Petang ini saya akan pulang ke Johor Bahru untuk berjumpa dengan emak dan abah sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci pada 2 Disember 2008 untuk menunaikan ibadah haji.

Emak pernah menunaikan haji sebelum ini. Umrah pun sudah beberapa kali ditunaikan. Abah pula sudah beberapa kali menunaikan umrah. Cuma belum pernah menunaikan fardu haji. Saya bersyukur kerana "jemputan" menunaikan haji sudah sampai kepada abah. Entah bila pula giliran saya.

Keadaan abah sama seperti Prof. Muhd Kamil Ibrahim yang pernah tidak tahu membaca Al-Quran. Tetapi semangat abah mahu mempelajari bacaan Al-Quran itu tetap tinggi. Abah berguru dengan Ustaz Ahmad di surau Kuarters Kastam. Beberapa kali juga melihat abah membaca Al-Quran sendirian dengan terjemahannya. Saya pula rasa menyesal kerana tidak pernah membantu abah mempelajari bacaan Bahasa Arab. Emak pula membuka kelas mengaji di rumah tanpa dikenakan sebarang bayaran. Kata emak, "Mengajar budak-budak mengaji, pahalanya mengalir kepada kita selagi mana mereka membaca Al-Quran."

Saya sudah "paksa" emak dan abah membaca karya Prof. Muhd Kamil, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Semoga emak dan abah dapat sedikit panduan semasa berada di Tanah Suci. Sebagai anak, sudah tentu saya mendoakan emak dan abah dapat menunaikan ibadah haji tanpa sebarang masalah dan memperoleh haji yang mabrur (diterima). Jauh di sudut hati saya, saya berdoa semoga emak dan abah selamat pergi dan selamat pulang ke tanah air. Tetapi sekiranya mereka mahukan "selamat" di sana, itu pilihan mereka. Semoga segala kebaikan untuk emak dan abah di Tanah Suci.

0 komen: