Sebelum masuknya waktu solat maghrib tadi, sempatlah menonton Sinchan. Saya suka menonton Sinchan walaupun emak kata, "Dah besar pun tengok kartun lagi!"

Cuma sekarang ini tidak dapat menonton Doraemon lagi kerana ia ditayangkan bermula jam 7.30 malam. Solat maghrib sudah masuk pada waktu itu. Kalau ditonton juga, manalah tahu tiba-tiba TV saya dipetir kilat pula.

Dahulu saya memang suka membaca buku komik Doraemon. Semasa bertuisyen di Pusat Tuisyen SAL di Johor Bahru, selalu saya membeli komik Doraemon di kedai mamak bawah tempat tuisyen itu.

Emak abah tidak cakap apa-apa; tidak galak, tidak pula melarang. Kalau tidak silap, dahulu harga senaskhah Doraemon berharga RM4.50. Itulah duit yang disimpan hasil daripada pemberian abah setiap kali ke SRK St. Joseph Johor Bahru.

Saya membaca Doraemon dan menonton Sinchan tidak lain dan tidak bukan hanyalah sekadar hiburan semata-mata. Seronon membaca dan menontonnya kerana jalan ceritanya menarik selain kata dialog yang banyak kelakar.

Namun sejak hidup berdasarkan wang saku sendiri dan boleh berfikir matang sikit, barulah saya tahu ada maksud lain yang diselitkan dalam kedua-dua kartun Jepun itu.

Paling ketara, saya dapati kedua-duanya menceritakan situasi keadaan sebenar negara Jepun. Tidak langsung memburuk-burukkan negara itu, malah sedaya upaya cuba mempromosikan dengan menceritakan yang baik-baik sahaja tentang negara atau rakyat Jepun.

Satu adegan yang kerap diulang-ulang adalah situasi menggunakan pengangkutan awam (baca: LRT). Tidak pernah saya baca bapa Sinchan, iaitu Encik Nohara Hiroshi akan menaiki kereta untuk ke pejabat. Begitu juga dengan bapa Nobita, iaitu Encik Nobisuke Nobi. Mereka akan berulang alik ke pejabat dengan LRT.

Malah ada kalanya Sinchan dan Nobita akan pergi berlarike stesyen LRT dengan membawa payung jika waktu hujan - untuk memayungi bapa mereka pulang ke rumah.

Jelas menggambarkan di Jepun, rakyatnya menggunakan sepenuhnya perkhidmatan awam. Saya tidak pernah ke Jepun. Namun daripada Sinchan dan Doraemon, saya membayangkan lokasi LRT dengan rumah kediaman di Jepun sangat hampir, hinggakan LRT menjadi pilihan utama.

Esok saya rancang mahu ke Mid Valley untuk melihat pameran MRT Lembah Kelang Jajaran Sungai Buloh-Kajang. Pertama; kerana ia meliputi tempat tinggal saya kini, Bandar Tun Hussein Onn. Kedua; saya mahu melihat sejauh mana efektifnya perancangan itu.

Saya kurang gemarlah apabila minyak dinaikkan harga dengan alasan untuk meningkatkan taraf pengangkutan awam - sedangkan yang saya perasan kini jalan raya (khususnya Kuala Lumpur) semakin sesak! Ke sana sini banyak tol!

2 komen:

mnr berkata...

mmg kedua-dua cerita tu menggambarkan suasana dan cara hidup masyarakat Jepun kan? Walaupun cuma suami shj yang bekerja, tapi aku sgt berpuas hati dgn kualiti dan taraf hidup keluarga sinchan dan nobita.

Unknown berkata...

Nadmin, aku semacam faham maksud yang tersirat itu. Semoga hidup kita lebih berkualiti dalam masa terdekat ini. :)