Terbaca akhbar pula ada penulis yang menyatakan kesedihan kerana diceraikan suami pada pagi hari raya melalui telefon.
Saya sangat optimis semasa beraya di rumah saudara mara dengan perbualan yang positif. Ya seingat saya semua perbualan adalah positif. Yang jelik hanya apabila orang bertanya, "Bila dapat anak?" Tetapi saya dan isteri tidak sesekali pesimistik mahupun berasa pesimis dengan basa-basi yang menjelikkan itu.
Cuma sangat menjelikkan apabila orang beraya di rumah mentua saya (Subang Jaya), yang tidak lain tidak bukan berkisar tentang penyakit yang sedang dihadapi pak mentua saya. Yang menjelikkan apabila bercerita tentang akibat penyakit jantung, sehingga terbawa-bawa ke bab kematian.Memanglah kita perlu senantiasa mengingati kematian, tetapi apakah perlu berborak tentang hal itu dengan pak mentua yang sedang menanti giliran menjalani pembedahan pintasan jantung? Bukankah lebih baik berbicara hal-hal yang mempositifkan minda.
Sekiranya perbualan semasa beraya itu baik, saya akan membincangkan isi perbualan tersebut bersama isteri semasa dalam perjalanan pulang.Seronok mendengar apabila emak abah merancang mahu menunaikan umrah tahun hadapan, Acik Olah ditawarkan untuk naik pangkat walaupun dia menolaknya, Abang Fadil yang akan ditukarkan ke Putrajaya meminta nasihat isteri untuk menyaman pemaju yang gagal menyiapkan rumahnya di Sepang, kawan yang merancang melaksanakan projek itu dan ini, bos yang mengirimkan SMS ayat indah-indah sebelum mengingatkan untuk buka e-mel (agaknya bos beraya 1 Syawal sahaja), melihat Umi gembira dikunjungi "bakal suaminya", selain mendengar anak-anak buah yang kecil-kecil bercerita tentang duit raya.
Segalanya boleh menjadi lebih indah sekiranya kita sihat sejahtera mental dan fizikal. Cara pemakanan saya dan isteri sudah berubah bermula raya ini. Jika dulu memasak menggunakan minyak Cap Buruh, malam tadi kami beli minyak Sunflower. Kalau dulu beli apa-apa sahaja jenis beras, tetapi kini nasi yang dimakan daripada Herba Ponni (bukan beras perang yang mahal).Insaf mendengar nasihat doktor semasa bercakap dengan pak mentua saya, "Sebenarnya semua penyakit ini bermula daripada pemakanan dan gaya hidup kita 20-30 tahun lalu."
* Tertarik dengan iklan kempen terkini jangan merokok, "Don't break my heart!"
RSS Feeds



