@

P.36: PAS menang.

Malam tadi saya menonton komentar terkini berkenaan pilihan raya kecil itu di RTM 1 dan Astro Awani. Sekadar mahu mengetahui pendapat ahli panel berkenaan faktor kekalahan Barisan Nasional.

Di RTM, saya suka dengan satu pendapat ahli panel (kurang terkenal) itu yang menyatakan, "Pengundi Cina termasuk orang tempatan Terengganu yang berada di luar Terengganu tidak mahu balik kerana masa yang singkat. Mereka mahu balik pada cuti Hari Raya Cina nanti." Ada logiknya.

Di Astro Awani, empat ahli panel yang memang terkenal pun melontarkan pelbagai pendapat yang ada realistik, ada juga yang sekadar membuat telahan.

Namun tidak ada langsung ahli panel yang menyatakan PPSMI sebagai faktor kekalahan BN. Saya pun tidak pasti sama ada orang Terengganu peka dengan isu PPSMI. Mungkin ada juga yang mengambil sikap tidak ambil kisah dengan nasib bahasa Melayu.

* * *

Kini agak kelakar juga melihat berita di TV1 yang disiarkan lewat berbanding dengan program berita di saluran lain yang disiarkan pada pukul 8 malam. Tambah kelakar kerana organisasi kerajaan ini menjenamakan program berita itu sebagai "Nasional @ 1".

Sekiranya disebut pasti berbunyi, "nasional at one" bukannya "nasional di satu". Orang kampung pun tahu menyebut tipografi "@" pasti berbunyi "at" bukan "di".


Ini hujah orang RTM pada 11 Januari 2009 di Berita Harian.

Simbol "@" sudah lama wujud yang membawa maksud "ataupun" atau "alias". Kini simbol itu digunakan dalam teknologi maklumat yang memberikan makna "di/di alamat" yang disebut "at".

Ini teguran Profesor Dr. Teo Kok Sing dari UKM dalam Berita Harian 2 Januari 2009.

Saya terfikir... Mengapa tidak digantikan simbol

menjadi simbol


Mungkin orang ramai akan menyebut "di". Kalau mahu membuat perubahan besarlah...

American Dreams malam tadi berbeza pula dengan episod yang lalu. Tiada lagi gejala negatif. Episod kali ini agak "suram" sedikit kerana Presiden Amerika Syarikat (AS) pada masa itu, J. F. Kennedy baru mati ditembak. Jadi keluarga JJ Pryor, malah semua rakyat AS pun berkabung kesedihan.

Dalam masa kesedihan itu, isteri JJ Pryor, Helen Pryor, sempatlah jumpa rakan lamanya yang pernah berkahwin dengan profesornya, dan kini berkahwin lagi dengan profesornya juga. Cikgu mengahwini anak murid.

Helen seorang pencandu buku. Beliau ada kelab buku yang diadakan seperti usrah di rumah. Yang menyertai kelab buku itu dalam kalangan wanita-wanita tua. Jadi seorang rakan Helen mengejeknya lalu mengajaknya pergi ke satu kelab buku di sebuah universiti.

Yang menariknya, kelab buku itu dikendalikan oleh seorang yang lagaknya seperti pensyarah. Beliau seolah-olah memprovokasi semua ahli kelab dengan ayat-ayat yang merangsang ahli kelab untuk bersuara. Ahli kelab pula lancar berhujah lengkap dengan nama penulis, buku dan isi kandungan buku itu. Bersinar mata Helen melihat kelab buku yang begitu bertenaga.

Kemudian...zzzzzzzz... Saya pun tertidur sebelum pukul 10.

Baru hari ini sempat melayan Yahoo! Messenger (YM). Itupun melalui Meebo. Biasanya menggunakan "YM for the web", tetapi komputer di pejabat tidak boleh pasang Flash kerana hanya "Administrator" sahaja yang boleh melakukan pemasangan (installation).

"Administrator" di sini ialah Ridwan dan Arif. Kalau mereka tahulah saya menggunakan YM, sudah tentu akan disekat (block). Sebenarnya sudah biasa menggunakan YM sejak bekerja bermula tiga tahun lalu. Semasa di PTS, setiap penulis "diwajibkan" mempunyai akaun YM bagi memudahkan interaksi dengan editor yang sudah tentu menjimatkan bil telefon. Semasa di DBP pula, penulis-penulis Dewan Kosmik pun saya galakkan mempunyai YM bagi memudahkan saya membuat susulan (follow-up) dan memaklumkan konsep artikel.

YM adalah talian interaksi percuma atau pesanan segera (instant messenging [IM]) yang paling biasa rakyat Malaysia gunakan. Ada banyak lagi talian seperti MSN, AIM, ICQ, Skype dan Google Talk. Semuanya dihimpunkan di dalam Meebo. Sekarang, di Facebook dan MySpace pun sudah ada IM.

Kata Abang saya yang bertugas di ibu pejabat DiGi, Shah Alam, IM memang diwajibkan antara semua staf. Begitu juga kata Nadiah di Exxon Mobil. Namun IM mereka direka khas untuk interaksi sesama staf.

Saya pernah menulis "kebagusan" IM di Dewan Kosmik keluaran Ogos 2007. Selain mengurangkan kos bil telefon, IM boleh dijadikan tempat perbincangan segera tanpa perlu bersua muka. Namun dengan menggunakan Skype, YM, dan MSN, interaksi dengan melihat muka boleh dilakukan sekiranya ada webcam. Dengan YM juga, boleh juga memindahkan dokumen tanpa perlu menggunakan e-mel.

Buka YM pada hari ini, banyak pula rakan-rakan bertanya, "Bagaimana bekerja di tempat baharu?" Kalau dilayan, maknanya tidak sempatlah saya memecahkan rekod membaca satu buku dalam sehari.

Sekarang sedang pruf satu buku sehari kerana buku-buku ITNM banyak yang akan diulang cetak. Semalam habis pruf buku Islam dan Kemodenan (Islam and Modernity). Kelmarin buku Islam dan Kepercayaan Lain (Islam and Other Faiths) oleh Ismail Al-Faruqi. Sebelum itu buku Asal Usul Masyarakat Manusia (On The Origins of Human Society) oleh Malik Bennabi. Hari ini mahu menghabiskan pruf Konsep Ijtihad dalam Hukum Syarak oleh Muhammad Sayyid Tantawi pula.

Itulah jawapannya. Sebab itulah saya suka bekerja di organisasi penerbitan walaupun emak abah mahu saya menjadi ustaz. Membaca memang menjadi kemestian bagi setiap orang yang bekerja di organisasi penerbitan. Namun semasa saya bekerja sambilan (part time) di satu syarikat penerbitan (semasa masih belajar), kawan saya dipecat kerana selalu membaca buku.

Buku Sophie's World sudah diterjemahkan kepada 53 bahasa. Edisi bahasa Melayu mungkin terjemahan yang ke-54, diterbitkan oleh ITNM. Buku ini berkisar berkenaan falsafah yang disampaikan dalam bentuk penceritaan seorang kanak-kanak yang mempunyai semangat inkuiri yang tinggi.

Manakala buku Anne Frank pula adalah diari kanak-kanak perempuan Yahudi yang dibunuh oleh Nazi Jerman. Ada orang kata, diari itu adalah dakyah Yahudi untuk menarik simpati dunia akibat dianiaya oleh Nazi.

Sahih ataupun tidak, tidak dapat dipastikan. Hal ini kerana bapa Anne Frank yang mendakwa diari itu sahih. Bapanya jugalah yang memberikan diari itu kepada penerbit untuk dijadikan tatapan umum.

Namun ada beberapa memoir yang didapati tidak sahih. Maksudnya cerita yang disampaikan adalah auta semata-mata.

Antaranya buku yang diresensikan oleh Oprah sendiri, iaitu Angel at the Fence (Malaikat di Pagar) tulisan Herman Rosenblat. Beliau mendakwa jatuh cinta kepada seorang wanita yang selalu mencampakkan makanan di pagar semasa Perang Dunia Ke-2. Apabila beliau berpindah ke New York, beliau berkahwin dengan Roma Radzicki. Rupa-rupanya isterinya itu adalah wanita yang mencampakkan epal dan roti semasa Rosenblat berada di kem tahanan.

Rupa-rupanya penulis itu, Rosenblat menipu.

Ada banyak lagi buku memoir yang menipu. Antaranya:
  1. A Million Little Pieces oleh James Frey.
  2. A Rock and a Hard Place oleh Anthony Godby Johnson
  3. Satan's Underground oleh Lauren Stratford
  4. I, Rigoberta Menchu oleh Rigoberta Menchu
  5. The Diary of Jack the Ripper oleh by James Maybrick

Dalam penerbitan, semuanya memerlukan kualiti; kualiti suntingan, kualiti terjemahan, kualiti susun atur, kualiti kertas, kualiti warna dan lain-lain. Kurang berkualiti bermaksud satu buku/majalah itu dianggap tidak berkualiti langsung.

Contohnya, sekiranya blurb (keterangan ringkas berkenaan sesebuah buku) ada kesalahan ejaan, itu menjadi kesalahan yang besar. Begitu juga sekiranya tertinggal satu nombor di ISBN, semua buku perlu ditampal pelekat menggantikan nombor ISBN yang salah itu.

Saya terfikir... Sekiranya dalam pengurusan organisasi ada ISO tersendiri, mengapa tidak dalam hal penerbitan pun ada kualiti. Saya lebih suka perincikan ISO dalam terjemahan. Maksudnya, setiap terjemahan yang dilakukan oleh penterjemah, ada ISO tersendiri bagi membolehkan hasil terjemahan itu diterima.

Namun ada persoalan yang difikirkan juga:
  1. Perlukah diwujudkan ISO untuk terjemahan?
  2. Apakah ciri-ciri terjemahan yang boleh diISOkan?
  3. Bolehkah kualiti terjemahan itu diukur?

Untuk makluman, ISO 9001:2000 adalah standard yang perlu dilaksanakan oleh sesebuah organisasi sekiranya mahu meraih kepuasan pelanggan daripada perkhidmatan ataupun barangan yang dibeli/digunakan.

Dalam hal ini, pelanggan adalah pembeli buku.

Pada hemat saya, ISO memang bagus. Cuma rasanya seperti terlalu leceh untuk melaksanakannya.

Disebabkan ISO lah, ibu mentua saya asyik balik malam/bekerja pada hujung minggu semata-mata untuk menyiapkan ISO. Teringat drama Gila Sempurna.

Foto daripada Wikipedia.

Ikram, Pengurus PTS Millennia kata, "...aku memang mahu minta kau menghasilkan buku," semasa makan tengah hari sebelum solat Jumaat lalu.

* * *

Satu lagi karya agung dunia baru diumumkan menjadi hak milik awam, iaitu Popeye The Sailor yang terkenal dengan watak Popeye yang sentiasa menghisap paip dan tatu sauh di lengannya. Saya masih teringat, Popeye selalu dianiaya oleh Bluto. Bluto jugalah yang selalu menggoda isteri Popeye. Bluto memang kuat. Jadi dengan memakan bayam sahaja, Popeye memperoleh kekuatan untuk melawan Bluto.

Asalnya, watak-watak ini diterbitkan dalam komik Thimble Theatre melalui King Features Syndicate pada 17 Januari 1929. Bermula saat itu, karya Popeye banyak diadaptasikan dalam bentuk siri kartun televisyen, permainan video, pengiklanan, filem dan lain-lain.

Pencipta Popeye, Elzie Crisler Segar meninggal dunia pada 13 Oktober 1938. Dalam undang-undang hak cipta Kesatuan Eropah, hak milik dipegang oleh waris selama 70 tahun selepas kematian si pencipta/penulis. Berbeza dengan undang-undang hak cipta Malaysia, iaitu 50 tahun selepas kematian barulah menjadi hak milik awam.

* * *

Ikram, boleh aku menulis kisah Popeye? Haha.

* * *

Banyak lagi karya hak cipta penulisan yang sudah menjadi hak milik awam. Semuanya boleh diperoleh di Projek Gutenberg. Sekadar menterjemahkan karya-karya itu, boleh sahaja mendapat wang segera! Haha.

Saya pernah memuat turun buku Scientific Advertising karya Claude C Hopkins pada 1923. Buku ini dianggap "Bible" oleh mereka yang terlibat dalam bidang pemasaran dan pengiklanan. Dalam buku itu, Hopkins banyak menekankan kaedah "mencuba dan mengukur". Falsafah Hopkins, "Terus 'bermain' di 100 jalan selamat untuk mencapai satu matlamat".

* * *

Namun buku itupun aku belum terjemahkan lagi untuk PTS Professional lah, Ikram.

Foto daripada Bookrags.

Malam tadi saya menemani Isteri menonton American Dreams di Hallmark, Astro 702. Sambil menonton, sambil mengkritik gaya kehidupan anak-anak Amerika yang mempunyai banyak kehendak bertentangan dengan aturan ibu bapa.

JJ Pryor bertegas tidak mahu menyertai pasukan bola sepak sekolah walaupun bapanya bertegas mahu anaknya bermain bola sepak kerana dengan sukan itulah melayakkan JJ memasuki sekolah yang lebih berprestij. Si Meg Pryor pula terpengaruh dengan kawan sehingga sanggup berpakaian seksi untuk masuk ke studio American Bandstand.

Bapanya yang menjual barangan elektrik secara tidak sengaja terpandang aksi tarian anaknya di televisyen (warna hitam putih) yang dijualnya. Namun Meg menipu pergi ke perpustakaan.

Saya dan isteri pun mengomel jalan cerita yang memaparkan aksi anak-anak kurang ajar itu.
Saya: Susah juga kalau terlalu bertegas.
Isteri: Saya akan tegas juga!
Saya: Kalau saya sangat tegas, siapa pula yang akan lembut?
Isteri: .....
* * *
Seksyen buku Melayu di Kinokuniya semakin besar. Seronok! Saya tertarik dengan satu buku, Cinta di Rumah Hasan al-Banna oleh Mohammad Lili Nur Aulia. Buku itu menceritakan kaedah al-Banna mendidik anak-anaknya.

Saya memang pengagum Hasan al-Banna. Semua orang yang terlibat dalam arena dakwah perlu mengetahui susur galur perjuangan dan kehidupan al-Banna.

Di halaman 30 buku penulis Indonesia itu, al-Banna mengamalkan makan bersama-sama keluarganya. Walaupun sibuk dengan perjuangan Ikhwan di 20 buah negara, aktiviti makan bersama tetap menjadi keutamaan. Kelebihan makan bersama-sama keluarga pernah diceritakan oleh Am.

Dakwah secara tidak langsung tetap diamalkan di dalam rumah. Anaknya, Saiful Islam dahulu sangat suka membaca komik. Al-Banna tidak melarang, tetapi kemudian beliau membelikan buku sejarah Islam seperti kisah Salahuddin Ayubi sebagai alternatif bacaan untuk anaknya.

Ayat yang paling menarik perhatian saya ialah, "Aku ingin sekali menyampaikan dakwah ini sehingga kepada janin yang ada di dalam perut ibu mereka," kata al-syahid al-Banna.
* * *
Pagi semalam juga, Faizal Ismail dan Fara Fauzana di Hot.FM membawa topik berkenaan keperluan/kehendak anak-anak di sekolah diberikan telefon bimbit (HP). Walaupun ini isu lama, tetapi ada kaitan dengan anak Faizal yang baru memasuki sekolah.

Ada seorang warden sekolah memberikan respon. Antara kata-katanya, "Hampir 90 peratus HP pelajar digunakan untuk menghubungi kawan atau boyfriend/girlfriend. Hampir 95 peratus HP digunakan untuk SMS kawan atau boyfriend/girlfriend. Malah hampir semua HP remaja kini ada video klip lucah."

Saya dan Isteri risau.

Klik Siasah untuk maklumat lanjut.

Bangunan ITNM di Wangsa Maju. Foto daripada streetdirectory.

Malam tadi terserempak dengan kawan lama UIA di Carrefour. Soalan klise yang biasa akan diajukan apabila bertemu dengan kawan lama ialah, "Di mana bekerja sekarang?" Kemudian dia boleh bertanya semula, "Mengajar subjek apa?" selepas saya menyatakan bertugas di ITNM.

Isteri saya pula ada cerita lain. Teman sepejabatnya pula tidak tahu fungsi penubuhan ITNM. Tidak pasal-pasal Isteri saya "memangkahnya", "Hanya orang yang membaca buku sahaja yang tahu fungsi ITNM."

Ada orang kata Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) ditubuhkan selepas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) gagal melaksanakan tugas penterjemahan ilmu daripada bahasa asing ke bahasa Melayu. Akibatnya, bahagian penterjemahan DBP ditutup dan ditubuhkan ITNM pada tahun 1993. Itu orang kata, yang sahih tidak dapat dipastikan.

Di Malaysia, industri penterjemahan ilmu masih lagi dalam "lautan biru". Banyak sebab yang menyebabkan penterjemahan ilmu di Malaysia tidak hebat berbanding dengan Indonesia, Thailand, Jepun ataupun Taiwan. Sekiranya dibandingkan dengan negara-negara luar, memang tidak tertanding.

Semasa bersembang dengan kawan-kawan DBP (yang suka buku) berkenaan dunia penterjemahan di Indonesia, kami tidak menyangkal semangat juang orang sana yang terpaksa menterjemah buku demi mencari wang. Isu hak cipta ditolak ke tepi, yang penting buku itu diterjemah dan diterima untuk diterbitkan oleh penerbit. Disebabkan itulah tidak hairan apabila buku Harry Potter yang asal boleh terbit sama tarikhnya dengan Harry Potter versi terjemahan bahasa Indonesia.

Di Malaysia, bayaran untuk penterjemah memang sangat tinggi, tetapi kita masih kurang penterjemah yang baik. Ada yang berkualiti, bayaran pula terlalu tinggi. Bagi penterjemah amatur, bolehlah berbincang untuk menerima bayaran sedikit ala kadar. Dengan sistem royalti pun mereka sanggup.

Di dunia ini, terlalu banyak pusat penterjemahan ilmu. Boleh rujuk di Kwintessential untuk senarai pusat penterjemahan di serata dunia. Di Malaysia, selain ITNM, ada Persatuan Penterjemah Malaysia dan Pusat Bahasa dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia.

Saya suka dengan kata-kata bos baharu saya, Puan Siti Rafiah Sulaiman, "Ada penterjemah boleh buat duit dengan menterjemah. Tidak perlu bekerja makan gaji pun."

Saya pernah menterjemah dua buku Harun Yahya ke Harun Yahya Foundation di Turki. Sehingga sekarang tidak dapat apa-apa. Kerja amallah nampaknya. Memang yayasan itu bukan berasaskan keuntungan pun.

Instrumen gamelan DBP yang dimainkan oleh adik-adik UIA semasa walimah saya.


Alhamdulillah semasa majlis perpisahan, saya dihadiahkan sehelai baju kemeja (yang sesuai untuk bekerja). Bukan itu sahaja, Bahagian Komunikasi Korporat DBP juga memberikan hadiah cenderahati sebagai tanda terima kasih kerana banyak memberikan kerjasama kepada mereka. Itu menurut Kak Huznah lah.


Sebenarnya saya tidak teringat langsung penghijrahan (sempena Maal Hijrah) saya ke tempat baharu turut akan meninggalkan kumpulan gamelan DBP. Baru teringat apabila ditanya oleh Tanpa Nama dalam komen blog. Mahu sahaja menjerit apabila baru teringat! Siapalah Tanpa Nama itu?


Tidaklah terlalu ralat mahu meninggalkan bidang muzik gamelan, tetapi memang sangat terkilan kerana tidak dapat terus mengamalkan ilmu permainan muzik itu. Untuk perhatian, memainkan gamelan tidak semudah yang disangka! Saya sendiri yang buta membaca notasi lagu pun memakan masa yang lama untuk membaca notasi lagu gamelan. Kira-kira setahun juga menguasai bacaan notasi itu.


Itupun ada lagu-lagu gamelan asas yang tidak dapat dihafal lagi. Otak ini sukar menghafal lagu gamelan kerana kerap bermain gendang semasa persembahan gamelan di UIA. Mujurlah di DBP, selalu juga diberikan peluang untuk bermain saron baron.


Terfikir juga mahu mengesyorkan supaya organisasi tempat baharu, ITNM, membeli set instrumen gamelan. Namun rasanya tidak rasional cadangan saya itu.


Seorang sahabat mantan pelajar UIA bertanyakan kepada saya tempat belajar piano. Katanya, suaminya perlu belajar bermain piano/keyboard sebagai antara syarat pertukaran dari Risda Johor Bahru ke ibu pejabat, Kuala Lumpur. Tergelak juga dengan syarat yang dikenakan itu, tetapi saya percaya itu sebagai langkah pembangunan korporat Risda.


Sebenarnya terlalu seronok bermain gamelan. Sepanjang penglibatan saya dalam gamelan, saya pernah ke Indonesia menyertai lawatan, pernah melakukan persembahan di hadapan Sultan Pahang, pernah mengiringi nyanyian Ramli Sarip dan Noranizah Idris, pernah sekali bersama-sama kumpulan gamelan Istana Budaya mengadakan persembahan, dan pernah juga bersama-sama di satu pentas dengan Kiai Kanjeng (kumpulan gamelan tersohor Indonesia). Yang paling tidak dilupakan, saya pernah mengadakan julung-julung kali konsert gamelan di UIA, Konsert Gema Gangsa yang turut menjemput kumpulan dari UiTM dan Uniten. Ada klip video di YouTube.


Paling mengasyikkan, lagu gamelan inilah yang saya dengar semasa sedang belajar di UIA. Malah kini saya akan mendengar lagu gamelan semasa menulis artikel. Bak kata Dr. Faridah, “Orang yang bermain muzik gamelan mempunyai kecerdasan intelektual (IQ) yang baik.”


Tidak mengapalah meninggalkan kumpulan gamelan DBP. Dahulupun tidak pernah menyangka akan menyertai kumpulan gamelan DBP selepas tamatnya belajar di UIA. Namun rasanya akan dipanggil sekiranya kumpulan gamelan DBP tidak cukup pemain kot! Haha.


Hijrah kali ini ialah menceburi dunia baharu dalam penerbitan di ITNM dan meninggalkan kumpulan gamelan, tetapi azamnya menjadi rahsia antara saya dan Isteri:)

Artikel terakhir saya sebagai Editor Dewan Kosmik berjudul "Selamatkan Bumi daripada Hentaman Asteroid".

Terkesan daripada filem The Day The Earth Stood Still! Haha. Saya bayangkan kulit ini seperti filem Armageddon. Namun tidak kurang hebatnya Bustamam menterjemahkan idea saya ini menjadi sebegini.

Ini masthead Dewan Kosmik yang baharu. Semua majalah DBP diubah suai dari kulit hadapan ke kulit belakang. Belilah!

Masthead lama seperti berikut. Perubahan sudah tentu semakin cantik. Diharapkan dapat membantu meningkatkan jualan.

26 Disember 2006, saya melapor diri bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Puan Padilah Ali memberikan sepenuh kepercayaan kepada saya yang berumur 25 tahun (pada masa itu) sebagai editor majalah Dewan Kosmik.

Sekiranya di Utusan Karya ataupun Karangkraf, kebanyakan editor dilantik dalam kalangan penolong/timbalan editor yang banyak pengalaman. Bak kata Aninah, "Editor di tempat lama aku (Utusan Karya) semuanya 'otai', banyak yang sudah memakai kaca mata tebal."

Alhamdulillah saya berjaya menerbitkan Dewan Kosmik, majalah sains dan teknologi yang satu-satunya berbahasa Melayu di dunia selama dua tahun. Orang lain kata saya berjaya menjadikan majalah ini berada pada tahap yang terbaik. Puan Padilah pun sentiasa berkata kepada orang lain, "Saudara Khairulanuar ini lulusan usuluddin (yang betul usul fiqh), tetapi berjaya menjadi editor majalah sains yang terbaik."

Itu kata mereka. Namun pada saya, saya tetap gagal menjadikan majalah ini berkualiti seakan-akan dengan Popular Science, Scientific American Mind, dan lain-lain majalah sains. Maksud saya, berkualiti itu hebat dari segi isi kandungan. Memang saya sentiasa berusaha ke arah itu. Terpaksa menanda aras (benchmark) dengan majalah Inggeris kerana tiada majalah seumpama ini dalam bahasa Melayu.

Dalam masa yang sama, agak kecewa kerana Dewan Kosmik dan sembilan majalah lain terbitan DBP sukar diperoleh di pasaran. Saya mendoakan semoga syarikat D dapat berubah. Semua majalah dan buku DBP diedarkan dan dipromosikan oleh Syarikat D.

Ini kerana selepas ini saya tidak lagi mendapat majalah-majalah DBP secara percuma. Saya perlu membeli 10 majalah itu yang jumlah keseluruhan RM46 sekiranya mahu membaca semua majalah DBP. Mahu mengeluarkan RM46 bukan menjadi isu. Isunya, di mana mahu mendapatkan majalah itu lagi?

Di kedai-kedai kawasan rumah saya memang tiada. Di Jusco Cheras Selatan pun tiada. Dahulu, rajinlah SMS pegawai syarikat D sekiranya tiada majalah DBP di kedai majalah tertentu. Lama-lama, malas pula kerana tiada perubahan pun.

