Cuti pada hari ini kerana tidak mahu komitmen tugas terjejas kerana kurang cergas.

Selepas waktu Maghrib, menonton filem National Treasure: Book of Secrets. Tidak mengecewakan lagi kerana ada plot cerita yang tidak perlu dipertikaikan seperti filem Anak Halal. Saya masih tercari-cari naskhah fiksyen sains yang seperti National Treasure untuk diterbitkan di dalam Dewan Kosmik. Menggunakan sejarah, tulisan kuno, imaginasi dan strategi bagi membongkar rahsia simpanan kota emas.

Kemudian saya membeli DVD cetak rompak filem The Great Debaters. Saya membeli cetak rompak bukan kerana menyokong industri ini. Tetapi filem ini tidak ditayangkan di mana-mana pawagam di Malaysia. Hendak memuat turun dari internet sudah tentu memakan masa yang lama.

Filem yang berdasarkan pada kisah sebenar arahan dan lakonan Denzel Washington ini sebenarnya bertujuan mengangkat martabat bangsa Negro di Amerika Syarikat. Tidak ada rasanya filem Melayu mengangkat orang Melayu sendiri. Kebanyakannya bertujuan mahu mempromosikan politik Melayu.

Berlatarbelakangkan tahun 1930-an, Denzel Washington adalah pensyarah di Kolej Wiley, kolej Amerika-Afrika yang mahu meletakkan orang kulit hitam setaraf dengan orang kulit putih melalui pertandingan debat. Beliau beria-ia melatih empat orang penuntut kolej supaya menjadi pendebat terhebat. Bermula dengan pertandingan debat antara kolej-kolej biasa, pendebat Kolej Wiley mula membuka mata orang luar kerana kerap menjuarai pertandingan debat. Akhirnya mereka mendapat jemputan pertandingan debat daripada Universiti Harvard. Sebuah universiti tersohor bertanding kehebatan debat dengan sebuah kolej kerdil. Walau bagaimanapun, Kolej Wiley berjaya menjuarai pertandingan itu. Kesannya, orang kulit hitam mula diterima masuk ke universiti-universiti yang sebelumnya dipelopori orang kulit putih.

Denzel Washington selaku orang kulit hitam berjaya memartabatkan bangsanya melalui filem. Pada masa dahulu, orang kulit hitam dipandang kelas kedua berbanding dengan orang kulit putih. Mungkin di Malaysia, orang India perlu menghasilkan filem yang ala-ala sebegini. Di sini, banyak peguam yang bijak adalah terdiri daripada orang India. Tetapi perbezaan orang India di Malaysia dengan orang kulit hitam di Amerika Syarikat, mereka tidak disisihkan apatah lagi "dibersihkan".

Tahniah untuk HINDRAF kerana berjaya memaksa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam.