Ya Allah Ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, kami berhimpun di majlis kesyukuran yang mulia dan bersejarah ini, memohon rahmat dan hidayah dari sisi-Mu. Semoga dengan rahmat itu, Engkau memberikan hidayah, petunjuk dan menyatukan pemikiran kami, Engkau perkukuhkan perpaduan kami, Engkau hindarkan fitnah dan pertelingkahan dalam kalangan kami, Engkau memperbaiki urusan agama dan dunia kami.

Ya Allah, kami memohon taufiq dan hidayah-Mu dalam setiap perkara, maka restuilah perancangan dan pembangunan yang disusun dan diatur oleh kami dalam usaha menerbitkan edisi khas Dewan Masyarakat. Kami juga memohon semoga usaha kami ini mendapat keberkatan sehingga berjaya dimanfaatkan oleh semua pihak sekali gus meningkatkan tahap intelektual dan budaya ilmu bagi memantapkan lagi sosio-budaya dan politik Malaysia.

Bimbinglah para pemimpin kami yang memikul amanah dan tanggungjawab dalam pentadbiran organisasi ini dengan sinaran petunjuk-Mu yang berterusan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada ketenteraman dan kesejahteraan. Hindarkanlah kami sekalian daripada segala malapetaka dan sifat-sifat keji, hasad dengki, boros, dan semua sifat negatif. Ya Allah! Selamatkanlah kami sekalian daripada perselisihan yang membawa kepada perpecahan dan kebinasaan. Anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan keupayaan untuk merangka strategi dan dasar organisasi bagi mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan serta matlamat wawasan sebagaimana yang kami cita-citakan.

Kami pohonkan limpah rahmat, taufiq dan hidayat supaya kami kekal bersemangat dan berazam dengan penuh kesabaran dan bertawakkal kepada-Mu dalam memikul tanggungjawab memajukan organisasi, negara dan agama supaya disanjung tinggi dan disegani.

Tarikh: 25 Mac 2008
Tempat: Dewan Bankuet DBP
Tetamu Kehormat: Ketua Pengarah DBP