Semakin cantik pula kulit hadapan Dewan Kosmik ini. Ada bentuk ala-ala seperti majalah Time pula. Ini merupakan perubahan baik bagi mengenyahkan persepsi orang yang menyatakan majalah DBP "membosankan".Cuma dari segi mutu cetakan, jualan, dan pemasaran masih lagi belum berubah. Sangat susah mahu mendapatkan majalah DBP di kedai majalah. Majalah Seni Bela Diri pun melambak dijual di kedai mamak.
Dalam keluaran ini, saya cuma sempat menulis ulasan buku. Mengulas buku Wacana Sejarah dan Falsafah Sains yang diselenggarakan oleh Prof. Yusof Othman. Saya mengesyorkan bagi mereka yang terlibat dalam bidang sains dan amat berminat mendalami ilmu Islam untuk membaca buku ini kerana ia diibaratkan seperti rujukan utama untuk bidang sains Islam.
Artikel blog ini merupakan yang ke-401 sejak berblog pada tahun 2007.
Semasa membelek majalah Solusi di Jusco Cheras Selatan semalam, rata-rata penulis majalah itu adalah pemblog (blogger). Antaranya Ustaz Zaharuddin, Irfan Khairi, Ustaz Hasrizal, dan Fazli Yusof. Mereka diberikan kolum dalam majalah atas lentokan hebat menaip kekunci komputer.
Namun saya tidaklah sampai ke tahap sedemikian. Malah apa yang saya tulis tidaklah hebat seperti blog sahabat saya, Azli yang kerap keluar dalam Utusan Malaysia dan Sinar Harian. Malah kerana "kehebatan" blognya itulah dia dibuang kerja. Percaya tak? Haha.
Tapi saya tidak mahu dibuang kerja oleh kerana blog. Maka saya terpaksalah tidak mengkritik atau mencadangkan yang bukan-bukan berkenaan tempat kerja di dalam blog ini. Walaupun hakikatnya dalam buku Shaharom TM Sulaiman, Buku Kekasih menyatakan menulis merupakan terapi yang boleh merawat pelbagai penyakit, seperti semput.
Namun yang saya tidak mengerti sekiranya ada orang mengata kita selalu berblog, sama ada membaca blog orang lain, ataupun mengemas kini blog sendiri. Malah menggunakan Facebook pun ada pihak yang tidak dapat menerimanya. Mujurlah pejabat saya ini belum lagi "mengharamkan" penggunaan semua aplikasi "berjiwa muda" ini walaupun kerajaan sudah mengeluarkan arahan untuk tidak menyalahgunakan harta kerajaan untuk urusan peribadi.
Sangatlah cemburu dengan situasi dan kondisi bekerja Google. Lihatlah cara bekerja mereka di sini yang sangat kondusif untuk menjana idea baharu untuk pembangunan kelangsungan syarikat. Saya pernah menulis hal ini dalam Dewan Ekonomi yang menceritakan cara korporat muda bekerja sehingga boleh menyaingi korporat yang sudah mapan.
Saya pernah bertanya kepada bos PTS, Arief, tentang perancangannya menghadapi masa hadapan di mana semua staf sudah berusia. Beliau juga gusar dengan kenyataan itu. Yang boleh dilakukannya adalah dengan tidak melarang sebarang perubahan yang kini dilakukan oleh staf PTS, walaupun ada antaranya memberikan impak negatif kepada syarikatnya.
Saya ingat lagi semasa minggu pertama di PTS dahulu, beliau bertanya, "Apa blog kau? Kalau tak ada pergi buat blog sendiri."
RSS Feeds




















