Hasil penulisan pertama dalam hidup ini.
Saya mula menulis artikel ilmiah semasa tahun pertama di UIA. Itupun selepas digesa oleh Jaafar Abdul Rahim, yang saya rasakan beliau antara pencandu buku paling tegar di Malaysia. Memang sejak bergaul dengannya (yang lebih gemar menggelarkan dirinya "Abang Jaafar"), saya terasa seperti seorang "intelektual". Banyak ilmu baharu yang diperoleh, buku-buku baharu memang selalu menjadi sebutan di bibir, cara berfikir pun ada kelainan. Orang lain yang berkata sedemikian.
Artikel pertama saya diterbitkan oleh majalah Minda (sudah berkubur oleh Karangkraf). Sebelum itu pesan Abang Jaafar, "Jangan kau kecewa kalau artikel tidak diterbitkan pada percubaan kali pertama." Namun alhamdulillah artikel pertama yang saya tulis selama tiga hari berjaya diterbitkan. Ingat lagi kata wartawan Minda melalui telefon pada masa itu, Izranuddin Jelani, "Wah! Baru tahun pertama sudah pandai menulis."
Kulit Minda yang menerbitkan artikel pertama saya pada Disember 2002.
Bermula saat itu, Abang Izra menawarkan saya menulis setiap bulan untuk Minda. Mula-mula satu artikel untuk satu keluaran, sebelum dua artikel pada setiap bulan. Dapatlah RM300 bagi dua artikel. Kemudian beliau jugalah yang mencadangkan artikel saya diterbitkan dalam Dewan Masyarakat. Dalam kesibukan dengan belajar, main gamelan dan datang usrah PKPIM, sempatlah juga artikel diterbitkan dalam Utusan Malaysia, Dewan Budaya, Tunas Cipta dan beberapa majalah lain. Ralat sungguh tidak sempat mengirimkan artikel ke Massa.
Artikel yang disiarkan di Dewan Masyarakat, "Mengapakah Perlu Menjejakinya?"Minat mendalam dalam bidang penulisan/ilmiah/buku menyebabkan saya memohon kerja dalam bidang penerbitan juga. Tawaran KPLI J-Qaf di Johor terpaksa ditolak. Minta maaf emak abah kerana tidak dapat menunaikan impian emak abah untuk menjadi ustaz.
Sempatlah sebulan menganggur selepas tamat pengajian, itupun sebab sebulan musim raya. Kemudian bekerja seminggu di Saba Islamic Media sebagai penjual buku sebelum
Abang Nazrul (
PTS Publications) menawarkan jawatan editor perolehan buku bisnes dan pengurusan di syarikat penerbitan swasta Melayu paling progresif itu.
Setahun di PTS, saya berhijrah ke DBP atas sebab pengaruh kewangan. Ditawarkan pula sebagai Pegawai Perancang Bahasa dengan skop tugas editor majalah
Dewan Kosmik. Bidang sains pula.
Namun saya tidak pernah menulis karya kreatif sama ada cerpen ataupun puisi. Minat membaca genre itu ada, tetapi tidak pernah cuba untuk menulis bidang itu. Entah apa pula sebabnya nama saya "naik" untuk menyertai Bengkel Penulisan Karyawan DBP pada minggu hadapan yang bertujuan untuk membina kemahiran dan keterampilan karyawan DBP dalam penulisan kreatif. Mungkin ada hikmahnya.
Dalam surat yang dikirimkan, ada dinyatakan supaya peserta membawa hasil karya (puisi atau cerpen) masing-masing untuk dibincangkan bersama-sama penceramah semasa sesi bedah karya. Erk! Dalam "kepala" ada rancangan untuk tidak datang kerana kesuntukan masa untuk menyiapkan perancangan majalah 2009.