Saya masih lagi di pejabat semasa blog ini ditaip kerana menyiapkan perancangan semua majalah terbitan DBP. Bangga melihat masih ada sahabat yang sanggup bersama-sama berkorban demi keberkatan tanggungjawab.

Esok, 13 sehingga 16 Disember 2007, 44 kakitangan Bahagian Majalah DBP bersama-sama 31 kakitangan DAWAMA Sdn. Bhd. berada di The Legend Water Chalets, Port Dickson bagi berbincang penerbitan sembilan majalah DBP. Perkara yang dibincangkan meliputi perancangan kandungan majalah, isu fokus majalah, reka bentuk, strategi pemasaran, periklanan dan percetakan.

Selain itu, Dato' Baharuddin Zainal akan menyampaikan ceramah berkenaan kandungan berkualiti majalah. "Orang Besar" turut sudi hadir bagi memartabatkan kembali majalah DBP. Antaranya, Dato' Johan Jaafar, Dato' Dr. Firdaus Abdullah, Prof. Emeritus Dato' Isahak Haron, Dato' Baharuddin Zainal dan "orang kuat" DAWAMA.

Tujuannya hanya satu, MEMARTABATKAN MAJALAH DBP. Dengan harapan supaya bengkel ini berkesan dan dapat memberikan impak maksima kepada masyarakat. Insya-Allah, tidak ada orang lagi yang memperlekehkan penerbitan DBP.

DBP hendak berubah. Doakan kami dapat memartabatkan ilmu dan bahasa Melayu.

0 komen: