Januari 2012 - Genap tiga tahun saya bertugas di Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang dulunya dikenal sebagai ITNM. Alhamdulilah karier dalam kehidupan saya diberikan jalan mudah oleh Allah.

Setahun genap editor buku di PTS Publications, genap dua tahun editor majalah di DBP. Kini genap tiga tahun di ITBM, saya diberikan amanah untuk menguruskan jabatan baharu, iaitu Jabatan Buku Malaysia.

Syukur kerana Allah maha mengetahui keupayaan saya melaksanakan tanggungjawab ini. Hakikatnya saya "risau" melaksanakan tugas ini, kerana KPI yang diberikan dirasakan mungkin tinggi dalam keadaan yang perlu dimulakan daripada "0". Sebanyak 10 judul buku terbit pada setiap bulan bermula Jun hingga Disember 2012. Maknanya, tahun ini jabatan baharu ini perlu menerbitkan 70 judul baru.

Namun perlantikan ini tetap dianggap sebagai amanah/tanggungjawab (taklif). Perasaan berbesar hati sehingga bangga (tasyrif) hanya sekelumit di dalam hati. Tidak dinafikan peluang jawatan dan imbuhan ini banyak memudahkan hidup, tetapi ujian tetap ujian.

Saya sukakan kerja baharu ini sebagaimana saya sepenuh hati bekerja semasa bos menawarkan untuk mengendalikan "komunikasi" di ITBM. Dulu emak selalu marah kerana malas membaca buku (baca: buku sekolah). Apabila berbaik dengan Jaafar Rahim bermula tahun pertama di UIA, saya terus berusaha memasukkan diri dalam dunia buku - hanya untuk meningkatkan ilmu diri.

Kini saya betul-betul mengusahakan penerbitan buku. BUKU KARYA ASLI - bukan buku terjemahan.

Setiap hari ulang alik bermotosikal dari Shah Alam-Wangsa Maju-Shah Alam, yang saya fikirkan hanya satu; mencari langkah dan strategi untuk memperoleh lebih 70 manuskrip berkualiti.

Saya mencari manuskrip yang mempunyai isi yang tidak bercanggah dengan kepentingan bangsa, agama dan tanah air serta menggunakan bahasa Melayu standard...