Hari ini, hari terakhir saya di Bahagian Majalah DBP. Saya ditawarkan bertugas di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bermula 2 Januari 2009.

Semua orang mempunyai sebab untuk "berhijrah" kerjaya. Gaji? Jawatan? Anda tahu, saya pun tahu sebabnya. Yang pentingnya, saya ada sebab tertentu.

Yang paling seronok, sudah tentulah isteri saya. Ini kerana beliau sudah ada "pemandu" untuk menghantarnya ke tempat kerja. Tempar kerja Isteri di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak (berdekatan Jalan Semarak). Tempat kerja baharu saya pula di Seksyen 10, Wangsa Maju.

Semoga saya terus menjadi orang yang cemerlang dan hebat di tempat kerja baharu (meminjam judul buku yang pernah saya buat di PTS). Ucapan perpisahan saya tadi, "Saya berhijrah kerana mahu memajukan diri. Sekiranya diri saya maju, saya dapat membangunkan kemajuan SEJAGAT." Sejagat banyak interpretasi.

Mungkin saya menulis blog berkenaan sains lagi?

Puan Mamida tag saya. Tag daripada Cikgu Jane pun tidak berjawab lagi. Maaf ya Cikgu Jane.

Ini antara gambar majlis perkahwinan saya yang digemari. Sebenarnya ada banyak lagi. Cukuplah sekadar tiga ini sahaja. Yang lain pernah dimuat naik sebelum ini. Nanti orang menyampah pula. Hehe. Klik ini dan ini untuk pelbagai foto perkahwinan saya.

Gambar ini belum menjadi klasik lagi kerana kami baru sahaja berkahwin. Masih berbulan madu lagi:)Ada suatu hari, saya pernah memakai baju ini semasa hari Jumaat. Ada pula yang perasan ini baju perkahwinan saya. Mata Nazmi memang cekap! Baju Isteri masih lagi tersimpan di dalam almari. Saya cadangkan supaya dia memakai semasa malam fairy-tale di Melaka minggu lalu. Segan pula katanya.

Gambar ini banyak orang yang suka. Cantik kata mereka. Jurugambar, Abang Kamal pun suka dengan hasil kerja dia yang sebegini. Katanya, "Ini pertama kali saya merakam shot sebegini."

Walaupun Isteri bertugas di Kementerian Pertahanan, dia tidak terpilih mengawal Ratu di Istana Buckingham. Lebih baik menjaga rumah sendiri. Rumah kuarters Kastam yang kini diduduki Nur (adik). Abah dan Emak sudah berpindah ke Kota Tinggi.

Semasa Emak dan Abah datang ke rumah minggu lepas, rancangan-rancangan televisyen pun perlu serasi dengan jiwa Haji Manshor dan Hajah Fatimah itu, Astro Oasis lah. CSI, Dr. House, 24, dan lain-lain hiburan yang agak "lagha" perlu direhatkan sementara.

Aa Gym dalam ceramah di Astro Oasis berkata, "Semasa saya di Korea, orang di sana hanya menggunakan telefon bimbit yang terlalu simple. Tidak ada kamera, dan tidak ada berwarna warni. Kata orang Korea, 'Yang kami perlukan hanya mendengar suara dan mengirimkan SMS'." Tambah Aa Gym lagi, "Maksudnya dalam hidup kita ini, kita perlu mengutamakan keperluan, bukannya kehendak."

Memang terkesanlah kata-kata Aa Gym itu. Sekarang, saya cadangnya mahu membeli cermin besar untuk menghiasi ruang tamu. Supaya ruang tamu kelihatan lebih besar seperti rumah Emak dan Mama. Namun tanya Isteri, "Itu keperluan ataupun kehendak?" Maka terpaksalah saya akur menyatakan itu adalah kehendak. Jawapannya, beli nanti-nantilah.

Semalam semasa menghadiri Workshop on New Tools For Media Reporting anjuran Malaysian Press Institute (MPI) di BERNAMA, Profesor Dr. Stephen Quinn mencadangkan supaya semua wartawan kini memiliki telefon bimbit yang lengkap dengan kamera dan aplikasi Internet (di Malaysia: 3G). Alasannya, wartawan kini tidak boleh lagi bergantung kepada jurukamera. Manakala bahan berita perlu dihantar cepat ke pejabat.

Namun saya bukan orang yang selalu update telefon bimbit. Sepanjang hidup ini, pernah dua kali membeli telefon bimbit. Yang digunakan sekarang, satu daripada pemberian Abang, yang lengkap dengan kamera (second hand). Satu lagi yang cuma berharga RM150, yang tidak ada apa-apa yang menarik.

Pada mulanya, saya terpengaruh dengan kata-kata Aa Gym. Namun apabila mendengar Quinn kata, ada benarnya juga, tetapi terpaksalah berbelanja lebih.

Saya tetap percaya keperluan perlu mengatasi kehendak.

Faktanya: Satu daripada 10 orang adalah kidal (1:10). Kadar purata ini dikatakan bermula sejak 5000 tahun lalu, tidak berubah sehingga kini. Ini keunikan yang Allah kurniakan kepada kita.

