Saya menyedari kelemahan saya dalam hal "persepektif menyeluruh" semasa bos menilai appraisal saya. Bos dengan terus terang menyatakan saya terlalu relaks kalau berhadapan dengan situasi genting yang memerlukan tindakan alternatif bagi mengatasi masalah itu.

Jumaat lalu sebelum pulang ke rumah, rakan pejabat saya kata, "Anuar relaks sahaja! Bukankah kita sedang dalam keadaan genting ini?"

Lama dahulu di sekolah menengah, saya menerima sepucuk surat sembilan muka surat di bawah meja. Bolehlah dikatakan "surat cinta" daripada rakan sekelas. Kagum melihat kesanggupannya menulis surat sebanyak itu. Saya masih teringat antara butir tulisannya, "Saya suka melihat keadaan awak yang sentiasa sahaja relaks. Bagaimana awak boleh selalu relaks?"

Hakikatnya, sehingga kini saya masih relaks.

Gambar hiasan.

Semasa adir ipar saya menelefon untuk memberitahu pak mentua saya dikejarkan ke hospital kerana sakit jantung pada hari pertama puasa yang lalu, pun saya boleh relaks bersiap dan tenang-tenang memandu kereta ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Sejak ditegur rakan sepejabat Jumaat lalu, saya sudah keliru sama ada relaks ini positif ataupun sebaliknya.

Saya pernah menjadi ketua asrama dan ketua pengawas. Masih tetap relaks! Walaupun relaks, tidak pernah pula anak buah melawan setiap permintaan/arahan yang diberikan. Terserempak budak-budak merokok di tandas pun, mereka automatik buang rokok walaupun tidak diminta ataupun dimarahi.

Pernahlah sekali saya tidak relaks, tertampar seorang pelajar yang membebel-bebel selepas ditahan kerana datang lewat ke sekolah. Peliknya, selepas dia mengugut untuk panggil geng dia, pun saya boleh relaks kembali. Tak peduli pun.

Walaupun saya nampak relaks, tidak semestinya saya tidak tertekan. Ya saya selalu tertekan dengan pelbagai keadaan. Cuma saya tidak mahu dan tidak akan menunjukkan muka stres saya itu kepada sesiapa pun. Kalau saya stres, biasanya isteri akan menjadi tempat bercerita, tetapi tidak semua cerita akan diluahkan kepadanya. Isteri saya pun ada tekanannya sendiri khususnya di tempat kerja.

Allah jua tempat saya selalu mengadu semasa solat ataupun secara spontan merintih di dalam hati. Menonton wayang bersama isteri juga (hampir setiap minggu) antara terapi bagi mengurangkan stres. Kerana kami berdua suka aktiviti menonton wayang!

Saya akan terus nampak seperti relaks kerana saya tidak mahu kesihatan saya terjejas dengan stres. Saya insaf melihat orang lain sakit jantung, darah tinggi dan pelbagai penyakit hanya kerana tidak relaks!

Sebelum bermula filem Date Night, terpaparlah 18! Sudah tentu akan ada babak lucah yang tidak sesuai untuk tontonan mereka yang berumur bawah 18 tahun. Kononnyalah!

Filem yang dibintangi Tina Fey pastinya akan ada "perbualan dewasa" yang diungkapkannya secara spontan, tanpa skrip.

Dalam sibuk-sibuk Steve Carell dan Tina Fey "membahagiakan" rumah tangga mereka, ada juga diselitkan satu aktiviti yang mereka percaya dapat mengeratkan perhubungan, iaitu perbincangan Kelab Buku.

Perbincangan Kelab Buku dalam filem itu sama konsepnya dengan program Bacaan Buku Menakhoda Zaman oleh Dato' Sri Najib anjuran ITNM di pesta buku yang lalu; seorang membaca, yang lain menyemak buku yang sama. Sama seperti tadarrus Quran semasa bulan Ramadan.

Bezanya cuma sesudah Steve Carell membaca buku itu, dengan spontan ahli kelab buku itu akan memberikan reaksi. Kebetulan pula bahagian buku yang dibaca Steve itu berkaitan dengan "uzur wanita". Maka seorang wanita kawan Tina Fey pun respons tentang "uzur" itu yang berkaitan dengan dirinya. Ahli kelab yang lain turut memberikan pendapat masing-masing tentang bacaan Steve itu. Sama seperti usrah saya di UIA dahulu.

Selamat hari buku sedunia! Saya merayakan di Perpustakaan Kuala Lumpur yang ada "Let's Read Together" dan diskusi bersama Shaharom TM Sulaiman serta Khairusy Syakirin. Esok saya diajak berbincang sekali dengan mereka yang merupakan ahli Komuniti BukuOnline.Org. Khabarnya ada projek berkaitan pembinaan perpustakaan tajaan korporat!

Hebat betul penangan promosi bisnes terbaharu Siti Nurhaliza, SimplySiti, sehinggakan setiap kali iklannya tersiar di akhbar mahupun televisyen, isteri saya bersuara, "Saya nak beli!"

Setiap hari asyik bercakap perkara yang sama, maka saya pun temankanlah dia ke Watson di Jusco Cheras Selatan untuk membeli produk kosmetik itu.

Sementara menanti isteri memilih dan mendengar penerangan produk itu dengan wanita-wanita lain (ramai yang turut mendengar), saya membelek brosur penerangan produk Siti itu. Tergelaklah membaca ayat bahasa Melayu yang agak teruk terjemahannya.

Bayangkanlah salah satu keterangan produknya, "It suppress acne bacteria while regulate sebum production," diterjemahkan Ia menghapuskan bakteria akne sambil meregulasikan penghasilan sebum.

Bukannya salah, tetapi nampak janggal terjemahan itu. Ayat itu adalah terjemahan langsung. Lebih elok kalau diterjemahkan Ia menghilangkan sebarang bakteria akne selain mengawal penghasilan sebum. Akne jarang digunakan walaupun terdapat di dalam Kamus Dewan. Mungkin perkataan kecelaan/ketaksempurnaan lebih sesuai digunakan.

Sebenarnya dalam brosur itu, ada banyak lagi terjemahan yang agak janggal. Isteri kata, "Tak baiklah kritik Siti begitu. Kasihan dia. Dia baru nak bermula dalam bisnes."

Dalam hati saya, "Siti dah kaya!" Haha.

Majalah WWW.ITNM.COM.MY

Dulu di DBP, buat majalah setiap bulan. Di ITNM kini, buat majalah setahun sekali, sempena pesta buku. Walaupun setahun sekali, berasa macam payah mahu menyiapkannya. Namun yang penting, puas dapat melihat hasilnya selepas berhempas pulas untuk menyiapkannya dengan Puan Zini, Zaiti dan Shida.

Dulu di DBP, belum pernah pula lebih jam 8 malam untuk menyiapkan majalah Dewan Kosmik, tetapi untuk majalah ini, rekod pulang ke rumah jam 4 pagi tercipta! Maka silaplah lirik Ramli Sarip, "Keluar pagi balik petang. Adakala sampai malam."- Adakala sampai pagi juga!

Antara tulisan Ku Seman di dalam Utusan semalam... "Kerana itu kalau ITNM mempunyai kemampuan menterjemah, sasaran 300 judul adalah kecil, buku-buku yang sedia ada jauh lebih banyak daripada sasaran itu." Sila klik di sini atau di sini bagi membaca teks penuh tulisan beliau.

Sebenarnya 300 judul terjemahan setahun adalah sasaran penerbitan ITNM pada tahun 2014. Memang diakui jumlah 300 ini agak sedikit sekiranya dibandingkan dengan jumlah penduduk Malaysia.

Cuma saya suka dengan jawapan wawancara SN A. Samad Said dalam majalah www.itnm.com.my terbitan ITNM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, "Saya sangat percaya bahawa bidang terjemahan boleh digerakkan. Kalaupun Perdana Menteri mahu mengarahkan ITNM menterjemah 1,000 buku dalam tempoh setahun sekali pun, apa yang beliau perlu lakukan hanyalah menyediakan surat arahannya sahaja. Sekiranya ada dana, sudah pasti ada orang boleh melakukannya."

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) akan diadakan 19 hari lagi. Kalau tahun lepas, pihak penganjur menyatakan jumlah pengunjung merudum, yang mungkin kesan daripada kemelesetan ekonomi. Saya teruja untuk mengetahui reaksi pengunjung bagi PBAKL tahun ini.

Walau bagaimanapun, jumlah kehadiran pengunjung ke PBAKL sebenarnya boleh diragui. Masakan tidak, sistem pengiraan masih lagi menggunakan "alat pengira tasbih", sedangkan Pesta Buku Popular (yang diadakan setiap tahun di KLCC) telah maju dengan mengira pengunjung melalui jualan tiket. Lebih telus!

Dengan menggunakan "alat pengira tasbih", dan meletakkan petugas yang menghitung itu di setiap pintu masuk PWTC, mungkin juga orang yang bekerja di PWTC pun dikira sama!

Saya telah lama bertugas di PBAKL ini, sejak belajar di UIA yang bertugas sebagai pekerja sambilan dengan Saba Islamic Media. Pada masa itu, setiap pembeli buku di PBAKL biasanya akan diberikan buku nota, pen, ataupun rantai kunci (key chain) sebagai hadiah. Kalau peraduan pula (khususnya Karangkraf), orang yang bertuah akan diberikan beg yang berisi majalah ataupun buku.

Namun kini PBAKL sudah banyak berubah. Penganjur sudah berani melabur untuk memberikan motosikal kepada pengunjung, ITNM tahun lalu pula memberikan kereta kepada pembeli bertuah, malah banyak lagi gerai yang memberikan pelbagai hadiah, selain diskaun.

PC Fair pun tidak pernah memberikan hadiah lumayan sebegini. Paling mahal pun, pengunjung PC Fair akan membawa pulang hadiah berbentuk komputer (laptop) juga. Saya pernah bertuah mendapat rollerblade.


PBAKL tahun ini pula, ada pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan di gerai ITNM. Sebelum PBAKL, ITNM menganjurkan pertandingan mengulas buku ITNM di Facebook/blog. Hadiah keseluruhan, RM10,000! Hadiah pertama, RM5,000, yang setanding pula dengan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Pertandingan mengulas buku tidak pernah diadakan di Malaysia. Malah tidak pernah ada mana-mana pihak memberikan pengiktirafan kepada pengulas buku, filem, ataupun lain-lain bidang. Pengkritik sastera sahaja yang diiktiraf.

Padahal pengulas memainkan peranan penting dalam mana-mana industri. Filem Adnan Sempit mendapat sambutan hangat, malah mencatat rekod antara filem "pecah panggung" kerana mendapat ulasan yang baik (bak kata Meor Shariman). Begitu jugalah dengan Nur Kasih yang dipromosikan dengan baik di blog, Facebook, dan akhbar.

Buku La Tahzan, Mukaddimah Ibn Khaldun, Shit, dan banyak lagi buku juga "hebat" kerana diulas baik oleh banyak pihak. Orang yang mengulas buku ini biasanya jujur atau telus menulis ulasannya. Kalau buku itu baik, buku itu akan digambarkan secara positif, begitu jugalah jika sebaliknya. Cuma yang banyak "ulasan" di akhbar kini bukannya ulasan buku sebenar. Saya menganggapnya sebagai blurb kerana ulasannya terlalu pendek.

Saya tetap meminati ulasan buku tulisan Shaharom TM Sulaiman dan Jaafar Abdul Rahim. Ulasan buku mereka tidak hanya tertumpu kepada buku yang diulas itu, tetapi turut mengaitkan dengan buku lain yang sama konsep. Ulasan Jaafar Abdul Rahim lebih sedikit santai kerana suka mengaitkan dengan situasi semasa. Ulasan buku Zulkifli Salleh pula, rasanya tidak sampai tahap saya membaca ulasannya. Mungkin terlalu "tinggi"!

Namun penerbit buku di Malaysia (yang tiada penerbitan majalah) kini agak terhad untuk mendapat tempat/platform ulasan buku. Dalam majalah DBP, ruang ulasan buku kini terhad hanya untuk buku terbitan DBP. Begitu jugalah dengan majalah terbitan Karangkraf, buku terbitan Alaf 21 diutamakan dalam majalah Karangkraf. Mujur akhbar tempatan tidak memberikan had kepada buku mana-mana penerbit untuk diulas.

Sejak kebelakangan ini, saya agak jarang mengemas kini blog. Saya dan rakan-rakan agak banyak kerja menguruskan pembabitan ITNM dengan Google Books. Syukur segalanya berjalan baik dan semoga dengan adanya Google Books itu, semua karya sasterawan/penulis Malaysia dapat diantarabangsakan.

Lebih kurang sebulan lagi akan berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 19-28 Mac 2010. Kini semua penerbit buku sedang sibuk dengan penerbitan buku baharu selain merancang strategi untuk meraih keuntungan semasa PBAKL. Menarik PBAKL tahun ini kerana dewan di seberang sungai dibuka semula sungguhpun mendapat banyak rungutan dua tahun lalu kerana dewan itu tidak dilengkapi sistem pencegahan kebakaran.

Pada pesta tersebut pastinya semua pencandu buku akan berkampung 10 hari di PWTC walaupun segala kemudahan di situ agak daif, terutamanya tandas yang langsung tidak mesra 1Malaysia. Yang saya pasti juga selain pencandu buku, pencuri buku juga telah lama merancang strategi untuk "mengambil" beberapa buku pilihan.


Sekali fikir, memang agak pelik ada orang yang sanggup untuk mencuri buku. Kalaulah pelajar yang mencuri buku, sudah tentu mereka maklum tidak berkat ilmu yang diperoleh. Namun Johnny Depp pernah mencuri buku panduan bermain gitar terbitan Mel Bay semasa berusia 12 tahun. Beliau akhirnya pandai bermain gitar, tetapi sebenarnya dia bukan tahu pun hal keberkatan ilmu.

