Saya mula bercuti pada hari ini sehingga 27 Disember 2007 kerana mahu menghabiskan baki cuti yang ada. Itupun masih ada baki tiga hari lagi. Tetapi sebenarnya tidak ada istilah cuti sekiranya bekerja seperti menerbitkan majalah. Tarikh akhir siap majalah perlu ditepati. Sekiranya tidak, majalah tidak dapat diterbitkan.

Saya hadir ke pejabat bagi menyudahkan kulit majalah Dewan Kosmik keluaran Januari 2008. Fokusnya, "Sains Menyelongkar Alam Mistik". Isu fokus ditulis oleh Saudara Saharil Hasrin Sanin. Saya memberikan tanggungjawab menulis isu fokus kepadanya kerana gaya penulisannya yang santai dan banyak kes studi. Tambahan pula, beliau tidak pernah "lari" daripada tarikh akhir. Saya pula menulis berkenaan "Aplikasi Teknologi dalam Membongkar Alam Mistik" hasil temu ramah dengan Uncle Seekers.

Konsep kulit hasil kreativiti Saudara Fauzi (DAWAMA) ini memang mengagumkan saya. Fotografi pula dilakukan oleh Saudara Mat Yaman yang tidak pernah menghampakan saya. Beliau sebenarnya bukan jurugambar. Tetapi kerana minatnya pada bidang fotografi menyebabkan beliau bersetuju turun padang mengambil gambar.

Kemungkinan besar Dewan Kosmik dan lapan majalah DBP lain akan berubah wajah dari segi persembahan dan isi kandungan pada keluaran Februari 2008. Semua ini bagi memastikan memartabatkan majalah DBP sebagai majalah ilmiah terbaik di Malaysia.