Bagaimana pula dengan binatang? Adakah haiwan juga ada cenderung menggunakan tangan kiri? Binatang di sini maksudnya seperti beruk, monyet, cimpanzi dan lain-lain yang lebih kurang bentuknya. Tidak ada kena mengena dengan ikan, kerang, ataupun ular.

Ada kajian menyatakan kecenderungan binatang seperti monyet menggunakan tangan kidal atau kanan adalah 50:50. Maksudnya kadang-kadang tangan kiri untuk mengendong anaknya, kadang-kadang tangan kanan untuk memakan pisang.

Walau bagaimanapun, cimpanzi dikatakan sebagai binatang yang kidal. Semasa binatang ini mengadakan persembahan sarkas, cimpanzi kerap menggunakan tangan kiri 60:40, berbanding dengan manusia yang kidal, iaitu 90:10.

Namun penulis buku Right Hand, Left Hand, Chris McManus, menyatakan tikus juga cenderung kepada kidal. Misteri...

Emak, Abah, Abang, dan Nur memakai kaca mata. Nur tidak menggunakan bantuan kaca mata lagi. Tidak cantik katanya.

Keluarga mentua: Baba, Mama, Umi, Amran, dan Isteri memakai kaca mata.

Tahap rabun jauh mata saya pun semakin teruk. Kalau tidak memakai kaca mata, hendak merapikan janggut pun perlu melihat dekat-dekat dengan cermin.

Niswan, teman sebilik di UIA, lulusan sains biologi (kini di IJN), pernah memberikan petua. Katanya kalau saya kerap memakan lobak, ia akan membantu memulihkan tahap penglihatan saya. Maka selalulah saya memesan air lobak sekiranya makan di "Kubur" (hanya teman se"UIA" yang tahu tempatnya).

Kaedah memulihkan tahap penglihatan dengan memakan lobak sebenarnya dipopularkan semasa Perang Dunia Kedua. Juruterbang Royal Air Force (RAF) British pada masa itu perlu memakan lobak untuk mendapatkan penglihatan yang jelas untuk menembak musuh dan keupayaan melihat pada waktu malam (night vision).

Namun ada dakwaaan yang menyatakan itu hanya taktik pengaburan musuh kerana RAF mahu menyembunyikan teknologi radar yang mereka miliki.

Memang benar lobak mengandungi beta karotena yang tinggi dan sebatian hidrokarbon yang menghasilkan vitamin A. Kandungan yang terdapat di dalam lobak ini dapat membantu mata mudah mengadaptasi dalam kegelapan dan memelihara sel mata dalam keadaan baik. Malah ada penyelidikan yang membuktikan kandungan lobak ini boleh mencegah "rabun ayam" (rabun malam) dan risiko kemerosotan makula yang berkaitan dengan keupayaan visual.

Namun kajian itu menyatakan semua itu boleh berkesan sekiranya melibatkan pemakanan lobak dalam jumlah yang besar. Mungkin berkilo-kilo lobak perlu dimakan untuk mendapatkan semua kesan positif itu. Sudah tentu mengganggu diet manusia biasa.

Janganlah berharap dapat memiliki mata seperti helang sesudah memakan sebatang lobak walaupun memang benar lobak boleh menyihatkan mata.

Sekarang pada waktu malam, mata saya asyik terkebil-kebil pula sebelum tidur. Isteri berkonvensyen empat hari.

Rasanya semua orang boleh melihat urat di leher atau tangan orang lain yang seolah-olah berwarna biru. Ataupun lihat urat tangan sendiri boleh nampak warnanya biru.

Pertama kali doktor mengambil darah saya pun, dia akan cucuk jarum di urat yang berwarna biru. Peliknya, darah yang mengalir di dalam tiub tetap berwarna merah. Mula-mula saya sangka memang darah berwarna biru apabila berada di dalam badan, dan berubah menjadi merah apabila terkena udara. Rupa-rupanya auta.

Saya tetap tidak memahami sebab darah kelihatan berwarna biru di dalam kulit. Kalau ditanya kepada orang dewasa, tentu jawapan klise yang diberikan, "Itu kuasa Allah!" Memanglah.

Ada satu kajian yang dijalankan oleh pakar di Ontario Laser and Light Wave Research Centre, Kanada, menjelaskan apabila cahaya memancar ke kulit putih dalam jangka masa yang lama, "gelombang" berwarna merah akan terus menyerap di dalam urat darah.

Hukum cahaya; sudah tentu cahaya akan memantul semula seperti bunyi. Cahaya yang menyerap ke dalam urat darah itu akan memantul semula melalui kulit sehingga menampakkan warna seperti biru ungu. "Gelombang" inilah yang menyebabkan darah di dalam kulit kelihatan benar-benar berwarna biru.

Namun tidak semua urat seseorang akan kelihatan biru. Bergantung pada warna kulit. Sekiranya kulit "kurang cerah", anda tidak berpeluang melihat sendiri eksperimen ini. Minta maaf.

Minggu lepas jalan-jalan di Pekan Buku Universiti Malaysia. Niat asal mahu meninjau kuantiti majalah-majalah DBP yang masih belum dijual. "Terbeli" pula buku Blog hasil himpunan daripada blog Tun Dr. Mahathir, chedet.com, dan buku Penulisan Suara Baru Kontemporari terbitan Stormkitchen.