Detektif Lim yang merupakan seorang artis pun mencuri buku beberapa tahun lalu, tetapi adakah dia tidak mampu membayar harga dua buku yang bernilai RM149.90? Saya berborak dengan Ikhram, Eksekutif Kanan Pemasaran ITNM (baru bertugas-pernah bertugas di MPH dan PTS) berkenaan hal ini. Beliau menyatakan keadaan ini acap kali berlaku di mana-mana kedai buku terutamanya di MPH. Katanya, bukan sahaja artis terkenal, malah banyak orang kenamaan yang pernah mencuri buku. Kata Ikhram, "Mereka saja-saja mencuri buku, atau mungkin hobi."

Cuma ada satu lagi gerombolan (gelaran yang cocok) yang memang kerjanya mencuri, tidak kira apa-apa sahaja jenis buku sama ada yang terlaris mahupun yang berkualiti. Bos PTS, Arief pernah menulis blog berkenaan hal ini. Katanya, mereka mencuri buku untuk dijual semula secara dalam talian (online).

Memang ada benarnya. Ikhram menyatakan modus operandi mereka tidak dilakukan semasa banyak orang di dalam kedai buku, tetapi sebaliknya; semasa kedai buku tidak banyak orang. Mereka akan menyelitkan buku yang telah lama disasarkan ke dalam seluar.

Pencuri buku ini juga sebenarnya maklum berkenaan hal undang-undang. Sekiranya pekerja/pengawal kedai buku dapat mengesan mereka mencuri di dalam kedai buku, ia masih lagi belum menjadi kesalahan. Apabila mereka melangkah keluar dengan buku yang dicuri, pada masa itulah mereka boleh ditahan.

Pekerja/pengawal kedai buku sebenarnya sudah mengecam wajah semua pencuri buku. Kadang-kadang mereka siap bertegur sapa dengan pencuri buku. Malah ada kalanya buku yang diselitkan di dalam seluar dikeluarkan dan diletakkan di rak semula di hadapan pekerja/pengawal kedai buku. Asasnya, selagi tidak melangkah keluar kedai dengan buku yang dicuri, selagi itu tidak boleh ditahan.

PBAKL adalah lubuk utama pencuri buku. Bagaimana mahu menahan mereka sedangkan setiap penerbit di PBAKL tidak ada mesin pengesan kecurian. Petugas jualan pula pasti tidak sempat memantau satu persatu pengunjung yang datang. Setakat satu dua buku yang dicuri, mungkin boleh sahaja dihalalkan, tetapi penerbit mana boleh tahan kalaulah mereka mencuri The Epic of Hang Tuah yang bernilai RM250 sebuah!

Semalam, saya dan isteri seharian menghabiskan masa berjalan-jalan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Masjid India, Pasar Seni, Jalan Petaling (lebih terkenal dengan Petaling Street), dan Jusco Taman Maluri.

Biasanya kami akan berjalan-jalan sebegini pada hari bekerja, tetapi kali ini berlainan pula. Tujuan sebenarnya adalah mahu berjalan-jalan dengan kereta baharu. Kereta apa? Rahsia... Kerana bagi saya kereta adalah liabiliti, bukannya aset yang boleh dibanggakan.

Oleh kerana berjalan sakan, saya hanya sempat membaca akhbar pada waktu malam. Saya tertarik dengan artikel tulisan Zin Mahmud di Mingguan Malaysia dengan judul Dunia Tanpa Buku.

Sejak Zin Mahmud menerajui Mingguan Malaysia, tulisan beliau lebih kurang seperti menulis blog atau pojok. Hasil tulisan beliau diceduk daripada keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Tahniahlah! New journalism!

Beliau mengaitkan artikel beliau kali ini dengan inovasi terbaharu Apple, iaitu iPad dengan trend pembacaan buku semasa. Ada logiknya hujah beliau pada kali ini. Ada banyak penulis yang mendakwa trend pembacaan buku akan berubah daripada membaca buku yang tebal kepada Kindle ataupun Nook, tetapi tidak bersandarkan hujah mahupun alasan yang logik. Namun Zin membandingkan trend pembacaan itu dengan perubahan penggunaan telefon.


Ya memang betul kini tidak banyak orang yang memiliki telefon talian tetap di rumah. Cuma kebanyakan pejabat kerajaan sahaja yang ada telefon talian tetap di setiap meja staf. Pejabat swasta sudah lama menggunakan telefon bimbit yang diberikan kepada setiap staf. Yang jelas, kini semua orang ada telefon bimbit, termasuklah pelajar sekolah rendah.

Bukan ini yang mahu saya ceritakan. Bagi saya, daripada tulisan Zin itu, beliau mahu mengajak pembaca supaya tidak statik dengan keadaan yang sedia ada. Pendek kata, jangan selesa dengan rutin harian yang ada. Kalau mahu melakukan perubahan diri atau kerjaya, perlu senantiasa berubah dan mengadaptasi dengan perkembangan terkini.

Namun adakah semua orang mampu berlapang dada untuk mengubah minda? Tindak-tanduk dan perilaku kita tidak akan berubah sekiranya minda tidak bersedia untuk berubah. Sebenarnya isu ini tidaklah menjadi masalah yang besar. Cuma di sudut hati saya, berasa agak terkilan melihat ada segelintir pihak yang tidak bersedia untuk menerima perubahan.

Di akhiran tulisan Zin itu, beliau menyatakan, "Kalau selama ini, seseorang tanpa sebarang alat boleh membaca buku tetapi pada masa akan datang, mereka yang tidak mampu untuk memiliki e-reader akan terhalang daripada peluang untuk membaca buku. Maka golongan ini, akan membaca buku-buku cetak yang sudah ketinggalan zaman."

Senang kata, jika tidak mahu atau tidak berani berubah, bersedialah dan jangan menyalahkan orang lain sekiranya ketinggalan zaman!

Saya suka dengan tulisan Meor Shariman di NST pada Sabtu lalu yang menceritakan situasi filem Adnan Sempit yang berjaya mencatatkan jualan tiket hampir RM6 juta.

Beliau percaya faktor penarikan penonton datang ke pawagam untuk menonton filem itu adalah kesan daripada "mulut ke mulut" (mouth to mouth marketing). Tanpa mengeluarkan banyak duit untuk promosi sebagaimana filem Jin Notti mahupun My Spy, Adnan Sempit membuktikan strategi pemasaran secara konvensional (dengan pelaburan tinggi) perlu dikaji semula.

Adnan Sempit adalah filem hiburan semata-mata yang menggelikan hati. Saya dan isteri akan menonton apa-apa sahaja filem terkini di pawagam termasuklah filem itu - walaupun berpeluh dingin (malu) juga beratur untuk membeli tiket. Ya ternyata menghiburkan.


Promosi "mulut ke mulut" tidaklah terbukti berkesan 100 peratus. Sabtu lalu semasa saya dan isteri di Pulau Pinang menghadiri majlis pertunangan kawan baik isteri, Faznur, saya sempat berborak dengan sepupunya yang bekerja sebagai jurujual Perodua. Katanya, sejak pengeluaran pertama Perodua Myvi pada tahun 2005, sehingga kini Myvi mencatatkan rekod penjualan kereta pertama tertinggi di Malaysia. Katanya, Myvi tidak akan dihasilkan lagi pada tahun hadapan, Perodua menghasilkan model baharu sebagai ganti Myvi.

Ironinya, bacalah di mana-mana blog, laman web, ataupun daripada mulut-mulut orang, terlalu banyak ulasan dan kritikan teruk berkenaan Myvi. Kini melambak jugalah orang mengkritik di blog ataupun mulut yang mengkritik Perodua Alza. Realitinya, jualan Alza kini sudah mengalahkan Proton Exora.

Itu kisah "mulut ke mulut" berkenaan filem Malaysia yang dihasilkan kurang 50 filem dalam masa setahun, begitu juga dengan kereta yang dihasilkan Perodua dan Proton yang tidak melebihi tiga pengeluaran baharu pun dalam masa setahun. Bagaimana pula dengan industri buku yang kini mencecah 10,000 judul baharu setahun? Adakah "mulut ke mulut" mampu menjadikan satu buku bertuah daripada 10,000 itu sebagai bestseller?

Sebelum itu, perlu dimaklumi bahawa industri penerbitan adalah bisnes yang bersifat spekulasi. Industri ini diibaratkan seperti permainan yang mengharapkan tuah dan peluang. Bak kata Nicholas Clee, Editor The Bookseller, "Orang selalu bertanya kepada saya berkenaan fenomena mulut ke mulut (melariskan buku), tetapi sukar untuk menerangkannya secara sosiologi kerana situasi itu lebih kepada secara kebetulan dan serendipiti."

Serendipiti dalam bisnes dimengertikan sebagai keuntungan atau manfaat yang datang bergolek tanpa diduga hasil daripada kesan sinergi positif. Sebab itulah kita boleh melihat buku La Tahzan, Ayat-ayat Cinta, A Brief History of Time, dan Sophies World sehingga kini masih lagi menjadi bestseller, walaupun ada orang menyatakan semua buku itu tidaklah sehebat mana.

Yang penting, lebih banyak orang menceritakan kebagusan semua buku itu daripada yang me"negatif"kannya. Namun saya tetap percaya, sama ada filem, kereta mahupun buku, orang akan beria-ia menceritakan/mempromosikan yang bagus-bagus sekiranya ada KUALITI!

Ok secara jujurnya saya sedang menanti ketibaan kereta baharu. Hendak dijadikan cerita, kereta wira dahulu (isteri menamakannya "Bubu" kerana warnanya kelabu) diberikan kepada Abah. Kereta itu dimiliki selepas tiga bulan saya bertugas di PTS Publications. Asalnya, saya mengambil alih kereta itu daripada Abang, kerana dia membeli kereta baharu.


Kereta baharu saya? Oh itu biarlah rahsia. Cuma saya tertarik mahu menceritakan detik-detik semasa mahu menempah kereta itu. Kebetulan pula saya kini sedang membaca buku yang dibeli di Kinokuniya minggu lalu, 100 Great Sales Ideas sebelum menonton filem Adnan Sempit. Haha agak berpeluhlah semasa bercakap, "Dua tiket Adnan Sempit," di kaunter tiket TGV KLCC. Ya filem itu sekadar hiburan semata-mata. Bak kata kawan-kawan, "Sudah ada anak nanti, tak dapatlah kau selalu tengok wayang!"

Berbalik kepada semasa mahu membeli kereta... Pada mulanya ada seorang jurujual perempuan menghampiri saya mahu mempromosikan kereta itu. Langsung saya tidak tertarik dengan gaya menjualnya kerana dia beria-ia "mahu menjual!"

Kemudian ada seorang lelaki Cina menghampiri saya. Dia langsung tidak "menjual", tetapi lebih kepada bercerita tentang ragam orang semasa mahu membeli kereta. Namun saya tidak pun membeli kereta tersebut pada masa itu.

Bijaknya lelaki Cina itu, dia memberikan kad nama sebelum saya beredar. Secara spontan juga, dia meminta kad nama saya dan menyatakan, "Kalau Encik Anuar tidak sibuk esok, boleh datang bertemu saya."

Memang saya tertarik dengan dia dan saya datang kembali keesokan harinya selepas waktu bekerja. Maksudnya lelaki Cina itu melayan pelanggan ini pada waktu malam. Malah menyarankan saya untuk solat Maghrib dahulu sebelum membuat keputusan.

Persamaannya, semua ciri jurujual Cina itu terkandung di dalam buku yang saya nyatakan di atas. Dia "getting people to give you time". Ya saya tidak dipaksa untuk membeli kereta dengan terburu-buru. Dia pun "be available" mengikut kehendak masa saya. Malah sebelum itu dia "a good first impression" kerana berbual santai terlebih dahulu semasa awal perkenalan.

Yang paling penting, dia "enhancing customers' recall of you" kerana memberikan kad namanya sebelum saya beredar. Dia juga sanggup "lose your ego" berurus niaga dengan orang muda ini, walaupun dia sudah agak berumur. Sehingga kini dia tetap memanggil "Encik Anuar".

Semasa abang saya belajar di Sekolah Alam Shah, dia diberikan pilihan untuk mempelajari bahasa ketiga selain subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bahasa ketiga yang ditawarkan adalah Bahasa Arab, Bahasa Perancis, dan Bahasa Jepun.

Abang memilih untuk belajar Bahasa Arab. Emak kata, "Dengan belajar subjek Bahasa Arab, sekurang-kurangnya dapat memahami al-Quran semasa membacanya."

Saya tidak berpeluang menyambung pelajaran menengah ke sekolah berasrama penuh. Berdasarkan zon rumah, saya diberikan pilihan untuk belajar di SMK Dato' Jaafar (SDJ). Pada masa itu, SDJ agak teruk dari segi rekod disiplin pelajar. Maka emak abah memilih untuk menghantar saya ke Sekolah Menengah Arab Bugisiah Tampok (SMABT), berdasarkan keputusan peperiksaan pendidikan agama saya di Sekolah Agama Bandar senantiasa cemerlang. Alhamdulillah. - Di Johor ada pendidikan agama yang sistematik.

Secara jujur, saya berasa sedih sangat dihantar ke sekolah yang agak daif serba-serbi. Bayangkan daripada belajar pendidikan rendah di Sekolah Saint Joseph yang berada di tengah-tengah Bandar raya Johor Bahru, tiba-tiba menerima pendidikan menengah di SMABT, yang perlu menaiki tiga bas untuk tiba di situ.

Akhirnya kini saya sedar, benarlah restu ibu bapa itu penting dalam segala hal kehidupan kita sebagai anak. Berkat menuntut di SMABT itu, tidak pernah disangka-sangka dapat juga saya menyambung pengajian ijazah sarjana muda di UIAM, walaupun dahulu pernah terlintas di hati, "Entah apa nak jadi dengan diriku pada masa hadapan?"


Sekurang-kurangnya kini saya mampu memahami isi kandungan al-Quran (walaupun tidak semuanya), berupaya bertutur dengan orang Arab semasa menunaikan umrah, dan dapat berkongsi sedikit ilmu agama dengan rakan-rakan.

Saya pernah terfikir sebelum ini, "Bagaimanalah dengan kawan-kawan yang membaca Quran, tetapi tidak memahami bahasa Arab?"

Di sinilah baru saya menyedari betapa murninya tugas sukarela yang dilaksanakan oleh penterjemah. Sekiranya tidak ada inisiatif langsung penterjemah berbangsa Melayu yang berkorban masa, tenaga, dan wang untuk menterjemahkan Quran ke bahasa Melayu, saya percaya hampir 90 peratus umat Melayu-Islam tidak dapat memahami serta menghayati isi kandungan Kalam Allah ini.

Malah sekiranya tidak wujud langsung penterjemahan Quran ke bahasa Melayu, Umat Melayu-Islam yang tidak memahami maksud Quran dikhuatiri hanya mendirikan solat dan membaca Quran sekadar sebagai ritual harian atau adat, bukannya sebagai ibadat.

Ya malam tadi saya menonton Anugerah Juara Lagu (AJL). Cuma sekadar di hadapan kaca televisyen sahaja. Terus terang, saya memang meminati Faizal Tahir. Meminatinya kerana kekuatan vokal dan lagu yang memang cocok dengannya. Malah saya dan isteri pun sudah merancang untuk ke Istana Budaya pada Februari nanti untuk menonton persembahan Faizal Tahir dan Aizat anjuran SNP Productions (milik Siti Nurhaliza).

Sememangnya saya meminati muzik sejak dahulu lagi. Di UIA saya merehatkan diri daripada aktif PKPIM kerana mahu sepenuh masa dalam kumpulan gamelan. Cuma minat saya tidaklah kronik sehinggakan dikategorikan terjerumus dalam hedonisme. Sebelum mula AJL malam tadi pun, saya dan isteri bersolat isyak terlebih dahulu bagi memastikan hiburan itu tidak melalaikan.

Sambil menonton, sambil layan Facebook. Wah Abang Jamizal yang dahulunya acap kali berbicara dan menulis tentang falsafah, Plato, Aristotle dan lain-lain pun menulis di statusnya, "Menyokong hafiz af untuk juara lagu." Dahulu dia pernah menulis di blognya semasa musim Akademi Fantasi (AF), "Apa yang isteri lakukan, kita perlu sama-sama melakukannya." Maksudnya, isterinya suka menonton AF, maka dia pun bersama-sama menonton program realiti itu. Asalkan bahagia.

Berbalik kepada AJL malam tadi... Memang saya agak terkejut dengan keputusan yang memihak kepada Aizat. Saya skeptikal dengan keputusan yang mungkin dipengaruhi faktor Allahyarham Yasmin Ahmad dan kempen 1Malaysia.


Satu Malaysia mengetahui Datuk Farid Ridzuan dan Siti Nurhaliza (juri AJL) ada hubungan baik dengan Allayarham Yasmin. Mungkin ini faktor untuk memenangkan lagu "Pergi" yang merupakan lagu runut filem Talentime arahan Yasmin. Malah Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim pula hadir malam tadi. Sudah tentu lagu itu yang memuatkan unsur 1Malaysia menjadi pilihannya.

Itu sekadar telahan saya yang mungkin tidak logik. Cuma yang saya tertarik adalah pada bebelan panjang Faizal Ismail dan Cheryl Samad sebelum giliran Aizat menyanyikan lagu Pergi. Rupa-rupanya untuk menyusun lilin yang menjadi latar persembahan Aizat. Namun bebelan panjang itu ada fakta yang menarik perhatian saya. Rupa-rupanya asal lagu tersebut diterjemahkan daripada lagu I Go.

Cheryl memuji melambung kekreatifan Amran Omar berjaya menterjemahkan lagu dan lirik asal ciptaan Pete Teo itu. Hasilnya sangat menjadi kerana lagu tersebut dinobatkan sebagai lagu terbaik AJL ke-24.

Masyarakat Malaysia kurang mengetahui tentang aspek penterjemahan lirik lagu kerana ia merupakan bidang baru dalam pengajian penterjemahan, malah rujukan dalam bidang inipun sangat kurang. Dalam buku Song and Significance. Virtues and Vices of Vocal Translation, penulisnya pun agak kesal dengan pengabaian penterjemahan lagu popular dan persembahan berteraskan muzik walaupun ia adalah bidang yang menarik.

Buku tersebut diterbitkan pada tahun 2005.

  • Pada tahun 2007, filem High School Musical 2 keluaran Disney mencetuskan fenomena baharu dalam bidang ini. Lagu runut filem tersebut, iaitu You Are The Music In Me sangat popular sehinggakan diterjemahkan kepada 24 bahasa dunia. Dalam bahasa Melayu (BM), ia diterjemahkan sebagai Kau Muzik di Hatiku nyanyian Vince dan Jaclyn Victor.

  • Lagu runut filem animasi Tarzan berjudul You'll Be In My Heart nyanyian Phil Collin pun sangat popular dan dinyanyikan semula oleh Zainal Abidin dalam BM dengan judul Kau di Hatiku.

  • Lagu Siapa Aku nyanyian Suki pun merupakan lagu terjemahan popular daripada lagu This Is Me nyanyian Demi Lovato untuk filem Camp Rock.

  • Yang terbaharu dan mungkin terkini, lagu Pergi yang diterjemahkan daripada lagu I Go nyanyian sendiri Pete Teo.



Lirik lagu boleh dikategorikan sebagai karya kreatif yang memerlukan penterjemah mahir yang mempunyai bakat semula jadi. Penterjemah lirik lagu yang mapan akan mampu menghasilkan terjemahan yang bermutu dan terkandung nilai estetika yang tinggi.

Berbeza dengan penterjemahan teks, penterjemahan lagu perlu mempunyai unsur perasaan dan menggunakan bahasa yang lebih literal, santai dan mudah difahami.

Di ITNM, Khalil boleh dianggap abang kerana dia lebih berusia daripada saya, tetapi dia lebih selesa dipanggil namanya, Khalil daripada memanggil "abang".

Dua perkara menarik tentang beliau, iaitu suka mengajak solat berjemaah dan kerap bertanya tentang hal agama. Sehinggakan ada kalanya saya tidak mampu untuk menjawab pelbagai kemusykilannya terutamanya tentang isu ibadat.

Antara soalannya yang menyebabkan saya perlu merujuk kepada kawan yang lebih arif tentang agama seperti, "Aku mahu bermusafir, tetapi sudah masuk waktu solat. Adakah aku dibolehkan jamak qasar ataupun aku perlu solat secara sempurna?"

Namun yang paling menarik tentang beliau adalah keinginan mahu mengajak orang untuk solat berjemaah. Dia akan datang ke stesen kerja (workstation) saya untuk pergi solat berjemaah di surau. Paling tidak pun, dia akan menelefon dengan permulaan ayat, "Haiya haiya 'alas solah".

