Seminggu lalu tidak mengemas kini blog ini. Saya mendapat semangat baharu dan inspirasi segar selepas retreat dengan rakan sekerja dan bos di Melaka. Pulang dari program itu, terus melaksanakan perancangan strategi dengan menyiapkan kertas kerja yang diagihkan tugasnya kepada setiap orang.


Semasa dalam perjalanan ke Kota Tinggi pada Khamis lalu (untuk berhari raya), memanglah jalan raya penuh sesak. Radio menjadi alat bagi menghilangkan rasa mengantuk, bosan, dan stres.

Cuma yang rasa pelik apabila ada stesen radio yang menyiarkan takbir raya pada malam itu. Memanglah rindu mendengar suara arwah Ustaz Asri Ibrahim, meremang bulu roma setiap kali mendengar suaranya. Cuma daripada pemahaman hasil pembelajaran saya, alunan takbir raya Aidiladha berbeza dengan takbir raya Aidilfitri, dari segi waktunya.

Semasa Aidilfitri, waktu takbir bermula sesudah solat Maghrib masuknya 1 Syawal. Namun takbir Aidiladha sebenarnya bermula sesudah Subuh pada 9 Zulhijjah. Maksudnya, takbir Aidiladha bukannya sehari sebelum pada malam raya Aidiladha.

Cuma hal ini tidaklah haram hukumnya kerana terdapat khilaf. Ada ulama menyatakan boleh bertakbir bermula 1 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah. Takbir ini dinamakan "takbir mutlak".

Manakala takbir yang "terikat waktunya" dimulai sesudah solat Subuh (9 Zulhijjah) sehingga setelah solat Asar (13 Zulhijjah). Antara dalil yang menyokong takbir Aidiladha sebegini adalah seperti berikut:

"Dari Umar bin Khattab, bahawa beliau dulu bertakbir setelah solat subuh pada tanggal 9 Zulhijjah sehingga setelah Zuhur pada tanggal 13 Zulhijjah.
"

Semoga tidak keliru.

Menikmati cendol selepas solat Jumaat.

Orang Jepun akan "melepak" dengan rakan sekerja selepas waktu pejabat. Dengan cara sebegini, mereka dapat meluahkan segala tekanan kerja ataupun rasa tidak puas hati sesama mereka. Secara tidak langsung, cara sebegini akan memuhasabahkan diri kita semasa bekerjasama dalam satu organisasi.

Memang banyak manfaatnya melepak secara santai dengan rakan sekerja di tempat yang tidak formal. Misalnya, Tony Fernandes baru-baru ini mendapat idea "melukiskan" kartun Dato' Lat di pesawat Air Asia semasa melepak di kedai mamak.

Begitu jugalah dengan Shazalli Ramly (CEO Celcom) yang mendapat idea mengiklankan produk syarikat telekomunikasi itu semasa melepak di kedai mamak. Kita boleh melihat banyak iklan Celcom di meja ataupun dinding kedai mamak. Alasannya, orang yang melepak di kedai mamak terdiri daripada pelbagai golongan, sama ada eksekutif sehinggalah orang biasa yang merupakan sasaran utama untuk melanggan Celcom.

Petang ini, saya bersama-sama empat orang rakan pejabat termasuk bos, Puan Zini, akan ke Melaka untuk berehat sambil mencari idea untuk meningkatkan produktiviti ITNM. Program ini dianjurkan sendiri dengan menggunakan duit sendiri.

Meningkatkan produktiviti ini bukan untuk kepentingan diri sendiri mahupun untuk ITNM sendiri, tetapi kami mahu melihat tindakan kami ini akan membantu meningkatkan industri penerbitan dan penterjemahan di Malaysia.

Malam tadi saya dan isteri ke pasar malam selepas sudah lama tidak berjalan-jalan di situ. Rasanya sejak bulan puasa kami tidak ke tapak pasar malam itu yang tidak jauh dari rumah.

Kalau ke pasar malam, salah satu gerai yang "wajib" ada ialah gerai jualan cakera padat (CD) cetak rompak. Saya menghimpit ke gerai itu bagi meninjau sekiranya ada filem menarik yang belum ditonton, tetapi segera isteri menarik tangan saya. Katanya, "Kalau ada satu CD haram pun boleh didakwa!" yang merujuk kepada laporan Utusan tempoh hari.

Langsung saya berfikir, "Kalau orang memfotostat buku, tidak pula dikenakan tindakan." Malah situasi ini dianggap biasa dan normal di mana-mana tempat, sama ada di universiti mahupun sekolah. Di universiti, kedai fotostat bercambah banyak di setiap ceruk bangunan baik di dalam pagar universiti dan juga di luarnya. Bahkan pensyarah yang mengajar undang-undang hak cipta pun relaks sahaja melihat mahasiswanya menggunakan buku rujukan fotostat.


Hakikatnya hal ini sudah lama kronik. Malah ia dipandang sepi oleh masyarakat, pengamal undang-undang termasuklah penerbit buku dengan beralasankan, "Kasihan mereka, harga buku mahal!"

Namun situasi ini amat berlainan dengan CD dan DVD. Sama ada penerbit filem/muzik, pengamal undang-undang, kerajaan, dan orang perseorangan sanggup berjuang bermati-matian menghapuskan cetak rompak, walaupun macam payah sahaja.

Malah di Malaysia sendiri ada organisasi yang mengawal hak cipta setiap lagu/muzik yang dimainkan sama ada di dalam premis persendirian, radio, televisyen, konsert, kelab, dan lain-lain, iatu MACP. Setiap lagu yang dimainkan, pemilik lagu tersebut berhak memperoleh royalti/bayaran daripada MACP, yang memperoleh bayaran daripada pihak yang memainkan lagu tersebut.

Sedangkan setiap helaian buku yang difotostat, penerbit akan melongo!

Di Filipina dan Singapura tidak lagi membenarkan hal ini berpanjangan yang hanya menguntungkan satu pihak, manakala satu pihak lain (penulis & penerbit) teruslah mengeluh buku tidak terjual. Kedua-dua negara ini telah menganggotai International Federation of Reproduction Rights Organizations (IFRRO). Saya dengar cerita, Indonesia pun akan menggotai IFRRO ini.

Sekiranya Malaysia mengganggotai IFRRO, setiap penerbitan di sini akan tertakluk di bawah Reproduction Rights Organisation (RRO) selain Berne and Universal Copyright Conventions. Di Singapura, organisasi yang menguruskan hal ini adalah The Copyright Licensing & Administration Society of Singapore Limited (CLASS). Di Filipina, Filipinas Copyright Licensing Society, Inc. (FILCOLS).

Kalaulah ia berlaku di Malaysia, organisasi ini akan bertindak sebagaimana MACP, iaitu setiap buku yang difotostat perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada organisasi itu. Bagi helaian buku yang difotostat, pihak kedai fotostat itu akan dicaj. Organisasi itu akan mengutip caj bayaran tersebut dan akan mengembalikan semula kepada penerbit buku yang terlibat.

Kalau beginilah yang berlaku, penerbit buku tidak ambil kisah pun kalau buku yang mereka terbitkan difotostat. Setiap fotostat boleh dapat duit, siapa yang tidak mahu!

Ini rak buku di rumah saya. Ya, memang buku-buku tidak tersusun kemas mengikut genre atau kategorinya kerana keterbatasan ruang. Lagipun saya belum terfikir mahu mewujudkan "perpustakaan mini" di rumah, walaupun niat di hati mahu ke arah itu.

Semasa menyusun buku di kedai buku baharu ITNM, Puan Zinitulniza (bos Jabatan Komunikasi, Pemasaran & Jualan) menunjukkan cara menyusun buku yang efektif. Kaedah ini beliau pelajari semasa bersama-sama delegasi ITNM di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2009 baru-baru ini. Kaedah sebegini dilaksanakan oleh pempamer penerbit antarabangsa bagi menarik perhatian pengunjung masuk ke gerai pameran mereka.

Cara menyusun buku terbaik seperti di atas ini, seolah-olah terdapat pandangan 3 dimensi (3D):
  1. Sekiranya kita mencari buku, adakalanya kita hanya membaca spine (tulang belakang) buku yang tertera judul buku, penulis, dan penerbit. Kedudukan kepala kita tegak semasa memandang buku ini.
  2. Mata kita biasanya akan cepat tertancap pada kulit hadapan buku. Pekerja kedai buku akan menyusun buku sebegini rupa hanya bagi buku pilihan atau buku terbaik.
  3. Sebagaimana no. 1, cuma kedudukan kepala kita menyenget. Senget kepala biasa kita lakukan di kedai buku (semasa mencari buku) kerana kebanyakan buku disusun sebegini bentuknya.

Boleh sahaja menyusun buku sebagaimana di atas ini. Lagi cepat mata tertancap pada buku itu - lagi cepat orang tertarik untuk memegang buku itu - lagi cepat orang membeli buku itu. Lebih-lebih lagi kalau kulit hadapan buku itu menarik!

Pusat Buku Terjemahan ITNM selepas diubah suai:

Semasa fasa menyusun buku:

Kini:
Buat masa kini, buku-buku yang dipamerkan adalah terbitan ITNM. Insya-Allah pada masa akan datang, semua buku terjemahan terutamanya yang berbahasa Melayu daripada pelbagai penerbit akan dipamerkan/dijual di sini.

Saya belum lagi menunaikan fardu haji. Di entri ini, insya-Allah saya dan isteri akan ke sana selewat-lewatnya pada tahun 2026.

Di dalam Dewan Kosmik terkini ini, saya menulis ruangan fokus dengan judul "Rahsia Sains Haji".

Antara isi kandungannya... "... saintis mengenal pasti sekiranya tidak ada “kuasa” putaran (tawaf) yang berlaku di Kaabah yang menstabilkan tenaga, mereka meramalkan dunia ini akan “berakhir” atau lebih tepat maksudnya, KIAMAT!"

Seronok mendapat tahu saudara-mara, mak saudara, dan pak saudara dapat menunaikan haji pada tahun ini. Kasihan melihat ada pakcik makcik yang terkandas dek kerana ditipu pakej.

Sebab itulah saya menulis... "Melaksanakan ibadah yang merupakan Rukun Islam kelima ini adalah perbuatan yang amat dirindukan oleh semua umat Islam, malah ada yang sanggup mengorbankan segala harta benda semata-mata mahu ke Tanah Suci itu."

Andaian biasa kita, sekiranya orang itu mengambil jurusan agama (seperti saya) di universiti, dia akan menjadi ustaz. Kalau dia mengambil ijazah undang-undang (seperti isteri saya), dia akan menjadi peguam. Memang isteri saya seorang peguam, walaupun pernah juga bersuara mahu bertukar kerjaya menjadi "suri rumah sepenuh masa".

Begitu jugalah kalau seorang pelajar meminjam PTPTN untuk belajar ilmu akaun, kita akan andaikan dia akan bekerja di bank ataupun Kementerian Kewangan.

Namun kini segalanya tidak semestinya benar belaka. Ada juga orang yang belajar ilmu lain, bekerja bidang lain. Saya ke bidang penerbitan, Nadmin (undang-undang) menjadi PTD, Malie (undang-undang) ke bidang penyiaran, Farid Fauzan (undang-undang) ke bisnes buat jeriji, Ikram (ekonomi) kini orang besar di PTS Publications, Faisal Maksom (agama) pegawai antidadah, dan lain-lain contoh.

Howard Gardner di dalam buku Frames of Mind: The Theory of Multiple Intelligences, menyatakan pendapat bahawa kecerdasan (intelligence) seseorang itu lebih hebat daripada kemahiran ataupun kemampuan. Gardner mengemukakan tujuh bentuk kecerdasan berkaitan teori ini:
  1. Kinestetik-fizikal
  2. Interpersonal
  3. Intrapersonal
  4. Logik-matematik
  5. Muzikal
  6. Spasial
  7. Linguistik
Kecerdasan kinestetik fizikal: Biasanya menjadi doktor, tentera,pelakon, atau atlet. Orang sebegini mempunyai keseimbangan badan yang baik, gagah, fleksibel dan ada gaya.

Kecerdasan interpersonal: Biasanya menjadi hebat sebagai pemimpin, pemidato, jurujual, pengurus atau guru kerana mereka sangat sensitif dan mampu mentafsir "angin" serta gerak hati orang lain.

Kecerdasan intrapersonal: Biasanya menjadi ahli falsafah, ahli psikologi, pakar motivasi, atau saintis. Mereka suka mengkaji orang lain, dan sangat memahami perasaan diri sendiri, kemahuan, kehendak, dan batas kemampuan manusia.

Kecerdasan logik matematik: Tidak lain tidak bukan sudah tentu menjadi pakar matematik, ahli ekonomi, saintis ataupun pengatur cara program komputer. Orang sebegini dianugerahkan kecerdasan untuk memahami nombor, konsep logik dan berfikir secara abstrak.

Kecerdasan muzikal: Ahli muzik, penyanyi, pencipta lagu, juruhebah, atau penulis lirik. Mereka sangat sensitif dengan ritma lagu dan pendengaran bunyi nada. Golongan sebegini juga sangat memahami ekspresi yang diluahkan melalui lagu dan irama.

Kecerdasan spasial: Gardner menggunakan perkataan spasial yang bermaksud ruang yang merujuk kepada individu yang sensitif kepada ruang, warna, dan mampu mengimaginasikan objek secara visual (gambaran). Sudah tentu mereka ini menjadi arkitek, pelukis, pelukis pelan/peta atau jurutera.

Kecerdasan bahasa: Inilah yang saya mahu kongsikan di sini. Sebabnya banyak orang yang hebat mahu menjadi penulis hebat, tetapi akhirnya tidak berjaya. Saya pernah bertemu dengan orang sebegini yang sangat "tajam" pada kesalahan ejaan, suka bermain permainan seperti teka silang kata, suka belajar bahasa asing, dan mempunyai banyak koleksi buku.

Biasanya orang sebegini menjadi pakar bahasa, penterjemah, editor, wartawan, dan penulis hebat. Namun sekiranya pelakon, peguam, guru, dan ahli politik mempunyai kecerdasan ini, ia akan menjadi "nilai tambah" bagi mereka.

Di ITNM, setiap kali ada kursus penterjemahan, kelas senantiasa penuh walaupun perlu membayar RM1200 untuk 10 sesi. Namun yang saya dengar, tidak semua mampu menjadi penterjemah yang baik selepas dilakukan ujian penilaian. Adakah mereka tidak mempunyai kecerdasan bahasa?

Saya pernah bertanya hal ini kepada pensyarah subjek Creative Thinking di UIA, dia kata hal ini bukanlah anugerah, tetapi semua orang boleh membangunkan keupayaannya.

Adakah kecerdasan ini merupakan kriteria penting yang diperlukan oleh organisasi pekerjaan? Apakah antara kita mempunyai kecerdasan seperti yang dinyatakan di atas? Kalau kita sekadar melahu, kita termasuk dalam golongan yang mana pula?

Sila klik Berita Harian.