yang perlu dikemaskan dengan ilmu dan ditutup dengan pakaian yang menutup aurat.

Kita pernah terdengar, "Setiap uban rambut yang tumbuh di kepala emak ini menunjukkan setiap dosa yang anak-anak lakukan."

Kalau begitu, banyak betul dosa yang dilakukan oleh Tan Sri Dato' Ungku Dr. Zati Akhtar, Gabenor Bank Negara, anak Profesor Diraja Ungku Aziz dan Sharifah Azah Aziz. Kerana rambut Ungku Aziz dan Azah Aziz sudah banyak beruban. Begitu juga dengan Dato' Dr. Firdaus Abdullah, Ketua Pengarah DBP. Mungkin anak-anaknya banyak melakukan dosa sehingga menyebabkan rambut ayah mereka banyak beruban.

Rambut beruban sebenarnya disebabkan kekurangan melanin di dalam folikel rambut. Kekurangan melanin disebabkan faktor peningkatan usia atau sudah tua. Namun sekiranya rambut mula beruban semasa usia muda, ini disebabkan faktor genetik. Mungkin ibu bapa atau datuk nenek dulu pernah beruban semasa usia muda. Bukan salah ibu mengandung.

Cara paling efektif menghilangkan uban: botakkan sahaja kepala.

Saya berpesan kepada diri saya dan saudara saudari supaya sedar bahawa uban rambut itu sebagai tanda panggilan kubur semakin bersahut-sahutan. (Seperti khutbah Jumaat yang klise).
Saya jarang bersarapan sekiranya berada di rumah. Cukuplah sekadar memakan biskut kering. Orang bujang...

2.00-3.30 petang: Masih lagi melilau di sekitar Bandar Tun Hussein Onn mencari akhbar.

Saya juga jarang membaca akhbar di laman sawang, kerana kurang merasa kepuasannya. Lagipun saya suka membaca iklan; iklan program @ acara, iklan produk, dan lain-lain. Orang bujang...

Akhbar pilihan saya, Utusan Malaysia, terasa sedikit ruh Melayu (walaupun banyak propaganda kerajaan persekutuan). Ruangan wajib baca; Laman Utama, Senyum Kambing, Rencana, Senyum Pagi, dan Sastera. Hari ini terasa agak "kosong" kerana terpaksa membaca keadaan yang berlaku di dunia ini melalui laman sawang, semua akhbar habis. Yang ada cuma akhbar berbahasa Cina. Harakah pun habis. Pelik.

Di pejabat, akhbar dibekalkan secara percuma, tetapi untuk bacaan umum, bukan peribadi. Sekiranya ada berita yang eksklusif, saya akan membeli sendiri di Kedai Buku Koperasi DBP. Setiap pagi sehingga pukul 9 pagi, saya akan membaca akhbar konvensional dan online sebelum memulakan kerja. Kami diberikan kelonggaran membaca akhbar sesuka hati. Saya perlu membaca akhbar bagi mendapatkan maklumat dan idea untuk majalah.

Akhbar atau koran (bahasa Indonesia) dipercayai mula wujud pada zaman Rom Kuno lagi. Julius Caesar dikatakan orang pertama yang menerbitkan Acta Diurna, yang merupakan buletin kerajaan. Akhbar ini dicetak pada batu dan permukaan besi yang diletakkan di kawasan umum. Manakala antara tahun 713 sehingga 734, Dinasti Tang menerbitkan Kai Yuan Za Bao, juga merupakan akhbar kerajaan yang dicetak pada permukaan kain sutera. Cuma akhbar yang diakui pertama di dunia ialah Relation aller Fürnemmen und gedenckwürdigen Historien, diterbitkan pada 1605.

Akhbar online yang kadang-kadang saya baca:
Semasa di Matrikulasi UIA, ada seorang ustaz melarang membaca akhbar. Katanya, "Sesiapa yang sentiasa mahu mengetahui tentang dunia, dia akan lalai dengan dunia." Hmm...

Selepas membaca akhbar, tangan mesti hitam.

Sudah terbit 12 Mac 2008.

Ini pertama kali Dewan Masyarakat pernah membuat edisi khas. Kalau wartawan Massa, Tempo atau Gatra mengetahuinya, tentu mereka senyum sinis. Mereka tidak hairan dengan isu-isu khas bagi setiap keluaran majalah mereka.

Walau bagaimanapun, ini percubaan pertama. "Anak pertama" rasa terujanya sudah tentu agak berlainan.

Saya sendiri ada menulis rencana (walaupun banyak yang "dicantas"). Ketua Pengarah DBP, Pengarah Penerbitan DBP, Shamsul Amri Baharuddin, Sivamurugan Pandian, Jeniri Amir, Putut Trihusodo (Pengarang Gatra) pun turut menulis. Hampir semua editor majalah DBP sama-sama membantu menerbitkan majalah ini.