Biasanya ajakan ini adalah pada waktu asar. Kerana pada waktu zohor kami akan secara automatik ke surau bersama-sama selepas menikmati makan tengah hari.

Di pejabat, sangat perlu konsep bermesyuarat bersama-sama dan melaksanakan kerja bersama-sama. Lanjutan daripada itu akan terbawa-bawa kepada makan bersama-sama. Semuanya berkonsepkan bersama-sama. Jarang melihat ada rakan pejabat yang makan keseorangan, kecualilah kalau dia membawa bekal makanan daripada rumah.

Cuma apabila pulang dari makan tengah hari, kita seolah-olah terpecah kepada dua kumpulan; satu ke surau, satu lagi ke stesen kerja. Mengapa tidak diaplikasikan konsep bersama-sama ini dalam ibadat solat berjemaah?

Perkara inilah yang saya maklumkan kepada isteri. Kata saya kepadanya, "Kita makan bersama, jalan-jalan bersama, tidur bersama, dan segala aktiviti kita lakukan bersama-sama. Sangat rugi kalau kita tidak solat bersama."

1. “Jangan dah nak terberak baru nak korek lubang”, pepatah Melayu yang bermaksud persediaan saat akhir. Walaupun pepatah ini kurang enak didengar, tetapi penggunaan perkataan majaz “berak” sangat tepat kerana menunjukkan deria rasa sakit perut yang secara semula jadi tidak boleh “ditahan-tahan” oleh badan manusia.

2. Perkataan ganti yang kini sudah difahami umum bagi perbuatan ini adalah “buang air besar”, sungguhpun pada asalnya ia tidak merujuk tepat kepada perbuatan berak. Dalam bidang perubatan, istilah “peninjaan” digunakan bagi merujuk kepada perbuatan berak.

3. Hasil kajian kromatografi gas pada tahun 1984 mendapati sebatian yang mengandungi sulfur seperti methanethiol, hidrogen sulfida, dan dimetil sulfida merupakan punca bau busuk kentut. Kentut boleh juga dikeluarkan tanpa menghasilkan sebarang bau dan bunyi.

4. Kita selalu mendengar serangan jantung banyak berlaku di dalam bilik air. Sebenarnya semasa berak, otot dada, diafragma, otot dinding abdomen, dan diafragma pelvis akan menekan atau meneran keluar saluran cerna. Pernafasan turut terhenti seketika semasa paru-paru menekan dada ke bawah untuk memberi tekanan. Pada masa yang sama, tekanan darah meningkat selain jantung mengepam darah masuk dengan pantas.

5. Di Malaysia kini banyak kelihatan adalah tandas duduk. Kaedah berak sebegini sebenarnya dipromosikan oleh dunia Barat yang bertujuan untuk mengurangkan rasa sakit di paha, betis, pergelangan kaki dan punggung bawah. Cara begini menyempitkan sudut anorektum sehingga menyukarkan proses “mengosongkan” perut. Akibatnya, besar kemungkinan seseorang itu mengalami olah gerak Valsalva dan membebankan sistem kardiovaskular. Berak dengan menggunakan jamban duduk juga memerlukan lebih masa berbanding dengan jamban mencangkung.


Artikel saya di dalam Dewan Kosmik keluaran Januari 2010.

Tahun pertama di ITNM.

Saya banyak belajar benda baharu berkenaan hal komunikasi korporat atau biasa orang sebut PR. Sebelum ini, saya bukanlah minat 100 peratus dalam bidang ini. Dahulu di UIA diberikan pilihan subjek minor, saya lebih cenderung memilih jurusan sains politik. Kononnya mahu menjadi ahli politik, tapi sekarang tidak minat pula menyertai politik.

Introduction to Communication pun belajar main-main kerana pensyarahnya asyik sibuk dengan seminar atau penyelidikan sahaja, sehinggakan kelasnya dikendalikan oleh pelajar PhD yang diseliakannya. Nama pensyarah itupun saya sudah lupa.

Orang lain akan nampak cara kerja PR ini menyeronokkan sahaja. Kalau di DBP dahulu, orang PR akan ke sana sini menjalankan aktiviti DBP. Pendek kata, ke mana sahaja Ketua Pengarah DBP pergi, di situ ada orang PR. Ataupun di mana sahaja ada program DBP, adalah orang PR. Nampak macam seronok berjalan.

Hakikatnya, PR di ITNM tidaklah terlalu indah sebagaimana yang dibayangkan. Kalau saya atau Shida menghadiri mesyuarat PR di Kementerian Pelajaran Malaysia, selalu sangat mendengar keluhan mereka yang banyak kerja. Kalaulah mereka buat PR di ITNM, baru tahu rasanya.

Satu perkara yang JANGAN dilakukan oleh PR di ITNM ini, "Jangan kata tak tahu kalau orang tanya apa-apa." Shida yang pesan semasa bulan pertama di ITNM ini. Tapi biasalah... Banyak benda yang saya tidak tahu, tetapi perlu juga menjawab tahu. Kalau jawab tidak tahu, siaplah kena cop tidak peka dengan keadaan sekeliling.

Walau apa-apapun, saya seronok bekerja dalam bidang penerbitan ini. Senang kata, inilah punca rezeki saya. Sama ada suka ataupun sebaliknya, saya sangat bersyukur masih lagi diterima bekerja dan terasa kewujudan di dalam ITNM.

Malam tadi saya menghadiri Majlis Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008 anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah MBKM, Encik Abdul Halim Ismail, anugerah ini dihidupkan kembali selepas 10 tahun tidak diadakan. Namun menurut Faisal Tehrani yang duduk di sebelah saya, dia baru memperoleh anugerah yang sama untuk buku novel 1515 belum sampai 10 tahun lalu. Entahlah...

ITNM menerima Anugerah Buku Terjemahan bagi buku Panduan Diplomatik yang diterbitkan bersama Penerbit UUM. Senarai penerima anugerah boleh dirujuk di blog Uthaya ataupun blog Syafiq. Buku terbaik dianugerahkan kepada buku Azah Aziz (isteri Ungku Aziz), iaitu Rupa dan Gaya: Busana Melayu.

Kalau anugerah diberikan kepada filem ataupun seseorang pelakon, ia menggambarkan nilai kualiti yang terdapat dalam filem ataupun gaya pelakon tersebut. Ada juga anugerah filem yang dinilai melalui populariti. Sekiranya sesebuah filem itu memperoleh anugerah, maka secara tidak langsung filem itu akan laris. Begitu jugalah dengan pelakon yang akan senantiasa menerima tawaran berlakon daripada mana-mana produser.

Namun tidak semestinya! Filem Wayang tidak laku di pawagam, tetapi tetap menang besar di Anugerah Skrin 2009 termasuklah filem terbaik.

