Memandu keseorangan ke mana-mana sahaja memang membosankan lagi mengantukkan. Sebab itulah saya suka ke mana-mana dengan isteri, kerana dia sejak kecil suka bercakap. Sebab itulah kerjaya peguam selayaknya untuknya.

Dalam perjalanan ke Ipoh tadi, radio menjadi alat untuk menghilangkan rasa ngantuk. Beberapa kali juga berhenti bagi menghilangkan rasa mahu tidur. Terdengar ceramah ustaz "renung-renungkan dan selamat beramal" di Hot FM yang berkisar tentang ZAKAT. "Kalau tidak membayar zakat, harta kita itu akan menjadi bara yang akan membakar diri kita kelak."

Secara kebetulan, saya hendak ceritakan yang saya baru mendaftar membuat potongan gaji pendapatan untuk zakat semalam. Selepas kira-kira dan tolak itu ini , saya hanya perlu membayar RM47 pada setiap bulan. Lebih baik bayar zakat daripada potong PCB cukai yang lebih tinggi.

Sebenarnya banyak antara kita yang tidak mengetahui dirinya sudah wajib membayar zakat pendapatan. Yang mereka faham, zakat hanya wajib dikeluarkan semasa hendak raya puasa. Itu zakat fitrah. Sedangkan zakat pendapatan juga wajib dikeluarkan bagi mereka yang sudah layak nisabnya.

Malah ada juga yang memberikan sedekah (paling kurang setiap kali solat Jumaat) dengan niat zakat. Dengan harapan dengan sedekah itu dapat menyucikan hartanya. Saya pun pernah melakukan dan berniat sedemikian. Sedangkan hakikatnya sedekah itu sunat, dan zakat itu wajib. Zakat itu juga salah satu daripada Rukun Islam.

Jumlahnya 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan kasar tahunan.

Lagipun mana mungkin sedekah yang sunat itu diubah menjadi zakat. Apakah boleh solat sunat diniatkan untuk solat wajib?

Saya dan semua orang percaya zakat mampu menyucikan harta. Saya juga yakin Allah boleh tarik apa-apa sahaja nikmat yang dikurniakan sekiranya kita tidak "mengembalikan" kepada-Nya semula. Mungkin barang kita hilang, mungkin kita ditimpa sakit, mungkin gagal naik pangkat, dan segalanya yang minta dihindari mungkin berlaku.

Kalau tidak tahu sama ada kita sudah sampai nisab untuk berzakat, banyak sahaja laman sesawang yang boleh automatik kirakan. Maka jom berzakat!

3 komen:

Nida Shaari berkata...

haritu masa pegi JAIS nak bayar zakat fitrah, pegawai (hensem) di kaunter tu kirakan zakat pendapatan pula untuk saya.

ha ha ha.. macam tahu2 je saya belum bayar zakat.

Terpaksa tebal muka dan minta borang potongan gaji. Tapi belum buat pun walaupun dalam hati dah berniat.. haaaiihhh

muqayankabut berkata...

Bayar zakat menambah keberkatan. Begiru juga dengan memberi hadiah kepada ibu bapa. Berkat? Ya memang berkat.

Unknown berkata...

Cik Hanida,
Eh dah datang di pusat pungutan zakat, mengapa tidak buat potongan gaji terus? Oh untuk simpanan mendapat gelaran puan ya!

Tuan Muqay,
Ya dua-dua insya-Allah mendapat berkat. Cuma zakat itu wajib, hadiah kepada ibu bapa itu sunat.