Innalillahi wa inna ilaihi raajiu'un...

Al-Fatihah kepada Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh (tokoh ekonomi & akademik) dan Kapten Abdul Halim Abdul Hamid (Pengadil bola sepak tempatan bertaraf dunia) yang meninggal dunia semalam.

Kedua-dua mereka meninggal dunia akibat masalah jantung.

Semalam saya menonton video Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim di YouTube yang disiarkan sebagai penghargaan atas usaha dakwah beliau melalui hiburan nasyid.

Bergenang air mata menonton video yang disiarkan sebanyak empat siri itu. Saya memang menggemari alunan suaranya sejak Nada Murni lagi. Malah saya masih menyimpan kemas di rumah Johor hampir semua album kaset Nada Murni.

Allahyarham meninggal kerana masalah jantung, bukan H1N1 seperti yang didakwa banyak orang.

Begitu jugalah dengan Allahyarham Yasmin Ahmad yang pergi menyahut seruan Ilahi beberapa hari sebelum Ustaz Asri, akibat masalah jantung.

Rupa-rupanya rumahnya di SS19 Subang Jaya sangat dekat dengan rumah mentua saya, selang lima rumah. Mentua saya mengenali ibu bapa Yasmin, tetapi tidak menyedari pengarah filem itu merupakan anaknya. Kata isteri saya, "Kalau saya tahu, boleh minta jadi pelakon!"

Sejak dahulu kita menyedari bahawa penyakit jantung adalah "pembunuh" nombor satu di Malaysia, malah penyakit ini mendahului carta penyakit berbahaya, iaitu sebanyak 6500 kes kematian setahun. Lebih banyak daripada kematian disebabkan oleh kecelakaan jalan raya, iaitu 6000 kes.

Mungkin disebabkan inilah kerajaan menubuhkan Institut Jantung Negara (IJN) sehinggakan Sime Darby beria-ia mahu membeli hospital itu. IJN pun baru siap bangunan baharunya, mungkin bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.

Saya akan pergi untuk membuat pemeriksaan jantung. Alasan, "Saya masih muda" langsung tidak sesuai kerana kanak-kanak berumur dua tahun pun boleh mengalami masalah jantung.

Saya pernah berbual dengan jururawat yang bertugas di coronary care unit (CCU). Katanya, "Lelaki paling berisiko menghadapi masalah jantung."

Manakala dalam Journal of Occupational Psychology terdapat satu penyelidikan Occupational sources of stress: A review of the literature relating to coronary heart disease and mental ill health yang mengaitkan kaitan kerja yang stres dengan masalah jantung.

Di laman ini disenaraikan kerja-kerja yang paling stres yang mungkin mengakibatkan pekerja itu mengalami masalah jantung, antaranya polis, bomba, pakar bedah, dan warden penjara. Penterjemah tidak pula termasuk dalam senarai ini.

Yang paling penting adalah mencegah. Maka perlulah kita melakukan seperti yang disenaraikan ini:
  • Berhenti merokok (jangan cuba, tetapi berhenti terus).
  • Amalkan pemakanan sihat (kurangkan makan manis dan berminyak).
  • Bersenam (Mujur rumah saya memerlukan naik tangga, anggaplah bersenam setiap hari).
  • Belajar mengendalikan tekanan.
  • Sentiasa berfikiran positif dan mempunyai motivasi.
  • Jalani pemeriksaan kesihatan tahunan (walaupun masih muda).
Saya pernah membaca satu artikel yang menyatakan sekiranya meminum air sejuk/ais selepas makan akan menyebabkan lemak tepu bergumpal, yang ada kesannya kepada arteri jantung.

Jantung
kita berdenyut 70 kali setiap minit atau 140,000 kali sehari walaupun semasa kita tidur. Kita yang bekerja lapan jam pun sangat memenatkan.

Maka sayangilah jantung kita.

Saya salin semula "status" di facebook saya semalam:

Semalam, saya berbuka di kedai mamak. Pesan tomyam untuk dua orang makan dan telur dadar untuk dua orang makan. Mamak itu menghidangkan dua mangkuk tomyam dan dua piring telur dadar. Saya tersalah beri arahan atau mamak itu tersalah faham?

Komen yang diperoleh:

Nazri M. Annuar: bercakap dengan mamak, kau kena lupakan logik. "maggi goreng telur atas", "kira sekali ka asing-asing", mwahaha

Shazni Shahruddin: instruction not specific kot... suggest u try this : 'pakcik mamak, tolong sediakan satu mangkuk tomyam dan satu piring telur dadar yg sesuai dimakan utk 2 orang' .. it's either that...atau sememangnya 'portion' makanan kat kedia tu mcm tu....

Iskandar Syah Ismail: Itu belum lagi pesanteh ais dapat milo ais.Warna sama encik!

Ummuhani Abu Hassan: kalau yang makan itu suami isteri mungkin mamak salah faham, tapi kalau dua orang itu adalah kawan2, saya rasa mamak tu faham berbeza sikit. tambah kalau sama2 lelaki, sebab kita jarang 'berkongsi' pinggan di kedai makan.

Muhamad Bin Ali: dua-duapun salah. dah tahu ke kedai mamak, kasi worder macam kedai siam!. Guna skrip ini utk worder kedai mamak:
"mamak, tomyam satu, tulur dadar satu, mangkok kalu kasi dua"

Shazni Shahruddin: hahahaha..oh ada style2 'worder' lah pulak....mantap..mantap...

Norziati M Rosman: Kalau jenis mamak lurus bendul, memang pesanannya sampai begitu. Kena ubah ayat rasanya : tomyam dua orang makan satu mangkuk, telur dadar untuk dua orang makan satu pinggan je...hehe

Norziati M Rosman: Tapi biasanya kami minta pelayan ulang semula pesanan. Biarlah nampak macam demand, asalkan tak sakit hati

Azlinda Mahari: hehe.. tu ler.. sape suwoh p kedai mamak.. moral of d story, masak la sdri juadah bbuka anda.. air tgn sdri, lbh baik...

Shelyza Sulaiman: awk duk mana muar

Shazni Shahruddin: yes yes...saya sungguh setuju...masak sendiri lagi baguih! Pi soroh fadhillah masak sedap2 sikit petang ni agar terubat confusion semalam...huhu

Faizah Yussof: hahhaha cube tengok sitcom alamak di astro Ria,ade kene mengene dgn kes mamak nih,hehee

Zamani Mk: kena ulang 3x baru dia paham...

Khadijah Gani: hahaha.. betul betul..kena ada stail wonder tuh.. klu dia tak faham2 lenkali ckp je, "mamak, ini mcm.. mamak punya kapla kasi atas taruk!'..mesti mamak tu tersenyum gembira...hehehe

Mohd Akhmal Mohd Noor: status mamak yang dicurigai

Shahrom Haji Hassan: erm...nasib baik bkn 3...kalo x dh bole panggil trinity or trisakti hehe

Wasunni Al-Kelantani: teringin betul nak makan nasi putih berlaukan ayam goreng dan kuah kari campur di kedai mamak, lepastu letak sayur skit..haha

Kang Razzi Armansur: Manalah dia nak faham Nuar... Pure Indian dari Karala. Pernah menggunakan isyarat untuk "Teh kurang panas..."

Hampir semua komen menyatakan perlunya kita sebagai pelanggan menerangkan dengan lebih lanjut maksud permintaan pesanan makanan itu.

Menariknya, walaupun "mamak" yang bertugas itu baru semalam, minggu lepas, ataupun sebulan tiba di Malaysia, mereka terus ditugaskan bekerja di front desk premis perniagaan.
  1. Mereka ada keyakinan (tanpa malu) "berkomunikasi" walaupun langsung tidak mahir berbahasa Melayu mahupun Inggeris.
  2. Tiada latihan khusus diberikan kepada mereka. Mungkin prinsip pemilik kedai mengandaikan latihan terbaik adalah praktikal langsung di hadapan pelanggan.

Saya merasakan natijahnya ada baiknya. Rata-rata pelayan (Bangla, Nepal atau India), sama ada di restoran ataupun di stesen minyak, sangat mahir bertutur berbahasa Melayu. Apabila ditanya, "Sudah berapa lama di Malaysia?" Saya sangat yakin jawapan mereka, kurang setahun ataupun dua tahun.

Ironinya, ada pemegang kad pengenalan biru langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Semasa di Pulau Pinang baru-baru ini, saya sempat berbual dengan warga Iran yang mengikuti pengajian sarjana di UM. Dia merungut kerana banyak kertas kerja dibentangkan dalam BM walaupun persidangan tersebut bertaraf antarabangsa. Beliau sudah setahun di Malaysia, tetapi langsung tidak boleh berbahasa Melayu.

Rupa-rupanya penasihat pengajian beliau (penganut Sikh) adalah pendukung PPSMI. Beliau lantang menentang pemansuhan BI dalam pembelajaran sains dan matematik semasa memberikan soalan dalam satu sidang parallel. Dalam hati saya, "Ruginya orang Iran ini!"

Sambungan daripada artikel ini.

Memang Google lebih maju ke hadapan dalam bidang penterjemahan mesin berbanding dengan aplikasi laman web lain. Selain Google Translate yang berupaya menterjemahkan satu rangkap ayat ataupun satu laman web, Google juga menawarkan perkhidmatan menterjemahkan satu dokumen dengan cara upload file sama ada HTML (.html), Word (.doc), OpenOffice (.odt), text (.txt), RTF (.rtf), artikel Wikipedia dan Knol.

Saya memperoleh maklumat ini semasa Prof. Anthony Pym dari Universitat Rovira I Virgili, Terragona, Sepanyol membentangkan kertas kerja "On Empiricism and Bad Philosophy in Translation Studies" di Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12 baru-baru ini.

Prof. Anthony Pym

Google Translator Toolkit dicipta bagi membantu penggunanya menterjemahkan lebih banyak dokumen, laman web, artikel Wikipedia dan artikel Knol.