Di dunia ini ada pelbagai anugerah buku. Antara yang terkenal seperti Hadiah Nobel Kesusasteraan, Booker Prize, dan Pulitzer Prize. Tidak lain dan tidak bukan anugerah buku ini diberikan bagi menghargai nilai jerih yang diusahakan oleh penulis. Kelebihan lain kalau menerima sebarang anugerah buku:
  • Meningkatkan kredibiliti
  • Meningkatkan kebolehlihatan (visibility)
  • Siaran akhbar dan promosi media percuma
  • Merangsang semangat editor, pemasaran dan jualan
  • Menampal pelekat/logo anugerah di kulit hadapan dan bahan promosi
Bagaimana pula dengan jualan buku selepas menerima anugerah tersebut?

Pada tahun 2002, Richard Russo memenangi Pulitzer Prize bagi buku Empire Falls. Jualan bukunya meningkat 6,500 peratus sehinggakan bukunya dicetak lagi sebanyak 99,000 naskhah. Namun tidak semua pemenang Pulitzer Prize bertuah! Pada tahun 2006, jualan buku March oleh Geraldine Brooks sekadar meningkat sebanyak 86 peratus sahaja.

Tetapi kalau artis sekadar memegang buku, buku itu akan laris seminggu kemudian. Tidak perlu apa-apa anugerah pun. Buku The Power of Now yang dipegang Paris Hilton terjual 3,000 naskhah (meningkat 50 peratus) seminggu selepas gambar di atas tersiar.

Cuma saya tidak pasti adakah buku Sistine Secrets dan Decoding The Heavens yang dicuri "Detektif Lim" di MPH Mid Valley kini laris dijual ataupun tidak.

Usia tambah bernilai
sebaik bakti disemai.

With age increase one's worth
the best of service to sow forth.


Sempena Maal Hijrah 1431 hasil nukilan Sasterawan Negara A. Samad Said di dalam Bisik Warna.

Minggu lalu saya dan dua rakan pejabat termasuk bos menghadiri bengkel "Presentation & Public Speaking Skills". Tidak lain dan tidak bukan tujuan kami ke bengkel ini bagi memperbaiki skil pengucapan awam dan pembentangan.

Penceramah ada menyentuh tentang elemen penggunaan teori Aristotle Ethos-Path dalam perdebatan. Namun saya berlainan pendapat dengannya dan menyatakan teori Aristotle itu sekadar menggunakan rasional atau logik, tiada sebarang bukti atau dalil bagi mengukuhkan isi perdebatan.

Dua perkara inilah yang membezakan antara perbualan orang bijak dengan orang bodoh. Orang bijak biasanya berborak atau berbual tentang perkara yang ada fakta, bermotivasi, dan menggembirakan. Namun orang yang bodoh biasanya kata-katanya ada elemen keluh-kesah, banyak alasan, umpatan, fitnah, dan sia-sia. Senang kata, apa yang dibicarakan itu hanya dirasakan "sedap" dalam fikirannya sendiri, tanpa memikirkan akibat yang akan terjadi.

Dulu saya tinggal di kuarters kerajaan. Saya pernah bertanya emak, "Kenapa emak tidak duduk berbual dengan jiran petang-petang begini?" Jawab emak, "Malaslah! Banyak sangat orang suka buat 'ketupat'."

Biasanya pada masa santailah kata-kata sia-sia ini dibicarakan. Kalau bekerja, biasanya kafeteria atau warung akan menjadi lokasi hentam-menghentam, menghambur cacian dan mengumpat. Saya sebagai umat Melayu merasakan fenomena ini sudah biasa dilakukan oleh bangsa sendiri.

Saya suka mengambil contoh bangsa lain, contohnya Jepun. Saat-saat melepak seperti di kedai makan akan dihabiskan dengan mencari strategi untuk berjaya. Paling tidakpun, beliau akan melahirkan rasa tidak puas hati di hadapan orang yang dia tidak puas hati itu.

Namun sebenarnya dalam Islam sendiri telah lama menjelaskan perbualan antara orang bijak (berakal) dengan orang bodoh (jahil) ini. Dalam Quran, orang bijak ini digambarkan daripada orang yang baik, manakala orang bodoh adalah orang jahat.

Contohnya dalam dialog antara Qabil dan Habil (surah al-Maidah: 23-32), Qabil dengan kata ancaman kepada Habil, "Aku akan membunuhmu kerana korbanmu diterima, tetapi tidak pula korbanku." Jelas memaparkan kejahilan Qabil mahu membunuh Habil hanya kerana korbannya tidak diterima Allah. Sebab utama kerana hasad dengki!

Habil dengan relaks sahaja menjawab, "Bahawasanya Allah menerima korban daripada orang yang bertakwa", kerana Habil memang seorang yang baik lagi bertakwa.

Begitu juga dengan kisah Qarun dengan penasihatnya dalam surah al-Qasas: 76-83. Salah satu nasihat para penasihatnya, "Janganlah terlalu gembira dan bermegah dengan harta dan nikmat yang ada pada kamu, yang digunakan untuk perkara fasik dan maksiat..."

Namun Qarun dengan sombong lagi bongkak menjawab, "Sesungguhnya aku diberikan harta kekayaan ini kerana kepandaian yang ada padaku!"

Banyak lagi contoh yang boleh dibawa untuk menggambarkan antara kata-kata orang bijak dengan orang bodoh. Biasanya orang bijak akan berbual perkara baik hasil daripada pembacaan yang banyak, tetapi tidak bagi orang bodoh. Orang bodoh akan lebih suka mendengar dan membuat interpretasi sendiri tanpa mengkaji.

Saya bertanya kepada penceramah bengkel itu, "Bagaimana kita mahu selaraskan (tally) apa yang difikirkan dengan ucapan kita?" Jawapannya mudah, "Kita perlu selalu berlatih!" Maksudnya untuk bercakap perkara baik yang dicernakan daripada akal, perlulah selalu berlatih berborak perkara baik.

Jualan harian akhbar utama Malaysia:
  1. Sin Chew Daily: 374,757 naskhah
  2. Harian Metro: 338,552 naskhah
  3. The Star: 295,479 naskhah
  4. Berita Harian: 183,187 naskhah
  5. Utusan Malaysia: 181,346 naskhah
  6. Kosmo: 129,633 naskhah
  7. New Straits Times: 120,770 naskhah
Sekiranya melihat statistik yang dipaparkan di Berita Harian atau Utusan Malaysia hari ini, ternyata akhbar berbahasa Cina menguasai pasaran jualan akhbar di Malaysia.

Tahun lalu, sebaik sahaja statistik sebegini dikeluarkan oleh Audit Bureau of Circulation (ABC), lantas seorang pengarang akhbar berbahasa Melayu menulis "Melayu Malas Membaca" hanya kerana jualan akhbarnya tidak banyak terjual.

Rasa-rasanya mungkin akan ada lagi orang yang menyatakan sedemikian selepas membaca statistik di atas.