Dalam buku Blog, A. Kadir Jasin menulis dalam ruangan "Pengenalan" yang menyatakan, "Ini juga adalah kerana blog beliau kerapkali dikemas kini termasuk maklum balas pembaca. Dan sejajar dengan semangat blog, beliau membenarkan dirinya dikritik malahan diperlekehkan. Tentu sekali beliau juga kaya dengan maklumat, pengetahuan dan fakta sejarah untuk mempertahankan hujahnya dan mematahkan tuduhan-tuduhan terhadapnya."

Itu Dr. Mahathir. Tidak tertanding blog saya dengan blog beliau.
Blog saya biasa-biasa sahaja. Abang pun baru membuka blog dengan konsep "kedai dobinya". Saya tidak sampai hati mahu mengutuk reka bentuk blog Abang, tetapi memang tidak menarik! haha. Abang pun meminta bantuan untuk mengubah reka bentuk blognya.

Mujur adik ipar, Amran, pakar dalam bab-bab berkenaan internet. Dalam masa yang sama, Amran dengan saya sedang melaksanakan satu projek. Rahsia! Hasil kerja dengan Amran selama dua hari berselang, sempatlah juga menyiapkan reka bentuk blog Abang yang baharu.

Lambat siap kerana menggunakan HTML, bukan CSS. Bolehlah... Blog Abang, klik mrs.Clean. Abang, kemas kini selalulah dan tinggalkanlah "kesan" di blog orang lain.

"Orang kata kalau kita terasa geli semasa digeletek, kita akan mendapat isteri yang cantik." Isteri saya menjawab, "Jadi saya cantiklah, bukan?" Saya menjawab balik, "Itu orang kata, tidak semestinya tidak betul." Haha.

Saya tergolong dalam jenis orang yang geli semasa digeletek. Isteri saya pun cantik. Mungkin benarlah orang kata! ngehe.

Darwin (pendukung ajaran sesat teori evolusi) menyatakan sebahagian anggota badan kita mempunyai refleks semula jadi yang bertindak balas pada setiap sentuhan "penggeletek" itu. Namun baginya refleks itu berfungsi sebagai "pertahanan" badan daripada "penyerang" itu.

Ironinya, sekiranya saya menggeletek diri sendiri, tidak pula terasa geli. Memang mustahillah dapat menggelikan diri sendiri dengan geletek kerana kita sudah bersedia menghadapi keadaan itu.

Itu secara pendapat peribadi. Menurut pakar di Institute of Neurology, London, yang menyatakan maklumat tempat yang mahu kita geletek di badan kita sebenarnya awal-awal sudah dihantar serebelum ke korteks somatosensori (bahagian otak yang berkaitan dengan deria sentuhan).

Jadi sudah tentu otak tidak mendefinisikan perbuatan itu sebagai "ancaman", yang tidak menyebabkan kita geli apatah lagi melatah.

Ada kawan melatah sebut P****T apabila digeletek.

Keluaran Dewan Kosmik pada bulan ini sedikit istimewa berbanding 11 keluaran yang lain kerana mengisahkan semula cara penjenayah-penjenayah membunuh.

Antara kes-kes jenayah yang saya dan Sabri Mohamad Sharif tulis semula ialah Hanif Basree Abdul Rahman (Noritta Shamsuddin), Hanafi Mat Hassan (Noor Suzaily Mukhtar), Mohd Abbas Danus Baksan (Nurul Huda Gani), dan Ahmad Najib Aris (Canny Ong Lay Kian).

Hanif Basree dan Mohd Abbas sudah dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan. Hanafi dijatuhkan hukuman. Manakala Ahmad Najib masih lagi dalam peringkat rayuan.

Untuk menulis artikel ini, saya terpaksa membuka semula jurnal undang-undang dan meminta bantuan Isteri untuk memuat turun maklumat berkenaan semua kes dari laman sesawang Malaysian Law Jurnal.

Itu dari segi undang-undang. Dari segi sains (atau sains forensik), saya mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kimia. Secara terperinci, banyak kes diselesaikan dengan kaedah persamaan DNA. Mudah sahaja sekiranya DNA merujuk kepada tertuduh seperti semua empat kes di atas. Cuma dalam kes Hanif dan Abbas, terdapat DNA orang yang tidak dikenali. Maka payahlah untuk mengesan si pemilik DNA itu kerana tidak dapat dikesan orang itu. Akhirnya terdapat keraguan sehingga menyebabkan Hanif dan Abbas dilepaskan.

Tamat menulis artikel ini, saya secara peribadi menyokong hasrat Parlimen untuk mewujudkan Akta DNA seperti adanya bank cap jari. Mungkin dengan tiadanya bank data forensik DNA, Malaysia agak ke belakang dalam menyelesaikan kes-kes jenayah. Semasa akta ini dibentangkan, memanglah banyak Ahli Parlimen tidak bersetuju kerana "melangkau" giliran pembentangan. Lebih-lebih lagi kebetulan pula sedang hangat dengan isu Anwar Ibrahim.

"Kot ya pun, fikir bijaklah sedikit."