Sekiranya kita adalah penterjemah, kita hanya perlu memuat naik satu file dokumen atau URL. Kemudian Google Translator Toolkit akan menterjemahkan secara automatik dokumen/laman web itu. Menariknya, kita boleh menyunting setiap artikel yang telah diterjemahkan itu. Malah orang lain yang dijemput khas turut boleh sama-sama melihat atau menyunting artikel tersebut.


Dengan cara sebegini, walaupun sistem ini menggunakan sepenuhnya penterjemahan mesin, ia masih tetap bergantung pada manusia untuk memperelokkan laras bahasa yang diterjemahkan.


Bukan itu sahaja. Selepas siap diterjemahkan, kita boleh memuat turun dokumen tersebut. Manakala sekiranya kita menterjemah artikel daripada Wikipedia atau Knol, kita boleh terus publish ke kedua-dua laman web itu.

Lanjut boleh dipelajari melalui video ini:


Cuma malangnya belum ada lagi terjemahan ke bahasa Melayu. Rupa-rupanya bahasa negara jiran kita seperti bahasa Indonesia, bahasa Vietnam, dan bahasa Thai lebih dipandang oleh orang Barat. Ataupun mungkin juga mereka keliru antara bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia.

Restoran Sundanese, KLCC

23 Ogos.


1. Hari lahir isteri saya yang ke-27.
2. Genap setahun majlis walimah di pihak saya, di Johor Bahru.

17 Ogos lalu merupakan setahun usia perkahwinan kami. Saya sekadar sempat meraikannya dengan menikmati makanan Sunda di KLCC sehari sebelumnya kerana pada tarikh tersebut perlu ke Pulau Pinang bagi mengikuti Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12.

Saya mengenali beliau di Pusat Matrikulasi UIAM (tahun 2000), semasa sama-sama menyertai PKPIM, secara spesifiknya ketika sibuk dengan pilihanraya kampus.

Pada masa itu, beliau antara "sister" yang berani bersuara. Ada satu slot wacana diadakan dengan menampilkan Nurul Izzah Anwar sebagai tetamu. Beliau merupakan orang pertama yang mengajukan soalan kepada Nurul Izzah, dengan soalan yang "dewasa". Lantas terus saya memberikan pesanan kertas kepada Dino (pengarah pilihanraya PKPIM) untuk "tackle" dia menyertai grup think tank.

Secara terbuka, saya tertarik kepadanya kerana dia mempunyai idea dan fikiran yang kritis, tidak klise. Sebenarnya saya sudah banyak bertemu/berkawan dengan "sister" lain, tetapi cara berbicara isteri saya ini senantiasa "segar" sehinggalah kini. Kalau dia diam, itu adalah tanda dia stres, sakit ataupun mengantuk. Kalau dia berkeadaan baik, coletehnya membuatkan semua orang lain berfikir dan seronok.

Selepas berkahwin dengannya, barulah saya tahu ini semua adalah hasil didikan bapanya yang mengajar beliau supaya berfikir di sebalik setiap keadaan, selain banyak membaca segala material. Baba memang lain bacaan fikirannya. Kalau saya ada masalah kebuntuan idea untuk menulis, beliau menjadi tempat rujuk yang paling baik, lebih-lebih lagi dalam hal politik semasa.

Hari ini saya tidak dapat menyambut ulang tahun isteri saya. Bukan sebab kerana puasa, tetapi berlaku keadaan yang tidak mengizinkan yang perlu diberikan keutamaan. Akan saya ceritakan situasi yang kini berlaku dalam artikel akan datang.

Doakan kebahagian dan keberkatan hidup kami sekeluarga ya.

Berikut adalah sebahagian daripada pembentangan kertas kerja saya di Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12 di Pulau Pinang 18 Ogos lalu yang berjudul "Aplikasi Teknologi dalam Penterjemahan".


Penterjemahan secara elektronik bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah mendapat perhatian secara menyeluruh daripada pelbagai pihak dan organisasi yang berkepentingan. Malah kajian secara mendalam juga telah lama dilakukan, iaitu sejak tahun 1950-an lagi.

Pada masa itu, penyelidikan yang dinamakan Eksperimen Georgetown telah berjaya menterjemahkan 60 ayat dalam bahasa Rusia ke bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, Automatic Language Processing Advisory Committee (ALPAC) mengeluarkan laporan menyatakan kegagalan Eksperimen Georgetown sehingga menyebabkan projek tersebut terus berkubur.


Kini, kita boleh menggunakan Babel Fish (Yahoo!) yang boleh menterjemah lebih 15 bahasa. Begitu juga dengan Bing Translator (dulu dikenali dengan Live Search Translator dan Windows Live Translator) yang boleh menterjemahkan ke 15 bahasa lain.


Babel Fish dan Bing Translator menggunakan program perisian yang sama, iaitu Systran, yang turut boleh menterjemah lebih 20 bahasa dunia.


Program terjemahan webbase yang paling ke hadapan adalah Google Translate yang boleh menterjemah hampir 50 bahasa yang ada di dunia ini. Antara bahasa yang ditawarkan adalah bahasa Indonesia, bahasa Vietnam, dan bahasa Thai. Malangnya Google belum lagi menawarkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang boleh diterjemahkan melalui Google Translate.


Sebelum Google Translate menterjemahkan bahasa Melayu ke bahasa asing, syarikat tempatan, iaitu Linguamatix Sdn. Bhd. sudah membangunkan aplikasi teknologi dalam menterjemahkan bahasa kebangsaan melalui Citcat. Syarikat ini menggunakan teknologi yang dikenal sebagai LinguaBASE, iaitu enjin perisian yang mempunyai daya pemprosesan tinggi bagi proses bahasa terjemahan.

Cuma satu fakta yang tidak dinafikan oleh mana-mana pihak - tidak mungkin sesuatu ungkapan atau ayat dapat diterjemahkan dengan tepat melalui webbase. Walaupun tidak dinafikan bahawa program terjemahan perkataan daripada satu bahasa lain kepada perkataan dalam bahasa lain dapat dibangunkan dengan mudah, tetapi ini tidak bermakna setiap perkataan yang diterjemahkan itu tepat dengan maksudnya.

Maka menyedari hal ini, ITNM mencipta satu program yang dinamakan sebagai e-Terjemahan Dokumen - sebagai alternatif mengatasi lambakan kerja kepada penterjemah. Buat permulaan, program ini menyediakan perkhidmatan penterjemahan dokumen (seperti sijil SPM dan nombor kad pengenalan) terlebih dahulu sebelum bergerak untuk menterjemahkan buku pada masa akan datang.


Walau bagaimanapun, sejauh mana kecanggihan sistem yang dicipta ini, segala urusan penterjemahan di ITNM masih lagi bergantung pada tenaga penterjemah bagi memastikan kualiti penterjemahan benar-benar berkualiti.

Ada satu lagi teknologi penterjemahan yang ditawarkan oleh Google. Akan saya kisahkan nanti.

Bos ITNM ini sekiranya diberikan untuk berucap, memang mampu untuk menarik perhatian umum. Disebabkan itulah MADUM menobatkannya anugerah khas kepadanya.

Beliau membentangkan kerja "Peranan Institut Terjemahan Negara Malaysia dalam Meningkatkan Taraf Bidang Penterjemahan di Malaysia".

Namun yang menarik perhatian adalah kertas kerja yang dibentangkan oleh Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato' Dr. Dzulkifli Abdul Razak.

Antara kata-katanya yang menarik, "Pada zaman Andalusia, penterjemah diberikan ganjaran emas yang beratnya setimpal dengan berat buku."

Saya budak baru belajar yang membentang kertas kerja "Aplikasi Teknologi dalam Penterjemahan".

Saya suka dengan makanan di sini. Merasai ABC sebaik menjejakkan kaki di pulau ini. Namun Kapitan tetap saya idamkan makanan nasi beriani claypot dan susu badam.

Biasanya orang ke Pasar Chowrasta akan membeli jeruk dan buah pala, tetapi sebenarnya di atas pasar ini terdapat ribuan longgokan buku terpakai. Rambang mata!

Agak terkejut juga dapat menemui majalah tahun 1997 yang pernah saya menjadi editornya pada 2007-2008, iaitu Dewan Kosmik. Di imprint page, Baharuddin Zainal (kini Dato') menjadi editornya. Manakala anaknya, Rosihan Juara (kini di Pustaka Cipta) adalah sidang editorialnya.

Saya pengguna setia yang setiap hari melalui Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Cheras untuk ke pejabat. MRR2 adalah salah satu contoh kerja tidak cerdik arkitek/jurutera yang mencipta jalan yang asalnya tiga lorong - berubah menjadi dua lorong. Natijahnya, jalan akan menjadi sesak pada setiap hari walaupun tanpa sebarang kemalangan.

Maka banyaklah pemandu yang bersikap kurang ajar tanpa memberikan isyarat memotong laluan. Saya dengan rasa selamba akan menggelar mereka sebagai "si pemakan babi". Rasanya ada kewajarannya mereka mendapat gelaran itu.

Saya memetik tulisan Faisal Tehrani yang akan mementaskan teater Kopitiam Ghadir di Wisma ITNM bermula 13-16 Ogos ini (tiket RM10). Kopitiam Ghadir tidak ada kena mengena dengan nama Encik Mohd Khair Ngadiron, bos ITNM.

Dalam Ketupat Cinta, Faisal menyatakan, "Binatang seperti kucing, anjing, musang, harimau, burung helang ada lemak yang tidak boleh dihadam manusia. Kalau kita mengambil daging binatang itu, lemak itu berpindah ke badan kita lalu kekal menjadi lemak binatang."

"Sedang kalau haiwan itu seperti kerbau, lembu, kuda, unta, kambing atau arnab mudah dihadam dan diserap tubuh. Dan kalau dimakan dagingnya lemak itu berpindah ke badan kita menjadi ia lemak manusia."

