Saya mohon maaf kerana kerap mengulas buku-buku terbitan PTS. Bukan kerana atas kapasiti saya pernah bertugas di situ. Tetapi saya percaya pada setiap kualiti buku yang diterbitkan. Tambahan pula saya mendapat diskaun buku yang tidak mungkin saya peroleh daripada mana-mana kedai buku ataupun penerbit.

Yang terbaharu, saya membaca buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman karya Muhd Kamil Ibrahim, profesor perakaunan di UiTM. Saya membelinya pada minggu lepas dengan tujuan mahu memberinya kepada emak sempena hari jadinya yang ke-56. Selain itu, insyaAllah dia bersama abah akan pergi menunaikan haji pada 2 Disember 2007 ini. Saya juga membeli buku Yang OK dan KO Dalam Ibadah Haji dan Umrah (OK dan KO bahasa pasar kan? hehe).

Saya dapat menghabiskan bacaan buku Prof. Kamil sepanjang dua hari bercuti di rumah, Johor sebelum bakal haji (emak dan abah) melahapnya. hehe. Saya suka sesebuah karya yang memberikan kesan kepada jiwa. Apabila membaca buku itu, ia mendidik saya menjadi orang yang lebih sabar. Yang paling penting, secara tidak langsung memberikan semangat untuk kerap menunaikan qiyamullail. Buku yang pernah membuatkan saya begini adalah karya Habiburrahman El Shirazy.

Memang benar saya belum ada rasa mahu menunaikan haji dalam masa terdekat ini. Mungkin belum dapat "kad jemputan rasmi". Saya juga sedar banyak melakukan kesilapan semasa menunaikan umrah bersama keluarga dahulu. Yang paling saya kesalkan, meninggalkan abah kerana mementingkan diri mahu menunaikan ibadah. Astaghfirullah...

Terima kasih Prof. Kamil kerana dapat menambahkan satu lagi koleksi biografi peribadi yang agak kurang dilakukan orang Malaysia. Saya sudah "paksa" emak dan abah untuk menghadam buku itu sebelum berangkat menunaikan haji pada 2 Disember 2007. Teringat pada Imam karya Abdullah Hussain semasa membaca buku ini.