Apabila mendapat jemputan menghadiri sebarang majlis, saya jarang tidak hadir. Kecuali sekiranya benar-benar sibuk dengan tugasan lain. Tadi saya bersama Penolong Editor Dewan Ekonomi, Saudara Rafiq ke Projek Transformasi Bank Simpanan Nasional (BSN) di Hotel Maya. Projek hasil kerjasama BSN dan HeiTech berusaha menjadikan urusan pelanggan BSN lebih efektif dengan aplikasi teknologi broadband.
Sebelum majlis bermula, saya ke tandas bagi membuang air kecil. Perkara yang paling dibenci, tandas tidak menggunakan air, tetapi menggunakan tisu! Lebih baik saya tahan daripada menghadapi keadaan tidak selesa sepanjang majlis berlangsung. Mengapa pihak hotel tidak menyediakan paip air? Saya merasakan pihak hotel bertindak sedemikian kerana tidak mahu lantai tandas basah. Sekiranya difikirkan, air dan tandas tidak dapat dipisahkan. Bukanlah tandas sekiranya tiada air. Kesimpulannya, hotel itu tidak menghormati pengguna Islam kerana air merupakan alat utama bagi taharah atau bersuci.
Sebenarnya sebelum wujudnya tisu tandas, orang dahulu (bukan Islam) menggunakan batang jagung yang sudah dimakan bagi tujuan bersuci. Batangnya digantung di luar tandas sebelum digunakan bagi menyucikan segala kekotoran yang terselit di celah-celah dubur. Sesudah digunakan, batang jagung itu dicampak ke dalam lubang bagi dijadikan kompos. Selain batang jagung, daun juga menjadi pilihan utama untuk bersuci sekiranya pergi berkhemah. Sekiranya "bernasib baik", ulat bulu yang ada pada daun turut menjadi alat untuk bersuci.
Sudah tentu kita terfikir lebih baik menggunakan katalog produk yang banyak memenuhi peti pos rumah daripada bersuci dengan batang jagung atau daun kayu. Sudah tentu juga kita merasa pelik apabila keluar dari pintu tandas itu, ada pula sinki air yang digunakan untuk membasuh tangan. Rupanya tangan perlu lebih bersih berbanding dengan alat sulit di dalam seluar/kain sedangkan kulit alat sulit sebenarnya lebih nipis. Sudah tentu lebih terdedah pada sebarang penyakit.
0 komen:
Catat Ulasan