*Promosi*
Belilah majalah ini sebagai rujukan. Dengar khabar, sedang laku hangat di pasaran.

Dua hari bertugas di Kelantan, dua hari bertugas di pejabat; dapat cuti gantian selama empat hari.

Peluang sudah ada, bermula 11-14 Mac saya bercuti, dan pulang ke Johor Bahru. Lagipun sudah dua kali hasrat pulang ke sana dibatalkan, semuanya kerana pilihan raya. Tiba di rumah, buka Oasis, ada cerita Tanggang. Insaf. Emak dan abah, maaf kerana terpaksa menyatakan sebelum ini, "Tidak dapat balik sebab ada banyak kerja."

Lagipun saya mahu balik ke kampung kerana mahu menghilangkan penat. Penat. Orang kata penat berpunca kerana keletihan otak. Orang juga kata, penat mental lagi perit berbanding dengan penat fizikal. Walau apa-apa pun, penat pasti mengundang mengantuk dan tidur. Itu realitinya. 10 Mac, saya asyik tersengguk-sengguk sahaja.

Punca penat: bekerja terlalu lama, tekanan mental, gangguan ritma harian, dan terlalu aktif beriadah. Ada juga penat disebabkan kebosanan, penyakit dan kurang tidur, tetapi ada juga orang yang banyak tidur juga mengalami kepenatan.

Walau bagaimanapun, semasa di rumah dapat juga saya menyiapkan tugasan luar (part time job), mengedit buku 99 Jenis Hantu hasil karya Syed Abdullah Al-Attas (Uncle Seekers). Orang Melayu suka hantu, tetapi takut pula jumpa hantu. Jangan Pandang Belakang adalah bukti orang Melayu suka cerita hantu.

Uncle Seekers pun menulis buku hantu. Jangan tidak percaya Uncle Seekers juga menyelitkan fakta-fakta saintifik dan bukti yang menyatakan sesetengah hantu tidak wujud atau mitos semata-mata. Semasa mengedit, terasa seram juga kerana ada lokasi yang diceritakan dalam buku itu berhampiran dengan pejabat saya, bangunan DBP.

Jangan memandu sekiranya penat dan mengantuk. Khuatir akan berlaku kemalangan. Ada juga cerita, kemalangan berlaku kerana mengelak hantu.

Pukul 11 pagi semalam, ada mesyuarat mengejut bagi merombak semua bentuk atau konsep penulisan. Artikel Aninah Janang menjadi rencana utama, Azli Shukri kena mengubah jalan cerita artikelnya, Dr. Firdaus menawarkan diri untuk menulis, Encik Zulkifli pun mahu menulis, saya sendiri kena "mengejar" Nurul Izzah untuk wawancara.

Waktu deadline hantar artikel: PUKUL 7 MALAM!

Mujur pukul 3.30 petang, Nurul Izzah ada buat sidang akhbar di rumahnya. Pukul 5 petang baru tiba di pejabat. Siap menulis artikel pukul 7.30 malam. Terlajak!

Shukri kata, "Kau tambah nama-nama ahli parlimen yang bawah 40 tahun, kemudian ceritakan susur galur politik Najib semasa muda." Aduh!

Pukul 8 pagi tadi baru hantar kembali artikel. Sebab saya tidur di meja zzzz....

Pukul lima pagi baru dapat tidur. Tidur di pejabat. Itupun tidur-tidur ayam sahaja. Semuanya kerana mahu mengikuti keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12). Ada dua televisyen (tv); sekejap tv A dikuatkan bunyi, sekejap bunyi tv B kuat.

Selepas maghrib, keputusan awal sudah banyak yang diterima melalui laman sawang seperti Harakah, Pru12.pas, The Star dan Malaysiakini. Laporan di TV3 dan RTM terlalu lambat! Hati saya berdebar-debar kerana pada awalnya banyak keputusan yang mengejutkan berlaku. Mula-mula, Dr. Lo' Lo' menang. Kemudian dapat maklumat Samy Vellu pula kalah. Tambah mengejutkan, Shahrizat Jalil pula lauk dengan "macam anak saya" (Nurul Izzah).

Tup tup... PAS menang bersih di Kelantan. Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pula jatuh ke tangan pembangkang.

Saya pula semakin pening hendak menyiapkan rencana berkenaan PRU 12 ini. Sehingga blog ini ditulis, sudah tiga kali saya revamp penulisan saya untuk edisi khas Dewan Masyarakat.

Entah-entah, malam ini tidur lagi di pejabat.

Saya bukannya mahu menyokong mana-mana parti. Walau bagaimanapun, hati manusia yang tiada perasaan pun boleh tersentuh melihat gambar-gambar ini.

Gambar di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan sempena Munajat Perdana Rakyat Kelantan pada 7 Mac 2008 pukul 3.30 pagi. Lebih kurang 30 000 orang hadir untuk Qiyamullail ini.

Gambar ihsan Kelantan TV.

Mungkin inilah bentuk dakwat yang sudah dibeli oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut laporan The Star pada 1 Februari 2008, SPR akan membeli 48 000 botol dakwat dengan kos RM 2.4 juta. Manakala dalam Utusan Malaysia pada hari ini, melaporkan SPR sudah mengimport 30 000 botol dakwat dengan kos RM 1 juta.

Dakwat kekal atau indelible ink sudah diaplikasikan di India, Indonesia, Filipina dan beberapa negara membangun. India sudah menggunakan dakwat ini dengan sepenuhnya, manakala Indonesia baru menggunakan semasa pilihan raya Acheh baru-baru ini.

Indelible bermaksud tidak boleh dihilangkan atau dipadam.

Dalam Utusan Malaysia;
Kata Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mengulas berkenaan jumlah wang yang telah dibelanjakan SPR bagi membeli dakwat kuku itu yang diimport dari India, beliau berkata, "Ia tidak terlalu banyak."

Apa kata dakwat itu diberikan kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk mencetak kertas soalan peperiksaan? Jadi, pelajar-pelajar tidak perlu membayar yuran sekolah lagi (baca yuran peperiksaan).

Saya tidak pernah minum air kencing. Saya tidak pernah melihat orang minum air kencing. Malah saya juga tidak pernah tahu ada binatang yang minum air kencing sendiri. Adakah air kencing boleh diminum?

Jawapannya ya. Sebenarnya ada orang yang melakukannya, tetapi adakah kita sebagai manusia normal tergamak minum najis kita sendiri?

Orang kuno minum air kencing kerana beberapa sebab. Mereka percaya air kencing dapat menguatkan sistem imun (ketahanan badan) mereka. Ini adalah amalan kuno.

Di India dan Jerman, air kencing dikenal sebagai "Air Kepada Kehidupan" atau "Air Maulhayat" kerana ada banyak cerita berkenaan kemujaraban mengubati penyakit yang mudarat.

Mereka berpendapat air kencing yang disalurkan melalui buah pinggang membawa bersama bahagian penting yang berlebihan daripada darah bersama air yang dibuang. Mereka juga percaya air kencing mempunyai nutrien, hormon, enzim dan antibodi yang dituras keluar daripada darah. Air kencing yang dibuang pada waktu pagi adalah air kencing terbaik dan paling berkhasiat. Itu kepercayaan mereka.

Kita tidak akan minum air kencing. Melihat warnanya yang kekuningan sudah membuatkan kita loya. Belum lagi bau hancingnya. Uish! Walau bagaimanapun, bayangkan sekiranya kita tersadai di pulau atau di padang pasir yang tiada langsung makanan dan air bersih, sudah pasti penyahhidratan berlaku. Jadi, air kencing kita sendirilah yang kita minum. Mahu terus hidup ataupun mati?

Baru tiga hari bulan Februari berlalu. Semua orang yang memakai jam pun mengubah digit hari bulan pada jam semasa 1 Mac.

Semua keadaan ini bermula pada kurun kelapan sebelum Masihi (SM) semasa kalendar Rom mula dirancang. Pada masa itu, ada 10 bulan sahaja dalam setahun, Januari dan Februari belum wujud lagi.

Kemudian Numa Pompilius, Raja Rom, membuat keputusan menambahkan dua bulan lagi. Maka wujudlah Januari dan Februari dan bilangan hari 355 dalam setahun. Orang Rom percaya nombor genap akan mengundang nasib yang tidak baik, maka kalendar Rom mempunyai 29 atau 31 hari dalam sebulan. Untuk mendapatkan jumlah 355 hari, satu bulan perlu dikurangkan harinya, maka Februari dipilih untuk tujuan itu.

Asalnya, Mac merupakan bulan pertama pada setiap tahun (kini Januari). Februari pula menjadi bulan terakhir dan pada tengah-tengah musim sejuk. Orang Rom berpendapat, sekiranya ada satu bulan yang dikaitkan dengan nasib tidak baik, biarlah pada bulan yang pendek.

Kemudian, Julius Caesar mengubah kalendar Rom dan menambah bilangan hari dalam setahun menjadi 365 hari. Dia tetap membiarkan Februari menjadi bulan yang pendek kerana tiada orang yang menyukai bulan itu. Kalendar itu diberikan nama "Kalendar Julian" dan digunakan sehingga tahun 1582. Kalendar yang kita gunakan sekarang ialah versi Paus Gregory XIII.

Setiap tahun kalendar tepat 365 hari, 5 jam, 48 minit, 46 saat, jadi satu hari perlu ditambah pada setiap empat tahun untuk mengambil kira baki jam-jam itu. Disebabkan itulah adanya tahun lompat (seperti pada tahun ini). 29 hari bulan Februari ditambahkan bagi mencukupkan jumlah bilangan hari yang diperlukan dalam setiap empat tahun.

Bulan Hijrah lagi tepat.