Daging babi termasuk dalam jenis yang pertama. Dalam Ihya Ulumuddin menyatakan bahawa daging anjing dan babi akan membuatkan manusia menurut rohani dan jasmani binatang itu!

Perangai babi suka menyondol tanpa memandang kiri dan kanan. Maka pemandu yang suka menyondol memotong laluan tanpa memberikan isyarat apatah lagi melambai tangan sebagai tanda terima kasih adalah tidak ubah seperti babi.

Sedang memakan nasi lemak adalah 10 makanan "wajib" rakyat Malaysia, seperti yang dinyatakan dalam NST beberapa hari lalu, antara masakan Melayu yang terbaik. Lengkap dengan masam, manis, pedas dan lemaknya.

Masam merupakan lambang kurang, manis itu lambang lebih - maka seimbanglah antara masam dan manis. Manakala pedas itu adalah lambang ketegasan, maka lemaknya merupakan unsur kepada tolak ansur.

Nasi lemak tetap halal, kecuali ada orang yang menambah kepingan daging babi menggantikan paru. Nasi lemak kini dimakan oleh 1Malaysia, tidak perlu slogan, tidak perlu lagu (seperti yang Hot FM lakukan), tidak perlu kempen, tidak perlu iklan satu halaman di akhbar. Dengan makan nasi lemak sahaja, 1Malaysia boleh duduk semeja.

Indah sungguh falsafah penciptaan nasi lemak.

INSTITUT TERJEMAHAN NEGARA MALAYSIA

dengan penuh takzim
mengundang dan mempersilakan tuan/puan ke

Majlis Penghargaan
“MENJELANG 75 TAHUN A. SAMAD SAID”
dan Pelancaran Buku Fansuri’s Love dan Ballad of the Lost Map

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan majlis penghargaan “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said” bagi mengenang dan menghargai karya serta sumbangan Sasterawan Negara Keempat (1986) ini membangunkan bidang sastera kebangsaan, selain bertujuan meraikan menjelangnya 75 tahun usia beliau pada 9 April 2010.

Majlis tersebut akan diadakan seperti berikut:

8 Ogos 2009 (Sabtu)
8.00 Malam – 11.00 Malam
Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Tuan/puan dipersilakan hadir ke majlis ini.

Sekian, terima kasih.

“Pilihan Anda Untuk Terjemahan Berkualiti”

Setiap pagi semasa saya keluar rumah untuk ke tempat kerja, akan ada seekor kucing mengiau di rumah jiran saya. Saya tahu, Abang Yatim (jiran) akan memberikan makanan kepada kucing itu walaupun tidak membelanya.

Abang Yatim dan Kak Gie sudah lebih lapan tahun bernikah, belum dikurniakan anak lagi. Baru minggu lepas saya mendapat tahu Kak Gie disahkan mengandung tiga bulan.

* * *

Saya akan membaca buku ala-ala Chicken Soup di dalam kereta, sama ada semasa kesesakan ataupun sementara menunggu isteri keluar dari pejabatnya.

Alahai Pengantin Baru hadiah daripada Encik Armin (Editor Pelita Bahasa) semasa walimah saya. Saya tertarik dengan satu cerita...

Seorang pekerja yang setiap hari melalui laluan Bentong menuju ke Kuala Lumpur. Beliau membawa bekal roti buku yang akan diberikan kepada monyet semasa perjalanannya ke Kuala Lumpur. Beliau akan memberhentikan kereta untuk memberikan roti itu kepada monyet.

Suatu hari, ada sebuah kereta yang memotong laju keretanya. Tidak jauh dari situ, beliau seperti biasa akan berhenti untuk memberikan makanan kepada monyet. Kemudian beliau meneruskan perjalanan sehingga melalui suatu lokasi kemalangan, akibat pokok tumbang. Kenderaan yang terbabit adalah kereta yang memotong kereta lelaki pemurah hati ini.

Bayangkan sekiranya beliau meneruskan perjalanan, mungkin beliau yang terlibat dalam kemalangan itu.

* * *

Saya percaya berbuat ihsan kepada sesama manusia termasuk dengan haiwan pasti akan dibalas baik.

Editor Pelita Bahasa, Encik Armin Azhari Salleh meminta saya menulis isu penterjemahan dalam keluaran Ogos 2009 yang bersempena Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-12 pada 18-20 Ogos di Pulau Pinang.

Walaupun beliau mahukan skop penulisan saya mewakili ITNM, tetapi saya memerlukan sedikit ruang kebebasan dalam menulis. Maksudnya, penulisan ini mewakili diri saya sendiri dan dari kaca mata saya sendiri walaupun belum setahun terlibat dalam bidang penterjemahan ini.

Mukadimahnya,
Sekiranya diajukan pertanyaan berkenaan kaedah untuk menjadi penulis yang hebat kepada Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, jawapannya adalah, “Pertama membaca, kedua membaca, ketiga membaca, keempat membaca, dan kelima menulis. Sekiranya kelima-lima perbuatan adalah membaca, maka akan menjadi pembaca yang tegar.”

Ditanyakan pula kepada Pengerusi PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., Puan Ainon Mohd berkenaan cara untuk memperbanyak khalayak pembaca buku Melayu. Beliau menjawab, “Kita perlu melambakkan lebih banyak buku Melayu di pasaran supaya orang menyedari kewujudan buku berkenaan. Hakikatnya di Malaysia banyak buku berbahasa Melayu yang lebih berkualiti daripada buku yang diimport.”


Seterusnya di majalah ini.

Yana rakan yang selalu membisikkan kepada saya "Che Lah..nak dengar tak gosip panasssssssssss?" setiap hari. Yana pembantu di Bahagian Terjemahan. Di antara tugasnya ialah membuat bayaran kepada penterjemah. Saya selalu tersenyum kerana adakalanya ia membisikan gosip yang suam-suam kuku sahaja. Adakala ia cuma melaungkan slogan gosip yang menjadi trademarknya tanpa isi. Saya kadang kala tertipu.

Tetapi petang itu dia membisikkan sesuatu yang membuatkan biji mata saya betul-betul terbeliak. Katanya baik saya jadi penterjemah kerana dia selesai menguruskan bayaran kepada penterjemah yang nilainya melebihi dari RM20K. Ahh. Menggaru kepala saya mendengarnya! Kalau begitu menterjemahkan dua buah buku cukup untuk membolehkan saya berehat bagi tempoh setahun tanpa kerja!

Dipetik daripada blog Enche.

Tahun lepas, ITNM menganjurkan "Malam Sebutir Bintang dalam Kenangan" bagi memperingati jasa SN Usman Awang. Pada 8 Ogos ini pula akan diadakan "Menjelang 75 Tahun A. Samad Said".

Di sidang media tadi ada orang bertanya kepada saya, "Mengapa tidak dianjurkan majlis apresiasi kepada Keris Mas dan Shahnon Ahmad terlebih dahulu?"

Siapa cepat atau lambat bukan menjadi isunya. Contohnya, dalam solat berjemaah kita selalu menjemput orang lain untuk menjadi imam sedangkan kita layak untuk ke hadapan mengimami solat. Jawapan eskapisme, "Awak lagi banyak ilmu agama" ataupun "Ana ada masalah suaralah sheikh."

Yang penting cara kita menghargai kehadiran seseorang semasa hayatnya. Saya sendiri hairan melihat situasi di Malaysia yang sangat gemar menghargai orang lain apabila mereka sudah tiada. Sudirman yang sudah lama meninggal dunia, baru kini diberikan penghargaan darjat Dato'. Saya rasa tidak lama lagi Yasmin Ahmad pun akan diberikan darjat sebegitu, walaupun semasa hayatnya beliau sering dikritik.

Pak Samad memang mempunyai karisma tersendiri sehinggakan orang lain mengenali beliau sebagai Sasterawan Negara (SN), sekali gus gelaran itu ada kelas yang tersendiri. Saya sangat yakin banyak antara kita tidak mengenali SN lain. Mungkin Usman Awang ada orang kenal wajahnya.

Saya pernah melihat Allahyarham SN S. Othman Kelantan berjalan keseorangan, tidak ada seorang pun menegurnya. Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu semasa mengiringi SN Prof. Muhammad Haji Salleh, pun tidak orang yang "teruja" dengannya.

Ini berbalik kepada cara kita mempotretkan diri sendiri sehingga orang lain dapat kenal.

Namun saya kira yang paling penting cara kita menghargai karya semua SN. Mungkin dengan cara membeli buku mereka dan membacanya. Namun bagaimana pula dengan SN Noordin Hassan yang tidak mempunyai novel, tetapi sekadar menghasilkan karya naskhah teater?

Atas dasar itulah sebelum semasa majlis pada 8 Ogos nanti, turut diadakan "Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said" yang dibahagikan kepada bengkel seni pentas, seni tampak, dan seni muzik. Seni muzik akan dibimbing oleh Taja (Meet Uncle Hussain).

Semua karya SN merupakan khazanah persuratan yang perlu selalu disegarkan. Saya mengambil contoh seperti rumah Tunku Abdul Rahman. Sehingga kini bangunan tersebut tersergam indah kerana ia dijaga dengan rapi. Begitulah juga dengan karya SN, perlu selalu kita hidupkan kerana ia mencerminkan citra kehidupan rakyat Malaysia.

Jangan nanti ada orang merungut, di Ubud Writer Bali 2009 orang luar/asing lebih mengenali penulis Malaysia yang tidak membawa citra Malaysia. Inilah realitinya.

Jelas dia pelajar sekolah lagi, dan ketara dia berbangsa Cina. Dia tidak mencapai buku berbahasa Inggeris, tetapi dibaca buku Arkeologi, terjemahan ke bahasa Melayu.

Mungkin anaknya masih belajar di sekolah lagi. Dia membelek buku Sistem Suria yang merupakan salah satu Siri Penerokaan Sains ITNM, yang diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Sains dalam bahasa Melayu? Boleh sahaja.

Selepas kerajaan mengumumkan untuk memansuhkan PPSMI pada 2012, bidang terjemahan mula diberikan perhatian oleh pelbagai pihak. Banyak pihak mencadangkan supaya bidang ini dilaksanakan dengan lebih aktif, khususnya menterjemah sains dan matematik ke bahasa Melayu.

Saya sempat berbual dengan Dr. Pisol Maidin dari Penerbit UPENA (UiTM) semasa majlis walimah Abang Azuan. Beliau masih ingat matlamat awal penubuhan ITNM adalah untuk mengaplikasikan teknologi dalam penterjemahan. Beliau juga mengetahui disebabkan berlakunya beberapa masalah, ITNM pada masa itu tidak dapat melaksanakan penterjemahan dengan aplikasi teknologi maklumat dengan baik.

Hakikatnya, menterjemah perkataan/ayat dengan komputer mahupun internet masih belum dapat digunakan dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah saya akan membentangkan kertas kerja berkenaan isu ini di Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) di Pulau Pinang pada bulan Ogos.

Google Translate pun masih belum menawarkan aplikasi terjemahan ke bahasa Melayu. Bahasa Indonesia, Bahasa Thai, dan Bahasa Vietnam sudah lama ada. Adakah perlu penutur bahasa Melayu melobi ke Google untuk memohon mereka menawarkan perkhidmatan ini? Jawapannya YA!

Berikut bahasa yang ada di Google Translate:

Di Google Groups terdapat kumpulan yang khusus berbincang tentang aktiviti penterjemahan. Salah satu isu yang dibincangkan adalah berkenaan "Everyone who has asked Google to add another language". Hampir semua ahli kumpulan yang terlibat dalam perbincangan isu ini meminta dimasukkan Bahasa Parsi, siap dengan hujah dan rasional permohonan mereka itu.

Memanglah "penterjemahan mesin" ini belum lagi sempurna. Namun saya percaya Google akan sentiasa membuat penambahbaikan dalam setiap aplikasi yang ditawarkan, termasuklah Google Translate.

Maka sewajarnya kita melobi ke Google untuk memasukkan BAHASA MELAYU dalam Google Translate.

Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron akan tampil di program "Di Luar Lingkungan Bersama Sayed Munawar" di TV1 pada malam ini (20 Julai 2009) jam 9.00 malam.

Beliau bersama-sama dua panel akan membicarakan isu "Upaya Bahasa Melayu Pasca PPSMI".


Kami memanggil mudir (pengetua) di sekolah menengah dahulu dengan gelaran Ustaz Haji. Nama sebenarnya Haji Jaafar Mundri (Allahyarham).

Suatu malam, beliau memanggil beberapa pelajar termasuklah saya. Kebetulan pula, pada malam itu saya terasa sangat lapar sehingga sanggup "fly" untuk makan di luar asrama. Sehingga kini saya masih menyesal dengan perbuatan jahat itu. Kawan-kawan yang dipanggil, diberikan pesanan, "Tolong jaga asrama, jaga waktu solat semua pelajar." Keesokan harinya, beliau meninggal dunia tanpa sebarang kegeringan.

Semacam sudah menjadi rutin, semasa hayatnya beliau akan memanggil beberapa pelajar datang ke rumahnya pada setiap malam Jumaat untuk membaca surah Yassin dan bertasbih selawat tunjina dengan menggunakan kacang tanah.

Seusai semua ibadat itu, Ustaz Haji akan menjamu kami semua dengan makanan yang dihidangkan di dalam talam. Apabila makan dengan talam, maka sangat sesuai untuk makan dengan sunah Nabi; dengan tiga jari, duduk bersilang, dan menjilat jari selepas makan. Yang paling penting, makan berempat atau makan berjemaah.

Tidak semestinya makan di dalam talam/dulang dianggap sebagai berjemaah. Maksud makan berjemaah mengikut sunah adalah makan daripada satu sumber secara beramai-ramai.

Ada suatu kisah yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, tetapi sangat baik untuk diambil iktibar. Seorang Yahudi terdengar saranan nabi yang menyatakan kebaikan makan berjemaah. Kemudian Yahudi berkenaan pulang ke rumah dan mengajak isterinya untuk bersama-sama makan dengannya, tetapi isterinya enggan walaupun sudah dipujuk beberapa kali.

Maka dengan nada marah, si suami Yahudi itu meninggikan suara, "Mengapa kamu enggan makan bersamaku? Jawab isterinya, "Saya telah memasukkan racun untuk membunuh abang!" Kesan daripada peristiwa tersebut, Yahudi tersebut memeluk Islam tidak lama kemudian.

Tengah hari tadi, rakan sepejabat mengadakan pot luck atau juadah bawaan berdasarkan Lembar Istilah Bil. 1/2008 terbitan DBP. Adat juadah bawaan, semua digalakkan membawa makanan untuk dinikmati bersama yang lain.

Di Jepun sudah menjadi budaya pekerja di sana untuk menghabiskan masa untuk makan/minum bersama-sama rakan sekerja seusai waktu pejabat. Selain melegakan tekanan kerja, pada waktu santai itulah mereka akan meluahkan setiap rasa tidak puas hati sama ada sesama mereka ataupun kepada organisasi. Luahan rasa hati ini sekurang-kurang melepaskan tekanan perasaan.

Perlu juga sekali sekali diadakan juadah bawaan di pejabat. Selain merasai masakan masing-masing, makan bersama-sama juga dapat juga mengeratkan persahabatan.

Saya bawa buah pisang dan buah semangka sahaja.

Menurut Arief Hakim Sani, program MPH Mutiara Minda mengandungi empat komponen utama, iaitu:
  1. Menambah ruang buku bahasa Melayu di sembilan cawangan MPH terpilih.
  2. Menerbitkan katalog buku bahasa Melayu.
  3. Pengiklanan berterusan di Harian Metro dan Berita Harian.
  4. Menganjurkan pesta/karnival buku.
Tadi di Plaza Alam Sentral berlangsung pelancaran Mutiara Minda oleh Y.B. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Kemudian dilancarkan sekali karya terbaharu Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said, iaitu Bisik Warna terbitan ITNM.


Menurut bos PTS (Arief) itu lagi, "Buku-buku bahasa Melayu hari ini sudah mendapat perhatian besar dari kedai-kedai buku utama. Kedai-kedai besar sudah melancarkan program pemasaran yang besar untuk menarik pembaca buku Melayu ke outlet mereka. Ini semua akan memberikan momentum kepada penerbit dan pengarang buku bahasa Melayu, disamping menyajikan pilihan yang lebih menarik kepada pembaca."

Majoriti yang menghadiri majlis tadi adalah orang Cina.

MPH Mutiara Minda adalah program pemasaran buku berbahasa Melayu yang julung kali diadakan oleh rangkaian kedai buku terbesar di Malaysia, MPH Bookstores Sdn. Bhd.

Dengan kerjasama ITNM, majlis perasmian tersebut akan turut diadakan majlis pelancaran buku terbaharu ITNM, iaitu "Bisik Warna" karya Sasterawan Negara Datuk (Dr.) A. Samad Said.

Majlis akan disempurnakan oleh Y.B. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Tarikh: 16 Julai 2009 (Khamis)
Masa: 10.30 pagi
Tempat: Plaza Alam Sentral, Shah Alam

Adakalanya saya diminta pendapat oleh penterjemah baharu sama ada yang baru tamat kursus penterjemahan mahupun yang sedang dalam proses menamatkan pengajian kursus penterjemahan.

Isu utama: Sama ada mahu menjadi penterjemah sepenuh masa ataupun sambilan (ada kerja hakiki lain).

Apakah yang perlu perlu mereka tahu sebelum memasuki dunia penterjemahan secara profesional. Sebelum itu, saya ingin mengambil kisah daripada adik Puan Norizan Muslim, iaitu Tuan Amir Muslim. Puan Norizan pernah bersama-sama saya mengendalikan Dewan Kosmik semasa di DBP dahulu.

Tuan Amir merupakan lulusan graduan universiti, tetapi beliau memilih untuk menjadi penterjemah sepenuh masa, tidak perlu keluar pagi balik petang untuk ke pejabat, ataupun mempunyai almari khas yang menyimpan longgokan pakaian bekerja. Namun setiap tahun beliau berkemampuan melancong ke luar negara hasil daripada bayaran penterjemahan dengan ITNM.

Mahu sampai ke peringkat profesional itu, ada beberapa perkara yang perlu diketahui oleh penterjemah baharu. Sebagaimana mahu menjadi profesional/pakar bahasa, individu itu perlu au fait dengan ilmu bahasa dalam pelbagai bidang.

  1. Penterjemah baharu seharusnya sudah mahir dengan semua amalan kerja dan kaedah terjemahan. Namun bagaimana mahu mengukur kemahiran tersebut dengan menilai setiap hasil teks terjemahan? Adakah sebarang standard seperti ISO 9002 yang dapat dijadikan kayu pengukur? Realitinya, penterjemah berkualiti lazimnya mengamalkan kaedah terjemahan yang ternyata berbeza dengan penterjemah "teruk".
  2. Penterjemah baharu sepatutnya sudah menguasai ilmu penting berkenaan teori terjemahan. Mengapa? Tanpa penguasaan teori terjemahan yang mapan, penterjemah baharu biasanya akan berhadapan dengan masalah sekiranya terdapat ayat/perkataan yang sukar diterjemahkan.
  3. Biasakan diri dengan penggunaan alat teknologi yang kini digunakan dalam dunia terjemahan moden. Menggunakan kamus yang tebal semata-mata bukan lagi sangat mencukupi pada zaman kini. Penterjemah baharu harus memiliki kamus multimedia ataupun perisian kamus komputer yang ternyata banyak menjimatkan masa menterjemah.
  4. Terakhir yang paling penting, sekiranya mahu bergerak sebagai penterjemah sepenuh masa, penterjemah perlu berfikir seolah-olah sebagai peniaga/usahawan/korporat. Banyak bukti menunjukkan, penterjemah profesional yang meraih pendapatan lumayan hakikatnya mempunyai kepintaran niaga.