Instrumen gamelan DBP yang dimainkan oleh adik-adik UIA semasa walimah saya.
Alhamdulillah semasa majlis perpisahan, saya dihadiahkan sehelai baju kemeja (yang sesuai untuk bekerja). Bukan itu sahaja, Bahagian Komunikasi Korporat DBP juga memberikan hadiah cenderahati sebagai tanda terima kasih kerana banyak memberikan kerjasama kepada mereka. Itu menurut Kak Huznah lah.
Sebenarnya saya tidak teringat langsung penghijrahan (sempena Maal Hijrah) saya ke tempat baharu turut akan meninggalkan kumpulan gamelan DBP. Baru teringat apabila ditanya oleh Tanpa Nama dalam komen blog. Mahu sahaja menjerit apabila baru teringat! Siapalah Tanpa Nama itu?
Tidaklah terlalu ralat mahu meninggalkan bidang muzik gamelan, tetapi memang sangat terkilan kerana tidak dapat terus mengamalkan ilmu permainan muzik itu. Untuk perhatian, memainkan gamelan tidak semudah yang disangka! Saya sendiri yang buta membaca notasi lagu pun memakan masa yang lama untuk membaca notasi lagu gamelan. Kira-kira setahun juga menguasai bacaan notasi itu.
Itupun ada lagu-lagu gamelan asas yang tidak dapat dihafal lagi. Otak ini sukar menghafal lagu gamelan kerana kerap bermain gendang semasa persembahan gamelan di UIA. Mujurlah di DBP, selalu juga diberikan peluang untuk bermain saron baron.
Terfikir juga mahu mengesyorkan supaya organisasi tempat baharu, ITNM, membeli set instrumen gamelan. Namun rasanya tidak rasional cadangan saya itu.
Seorang sahabat mantan pelajar UIA bertanyakan kepada saya tempat belajar piano. Katanya, suaminya perlu belajar bermain piano/keyboard sebagai antara syarat pertukaran dari Risda Johor Bahru ke ibu pejabat, Kuala Lumpur. Tergelak juga dengan syarat yang dikenakan itu, tetapi saya percaya itu sebagai langkah pembangunan korporat Risda.
Sebenarnya terlalu seronok bermain gamelan. Sepanjang penglibatan saya dalam gamelan, saya pernah ke Indonesia menyertai lawatan, pernah melakukan persembahan di hadapan Sultan Pahang, pernah mengiringi nyanyian Ramli Sarip dan Noranizah Idris, pernah sekali bersama-sama kumpulan gamelan Istana Budaya mengadakan persembahan, dan pernah juga bersama-sama di satu pentas dengan Kiai Kanjeng (kumpulan gamelan tersohor Indonesia). Yang paling tidak dilupakan, saya pernah mengadakan julung-julung kali konsert gamelan di UIA, Konsert Gema Gangsa yang turut menjemput kumpulan dari UiTM dan Uniten. Ada klip video di YouTube.
Paling mengasyikkan, lagu gamelan inilah yang saya dengar semasa sedang belajar di UIA. Malah kini saya akan mendengar lagu gamelan semasa menulis artikel. Bak kata Dr. Faridah, “Orang yang bermain muzik gamelan mempunyai kecerdasan intelektual (IQ) yang baik.”
Tidak mengapalah meninggalkan kumpulan gamelan DBP. Dahulupun tidak pernah menyangka akan menyertai kumpulan gamelan DBP selepas tamatnya belajar di UIA. Namun rasanya akan dipanggil sekiranya kumpulan gamelan DBP tidak cukup pemain kot! Haha.
Hijrah kali ini ialah menceburi dunia baharu dalam penerbitan di ITNM dan meninggalkan kumpulan gamelan, tetapi azamnya menjadi rahsia antara saya dan Isteri:)