Apa hebatnya akhbar berbahasa Cina? Cuba baca Dr. Ridhuan Tee menulis di Mingguan Malaysia 23 Ogos 2009 ini, China Press adalah akhbar perkauman Cina yang telah diilhamkan oleh H.S. Lee pada tahun 1 Februari 1946. Akhbar ini pernah diharamkan suatu ketika oleh mahkamah, terutama selepas insiden 13 Mei 1969. Akhbar ini amat berbau perkauman. Untuk makluman, sebenarnya, akhbar inilah yang paling mendapat sambutan dari kalangan masyarakat Cina berbanding akhbar lain kerana keberanian melaporkan sesuatu isu termasuk menyentuh isu-isu sensitif orang Melayu dan Islam. Akhbar ini diterbitkan dua kali sehari. Saya amat hairan, kenapa China Press tidak menggunakan Cina Press.

Memang ada benarnya faktor rasis atau rasialis merupakan pemikat utama untuk melariskan apa sahaja produk mahupun perkhidmatan. Malah banyak orang lebih suka mendengar ucapan yang berbaur perkauman daripada mendengar kisah-kisah yang menyantuni semua kaum seperti yang biasa ditulis dalam Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia ataupun Berita Harian ada juga menyiarkan bahan yang hanya cenderung kepada Melayu sahaja, tetapi terdapat juga berita/artikel yang menghentam Melayu sendiri. Contohnya, di ruangan Surat Pembaca Utusan Malaysia, pernah tersiar surat yang menyokong pemansuhan PPSMI, di sebelahnya pula ada surat daripada Mak Datin PAGE yang membantah sekeras-kerasnya pemansuhan PPSMI.

Dahulu pun akhbar Melayu ini juga yang menyokong penuh PPSMI, Berita Harian pula lebih kurang. Risau kalau PPSMI dimansuhkan, kembarnya, iaitu NST akan lingkup. Jelas ketara akhbar berbahasa Melayu kurang/tiada pendirian dalam hal bangsa Melayu. Mungkin menyantuni semua pihak agaknya...

Faktor lain penyumbang kepada jualan akhbar adalah saiz. Jualan empat akhbar tertinggi semuanya bersaiz kompak, yang mudah dikepit di ketiak dan dibimbit ke mana-mana. Namun pada hujung minggu, Mingguan Malaysia yang bersaiz besar mencatatkan jualan tertinggi, iaitu sebanyak 413,727 naskhah.

Saya dapati ada dua sebab, iaitu akhbar itu dibaca di rumah yang memang mempunyai ruang besar untuk menghamparkannya. Yang kedua, bahan di sisipan Pancaindera adalah penarik utama kepada pembaca. Isteri saya akan menarik sisipan itu dahulu sekiranya saya membeli akhbar itu. Selain gosip artis, terdapat bahan lain yang "kukuh" di sisipan itu.

Selain itu, perkara yang menyebabkan akhbar mainstream Melayu tewas kepada akhbar Cina dan Inggeris kerana orang Melayu banyak yang bekerja di pejabat/kerajaan. Di pejabat memang disediakan pelbagai akhbar untuk dikongsi baca. Banyak sahaja rakan pejabat saya memilih untuk membaca akhbar subsidi ini.

Namun mengapa Harian Metro laris juga? Lihatlah bahan di dalamnya. Semuanya popular dan sensasi. Ada seorang rakan bertugas di situ. Dia kata, "Aku lagi pening daripada mencari bahan untuk Mastika dahulu!"

Malam tadi, saya berkesempatan bersama isteri dan enam rakannya menonton teater Natrah di Istana Budaya (IB). Kredit sewajarnya diberikan kepada Nor Hafizah Hasan (staf IB) kerana bersusah payah membelikan tiket dengan harga diskaun.


Saya lihat ada tiga golongan yang datang menonton teater ini:

Pertama, mereka yang mahu melihat Remy Ishak yang popular dengan drama Nur Kasih berlakon dari jarak dekat. Memang fakta pun kenyataan ini kerana semasa sesi memperkenalkan pelakon seusai tamat persembahan, tepukan dan laungan kepada Remy lebih kuat daripada Maya Karin walaupun Maya merupakan Natrah yang menjadi peneraju utama teater ini. Makcik-makcik pun banyak yang beratur mendapatkan tandatangan Remy semasa sesi autograf.

Golongan kedua adalah pengamal undang-undang. Enam rakan isteri saya, yang sudah tentu lulusan undang-undang merupakan kali pertama menjejakkan kaki ke IB hanya semata-mata mahu menonton Natrah. Seorang daripadanya, Dona, majisteret di Pulau Pinang, sanggup turun ke KL untuk teater ini. Malah rakan-rakan lama UIA yang terserempak di IB malam tadi semuanya lulusan undang-undang.

Golongan ketiga adalah peminat teater. Cuma golongan ini tidak ketara kehadirannya kerana biasanya teater terpilih sahaja yang ditontonnya. Natrah antara teater yang menjadi pilihan kaki teater kerana nilai sejarah dan kisah wataknya yang menjadi rujukan bagi setiap kejadian yang berkaitan dengan isu murtad, pengambilan anak, dan konflik undang-undang antarabangsa.

Bagi saya, Erma Fatima berjaya meringkaskan dan "meringankan" kisah hidup Natrah yang memang complicated hanya dalam masa dua jam untuk tontonan umum. Cuma mungkin orang dalam golongan kedua agak kecewa, kerana mereka lebih mengharapkan kes perbicaraan yang menjadi fokus utama penceritaan teater ini. Walau bagaimanapun, Erma lebih memahami kemahuan golongan pertama dan ketiga, lalu kisah ini diringkaskan supaya sekurang-kurangnya rakyat marhaen mengetahui permulaan dan akhiran cerita Natrah ini. Jangan nanti ada pula yang bertanya, "Siapa itu Natrah?"

Memang ada yang menangis semasa babak hakim memutuskan Che Aminah hilang penjagaan ke atas Natrah dan pernikahan Natrah dengan Mansor Adabi tidak sah, yang menyaksikan Adeline dan Hertogh segera merampas Natrah ke Belanda. Cuma saya tidak nampak ada yang menangis apabila Erma memaparkan secara tersirat babak Natrah meninggal dunia dalam Kristian (mungkin murtad).

Itulah akhiran teater ini. Memang agak mengecewakan saya kerana yang dikutip sebahagian penonton dan pelakon adalah hiburan, bukannya mesej. Ada pelakon yang bergembira berjoget seusai teater itu, dan penonton pula "suka ria" dapat menonton teater yang "best" itu. Dalam hati saya, "Apa kau tidak sedar Natrah itu mati dalam Kristian?" yang sepatutnya menguatkan azam kita berjuang membanteras isu murtad yang semakin membarah kini.

Serius tidak puas mengetahui kisah Natrah ini. Keluar sahaja dari Panggung Sari, isteri saya terus ke gerai jualan membeli buku terbitan UTM Press ini, hasil tulisan Fatini Yaacob yang baru sahaja dilancarkan. Mujur ada Encik Khalid Mazlan yang memberikan saya diskaun besar berbanding dengan pembeli lain. Terima kasih Encik Khalid! Kini ada dua penanda buku di dalam buku ini; satu untuk saya, satu lagi untuk isteri.

"Rasanya buku ini perlu diterjemahkan, mungkin ke bahasa Inggeris ataupun bahasa Belanda," bisikan saya kepada Encik Khalid.