Waktu kerja saya bermula pukul 8.00 pagi, tetapi setiap hari saya akan tiba di pejabat dalam lingkungan pukul 7.30 pagi. Saya melakukan sedemikian kerana mahu bersarapan pagi dengan Azli, Rafiq, Zaidel, Abang Mohyidin, dan Abang Shahrul yang akan pergi bersarapan pada waktu itu. Nasi lemak menjadi hidangan tetap. Itu semangat saya datang kerja awal! haha.

Semasa makan, adalah beberapa adat atau tata cara makan menurut Islam yang kami lakukan, iaitu makan dalam keadaan duduk, menggunakan tangan kanan, dan membaca doa sebelum makan (walaupun membaca sendiri-sendiri).
Emak dan Abah

Rasanya semua umat Melayu juga melakukan semua itu walaupun banyak juga yang makan berdiri.

Cuma teringat pula budaya makan semasa di PKPIM UIA dahulu. Kami akan bersama-sama makan bersila dengan satu talam (dulang), makan dengan menggunakan tangan, menjilat jari, dan membaca doa selepas makan.
Nur dan saudara mara.

Semua amalan ini menjadi sunah cara makan Nabi. Banyak hikmahnya dari sudut agama dan sains:
  • Makan dalam keadaan duduk bersila: Bahagian bawah perut akan mengecut dan perkembangannya terhad. Dengan sedikit makanan, sudah terasa kenyang. Sekiranya makan berdiri ataupun duduk di atas kerusi, perut boleh menerima makanan tanpa kawalan yang diibaratkan seperti belon yang tiada cengkaman, boleh diisi angin sehingga meletup akhirnya.
  • Membaca doa sebelum makan: Maksud doa yang selalu kita baca, "Ya Allah berkatilah kami dengan apa-apa jua yang Engkau kurniakan dan selamatkanlah kami daripada seksaan neraka." Semua mengetahui bahawa makanan adalah punca segala penyakit. Sebagai insan yang lemah yang tidak mampu mengawal segala kemudaratan, mudah-mudahan dengan berdoa, Allah akan melindungi kita daripada segala penyakit. Dengan bacaan bismilah juga dapat mengingatkan kita kepada Allah.
  • Makan secara berjemaah: Makan dengan cara ini mewujudkan perhubungan yang baik. Saya paling suka berborak semasa makan (bukan semasa makanan di dalam mulut).
  • Mulakan makan dengan manisan sekiranya perut kosong: Ini kerana perut yang kosong akan menghasilkan sejenis asid yang membahayakan perut. Hanya makanan manis yang berupaya menghilangkan asid itu. Itulah sebabnya Nabi menggalakkan umat-Nya makan buah kurma semasa berbuka puasa.
  • Makan dengan menggunakan tangan: Ini sunah Nabi yang jarang kita lakukan. Sedangkan tangan adalah alat terbaik untuk mengambil dan menyuap makanan ke dalam mulut. Sekiranya ada makanan yang membahayakan seperti duri, tulang, atau panas, tanganlah yang dapat mengesannya dahulu.
  • Menjilat jari: Slogan KFC, "Finger Lickin' good" atau orang Cina dengan adat, "eat your finger off" sudah nampak kelebihan menjilat jari. Padahal Nabi sudah lama menganjurkan kaedah ini. Ini kerana saintis mendapati enzim banyak terkandung di celah-celah jari, iaitu 10 kali ganda daripada yang terdapat dalam air liur. Enzim ialah pencerna makanan. Tanpa enzim, makanan tidak boleh hadam. Itulah berkatnya.
  • Membaca doa selepas makan: Maksud doa itu, "Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam." Segala kebaikan dan keburukan daripada Allah. Tiada sesiapa yang mampu menghalangnya. Semoga dengan membaca doa ini, Allah berkati rezeki kita.
Banyak orang tidak tahu pengertian BERKAT.
  • Berkat rezeki: Rezeki semakin banyak.
  • Berkat kehidupan: Memperoleh kesihatan yang baik dan kehidupan yang tenang.

4 komen:

Marliza Radzi berkata...

seperti biasa, terima kasih atas info berguna :)

Unknown berkata...

Puan Am,
Sama-sama

rafiza berkata...

nuar,
pernah tak dengar tentang cara duduk rasulullah ketika makan?
caranya seperti bersila, tapi sebelah lutut dinaikkan/dilipatkan ke atas.. alamak, faham tak? tak reti pulak nak explain..
ada yang pernah cerita bila sebelah kaki dilipat menekan sebelah perut dapat menahan appendiks kita daripada termasuk bahan memudaratkan...

Unknown berkata...

Puan Rafiza,
Tahu tentang hal itu. Rasanya nanti mahu ulas isu itu dalam majalah. Terima kasih:)